Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Keropok Lekor Terengganu Pilihan

Apabila pulang ke kampong isteriku dI Besut atau berkunjung ke Terengganu, salah satu buah tangan yang sering tidak ketinggalan untuk dibeli dan dibawa balik ialah Kelopok Lekor. Kadang-kadang keropok keping yang kering pun tidak ketinggalan. Kalau keropok kering Pengkalan Setor kira terbaik, walaupun mahal sedikit. Tetapi selalunya tak payah beli kerana sering diberi atau hadiah daripada sedara mara di sana sebagai ole-ole untuk di bawa balik KL.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan laut dengan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji sahaja. Kesemua ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang seperti tali dan kemudiannya direbus di dalam periuk yang berisi air panas mendidih.

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan yang berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat daripada periuknya dan dicicah dengan sos cili. Tapi aku tak lalu makan yang sebegitu, sebaliknya suka yang telah digoreng.

Kalau ditanyakan mana hendak dapatkan keropok lekor terbaik tau yang paling sedap ? Sukar juga nak menjawabnya sebab itu kira selera memasing serta di mana lokasi anda berada dI Terengganu, khususnya di Kuala Terengganu. Sering terdengar keropok Losong yang tersohor daripada segi namanya, tetapi adakah yang tersedap ? Selera orang Terengganu tak sama dengan orang Pantai Barat.

Keropok Sukaramai
Selalunya jika balik kampong aku mengikuti Jalan Pantai daripada Bandaraya Kuala Terengganu. Menerusi jalan tersebut, akan mudah diperolehi kedai-kedai tepi jalan yang menjual keropok lekor.

Yang sering aku singgah ialah dI gerai Keropok Sukaramai di Mengabang Lekar. Pernah singgah untuk mencuba keropok di gerai-gerai lain yang berdekatan, khususnya apabila kelihatan terlalu ramai orang atau kenderaan yang berhenti singgah di gerai tersebut. Tetapi terasa berbeza rasanya.

Keropok Sukaramai juga yang terbaik mengikut selera kami. Selalunya selain membeli keropok, dapat juga melihat bagaimana proses pembuatan keropok lekor dilakukan di situ juga.

Kini mereka telah berkembang maju dan mesin-mesin mula digunakan bagi menghasilkan keropok lekor.

Malangnya gerai di sekitar Mengabang Lekar kebanyakannya tidak menyediakan meja atau tempat kalau nak menikmati keropok lekor yang telah digoreng. Jadi beli dan bawa balik sajalah, atau makan dalam perjalanan.

Cuma masa beli bebaru ni, rasanya sudah kurang menyengat. Tidak seperti dahulu. Adakah kerana sekarang sudah pakai mesin, atau pencipta resepinya sudah tiada atau berkait dengan hal hutang sebagaimana diceritakan di sini ( sila klik ).

Keropok Losong Kak Yah
Keropok Sukaramai terletak agak jauh daripada Bandar. Jika di Bandar, bolehlah singgah di sekitar Losong. Dikatakan keropok lekor berasal daripada Losong. Itu yang jenama Keropok Losong terus tersohor sejak dahulu lagi.

Di sana terdapat pelbagai gerai menjual keropok, sama ada beli untuk di bawa balik atau makan di situ. Yang sering aku singgah ialah kedai Keropok Losong Kak Yah.

Selain merasa keropok yang panas-panas baru digoreng, boleh order makanan atau minuman lain yang turut dijual di sini.

Mudah untuk singgah di sini kerana ia turut menyediakan ruang parking, walaupun hanya untuk beberapa kenderaan. Tapi jika tidak, perking aje di tepi jalan.

Keropok Lekor BTB
BTB adalah singkatan nama Bukit Tok Beng. Ia terletak I jalan antara Lapangan Terbang Kuala Terengganu dengan persimpangan jalan Jambatan Kuala Terengganu-Seberang Takir.

Ada yang mengatakan keropok BTB merupakan yang paling sedap. Masakan tidak ? Disebabkan permintaan yang terlalu tinggi, untuk mendapatkannya terpaksa ambil nombor giliran.

Apabila nombor dipanggil, barulah kita dipanggil untuk menyatakan berapa kuantiti yang hendak dibeli.

Memang tidak dinafikan rasanya yang sedap. Tidak tahulah apa rahsianya. Cuma jarang memperolehi disebabkan masa menunggu yang lama. Aku cuma pernah beberapa kali berjaya mendapatkannya apabila lalu di hadapan kedai tersebut, nampak lengang dan tidak ramai atau banyak kenderaan yang parking bagi menunggu giliran.

Di sinipun boleh melibat bagaimana proses penghasilan keropok lekor dilakukan. Yang menarik perhatian ialah api besar yang kelihatan digunakan bagi merebus keropok lekor.

Tempat Lain
Mungkin ada banyak lagi tempat lain, tetapi aku tidak biasa. Sama ada bukan dalam laluan perjalanan pulang ke kampong atau ke bandaraya Kuala Terengganu. Dalam Pasar Payang pun ada.

Di Besut khususnya antara Kg Raya dengan Pengkalan Nyireh atau Kuala Besut pun ada lokasi deretan gerai menjual keropok lekor, siap claim Kerokok Losong Asli lagi. Namun rasanya tidaklah setanding dengan tiga kedai yang aku sebutkan di atas. Tetapi jika sekadar nak merasa atau makan keropok lekor tu, bolehlah juga.

Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, sekiranya keropok lekor hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat air batu alam peti ais bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampur sedikit garam. Sekiranya tidak, keropok lekor akan berasa tawar.



Share:

Falsafah Dan Asal Usul Ketupat

Apabila aku tiba di kampong rumah kediaman bondaku bagi meraikan Aidil itri 1434H, aku terasa teruja melihat ketupat yang telah masak dan masih dalam kelongsongnya. Aku kira sudah lama aku tidak berkesempatan untuk menganyam kelongsong ketupat dan pastinya skill menganyam kelongsong ketupat sudah hilang daripada diriku. Aku pelajari kaedah menganyam ketupat sejak di bangku sekolah menengah dengan harga yang mahal sekali. Maksudku, aku bersama kawan-kawanku telah menyebabkan gondol pokok-pokok kelapa di sekolahku sebab daunya kami gunakan untuk menganyam ketupat. Akibatnya kami semua kena rotan dengan Pengetua masa itu !!!

Memang sukar nak menganyam ketupat. Pernah aku cuba ajar kepada anak-anakku, tapi tidak berjaya. Sudahlah setahun sekali, belum sempat berjaya akupun sudah jadi lupa. Tidak hairanlah kalau suatu masa nanti, ketupat dalam kelengsong yang dianyam akan pupus. Tambah lagi alternatiffnya telah ada, ketupat segera yang kulit luarnya adalah plastik dengan bau pandannya. Kesusahan menganyam ketupat dikaitkan dengan pengertian ketupat itu sendiri yang dikatakan mencerminkan berbagai macam kesalahan manusia.

Apa signifikennya ketupat pada 1 Syawal. Kalau kita berkunjung ziarah kerumah-rumah di kampong kini pun jarang sekali dihidangkan ketupat. Tetapi selalunya menjadi hidangan kalangan keluarga sahaja. Mungkin kos lauk pauk yang mengiringinya telah mahal pada hari ini. Kalau jamuan raya di pejabat atau open house, ia menjadi suatu kemestian pulak.

Namun demikian, terdapat juga beberapa jenis ketupat di Malaysia. Nasi impit dan ketupat telah jadi begitu sinonim. Kalau makan sate atau lontong, ketupat atau nasi impit merupakan bahan utamanya. Siap ada nama ketupat sate yang kelihatan simple sahaja.

Ada juga juga ketupat lepat dengan isi pulut manisnya. Kalau di Pantai Timur masih popular dengan ketupat daun palas. Yang digorengpun sedap boleh tahan walaupun dimakan begitu saja. Adatu pulak ketupat sotong, iaitu sotong yang direbus dan disumbat dengan pulut.

Asal-Usul Ketupat
Terfikir pulak tahun ini persoalan ini sedangkan ia telah lama merupakan hidangan special Hari Raya. Lihat daripada internet, nampaknya ketupat di Malaysia berasal dari Indonesia. Harap mereka cepat mempatenkan, nanti gaduh lagi kalau orang Malaysia dakwa ketupat merupakan budaya asli Malaysia.

Hidangan ketupat dikatakan berasal dari saat Islam masuk ke tanah Jawa. Masyarakat Jawa mempercayai Sunan Kalijaga yang pertama kali memperkenalkan ketupat. Kata “ketupat” atau “kupat” berasal dari kata bahasa Jawa “ngaku lepat” yang berarti “mengakui kesalahan”. Lantaran itu, saling betukar-tukar ketupat melalui tradisi ‘munjung’ atau berkunjung adalah sebagai lambang ingatan, silaturrahim, mengakui kesalahan, saling permohonan maaf dan melupakan kesalahan dengan cara memakan ketupat tersebut.

Di kampong-kampung, ketupat masih dianyam sendiri. Namun di kawasan bandar dan yang sudah sulit untuk memperoleh daun kelapa muda, mereka lebih suka membeli kelongsong ketupat atau ketupat yang sudah dimasak.

Falsafah Pemakanan Ketupat
Banyak makna dan falsafah yang dikandung dalam makanan ketupat ini, walaupun ianya mengikut tradisi orang Jawa.

a. Bungkus yang dibuat dari daun kelapa muda yang masih kuning dikatakan melambangkan penolak bala

b. Bentuk segi empat mencerminkan prinsip “kiblat papat lima pancer”, yang bermakna bahwa ke mana pun manusia menuju, pasti selalu kembali kepada Allah.

c. Selain memberikan makna rumitnya anyaman bungkus ketupat yang mencerminkan berbagai macam kesalahan manusia, sedangkan warna putih ketupat ketika dibelah dua mencerminkan kebersihan dan kesucian setelah mohon ampun dari kesalahan.

d. Beras sebagai isi ketupat diharapkan menjadi lambang kebersamaan dan kemakmuran setelah hari raya.

e. Sebahagian masyarakat Jawa percaya bahawa KUPAT berasal dari perkataan dalam bahasa Jawa; KULO LEPAT, yang bererti 'Aku Lupa'. Yakni, kita mengakui kitalah hamba Allah yang sering lupa dan tidak luput dari khilaf dan salah. Oleh itu, jadilah ia satu tradisi pada 1 Syawal kita saling bermaaf-maafan sesama keluarga dan kenalan.

f. Ketupat terdiri dari nasi yang dibungkus dalam anyaman unik daun kelapa muda atau dipanggil 'Janur' dalam bahasa Jawa. Nasi adalah makanan ruji orang Asia yang menjadi simbol kepada 'nafsu dunia'. Manakala JANUR dalam budaya Jawa berasal dari perkataan 'Jatining Nur' bermaksud 'sejatinya nur', iaitu hati nurani. Jadi ketupat secara simbolik dari nafsu dunia yang dapat ditutupi oleh anyaman rapat hati nurani supaya ia tidak terlepas merosak manusia.

g. Orang tua-tua dahulu, bagi mengalakkan anak-anak mereka belajar menganyam ketupat, mereka dikatakan tidak akan dibenarkan kawin selagi tidak pandai menganyam ketupat. … ha X 3

Ujian Kesabaran
Menyediakan ketupat secara tradisional memang menguji kesabaran. Bermula daripada hendak mendapatkan daun muda atau 'janur'. Kemudian dengan penuh tekun pula menganyamnya satu demi satu. Lepas itu diisi dengan beras dalam setiap kelongsong ketupat yang masih kosong.

Akhirnya dengan penuh sabor juga, memasaknya berjam-jam hingga sampai 4-5jam. Dalam zaman yang hendak cepat seperti sekarang, semuanya tidak main nak sabor-sabor lagi. Ketupat sarung plastik juga menjadi pilihan.

Malahan kini telah ada ketupat palas dan lemang dalam bentuk paket sarung plastik. Kalau selepas ini tak nampak lagi kelongsong ketupat dauk kelapa, buluh lemang atau ketupat daun palas mungkin akan menerima nasib yang sama di mana orang tidak lagi nampak bagaiamana ianaya dimasak.
Share:

Muzium Lombong Sungai Lembing

Lombong Sungai Lembing dahulu pernah dikenali sebagai sebuah tempat pengeluaran bijih timah yang utama di negeri Pahang Darul Makmur. Malah ia pernah menjadi tempat perlombongan bijih timah yang kedua terbesar didunia selepas Bolivia. Ini menjadikan Sungai Lembing sebagai sebuah bandar yang kaya dengan pengeluaran bijih timah, sehinggalah aktiviti perlombongan dihenti dan lombong ditutup pada tahun 1986.

Kini bandar Sungai Lembing kelihatan ‘uzur’ dan sekadar menjadi tarikan pelancong untuk melihat bagaimana aktiviti perlombongan pernah dilakukan di Sungai Lembing di Muzium Sungai Lembing. Tarikan terbaru ialah masuk terowong dan merasai sendiri bagaimana perlombongan bawah tanah pernah dilakukan di sana.

Aku berkesempatan ke sana pada 7 Julai 2013 setelah sekian lama berharap untuk sampai ke sana. Bandar Sg Lembing terletak kira-kira 40km dari bandar Kuantan. Kalau keluar daripada Plaza Tol LPT Kuantan, belok kanan dipersimpangan selepas bayar tol dan terus sahaja. Sekali lalu memasuki bandar ini macam bandar koboi saja. Kelihatan banyak bangunannya lama dan kelihatan uzur. Malah kelihatan banyak rumah yang kosong macam telah ditinggalkan penghuninya.

Muzium Sg Lembing
Muzium ini mula dibuka pada tahun 2003. Bangunan yang digunakan untuk dijadikan muzium tersebut merupakan rumah pengurus syarikat perlombongan di sana.

Ia terletak di atas bukit dan untuk ke sana, kenalah parking kererta di bawah dan mendaki untuk sampai ke bangunan Muzium Sg Lembing. Tiada bayaran masuk dikenakan.

Agak menarik susunan dan aturan bahan pameran walaupun agak banyak bahan yang hendak di pamerkan. Bersih dan sangat berinformasi.

Selain daripada penceritaan sejarah pembukaan aktiviti perlombongan bijih timah di Sg Lembing turut dipaparkan bagaimana aktiviti perlombongan dilakukan, kehidupan pelombong, hasil bijih yang dilombong serta kegunaan bijih timah.

Memang agak menakjubkan dan begitu mengujakan. Sg Lembing suatu ketika dahulu memberikan sumbangan yang besar terhadap ekonomi dan industri timah dunia. Bilangan pengunjung pun boleh tahan, tidak putus-putus menerima kunjungan, termasuk dari luar negara.

Aku kira kira-kira satu jam aku menghabiskan masa dalam bangunan muzium, diikuti dengan beberapa bahan di luar bangunan seperti kenderaan dan peralatan perlombongan.

Terowong Sg Lembing
Kemudian kami menyurusi turun untuk beredar pula ke pintu masuk terowong dalam tanah yang terletak kira-kira 1 km daripada pintu masuk muzium. Jalan kaki tidak sampai, tambahan kena menaikki bukit.

Apa yang mengujakan untuk di lawati, torowong di sini dikatakan terowong untuk lombong timah yang terbesar, terpanjang dan terdalam di dunia. Mungkin masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengetahuinya, termasuklah aku sebelum ini. Atau rekod ini tidak begitu penting berbanding rekod-rekod lain seperti manusia terkaya, ratu cantik atau pemain bolasepak termahal ?

Nak masuk kena beli tiket. Ketika aku kesana, harga promosi diskaun 50%. Kalau biasa RM30 untuk dewasa, jadi aku bayar RM15 sahaja. Terasa mahal juga. Untuk warga emas, 60 tahun ke atas, ada diskaun lagi. Jadi cuma RM 7.50 sahaja.

Perjalanan bermula dengan menaikki gerabak keretapi kecil, siap dengan railnya sekali. Ingatkan jauh perjalanan, rupanya hanya memasuki terowong kira-kira 80meter panjangnya, kemudianya kami dikehendaki turun berjalan.

Tetapi suasana dalam terowong agak sejuk dan basah. Keadaan basah disebabkan air bukit yang sentiasa mengalir keluar.

Kehadiran lampu-lampu menerangi keadaan terowong yang tentunya gelap tanpanya. Sesekali terddapat patung-patung pelombong dan signboard penerangan. Nampak di beberapa kawasan, lubang terowong diperkuatkan dengan binaan konkrit, mungmin mengelakkan keruntuhan.

Namun terdapat juga keadaan dinding terowong yang asli dipaparkan. Terbayang aku bagaimanakah manusia dahulu mengorek lubang hingga menjadi terowong bagi mendapatkan bijih timah ?

Lubang Sejuta Ringgit
Jalan punya jalan tiba di suatu kawasan yang dipanggil Lubang Sejuta Ringgit. Kenapa dipanggil demikian ? Terdapat video yang menceritakan mengapa. Ia berkait rapat dengan saat-saat kemerosotan perlombongan bijih timah. Dimana akibat pengeluaran yang merosot dan tidak ekonomik untuk diusahakan, ramai pekerja mulai hilang sumber pencarian kerana syarikat perlombongan tidak membayar gaji pekerjanya.

Namun sekumpulan pekerja secara rahsia telah secara nekad menyeludup masuk dan melakukan aktiviti perlombongan untuk beberapa bulan. Hasil yang berjaya dikeluarkan dikatakan berjumlah kira-kira Sejuta Ringgit. Sehingga sekarang, mereka yang terlibat dengan aktiviti ini masih belum diketahui.

Simulasi Lif
Lif ini cuba mengambarkan bagaimana ianya digunakan masa dahulu. Mungkin tidaklah macam kebanyakan lif bangunan zaman moden sekarang ini. Bersesak kira-kira 10 orang masuk dalam sesuatu masa selama kira-kira 10 minit.

Namun tiadalah yang menarik sangat. Tak begitu terasa seolah-olah lif bergerak, walaupun cuba digambarkan menerusi skrin TV yang terdapat di dinding lif berkenaan.

Naik dan turun ke simulasi lif memerlukan kita naik ddan turun tangga. Namun disediakan juga pengangkutan yang ala-ala digunakan oleh pelombong ketika dahulu.

Kepenatan
Menyusuri laluan terowong walaupun sejuk, tetapi memenatkan. Mungkin dalam terowong ini tidak sesuai untuk OKU, orang tua atau yang menghadapi masalah berjala jauh termasuk naik turun bukit.

Terdapat sign board yang melarang mereka yang menghidap asma untuk masuk. Mungkin sebab kurang oksigen di dalam terowong. Keluar daripada kawasan terowong, terdapat beberapa kedai menjual pelbagai cenderahati serta makanan ringan.

Aku terus ke kenderaanku untuk pulang. Penat tetapi puas hati. Tapi kalau rega tiket tadi RM30 ?
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.