Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

KLIBF 2014 & Budaya Membaca

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur edisi yang ke-33 ( KLIBF 2014 ) berlangsung 24 April hingga 4 Mei 2014 di PWTC. Dikatakan ini adalah pesta buku yang terunggul di Malaysia. Mungkin kerana usia, dari dulunya hanya dinamakan Pesta Buku Kuala Lumpur. Masih teringat juga masa di universiti dulu pernah juga hadir. Hanya sejak 10 tahun lalu ianya menjadi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dari setahun ke setahun, ia menjadi semakin popular dan berjaya menarik penyertaan syarikat berkaitan buku dari pulohan kepada ratusan serta berjaya menarik pengunjung daripada jumlah puluhan ribu kepada ratusan ribu. Mungkin kini jutaan pengunjung datang ke pesta buku ini. Apa tidaknya, pada hari ketiga sahaja, dikatakan sudah menerima lebih daripada 300,000 pengunjung. Mungkin selaras dengan pertambahan penduduk Malaysia juga.

Aku yang hadir pada hari ke-3 sejak ianya dibuka, terasa akan kesibukan dan kesesakan di mana-mana bilik, ruang legar dan dewan pameran.


Apakah fenomena ini Ini menjawab persoalan atau kebimbangan cendikiawan pencinta buku terhadap resolusi satu kajian dahulu bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Kita hanya membaca 2 mukasurat setahun.

Memang penemuan itu telah mencetuskan pelbagai polemik. Tidak kisahlah bagaimana kajian dilakukan, tetapi bagaimana sebuah negara sedang membangun membangun dengan Wawasan 2020nya mempunyai rakyat yang dikira malas membaca ? Ini belum lagi soal apa yang dibaca.

Aku, malah mungkin ramai rakyat Malaysia lain pun dulunya banyak membaca untuk lulus periksa dan untuk pekerjaan. Dari sekolah rendah sehinggalah ke universiti. Kita belajar macam bukan untuk menambah ilmu, tapi untuk lulus periksa, demi mengenggam sijil dan ijazah bagi melayakkan kita memperolehi kerja.

Mungkin lantaran itulah gerakkan mengalakkan membaca dipromosikan dengan berleluasa oleh pihak kerajaan khususnya menerusi Perpustakaan Negara dan Kementerian Pendidikan.

Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi melaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2) iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”.

Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara yang diluluskan oleh kabinet pada tahun 1988, iaitu berobjektif memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Ia menjadi pemangkin kepada pelbagai penganjuran pelbagai program dan aktiviti kesedaran, memupuk minat dan pengalakkan membaca termasuk Pesta Buku Kuala Lumpur.

Selepas beberapa tahun gerakan dijalankan, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia kemudiannya mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun.

Buku Dan Budaya Membaca
Ada peningkatan. Bagaimana pula sekarang ? Sejauh mana aktiviti membaca telah menjadi pilihan ketika berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.

Sejauh mana rakyat Malaysia membaca dan mendapatkan buku untuk menambah pengetahuan, memperkembangkan hobi dan bakat, mencari penyelesaian atau membuat sesuatu persediaan ?

Aku kira walaupun pelbagai angka kajian dikeluarkan, namun orang Malaysia pada pandanganku masih tidak mempunyai budaya membaca yang baik. Masih jarang kita melihat orang membaca ketika menunggu atau setelah berada di dalam bas, keretapi atau kapalterbang. Baca facebook aje ?

Mungkin memang ada banyak pembaca, membaca akhbar, blog online dan majalah, tetapi mungkin tidak banyak orang membeli buku. Harapkan yang free sahaja.

Benarkah faktor harga juga menyebabkan kita kekadang masih berkira-kira untuk membelanjakan RM50 bagi membeli buku yang bagus berbanding membeli DVD cetak rompak atau rokok. Bagiku sebenarnya kita masih kurang dalam hal menghargai hasil orang lain, atau kita sendiri tidak dapat menilai sama ada sesuatu karya atau buku tersebut bagus dan bermutu. Jika tidak, masakan CD audio, VCD movie dan DVD software cetak rompak masih berleluasa.

Tidak tahulah sama ada kajian empirical hubungkait antara minat membaca dengan membeli buku untuk dibaca. Namun umumnya lebih ramai orang minat membaca, maka lebih banyak buku dikeluarkan di negara kita lantaran ada pembelinya. Kalau tidak tentu banyak syarikat penerbit gulung tikar.

Aku dan Penulisanku
Bagiku keterlibatan aku dalam menjadi editor kepada beberapa penerbitan majalah bulanan atau bulletin kelab di ofis dulu-dulu menyebabkan aku perlukan lebih membaca.

Ini ditambah keinginan memupuk minta membaca yang sama kepada anak-anak lantaran aku percaya ibubapa yang membaca akan mempengaruhi anak-anak untuk membaca.

Malahan pelbagai aktiviti membaca yang diterap kepada pelajar sekolah menerusi program NILAM ( Nadi Ilmu Amalan Membaca ) juga telah mempengaruhi ibubapa mereka juga untuk kembali kepada buku.

Facebook Membunuh Blogspot
Kiranya kemuculan awal blogspot menyemarakkan budaya membaca. Untuk menulis sesuatu, kita perlukan membaca beberapa penulisan dan pemikiran orang lain daripada makallah dan buku selain kini google di internet sahaja. Begitulah yang berlaku kepada ku, kekadang perlu mebaca untuk mencipta entry memenuhi blog.

Namun blogspot atau yang seumpamanya dengannya seperti wordpress, makin kurang popular apabila munculnya Facebook. Bagiku facebook membunuh orang ramai berkarya dan menulis menerusi blogspot dan wordpress. mana ade orang tulis panjang-panjang dalam facebook.

Hari Raya Buat Pecinta Buku
Walau apapun bagi pencinta buku, mungkin menerusi pesta buku seumpama KLIBF ini menjadi peluang bagi mereka untuk mendapatkan buku-buku yang sukar dicari dengan harga yang kira murah kalau pun tidak harga yang berpatutan.

Kiranya Pesta Buku Kuala Lumpur adalah hari raya untuk semua yang cintakan buku dan suka membaca. Kehadiran rombongan bas sekolah dari pelbagai negeri membuktikan betapa KLIBF memang sesuatu yang istimewa dan di tunggu-tunggu ramai. Baguslah begitu.
Share:

Van Kaunter 1JPJ

Bermula dengan tiga unit sebagai pilot pada Jun 2013, melihat kepada impak pelaksanaannya, ditambah 12 unit lagi menjadikannya 15 unit ketika ini. Itulah van kaunter 1JPJ yang menawarkan beberapa transaksi tertentu JPJ dijalankan ‘on-the-wheel’, bergerak kesana sini untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, dalam membantu orang ramai untuk berurusan dengan JPJ.

Van yang diwarnakan dengan warna koperat JPJ serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan ICT dan talian online itu menyediakan transaksi seperti memperbaharui lesen memandu, pembaharuan road-tax, semakan senarai hitam, pindaan alamat, semakan tarikh luput lesen memandu, semakan tarikh luput lesen kenderaan motor, pembayaran saman dan permohonan ID Portal orang awam.

Majlis Penyerahan
Untuk tambahan 12 unit, asalnya nak buat ringkas sahaja, just penyerahan kepada wakil negeri yang juga peserta kursus yang sedang dijalankan. Penyerahan hendak dilakukan pada akhir majlis dan seterusnya di bawa pandu pulang ke negeri masing-masing.

Namun barangkali sempena PRK Kajang, majlis penyerahan kepada wakil-wakil JPJ negeri telah diadakan di PPD Kajang. Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan.

Walaupun dalam keadaan short notice perubahan format dan lokasi dibuat, akhirnya dapat juga majlis diadakan dan kira berjalan lancar walaupun petang sebelum majlis tersebut hujan lebat turun. Sudah tentunya bahang kempen PRK Kajang menjadi moral ucapan perasmian.

Penyerahan 2 unit masing-masing untuk Sabah dan Sarawak dilakukan pada 23 April 2014 lalu di Kota Kinabalu, bersekali dengan kursus untuk petugas di sana.

Kemudahan Bergerak
Kawasan tumpuan Kaunter Van 1 JPJ ini adalah di kawasan dimana selalu JPJ menganjurkan program turun bersama orang ramai seperti program Satu Komuniti 1 JPJ serta juga di karnival, ekspo dan pameran tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai.

Penyediaan talian selalu menjadi masalah daripada segi masa proses bagi pihak negeri atau cawangan dalam menyediakan keperluan ICT untuk penganjuran program outreach. Tetapi kini mudah sahaja dengan van bergerak ini.

Pasar-pasar malam, pasar tamu atau pasar tani atau pasar Ramadhan merupakan antara potensi tumpuan. Namun nak kena ‘consistent’ kehadirannya supaya orang ramai boleh membuat persediaan sewajarnya supaya tidak tertunggu-tunggu kedatangan kaunter bergerak yang sebelumnya pernah masuk kampung atau berkunjung ke pasar-pasar malam.

Pemilihan Transaksi
Maknanya bukan semua transaksi JPJ, tetapi yang terpilih.Yang terpilih pula terhad pilihannya. Pemilihan dibuat mengikut kesesuaian dengan peralatan ICT yang disediakan, tidak melibatkan proses kerja yang rumit, kritikal serta melibatkan beberapa aras semakan dokumen dan beberapa kelulusan penyelia .

Umpamanya pembaharuan lesen memandu, hanya menggunakan semula gambar daripada myKad. Tidak boleh ambil gambar semula atau scan foto sebagaimana dilakukan di kaunter biasa JPJ.

Pelaksanaan 24 X 7 ?
Daripada segi sistem aplikasi, secara teknikalnya mungkin tidak ada masalah. Namun dengan mengambilkira keselamatan serta pertukaran tarikh selepas 12 tengahmalam daripada segi kutipan hasil kerajaan, ianya tidak digalakkan.

Walau bagaimanapun, usaha sedang dijalankan untuk urusan bank-in hasil berbentuk wang tunai. Ini untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku rompakan terhadap van tersebut.

Bayangkan sekiranya beroperasi jauh-jauh di luar bandar dan on-the way balik kena tahan oleh gangster di tengah-tengah jalan ? Maka bergantung haraplah dengan seorang pegawai atau anggota penguatkuasa bersenjata sahaja yang menurut SOPnya perlu menganggotai dalam setiap operasi van berkenaan.

Kemudahan Satelit
Sistem sekarang bergantung kepada kesediaan coverage Celcom atau Maxis. Kalau di lokasi cadangan tidak mempunyai liputan tersebut atau jika adapun tersangat lemah, maka van tidak boleh beroperasi.

Apakah penggunaan satelit menjadi alternative penyelesaiannya. Atau sebaliknya kalau takde coverage tak payah buatlah. Cari tempat lain. Bukankah bumi Malaysia ini luas juga.

Penggunaan satelit bagi mendapatkan liputan talian telekomunikasi selalunya melibatkan kos yang lebih tinggi sama ada kos permulaan untuk menyediakan peralatan berkaitan, penyelenggaraan dan juga caj penggunaan setiap bulan.

Memaksimumkan Penggunaan
Setiap unit kosnya agak tinggi juga. Selain van, renovasi dalaman, tambahan luaran, cat, penyediaan infra ICT, genset, kerusi meja dan sebagainya yang menjadikan ianya unik untuk JPJ dan tidak perlu dipatenkan.

Penyelenggaraan van mungkin sebagaimana penyelenggaraan kenderaan Jabatan semasa. Mungkin masih baru, tidak timbul masalah kecuali berlakunya kemalangan, vandalisme atau dirosakkan orang.

Dengan itu, sepatutnya van tersebut digunakan seoptimum mungkin dalam memenuhi objektif penggunaannya. Jika bimbang tiada coverage, bimbang tentang keselamatan, laksanakanlah di tempat yang kurang risiko dahulu. Tidak perlulah fikirkan yang ekstrime atau yang negative sahaja. Kalau ada kekurangan atau cadangan pembaikan, boleh diperbaiki atai ditambah dari semasa ke semasa.

Tidak tahulah mana yang betul. Apakah penyediaan kaunter van 1JPJ ini selaras dengan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam atau selaras dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian di Utamakan.
Share:

Fiesta Belon Panas Putrajaya ke-6, 2014

Setiap tahun dalam bulan Mac, akan diadakan Fiesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya. Pada tahun lepas aku missed acara ini kerana ke Langkawi untuk mengikuti LIMA 2013. Untuk edisi 2014 yang merupakan Fiesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya kali Ke-6, ia diadakan pada 27 hingga 30 Mac 2014.

Namun fokus aku ialah merakamkan kemeriahan serta keindahan belon panas berlepas satu demi satu memenuhi ruang udara Putrajaya pada awal pagi antara 7.00 pagi hingga 8.30 pagi. Acara lain aku tidak ambil peduli. Malah tak teringin pun nak naik belon yang disediakan.

Orang ramai sering ‘tertipu’ atau kecewa sebab datang bukan pada awal pagi masa belon naik. Kalau ada pun tiga biji belon bagi memberi peluang orang ramai merasa naik belon ke udara dengan bayaran RM20. Tapi kena datang awal-awal pagi juga sebab tiketnya terhad.

Aku difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 18 belon panas mengambil bahagian pada kali ini dari pelbagai negara seperti USA, UK, Peancis, Taiwan, Sepanyol, Hongkong, Vietnam, Australia, Belgium dan Malaysia sendiri.

Ada yang seperti telah biasa kelihatan dan menyertai fiesta sebelum-sebelum ini. Namun aku tidak pastilah kemeriahannya jika berbanding dengan tahun 2013, sebab aku tidak hadir. Tapi aku perasan, idak banyak gerai-gerai pamera, jualan dan makanan dibuka berbanding dengan 'dulu-dulu'.

Namun yang menariknya kali ini ialah belon berbentuk orang sedang menunggang motosikal dari UK yang juga dikatakan sebagai belon panas terbesar di dunia. Mungkin benar kalau dilihat daripada segi saiznya berbanding dengan belon-belon lain.

Memang belon orang menunggang motosikal itu benar-benar mencuri tumpuan ramai kerana keunikan bentuk yang laian daripada yang lain serta saiznya yang besar bak gergasi.

Aku difahamkan pada hari ke-3, sebuah belon dari dari Korea Selatan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan untuk memadam satu kebakaran kecil yang berlaku apabila ia tersangkut pada sebatang pokok pada pukul 7.45 pagi tersebut. Namun kebakaran dapat dipadamkan dengan segera dan tiada kecederaan berlaku.

Sebenarnya apa manfaat Fiesta ini ? Menyemarakkan industri pelancongan negara ? Berapa ramai pelancong luar negara yang datang ?
Share:

Bidaah Konsert Selawat Beramai-Ramai ?

Di sebalik kerancakan penganjuran Majlis Selawat beramai-ramai yang diadakan mengikut kampung, daerah atau negeri, tetiba kononnya tercetus berita yang mengatakan berhibur berselawat beramai-ramai itu bidaah yang menyesatkan. Ia tercetus selepas Konsert Malam Cinta Rasul dan Allah yang menampilkan Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf yang popular dengan lagu Ya Hanana di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya pada 21hb Mac yang lalu. Benarkah berita tersebut ?

Konsert sedemikian dikatakan berjaya mengumpulkan seramai 500,000 orang ramai untuk hadir memenuhi Dataran Putra, Putrajaya. Perkarangan masjid menjadi sesak sehingga kepada atas jambatan. Sekurang-kurangya 5 skrin gergasi disediakan bagi membolehkan rang ramai dapat melihat majlis yang berlangsung di atas pentas serta bersama berselawat dan berqasidah.

Memang tidak di nafikan, konsert sedemikian tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Kita hanya digalakkan berselawat sebagaimana kalimah biasa yang diajarkan menerusi hadis-hadis terasuk ketika mendengar nama Muhammad atau Rasulullah s.a.w disebutkan.

Malah ada ‘amaran’ keras kepada mereka yang tidak berbuat demikian. Tokoh agama terkenal nusantara, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid hadir memberikan tazkirahnya.

Aku yang juga hadir di Masjid Putra tempoh hari, memang mendapati sepanjang konsert berkenaan bukan sekadar berselawat ke atas nabi dengan pelbagai kalimah, turut juga dizahirkan kata penghargaan dan puji-pujian kepada Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t. dalam alunan qasidah. Malahan terdapat peralatan muzik yang dimainkan dalam mengiringi alunan selawat dan puji-pujian.

Persoalannya, apakah hanya nak berselawat apabila ada konsert seumpamanya ? Bagaimana dengan pada masa-masa lain selain waktu solat ? Bagaimana apabila disebutkan nama Muhammad s.a.w atau Rasulullah s.a.w ? Ini mungkin bid’aahnya.

Kalau hanya hendak berselawat masa konsert selawat sahaja atau bila ada majlis ‘Jom Selawat’, sedangkan masa lain bukan setakat diabaikan keutamaan selawat, malah sunnah dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w pula dibenci, ditentang atau diabaikan apatah lagi mahu diperjuangkan.

Ada beberapa yang kurang enak aku lihat semasa konsert di Masjid Putra tu. Kerana jalan raya yang sesak( walaupun aku naik motosikal ) aku sampai ketika azan Isyak mula berkumandang. Namun yang pergi masuk masjid untuk solat Isyak berjemaah berbanding yang tetap tidak berganjak di luar bagi mempertahankan kedudukan strategic di hadapan pentas, rasanya yang kekal di hadapan pentas lebih ramai ... satu sunnah penting Rasulullah s.a.w diabaikan.

Tidak dinafikan ramai wanita hadir malam tersebut, tetapi semunya period ke ? Takpelah mungkin berpegang kepada kenyataan bahawa wanita lebih afdal solat di rumah berbanding di masjid. Yang solat pulak, pandai-pandai buat saf sendiri di depan pintu masjid sedangkan saf di dalam masih banyak kosong. Ikut sunnah Rasulullah s.a.w ke tu ?

Satu hal lagi, tidak nampak sangat pemisahan antara kaum wanita dan lelaki. Bimbang berpisah keluarga ? Mungkin tidaklah bergaul bebas macam konsert irama pop lain, namun sepatutnya penganjur menitik beratkan juga perkara ini.

Petugas hanya menjaga keselamatan dan laaluan keluar masuk kawasan sekitar pentas supaya tidak masuk orang yang tidak sepatutnya. Kalau PM dan isteri boleh diasingkan, mengapa yang lain tidak ?
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.