Hari 23 ( Khamis 12 Nov / 24 Zulkaedah )
Bangkit 12.30 malam, tetapi macam nak demam dan apabila mandi air panas terasa begitu segar. Hari ini buat umrah untuk kali yang ke-10 dan aku niatkan untuk pak mertuaku yang sering ku panggil Ayoh atau Tok Ki.
Dalam van semasa perjalanan dari Tanaim ke MH, apabila aku bertalbiah, tiada yang menyambutnya atau menyambungnya. Kenapa ? Sombongnya ! Ke suara aku yang tak sedap atau salah lafadz sebutanku. Jadi sorang-sorang ajelah.
Walaupun orang memang ramai awal pagi tersebut, namun dapat aku selesaikan tawaf dan saie ku pada jam 4.00 pagi. Aku rasa badanku semakin panas dan tidak begitu selesa. Mulanya aku pergi ke Klinik selepas zuhor, tetapi rupanya ditutup.
Selepas Isyak baru aku temui doktor di Klinik Rawatan Maktab 77. Doktor tu kata, kena sentiasa pakai mask walaupun di masjid, sebab debu akibat kerja-kerja pembangunan dan pembesaran MH. Doktor juga chek tekanan darahku, ok katanya.
Demam
Memang aku sering batuk-batuk sehingga kekadang sakit perutku. Kata orang itu syarat sah mengerjakan haji di Mekah. Tak batuk-batuk tidak sah. Tapi apabila aku katakan yang aku rasa demam dan pening kepalaku ialah disebabkan melihat gelagat manusia di MH, doktor tu barangkali tidak memahami maksudku. Lantas diberinya ubat demam selsema, batuk dan antibiotik. Tak dapat pulak surat mc untuk skip ibadah di MH .. ha ! ha !
Memang aku pening melihat gelagat orang di MH. Apakah ku perlu buat tidak tahu ? Jangan ambil kisah hal percampuran lelaki wanita dalam saf. Jangan hirau saf yang terputus-putus ? Biarkah jemaah lain yang mementingkan diri mereka sendiri, biarkan arah kiblat mereka nak menghadap ke mana pun. Ikut sukalah.
Aku kira percampuran ini disebabkan tiada ruangan khusus dan jelas untuk memisahkan antara jemaah lelaki dan wanita. Manakala jemaah pula enggan berpisah dengan pasangan atau serta kumpulannya, bimbangkan keselamatan, takut tersesat serta payah nak jumpa semula untuk pulang ke tempat penginapan masing-masing.
Di Madinah dengan caranya, tetapi di MH lain pulak fesyennya. Antara yang memeningkan kepalaku melihat gelagat jemaah dalam MH ialah bagaimana saf mereka. Memang specialnya saf di Kaabah ialah mereka membulat menghadap pusat Kaabah. Ini berbeza dengan tempat lain, yang mana safnya lurus. Namun pihak masjid ada menyediakan beberapa tanda atau panduan tertentu, khususnya garisan bagi membina syaf. Cuba bayangkan, Kaabah depan mata. Garisan sebagai penunjuk arah Kiblat disedia, tetapi ramai juga yang menyimpang.
Apa yang susahnya aduhai umat Islam … memeningkan kepala aku sahaja. Kekadang sebelum solat tu aku tegur juga jemaah di hadapanku atau kiri kananku agar berada dalam syaf. Biasanya sama ada aku betulkan sejadah yang dibawa atau tunjukkan tanda garisan yang ada dan seterusnya tunjukkan tanda arah kiblat dengan tanganku. Nak bercakap, tak faham pulak mereka dengan bahasa jawaku.
Namun tidak dinafikan, sesetengah kawasan, tanda garisan arah kiblat tu tidak selari dengan petak-petak lantai marmar. Tetapi pandai-pandailah kita memikirkannya, macam tak pernah solat jemaah aje … . Ini sekadar contoh dari ratusan malah mungkin ribuan yang berlaku.
Pembangunan Semula Mekah
Sebelum sampai Mekah, memang banyak didengar cerita orang yang ke sini serta dalam internet, tentang pembangunan semula Bandar Mekah di sekitar Masjidil Haram sehingga menjadi Intelligent City.
Banyak hotel-hotel di sekitar Masjidil Haram telah dirobohkan dan dibangunkan semula dengan hotel dan bangunan yang baru dan lebih tersusun. Aku percaya yang pembangunan semula ini antara lain adalah untuk memberikan keselesaan kepada jemaah yang semakin ramai khususnya ketika musim haji dan Ramadhan.
Petang hari ini aku sempat meninjau-ninjau kawasan yang sedang dibangunkan. Sebenarnya memang sering kelihatan sekiranya masuk MH menerusi pintu Fath. 24 jam jentera pemecah batu bekerja. Dahsyat sungguh. Itu yang digalakkan pakai ‘mask’, sebab habuk daripada kerja-kerja tersebut.
Semasa aku ke sana, terpampang perkataan ‘415 day to completion’ di billboard yang memaparkan gambaran rupa sekitar MH apabila siap nanti. Wah, nampak hebat.
Tetapi yang menariknya ialah salah seorang anggota panel arkitek pembinaan ini ialah seorang raykat Malaysia iaitu Prof Dr Ismawi Zen. Beliau bersama-sama dengan beberapa pakar luar negara yang lain akan menilai pembinaan serta pembesaran semula MH dan membawa cadangan pembesaran Masjidil Haram untuk diperakui oleh Raja Abdullah al-Saud.
Hari 24 ( Jumaat 13 Nov / 25 Zulkaedah )
Tiada umrah hari ini, berehat lagi. Lagi pun masih terasa kurang sihat. Tapi tetap ke MH awal pagi. Namun terfikir oleh ku. Segala amalan, segala doa, segala ratapan, rintihan dan rayuanku, apakah hasilnya. Sejauh mana doa-doa serta amalanku sepanjang kunjungan aku ke Tanah Suci Mekah dan Madinah di terima Allah ? Apakah demam serta batuk-batuk yang aku hadapi ini sebagai natijah.
Solat Jumaat hari ini memang jelas semakin ramai orang yang hadir. Masalahnya apabila sampai di pintu masuk MH, jemaah suka buat saf di situ hingga menyebabkan jemaah lain ingat dah penuh, lantas ikut sambung saf di situ. AKu yang selalu masuk mengikut pintu keluar Bukit Marwah tersangkut sebab orang suka buat saf di situ.
Ini menyukarkan kita hendak ke hadapan yang aku yakini masih banyak ruang kosong, khususnya di hadapan Kaabah kerana cahaya matahari yang terik. Lantas aku naik ke tingkat atas sekali iaitu, atas bumbung. Juga masih kosong.
Agak menarik juga gelagat jemaah yang mencari tempat berteduh. Sehingga bayang-bayang tiang lampu yang sedikit itu pun dijadikan tempat berteduh. Apakah ini gambaran, bagaimanakah kita hendak mencari tempat berteduh daripada kepanasan di padang Mahsyar nanti ?
Melompat Hijir Ismail
Sebaik solat jumaat, aku lihat ramai seperti VIP solat dalam kawasan Hijir Ismail yang sememangnya ditutup sebelum solat Jumaat. Juga kelihatan beberapa mayat di atas lantai yang baru disolatkan.
Sebaik sahaja Hijir Ismail dibuka semula, aku lihat ramai yang melompat naik kepenghadang Hijir Ismail tu. Rupanya mereka memang menunggu peluang. Berdasarkan pakaian, mungkin jemaah dari Afrika. Polis yang bertugas nampaknya bukan main marah, lantas menyuruh mereka keluar semula dari tempat dimana mereka melompat masuk.
Bermunajat Di Hadapan Kaabah
Keistimewaan memandang Kaabah ialah tidak timbul langsung rasa jemu memandangnya. Hal ini aku kongsi bersama dengan seorang ahli perniagaan India yang sempat berbual denganku pada suatu petang, ketika aku sedang memerhati Kaabah dan melihat gelagat manusia yang sedang tawaf.
Memandang Kaabah tidak sama dengan pengalaman aku memandang New York World Trade Centre, juga tidak sama dengan memandang Petronas Twin Tower ataupun Singapore Flyer. Memandang Kaabah mengingatkan kepada sejarah pembinaannya yang bermula sejak zaman Nabi Adam lagi. Kaabah adalah Baitullah, iaitu Rumah Allah, walaupun tidak bermaksud di dalamnya Allah tinggal. Tetapi Allah yang memandu manusia menerusi perantaraan Jibrail bagaimana membina, menjaga dan memeliharanya.
Memandang Kaabah sahaja sudah mendapat pahala. Sama ada secara langsung ataupun dikatakan juga gambar-gambar kaabah. Ramai yang ambil kesempatan duduk di tangga sambil berdoa, bermunajat atau sekadar merenung memandang kaabah.
Aku pula rasa tidak puas hati kalau ke MH, duduk di saf yang terlindung pemandanganku dengan Kaabah. Tak nampak semua, nampak sikitpun jadilah. Sambil-sambil mengaji, sesekali merehatkan mata dengan memandang Kaabah. Terasa puas dan nikmatnya.
Pelbagai gaya manusia bermunajat di hadapan Kaabah, sama ada secara berdiri dan duduk. Semuanya mengharapkan agar Allah memperkenankan segala permohonan, mengampunkan segala dosa, meluaskan pintu rezeki, memberikan keselamatan dunia dan akhirat serta dimasukkan ke dalam syurga.
1 Komen:
Tertarik dengan pembangunan semula kawasan MH...semoga dapat memberi keselesaan kepada para jemaah pada masa akan datang....
Post a Comment