Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Tol naik lagi ....

Nak buat camane, bayo ajelah, doa-doalah moga perjalanan diberkati, selamat sampai ke destinasi, jadi bekalan di akhirat nanti ... kalau malaikat munkar nakir tanya kat kubur nanti, kemana hartamu dihabiskan, jawablah 'buat bayar tol sana sini' ... Selalu naik GCE, kalau jadi naik 40sen maknanya sehari tambah RM 0.80sen. Dharab 22 hari bekerja = RM 17.60. Eh sikit aje bunyinya ... Ingat naik motor itu hari nak jimat kos ke tempat kerja supaya lekas pegi Mekah, tapi eksiden pulak ... rezeki ikut manalah yang Allah nak beri ? Yang agak menarik juga kali ini ialah bila kuatkuasa kadar baru ini. Dengan pengumuman awal ini, apakah ini suatu strategi memandangkan tahun 2008 ialah tahun selewat-lewatnya diadakan pilihanraya. Whatever alasan, whatever rate ... bayo tetap bayo.
Share:

Cari tanah baru ?

Last week gi round-round dan berminat dengan satu lot tanah rumah. Rupanya bersebelahan dengan salah sebuah property towkey dan pengasas Sendayu Tinggi Holding. Orang pompuan tentu ramai yang kenali siapa dia. Kerana minat, dia juga ternak itek secara komersial serta binakan sangkar unggas di atas tanah seluas 1.5 ekar. Selain ayam itek, ada burung merak yang cukup menawan. Kat zoo pun payah nak tengok burung merak kembang sepertinya.

Tapi tak pasti entah jadi ke tidak. Jika jadi nampaknya pindah keluar dari SU le ... tapi takkan nak tinggal rumah sebelah reban itik ? Reban tu memang baru, bau kurang kuat lagi, tapi lama kelamaan ... tak tahulah kalau itek tu pakai kosmetik Sendayu Tinggi.
Share:

Majlis Penutupan Fasa I : Kajian Pengkomputeran JPJ

Last Friday 8 Disember 2006 bertempat di Cyberview Lodge, telah berlangsung majlis Penutupan Fasa I Projek Kajian Semula Pengkomputeran JPJ, setelah berjalan selama 18 bulan. Fasa seterusnya ialah pengeluaran tender bagi pelaksanaan yang dijangka bermula awal Januari 2007. Majlis ini diadakan bagi memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dalam projek ini. Beberapa bekas kakitangan JPJ turut hadir, selain pihak consultant iaitu Syarikat NTH dan IBM. Dalam ucapannya Pengarah JPJ mengingatkan kepada semua kakitangan JPJ bahawa, projek pengkomputeran JPJ tidak boleh gagal sebab we have no second chance. Oleh itu komitmen yang tinggi hendaklah diberikan bagi menjayakan projek ini nanti.
Share:

Persaraan Ketua Pengarah JPJ

Perhimpunan bulanan JPJ yang juga dipanggil Perhimpunan Setia pada pagi 1 Disember 2006 lalu adalah yang terakhir buat bekas Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Emran Hj Kadir. Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai anggota kerajaan pada Sabtu 2 Disember 2006 setelah berkhidmat kira-kira 34 tahun 9 bulan.

Dalam perhimpunan tersebut beliau mengejutkan para anggota dengan kisah bagaimana beliau hampir terlantik sebagai Datuk Bandaraya Pertama Shah Alam pada tahun 2000. Tetapi disebabkan beliau bukan anak jati Selangor, maka rezeki tidak menjadi. Set pakaian dan kelengkapan sebagai Datuk Bandaraya yang telah ditempah oleh Kerajaan Negeri mengikut saiz beliau bagaimanapun, menjadi milik beliau. Beliau pernah menjuarai Pertandingan Pantun Peringkat Sekolah Negeri Melaka pada tahun 1966 dan juga Pelakon Lelaki Terbaik Sekolah-sekolah Melaka tahun 1968. Beliau mengingatkan semua anggota JPJ agar berkerja bersungguh-sungguh supaya sepadan dengan gaji yang diterima setiap bulan.

Sebelah petang diadakan majlis penyerahan nota serah tugas kepada pengganti beliau iaitu Tn Hj Ahmad Mustafa bin Abdul Rashid yang bertindak sebagai Ketua Pengarah JPJ Malaysia yang baru mulai 4 Disember 2006. Berikut adalah gambar yang sempat dirakamkan.

Penyerahan Nota Serah Tugas.Memberikan amanat terakhir ...Antara hadirin .. Dari kiri, Ketua Pengarah JPJ yang baru, Dato' Emran dan Timbalan Ketua Pengarah yang baruSidang akhbar .. Mengetip Kad Perakam Waktu buat kali terakhir ...Bersalaman buat kali terakhir barangkali ...Menuju ke medan tabik hormat anggota beruniformBersedia untuk menerima tabik hormat.Memeriksa barisan hormat angggota beruniformOk ... sayonaraTerima kasih Dato' ...Press menemuramah KP JPJ yang baru.

Sebelah malam diadakan Majlis Malam Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan beliau di Princess Crown, KL.

Share:

Masih belum ok.

Pergi jumpa Tukang Urut Patah Wak Amin di Seri Ladang, Rengit, Johor. Belia terkejut sebab tanganku masih belum sembuh hingga boleh angkat tangan ke atas. Sekarang terpaksa gandakan senaman tangan supaya ototnya tak jamm. Hari ini cukup 2 bulan daripada kejadian jatuh motor hingga patah tulang clavikalku. Ini yang membimbangkan. Pertengahan Disember appointment dengan pakar Hospital Selayang lagi. Ambil kesempatan untuk minta urut kaki supaya memudahkan untuk duduk antara dua sujud ketika solat.
Share:

Kenangan 2 Disember 2006

Hari ini adalah hari perkahwinan sepupu, Shahadah dengan Sarifuddin di Pt Kadir, Senggarang, Batu Pahat, Johor. Selamat menghadapi kehidupan suami isteri. Alhamdulillah dapat berkumpul dan berjumpa bertanya khabar dengan sedara mara. Yang menariknya dapat ketemu semula guru semasa sekolah kebangsaan dahulu, antara tahun 1970 - 1975 iaitu Cikgu Zaini Salleh ( kalau tidak silap bin nya ). Dulu kira antara guru yang paling garang mengajarku. Selalunya bila beliau geram or marah, dicampaknya apa yang ada di tangan. Kalau pembaris, pembarislah, kalau pemadam papan hitam, kapur atau buku itulah yang dicampaknya. Pernah kerana marah kepada rakan yang duduk di hadapanku, lantas dibalingnya dengan buku, tapi mukaku yang terkena. Kini sudah agak lanjut usianya, tapi masih mampu datang drive dengan keretanya. Terima kasih cikgu kerana masih ingatkan ku lagi, terima kasih atas tunjuk ajarmu dahulu.
Petang ke Kg. Kolam Air, Kluang, Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan adik kepada biras. Dalam perjalan pulang singgah di Ladang Dragon Fruit Zinxen di Air Hitam. Agak cantik ladang ini, bersih dan tersusun rapi. Tapi persoalannya ramai ke orang malaysia yang makan Dragon Fruit. Turut di pamirkan gambar sekitar lawatan daripada MB kelantan pada 12 Jun 2006.
Share:

Ke Genting Highlands ...

27hb lalu pegi kepuncak Genting bersama isteri dan dua anak yang ada kat rumah. Mula-mula takut jugak, tapi alhamdulillah, perjalanan lancar tak sebagaimana dijangka. Dulu lain, sempit jalannya sekarang lain dan luas jalannya. Menginap di First World Hotel dan sempatlah jalan-jalan perabis duit. Melihatkan binaan pelbagai bangunan, tertanya dalam hati bagaimana dia orang bangunkan dulu. Berdiri tepi tingkap dah terasa ghayat. Tapi yang menariknya for the first time berjaya solat suboh bermula dengan berdiri setelah tidak mampu melakukannya sejak 2 Oktober 2006. Masih teras sakit kerana ketegangan urat di bahagian kaki.

Yang ramai memenuhi City of Entertainment tu nampaknya ramai kalangan bangsa cina. Entah cina Malaysia, Singapore, Taiwan, Hongkong or negara Cina sendiri. Yang seronoknya masuk Snow World dengan suhu -3C. 28hb lepas majlis rasmi jabatan, kira-kira jam 4.30 pulang ke rumah. Saspen juga perjalanan sebab ada berlaku tanah runtuh ... maklumlah musim hujan.
Share:

Keputusan PSRA 2006

Keputusan Peperiksaan Sijil Rendah Agama ( PSRA ) 2006 telah dikeluarkan pada hari terakhir persekolahan 2006 iaitu 17hb November 2006, sehari selepas keputusan UPSR diumumkan. PSRA 2006 telah diadakan mulai dari 19 hingga 21 September 2006.

Seramai tiga orang pelajar Kafa Integrasi Darul Syahadah ( KIDaS ) daripada 40 orang telah memperolehi pangkat Mumtaz atau Cemerlang. Salah seorang daripadanya ialah anak bungsuku, Nurul Najihah. Tapi agak kecewa sedikit, sebab cuma mendapat 90.5 %. Peluang agak tipis untuk ke SAM Bestari JAIS.

Sebagai Pengerusi AJK Pengurus KIDaS, daripada segi pencapaian pangkat Mumtaz, keputusan ini dianggap yang terbaik pernah dicapai oleh KIDaS. Walau bagaimanapun peratus pencapaian lulus adalah 83.6% berbanding 85.7 % pada tahun 2005 dan 86.6% pada tahun 2004. Pencapaian 83.6 % meletakkan KIDaS di tangga ke -7 diantara KAFA Integrasi di Kuala Selangor dan tempat ke-17 di kalangan SRA dan KAFA Integrasi Kuala Selangor. Laporan lanjut di http://kidas.saujanautama.com
Share:

Masuk kerja semula ....

Setelah 7 minggu cuti ( tak masuk 1 minggu ke Amsterdam dan cuit raya ), hari ini 20 Nov 2006 mula balik kerja ( sedang orang lain tengah plan nak cuti ke sana sini kot ) ... banyak benda nak di semak dan teliti ... perjalanan ke ofis naik kereta tadi kira lancar, alhamdulillah ... Tak terfikir bila nak naik motor. kekadang tu rasa nak jual aje motor tu.
Share:

Lengkaplah tradisi keluarga 5A

Keupayaan anak bungsuku dapat semua A dalam UPSR melengkapkan tradisi anak-anak yang semuanya beroleh 5A dalam UPSR. Keputusan UPSR diumumkan di seluruh negara pada 16 November 2006. Hari itu juga merupakan Hari Kecemerlangan SK Saujana Utama. Tahniah kepada tenaga pengajar atas kejayaan seramai 27 orang mendapat 5A. Nampaknya kopak duit PIBG sebab beri sumbangan RM100 kepada setiap yang memperolehi pelajar 5A. Kini cabaran untuk anak bungsuku ini bagi mendapat semua A dalam PMR sebagaimana semua abang dan kakaknya.
Share:

Pengimarahan Ramadhan Di Surau Al-Hidayah

Share:

Day 5 Di Amsterdam : 12 Okt 2006

Last day. Awal pagi mula berkemas. Alamak dah nak meninggalkan Amsterdam. Rasa masih tak puas. Tapi mengenangkan keadaan kesihatan diri, alhamdulillah kira syukur setakat mana yang sempat dikunjungi serta pengalaman yang diperolehi. Lepas round-round sekitar hotel, bertolak ke airport untuk flight jam 12.00pm. Tanya orang sini kenapa suka naik basikal ? Entah katanya, mungkin mudah, di sediakan jalan khas, jalan rata tidak berbukit, ekonomikal dan tradisi sejak dulu. Untuk kanak-kanak katanya kena ada ’test’ untuk dapatkan lesen menaikki basikal !!!! Pemandu taxi yang saya naiki pun kata tak pernah sejak bertahun bawa taxi, berlanggar dengan orang naik basikal. Ya Amsterdan, The City of Bikes. Tempat parking basikal turut disediakan dan of course berlocked. Sebelah Central Station disediakan tempat parking bertingkat basikal. Tapi ada juga yang parking ‘ikut say’ jugak. Itu yang mencacat pemandangan. Harga basikal biasa yang baru disekitar 50 Euro.

Pekerja hotel ( Pakistani ) di Hotel penginapan iaitu Gresham Memphis yang kutemui kata, sebelum pakai Euro, iaitu Glidder harga barang kira ok. Tapi lepas pakai Euro, rega barang naik dua kali ganda. Dia orang pun merungut. Kedai di Airport Schipool agak murah harganya jika dibandingkan dengan Amsterdam, tambahan ada Sale. Orang pun ramai. Moto mereka ‘See Buy Fly’ dikira agak tepat. Disinilah perabiskan duit euro yang mana ada baki berbelas Euro. Jumpa 5 budak Sekolah Sukan Bukit Jalil yang dalam perjalanan untuk ke Mexico bagi menyertai pertandingan entah apa, dah lupa.

Flight penuh. Banyak untung MAS untuk kalau lagu ni. Terfikir, urusan apa mereka ke KL. Ada sorang pramugara yang round jumpa sorang demi sorang penumpang Muslim berdasarkan list yang dibawa. Mereka tanya puasa or tidak. Kalau puasa, makanan akan dihidangkan berasingan bila masuk waktu berbuka. Saja tanya pramugara, nak solat lagu mana. Diterangkan kemudahan bilik solat yang disediakan. Alhamdulillah, kira ok juga Penerbangan Malaysia sekarang. Dalam flight sempat tonton filem The Psiedon dan Xman III menerusi ‘Skyvision multimedia entertainment systems’ yang disediakan. Bacaan al-qur’an dan lagu nasyid pun ada. Sejuk terasa bila dengar bacaan al-qur’an yang dimulakan dengan doa bermusafir. Semoga perjalananku di belanda diberkati Allah.

Sampai KLIA jam 5.30 pagi 13hb Oktober. Ah lega … alhamdulillah selamat sampai ke Malaysia. Tak sabar nak sampai rumah untuk berehat. Orang rumah tiba jam 7.00 pagi dan sampai rumah terus sambung tidur ....
Share:

Day 4 Di Amsterdam : 11 Okt 2006

Hari kedua persidangan. Dapat disimpulkan usaha yang dilakukan oleh kebanyakan kerajaan di negara Eropah, kita sebenarnya kira setanding malah kita mungkin lebih maju daripada sesetengah negara eropah. Teknologi dan infrastruktur telah sedia ada, hanya penentuan apa proses yang hendak di elektronikkan ? Pemilihan keutamaan ini pula banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain selain dorongan kewangan, keutamaan perkhidmatan dan kepentingan politik. Undang-undang, akta dan peraturan semasa sentiasa menjadi isu dan cabaran.

Masa tengahari round-round terjumpa supermarket. Hairan di sini, kurang iklan promosi seperti baner, billboard untuk menunjukkan adanya supermarket. Dari luar macam kedai kecik aje, tapi bila masuk, fulamak ... luas sampai bawah tanah. Barangnya banyak dan kira termurah pernah dijumpai. Begitu juga billboard bagi lain-lain iklan, nampak agak jarang kelihatan.

Habis persidangan, balik hotel dan keluar semula ke bandar. Terus naik feri untuk round sekali lagi Amsterdam menerusi terusan. Puas lihat pemandangan sebab hari masih terang lagi. Semasa melayari terusan, diceritakan tentang banyak jambatan yang dilalui di bawahnya telah berusia ratusan tahun, tapi masih kukuh dan elok. Amsterdam berasal daripada ‘dam’ yang dibina di sungai Amstel. Daripadanya membentuk kependudukan hingga menjadi pusat aktiviti masyarakat, ekonomi dan pentadbiran kerajaan. Banyak bandar ada perkataan ‘dam’ seperti Rotterdam, Volendam dan Edam.

Lepas tu shoping lagi, perabis duit euro yang masih baki dalam tangan. Mahal atau tak, beli juga sebagai kenang-kenangan dan buah tangan. Lagipun telah buat survey sebelum ini di mana ada apa yang sesuai untuk dibeli. Di jalanan, ramai orang memakai jersi pasukan bola Belanda sambil menyanyi dan bersorak. Rupanya malam itu Belanda lawan Macedonia dalam kelayakan Piala Eropah. Di hotel penginapan, siaran bola di skrin besar. Teringat juga pesanan kawan, jangan lupa ke Red Light District. Tapi membaca brosurnya, ada banyak do and don’t nya agak menakutkan, so better tak payah pergi. Tambahan ini bulan Ramadhan.
Share:

Day 3 Di Amsterdam : 10 Okt 2006

Seperti biasa sahur dengan bekalan yang dibawa. Hari ini mulalah persidangan. Kata travel agent yang menguruskan perjalanan di KL, hotel kami dekat dengan tempat persidangan iaitu Hotel Okura, kekira walking distance. Rupanya agak jauh. Naik taxi 10 Euro. Seingatan, masuk taxi aje dah di caj 3.4 euro. then tambah 1.9 euro bagi setiap kilometer. Dharab 4.7 .. puh !!!! Tapi taxi canggih dan macam satu kemestian taxi mereka pakai GPS, nampak di sini pemandu taxi muda-muda. Agaknya ada had umur, tak macam di negara kita.

Peserta persidangan tak ramai kekira 50 orang dan 20 daripadanya merupakan presenters. Apa benda punya persidangan, tak padan dengan tajuk t-Government World Europe 2006. Memang nampak macam takde publisiti, even takde kerjasama dengan Government of Belanda. Tak macam kita di Malaysia kalau anjurkan persidangan sebegini. Pembentangan berkisar dengan pengalaman negara-negara di Eropah bagaimana melaksanakan sistem atau teknologi elektronik dalam mencapai hasrat e-government. Pembentangan daripada wakil Belanda amat menarik dalam usaha Belanda untuk melaksanakan e-government. Tertarik dengan sesi networking yang mereka buat sebagai suatu taaruf sesama peserta. Dua lagi peserta Malaysia iaitu dari LHDN.

Habis persidangan kira-kira 5.00petang, balik hotel dan keluar semula ke bandar. Masih belum puas meround. Jumpa siber café. Surf sekejap, fulamak 1 jam = 2 euro. Tak termasuk copy fail, cetak, download or upload yang semuanya dikenakan caj tambahan. Gilossss …Lepas berbuka, naik feri untuk round sekitar Amsterdam menerusi terusan, 10 euro lagi. Tak puas sebab malam gelap, walaupun cantik dengan lampu. Balik lewat malam keletihan lagi. Sebenarnya banyak muzium di Belanda, tapi tak jumpa yang free dan sekali masuk sekurang-kuang 10 euro. Terasa sayang pulak. Jam tanganku masih ikut waktu KL, sesekali tengok jam teringat orang-orang di KL ... tengah terawikh kot, tengah buka puasa kot, tengah kerja kot ... nak tahu waktu tempatan Belanda cuma tolakkan dengan 8 jam saja.
Share:

Day 2 Di Amsterdam : 9 Okt 2006

Lepas sahur, kira-kira 5.00 pagi dan subuh 6.15 pagi bersiap untuk keluar bagi menyertai tour group berharga 38 Euro. Berkumpul dan tepat 8.30 pagi bertolak. Dalam perjalanan kelihatan pembangunan pesat yang sedang dilaksanakan iaitu membesarkan terowong serta lebuhraya. Tiba di bandar Edam, bandar lama yang pernah masyhur dengan perusahaan keju. Terusan antara rumah menjadi nadi perhubungan pemasaran. Rumahnya ada yang telah senget sebab dulunya gunakan kayu sebagai piling berbanding konkrit sekarang. Dalam group tour ada 4 orang Indonesia serta sorang student cina Malaysia yang belajar di London, tapi sedang bercuti dengan pakwe mat sallehnya.

Lepas itu kami di bawa ke kilang membuat keju. Di sana kami ditunjukkan bagaimana keju dibuat. Ada keju yang baru jadi sehingga ada yang telah berusia bertahun. Dalam perjalanan ke tempat seterusnya, kami diceritakan bagaimana usaha kerajaan mendapatkan tanah daripada lautan yang ditambak yang membentuk 'dike'. Itu yang menjadikan kira-kira 66% tanah di Belanda lebih rendah daripada paras laut. Pernah berlaku dike ini runtuh dan ribuan orang mati lemas. Usaha mewujudkan tanah berkenaan merupakan suatu proses yang memakan masa yang lama.

Kemudian kami di bawa ke pekan Zaan Schan untuk melihat pembuatan kasut kayu dan kincir angin. Kami dibawa masuk kilang melihat bagaimana kasut kayu diperbuat. Kasut kayu dahulu kalanya digunakan disebabkan itulah yang paling sesuai untuk digunakan di tanah yang becak akibat penambakan untuk mendapatkan tanah dan baik untuk kesihatan. Namun kini lebih kepada sekadar perhiasan atau bahan cenderamata. Tetapi ada juga yang diubahsuai dengan menambah kulit dan getah untuk lebih memenuhi citarasa semasa.

Berdekatan pula ialah kincir angin, lambang keunikan Belanda. Daerah Zaan dikatakan merupakan kawasan industri tertua, dimana lebih daripada 1000 kincir angin pernah digunakan. Kini hanya ada satu yang kelihatan beroperasi untuk memecahkan ’peanut’ bagi membuat minyak. Kincir angin ini akan semakin pupus daripada segi fungsi dengan adanya tenaga elektrik. Dikatakan sepanjang tahun Belanda berangin yang membolehkan kincir angin sesuai digunakan sejak dulu. Puas hati dapat melihat dari dekat kincir angin yang dulu masa belajar kecik-kecik begitu mengkaguminya.

Dalam perjalanan ke pekan Volendam, kelihatan jelas sebelah kanan tambak nampak paras laut lebih tinggi daripada sebelah kiri tambak yang juga merupakan kawasan perumahan. Di Volendam barang-barang murah berbanding Amsterdam. Kemudian naik boat menuju ’Pulau Marken’ yang kini dah tak jadi pulau sebab dihubungkan kepada tanah besar dengan tambak yang menjadi sebagai satu sistem untuk maintain paras air. Kebanyakan yang tinggal di Marken ini ialah para nelayan. Lepas itu balik semula ke Amsterdam melalui tambak yang dibina.

Sampai Amsterdam tumpang solat di kedai Pak Arab, sambung jalan-jalan sementara tunggu masuk waktu berbuka. Berbuka kebab dengan roti 4.5 Euro dan air teh lipton 3 euro di kedai Pak Arab tu. Cuba kali dengan 4.7 ? Ada juga restoran Indonesian, tapi rasa tak ‘selamat’. Di restoran tu, jumpa tiga Malaysian dengan sorang Mat Salleh dari Petronas. Lepas jalan-jalan balik hotel, keletihan dan lepas solat terus tidur sahaja. Kekiranya puas hati sebab dah melawat apa-apa yang memang dihajati sebelum sampai di Belanda.
Share:

Day 1 Di Amsterdam : 8 Okt 2006

Tiba di Airport Schipol Amsterdam jam 6.30 pagi setelah dalam flight non-stop 12 jam. Perjalanan yang menyiksakan disebabkan kesihatan, sempit serta sejuk yang amat sangat. Lepas pusing-pusing dalam Airport, terus naik taxi ke Hotel. Taxi mewah, pemandunya seorang Muslim asal dari Morocco. Beliau amat tertarik dengan Tun Mahathir dan mendakwa, he should be the leader of our Ummah. Sampai hotel, letak barang dan jalan-jalan sementara tunggu jam 12.00pm untuk check-in. Sunyi betul pagi Ahad tu, lagipun masih awal.

Ke Central Station dengan kereta api atau dipanggil juga tramp, pakai redah aje. Kekiranya Central Station ni pusat pertemuan pengangkutan kereta api, bus dan seumpamanya. Konpius dengan sistem jalan raya mereka. Serabut dengan jalan bus dan kereta, keretapi dan basikal.. Masuk kedai-kedai souvenir, alamak mahal-mahalnya lebih-lebih lagi jika pakai sifir 1 Euro = RM 4.70. Kumpul-kumpul map dan brosur yang free. Tapi tak banyak dan kebanyakannya dijual. Bangunan sekitar Central Station, Damark dan Dam Square. Banyak bangunan lama yang telah beratus tahun usianya. Mungkin kerana itulah tarikan pelancong di sini dan mereka dakwa sebagai antara bandar tercantik di dunia.

Agak petang baru balik hotel untuk check-in. Keletihan lantas tidur dan sesedar dah masuk maghrib, 7.00 malam. Berbuka dengan roti dan mee segera yang dibawa. Bilik kecik betul tak padan dengan rega sewanya jika berbanding di KL … ahhh asyik nak banding dengan KL aje.

Kesakitan kaki membataskan hasrat nak ronda-ronda malam-malam. Suhu sekitar 10 – 12C. Tengok TV pula kebanyakannya bahasa Belanda. Berdasarkan brosur, membuat perancangan ke mana nak dilawati esok. Banyak siaran iklan TV pada awal pagi yang menawarkan khidmat seks. Industri seks memang dihalalkan di Amsterdam sebagaimana mereka mengiktiraf pengamal gay. Sex toys dijual secara terbuka dalam kedai. Tapi tak pulak orang berpusu or berhimpun. Terasa malu pulak bila singgah memerhati dan membelek benda-benda tu sorang-sorang.. Marijuana dari jenis soft drug juga dijual macam rokok biasa saja ... but not for under 18.
Share:

Nama KIDas Vs Al-Hidayah


Sempena Ulangtahun ke-3 Surau Al-Hidayah ada yang bertanyakan kenapa tak tukar sahaja nama KAFA Integrasi Darul Syahadah kepada yang berkaitan dengan 'Al-Hidayah', since ia bernaung di bawahnya sepertimana nama kebanyakan KAFA lain yang di bawah surau atau masjid.

Pernah dalam meting AJK KIDaS sebelum-sebelum ini mention mengenai penukaran nama, Namun bagi saya biar dahulu sehingga dah ada bangunan sendiri ... Prioriti pihak pengurusan KIDaS sebelum ini adalah bagaimana nak survive, then bagaimana nak dapatkan bangunan sendiri. Pengekalan ini perlu supaya dapat terus menarik simpati penduduk Saujana Utama untuk menyokong serta menyumbang kepada pembangunannya, tidak terhad kepada ahli kariah al-hidayah sahaja ...

Pemilihan nama Darul Syahadah pada asalnya adalah daripada kalangan guru-guru pelopor yang memulakan inisiatif untuk menubuhkan sekolah agama. Hebahan flyer dibuat oleh guru berkenaan tentang SAR ( Sekolah Agama Rakyat ) Darul Syahadah, sehinggalah menemui saya untuk merealisasikannya. Sebagai penduduk kita sambut hasrat penubuhan tersebut memandangkan keperluan masa itu, tanpa melihat sangat daripada segi nama ( sehingga sekarang tak pernah tanya tentang nama pun ). Lagipun nama Surau Al-Hidayah belum lagi wujud masa itu rasanya ... Mungkin kita boleh umumkan penukaran nama semasa majlis perasmian bangunan baru KIDaS nanti ?

Begitulah al-kisah ringkas
Share:

Solat Hiburan ?


Baru baru ini sorang kawan ceritakan tentang Dr Fadzillah Kamsah menitiskan air mata sambil memaklumkan suatu programnya di Jalan Pahang KL tentang 80% umat Islam tidak solat. Sedih mendengarnya ...

Dalam dunia Malaysia or seluruh dunia umatnya serba ketagihan hiburan, agaknya solat perlu di selitkan dengan unsur hiburan or yang menghiburkan ... tak tahulah bagaimana ulamak sekarang boleh memikirkan pelaksanaanya.

Apataknya, paparan iklan untuk menarik pelanggan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda atau aktiviti yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan. Malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada pembelian hiburan serta sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, seperti tiada makna dan tiada nilai. Iklan menarik perhatian kerana unsur hiburan, tetapi barangkali barangan yang diiklan entah apa nasibnya ....

Kemunculan kumpulan nasyid yang diharapkan memberikan suntikan bagi remaja or orang ramai kembali kepada nilai murni, nilai baik dan nilai Islam seumpama iklan yang menarik perhatian, tapi 'barangan yang diiklan masih tak laku ....Nasyid makin diminati, tetapi Allah terpinggir dan dilupakan ...
Share:

Pertandingan Nasyid Pra Sekolah - Post Mortem

Sempena sambutan Maulidur Rasul Al-Hidayah pada 20 mei lalu, berlangsung Pertandingan Nasyid Antara Institusi Pendidikan Pra Sekolah. Semua keputusan telah maklum. Melihat kepada sambutan masyarakat, serta persembahan yang meningkat berbanding last year, mungkin ada beberapa perkara boleh difikirkan serta diambil tindakan khususnya oleh AJK Surau Al-Hidayah bagi memastikan pertandingan itu dikira 'berprestij' bagi peringkat kita di Saujana Utama. Expectation parent nampak lebih meningkat supaya anak mereka menang, begitu juga pihak pengusaha tadika/taski/pasti.

a. Sistem siaraya atau PA sistem perlu dipertingkatkan supaya suara anak-anak dapat didengar dan dihayati dengan baik. Perkara ini agak sukar sebenarnya dan barangkali melibatkan kos yang tinggi, sebab lain budak lain caranya. Ada yang tak nak pegang mikropon (sama ada cordless atau bercord ) sebab nak mengayakan sesuatu. Kena cari mic yang power giler ...

b. Cara permarkahan rasanya perlu ditentukan oleh pihak penganjur. Mungkin pencampur markah yang lalu boleh cadangkan kaedah permarkahan yang seswai. Sama ada setiap hakim nilai satu kategori sahaja, atau setiap hakim nilai semua kategori. Apa pula kategori permarkahannya. Adakah sketsa termasuk dalam mana-mana kategori. Kaedah permarkahan ini diberitahu terus kepada pasukan peserta semasa taklimat awal-awal lagi.

c. Probably next year kita kena cari pengadil yang takada hubungkait dengan Saujana Utama ... kot -kot cikgu musik dari Aprika, ke Bangladesh ke .. ops !!! Atau panggil kumpulan nasyid tertentu, sambil buat persembahan. Tapi ini kosnya tinggi barangkali. Ini bagi mengelakkan faktor kepentingan dan salah anggap walaupun para hakim telah cuba bertindak secara propesional.

d. Barangkali pentas kena ubah, agar tiang tengah dibuang. Ini mungkin sensitif di kalangan AJK yang telah bertungkus lumus membina wakaf ini, walau dulunya tak terfikir nak buat pentas pertandingan nasyid, sekadar tempat ceramah selain berehat. Kudin mungkin boleh fikirkan lagu mana, letak besimelengkong sebagai ganti ke ?

e. Ada yang mencadangkan buat malam, dalam dewan etc... tapi mengenangkan tujuan kita nak berhimpun kat surau, rasanya kita akan terus kekalkan di surau. Untuk malam, rasanya lagi sukar sebab by the time keputusan diumumkan, bebudak tu dah tidur agaknya. Ini pun cuma 7 daripada 14 taska/tadika yang ambik bahagian. Suatu masa nanti mungkin penganjuran ini boleh dibuat oleh atau bersama Masjid Jamik SaujanaUtama.

Walau bagaimanapun tahniah dan terima kasih atas penglibatan semua yang telah menjayakan sambutan Maulidur Rasul Al-Hidayah yang lalu, yang dianggap lebih meriah dan menarik berbanding last year. Sambutan terhadap Perkhidmatan Islam Darul Syifa' amat mengalakkan ...
Share:

Selamat Hari Lahirku


Terima kasih atas ucapan, doa dan ingatan kengkawan semua.

Pertambahan usia walaupun mungkin sekadar meningkatkan angka usia, namun sebenarnya menunjukkan semakin dekat dengan akhir hayat kita. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, selalu teringatkan diri serta tertanya-tanya kepada diri sendiri sehingga menjadi 'takut'. Melihat dan mengurus jenazah lain dikebumikan, bagaimanakah diri ini nanti ... Apakah benar-benar yakin bahawa mati itu suatu yang pasti ? Bagaimana agaknya nasib di padang mahsyar nanti ... suatu yang pasti kita akan hadapi nanti. Malangnya segalanya akan menjadi terlalu lewat apabila setelah di 'sana', baru tahu nasib kita ... Akhirnya, sorry for not having any majlis this year ( for kengkawan di Saujana Utama - sibuk sikit ). Thanks for being part of my life ... dan terimalah lagu berikut ...

KepadaMu Kekasih Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih
Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih
Aku serahkan
Jiwa dan raga Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini
Share:

Memperingati Kewafatan Rasulullah

Sekalipun 12 Rabiulawal telah berlalu, namun sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad atau Maulidur Rasul masih diadakan di sana-sini. Ambillah kesempatan sempena dengan sambutan ini untuk kita sama-sama menghitung diri kita sama ada sambutan maulidur rasul yang diadakan pada bulan yang lalu, hanya akan berlalu begitu sahaja atau pun sudah nampak disana perubahan pada diri kita dan masyarakat dalam sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan setiap apa yang dibawanya.

Jangan kita jadikan perayaan lalu hanya untuk menyambut dan memuja tubuh Rasulullah s.a.w sahaja sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Beliau telah menyembelih 100 ekor unta kerana kegembiraan di atas kelahiran Rasulullah s.a.w s.a.w. Tetapi akhirnya dialah yang menjadi penghalang dan penentang yang utama terhadap dakwah Rasulullah s.a.w sehingga adanya surah al-Lahab dalam al-Quran yang memberitahu kita semua bagaimana kecelakaan yang besar menimpa Abu Lahab dan isterinya kerana menolak dan mencerca dakwah suci Rasulullah s.a.w.

Kita juga tidak mahu segala sifat mulia Rasulullah s.a.w diketahui dan disebut oleh kita saban hari samada melalui pembacaan buku, pendengaran melalui kuliah atau pun sebutan dalam berzanji dan juga selawat tetapi sekadar menjadi pengetahuan sahaja tanpa ada di sana usaha ke arah mencontohi dan melaksanakan kewajipan yang disuruh. Kita tidak mahu menjadi seperti ahli kitab dari golongan Yahudi dan Krisitian yang mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri tetapi setelah kelahiran Rasulullah s.a.w s.a.w, merekalah yang menjadi musuh utama kepada dakwahnya. Oleh itu marilah kita hendaklah menjadikan sambutan maulidur rasul ialah untuk memuji kemulian tubuh dan sifat Rasulullah s.a.w dan juga untuk melaksanakan segala syariat yang dibawanya.

Dalam kita bergembira dengan mengingati kelahiran Rasulullah s.a.w pada bulan Rabiul Awal, janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam. Mungkin ramai yang tidak menyedari atau sering dilupakan iaitu tarikh 12 Rabiulawal juga adalah tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w. Rencana ini cuba sedikit sebanyak mengingati kembali beberapa peristiwa di sekitar kewafatan Rasulullah s.a.w.

Musim Haji tahun ke 10 Hijrah dikenali juga sebagai Haji Wada', iaitu Haji Perpisahan atau Haji Selamat Tinggal. Ini adalah kerana ia merupakan haji yang terakhir bagi Rasulullah s.a.w. Pada ketika inilah turunnya wahyu daripada Allah ( Surat Al-Maidah, ayat 3) yang bermaksud berikut: ‘Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu din ( agama ) kamu dan aku telah cukupkan nikmat Ku kepada kamu dan telah aku reda Islam itu menjadi din ( agama ) kamu’. Setelah itu turun malaikat Jibril a.s. dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.’

Setelah Rasulullah s.a.w mengumpulkan para sahabat, baginda pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: ’Agama kita telah sempuma. Agama kita telah sempurna.’ Tetapi apabila Abu Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar ra. menangis dari pagi hingga ke malam.

Kisah tentang Sayidina Abu Bakar menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Sayidina Abu Bakar dan mereka berkata: ’Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Sepatutnya kamu berasa gembira sebab agama kita telah sempuma.’ Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Sayidina Abu Bakar pun berkata: ”Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesualu perkara itu telah sempuma maka akan kelihatanlah akan kekurangannya.

Dengan turunnya ayat tersebut, ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri nabi menjadi janda.” Selelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Sayidina Abu Bakar, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus beritahu Rasulullah s.a.w. lentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat: ’Ya Rasulullah s.a.w, kami baru balik dari rumah Sayidina Abu Bakar dan kami mendapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau’. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Sayidina Abu Bakar.

Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Sayidina Abu Bakar maka Rasulullah s.a.w. melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya: ’Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?.’ Kemudian Sayidina Ali berkata: ’Ya Rasulullah s.a.w, Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?.’ Lalu Rasulullah s.a.w. berkata: ’Semua yang dikata oleh Abu Bakar r.a. adalah benar, dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat.’
Sebaik sahaja Sayidina Abu Bakar. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Sayidina Ali pula mengeletar seluruh tubuhnya. Para sahabat yang lain menangis dengan sekuat-kuat yang mereka mampu. Apabila berita turunnya ayat tersebut sampai pula kepada Sayidina Umar, beliau menangis. Rasulullah s.a.w bertanya, "Apakah yang menyebabkan engkau menangis, ya Umar ?". Sayidina Umar menjawab, ‘Kami masih mengharapkan adanya tambahan dalam agama kami dan sekiranya ia telah sampai kepada tingkatan yang sempurna, sesungguhnya bila sesuatu itu telah sempurna, maka kemudiannya akan berkuranganlah ia’. Rasulullah s.a.w menjawab, "Benar kata mu".

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah jika Islam telah sempurna dilengkapkan oleh Allah, bererti Rasulullah s.a.w yang membawa agama itu, tidak lama lagi akan berpisah dengan mereka kerana telah selesai tugasnya.

Memang benar apa yang dirasai oleh Sayidina Umar, kerana tidak lama selepas itu, iaitu pada bulan Safar 11H, Rasulullah s.a.w mulai jatuh sakit. Hari demi hari sakitnya semakin tenat, sehingga membimbangkan orang ramai. Apabila, Rasulullah s.a.w tidak dapat menghadirkan diri untuk bersembahyang jemaah disebabkan kesakitan yang amat sangat, baginda melantik Sayidina Abu Bakar memimpin solat menggantikan tempatnya. Orang ramai semakin bimbang dan mereka mulai berhimpun di sekeliling masjid yang memang terletak berhampiran dengan rumah Rasulullah s.a.w.

Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui hal kebimbangan orang ramai, baginda keluar dari rumahnya dengan dibantu oleh Sayidina Ali dan Faizal Abbas menuju ke masjid untuk mententeramkan keadaan. Oleh kerana keadaannya yang sangat lemah, baginda duduk di tangga mimbar yang paling bawah dan memberikan ucapan. Antara kandungan ucapannya:

"Wahai manusia, aku mendengar bahawa kamu bimbang tentang kematian ku. Apakah ada Rasul yang kekal hidup selama-lamanya. Segala urusan dilaksanakan dengan izin Allah. Jika terlambat dalam sesuatu hal, jangan cuba mempercepatkannya. Allah tidak akan mempercepatkan sesuatu disebabkan seseorang. Barang siapa melawan Allah, nescaya Allah akan mengalahkannya Barang siapa menipu Allah, nescaya Allah membalasnya. Dengarlah, aku akan pergi dan kamu juga akan mengikuti aku nanti. Barang siapa yang mengingini datang kepada ku ( di Akhirat ) nanti, hendaklah ia mencegah lidah dan tangannya, kecuali kepada perkara yang sewajarnya ".

Pada suatu waktu yang lain, Rasulullah juga berucap, ‘Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. AKu adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi aku sebelum dituntut pada hari kiamat.”

Lantas bangkit ‘Ukasyah bin Muhshan dan mendakwa telah di pukol oleh Rasulullah s.a.w pada tulang rusuknya semasa Perang Badar. Rasulullah s.a.w merelakan dirinya untuk di qisas ( di balas ), lantas meminta Bilal mengambil tongkat baginda di rumah Fatimah. Ramai para sahabat, termasuk cucu baginda Hassan dan Hussin yang tampil merayu agar Rasulullah tidak diqisaskan, sebaliknya menawarkan diri untuk diqisas.

Namun Rasulullah menolak tawaran itu, sebaliknya berkata kepada ‘Ukasyah, ‘pukollah aku jika kamu mahu’. ‘Ukasyah berkata, ‘Rasulullah memukulku ketika daku tidak memakai baju’. Lantas Rasulullah membuka bajunya dan menangislah hadirin yang lain. Sebaik sahaja melihat tubuh Rasulullah s.a.w, ‘Ukasyah terus mencium dan memelok tuboh Rasulullah sambil berkata, ‘Aku tebus tuan dengan jiwaku, siapakah yang sanggup memukol tuan. Aku lakukan begini sebab aku hendak menyentuh badanmu denganabadanku ya Rasulullah yang dimuliakan Allah’. Lantas Rasulullah s.a.w berkata, ‘Sesiapa yang ingin lihat ahli syurga, inilah orangnya’.

Rasulullah s.a.w memiliki harta tujuh dinar ketika penyakitnya mulai terasa berat. Khuatir apabila baginda meninggal, harta masih di tangan, maka dimintanya supaya wang itu disedekahkan. Tetapi karena kesibukan mereka merawat dan mengurus selama sakitnya, sedangn penyakitnya masih terus memberat, mereka lupa melaksanakan perintah itu. Setelah hari minggunya sebelum hari wafatnya, ketika baru sedar dari pingsannya, Rasulullah s.a.w bertanya, ’Apa yang kamu lakukan dengan ( dinar ) itu ?. Aisyah menjawab, bahwa itu masih ada di tangannya. Rasulullah meminta supaya dibawakan wang tersebut. Apabila wang itu sudah diletakkan di tangan Rasulullah, baginda bersabda, ’Bagaimanakah jawab Muhammad kepada Tuhan, sekiranya ia menghadap Allah, sedang ini masih di tangannya’. Semua wang dinar itu kemudiannya disedekahkan kepada fakir-miskin di kalangan Muslimin.

Awal pagi Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 H, orang ramai melihat wajah keriangan Rasulullah s.a.w yang berdiri di jendela. Mereka menyangka Rasulullah s.a.w telah kembali pulih lalu beredar untuk melaksanakan aktiviti harian dengan perasaan gembira, tanpa menaruh syak apa yang akan terjadi ke atas diri Rasulullah s.a.w.

Rupa-rupanya kehendak Allah telah sampai dan sakit Rasulullah s.a.w datang lagi sehingga baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir, berlepas menuju kepada Allah yang kekal abadi di atas pangkuan Saydatina Aisyah. Suasana di rumah Rasulullah s.a.w bertukar menjadi agak kelam-kabut. Kedengaran tangisan orang ramai yang berada di rumah Rasulullah s.a.w.

Dalam pada itu berita tentang kewafatan Rasulullah s.a.w pun tersebar luas. Terdapat berbagai reaksi daripada orang ramai ketika itu. Ada yang tidak percaya dan ada yang tidak mahu mempercayainya. Ada yang diam membisu menahan perasaan dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Berlainan pula dengan Sayidina Umar. Dengan pedangnya yang terhunus, beliau keluar di khalayak ramai sambil membuat ancaman, ‘Barang siapa yang mengatakan bahawa Muhammad telah mati, akan aku potong lehernya’.

Terdapat berbagai pendapat berhubungan dengan sikap Sayidina Umar ketika itu. Ada yang mengatakan bahawa ia mengandungi hikmat iaitu ajaran Islam yang dibawa oleh Muhammad tetap tidak hilang kerana kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu seolah-olah Rasulullah s.a.w tidak mati. Ini adalah lantaran terdengarnya suara-suara di luar rumah Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa tidak perlu lagi solat, zakat dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w telah wafat. Ada para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Memang sesuatu yang amat sukar diterima jika seseorang yang dicintai telah pergi buat selama-lamanya. Apatah lagi yang pergi merupakan ayah dan ibu, pendidik, pembimbing, tempat rujukan, pejuang dan pemimpin yang banyak jasa selama hayatnya.

Bagaimanapun Sayidina Abu Bakar menerima berita kewafatan Rasulullah s.a.w dengan tenang dan tabah. Setelah menjenguk jenazah Rasulullah s.a.w, beliau keluar menemui orang ramai dan berucap. ‘Wahai manusia, barang siapa yang menyembah Muhammad, maka kini Muhammad telah mati. Barang siapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak mati’.

Seterusnya beliau membacakan firman Allah dari Surah Al-Imran ayat 144, yang bermaksud: ‘Muhammad itu adalah seorang Rasul yang telah datang sebelumnya Rasul-Rasul. Apakah jika ia mati atau terbunuh, kamu akan berbalik kedua tumit mu ke belakang. Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur’. Suasana mulai kembali reda dengan ucapan Sayidina Abu Bakar tadi. Sayidina Umar pula mengatakan kepada Sayidina Abu Bakar, bahawa dia seolah-olah tidak pernah mendengar akan ayat yang dibacakannya tadi.

Rasulullah s.a.w wafat ketika berusia 63 tahun. Sekalipun terdapat pertentangan pendapat berhubung dengan tarikh kewafatan Rasulullah s.a.w, namun tarikh 12 Rabiulawal 11H diterima umum.

Berbanding dengan sejarah hidup nabi dan rasul lain, sebenarnya sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w adalah yang paling lengkap tercatat dalam sejarah, sejak lahir hinggalah wafat. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa sehinggalah wafat kerana usia tuanya. Baginda tidak mati mengejut kerana penyakit tertentu, dibunuh orang atau gugur di medan perang. Ini memberikan gambaran. bahawa ajaran Islam yang dibawanya adalah lengkap dan sempurna, tiada suatu pun yang tertinggal dan semuanya telah disampaikan untuk dijadikan panduan asas dalam kehidupan seharian untuk seluruh manusia. Ini diperkuatkan lagi dengan turunnya ayat 3 Surah Al-Maidah, 82 hari sebelum kewafatannya.

Jika Rasulullah s.a.w mati mengejut atau dibunuh orang, seolah-olah ada ajaran Islam yang tidak sempat disampaikannya. Sabda Rasulullah s.a.w : ‘Aku tinggalkan kepada mu dua perkara, sekali-kali tidak akan tersesat jika kamu berpegang kepadanya, iaitu Kitab Allah ( Al-Quran ) dan Sunnah Nabi’. Inilah pusaka tinggalan Rasulullah s.a.w untuk kita, sebagai rujukan asas yang perlu dipatuhi untuk keselamatan kita di dunia dan akhirat.

Kita sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya mestilah sentiasa mengikut landasan dan syariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w tanpa mempertikaikannya. Pada waktu sunnah nabi dihina dan dicerca marilah kita sama-sama mempertahan dan menghidupkannya, walau pun apa yang berlaku. Sunnah yang terbesar ialah terdirinya khilafah islamiah itu sendiri. Jika nabi dan para sahabat serta pejuang selepas mereka bersusah payah sehingga mengorbankan harta dan nyawa dalam memastikan Islam tersebar, maka kita yang merasai kemanisan dan keadilan Islam hasil perjuangan suci mereka itu, janganlah merasa mudah dan tidak menghiraukan walau pun Islam diserang dari setiap penjuru.

Rujukan:
1. Tafsir Juzuk 6, Ahmad Sonhadji Mohd, Pustaka Al-Mizan, 1989, ms, 80.
2. Ihya Ulumiddin (B il. 6), Imam Ghazali, C.V. Fahzan, 1980, ms 308, 316-318.
3. Muhammad Pembina Umat, Naeem Siddiqi, Pustaka Salam, 1985, ms 325."
4. Qishashul Anbiya, NYH Hadiyah Salim,Bismi Publisher, 1981, ms 277.
5. Sejarah Hidup Muhammad, Muhammad HusainHaikal, Pustaka jaya, 1980
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.