Hari 5 ( Ahad 25 Okt / 6 Zulkaedah )
Bentuk saf dan kesepaduan ummah
Semakin hari orang semakin ramai hadir ke Masjid Nabawi. Ini kerana setiap hari ramai bakal jemaah yang baru tiba dari negara masing-masing. Suboh, zuhur, asar, maghrib dan isyak, tak nampak bezanya. Orang tetap ramai. Walaupun susunan karpet dalam Masjid Nabawi agak teratur dan mempunyai tanda yang boleh digunakan untuk membina saf supaya lurus serta menentukan jarak antara sesuatu saf, namun hakikatnya tidak begitu digunakan sepenuhnya.
Kekadang tu ada yang membena saf baru diantara saf, terutamanya beberapa saf-saf yang di hadapan. Akibatnya saf jadi tak sempurna, bengkang bengkok dan terputus. Memang tidak dapat dinafikan, setiap kali kita datang awal dan duduk dikedudukan saf yang dirasakan strategik, namun itu bukan suatu jaminan untuk berkekalan. Akan ada orang yang cuba menyelit masuk menjadikan aku yang dikira berbadan agak kecik ni terhimpit ketika solat.
Sedang tanda garisan telah ada pun masih tidak lurus saf. Ada yang tumitnya di atas garisan, ada yang dibelakang dan ada yang di hadapan. Argh ! Payah benar. Apakah ini menandakan betapa sukarnya membentuk perpaduan ummah di kalangan umat Islam ketika ini ? Macam tidak biasa solat berjemaah di negara masing-masing aje. Bagaimana keutamaan atau fadhilat solat jemaah yang dilakukan dalam keadaan saf yang sedemikian ?
Malahan sebelum asar hari ini, aku agak terlewat ke masjid. Aku keluar bilik ketika azan asar berkumandang. Aku lihat ramai jemaah yang memenuhi saf berhampiran pintu-pintu masuk. Aku teruskan perjalanan ke hadapan, rupanya masih banyak saf serta ruang kosong. Apabila mula solat, maka berlakulah kelompok-kelompok saf yang terpisah antara satu sama lain.
Pengurusan kasut
Mungkin agak pelik bunyinya. Namun perkara ini selalu dipesan oleh mereka yang telah pergi ke sini. Bayangkan jika beratus ribu manusia hadir ke masjid, beratus ribu pasang juga kasut atau selipar ke masjid. Bagaimana hendak memastikan kita pergi dan pulang ke masjid dengan kasut atau selipar yang sama ? Namun perkara ini selalu dipesan oleh mereka yang telah pergi ke sini.
Malahan pelbagai bentuk karung sumbangan diterima oleh jemaah TH untuk digunakan sebagai tempat simpan kasut. Karung tersebut dituliskan nama atau tanda tertentu, dimasukkan kasut dan kemudian diletakkan di rak yang disediakan dalam atau di luar masjid. Kes selalunya juga bukan kasut yang hilang, tetapi ingat dimana ianya diletakkan masa kita datang.
Yang penting kena ingat dimana diletakkan. Maklumlah masjid besar dan rak kasut banyak, walaupun ada nombornya. Kekadang boleh lupa nombor. Sebab itu aku selalu letak di rak yang sama setiap kali ke masjid.
Tapi masih ada yang tak pandai nak buat perkara ini. Kehulu hilir membawa kasut atau selipar. Kadang tu di letakkan di hadapan tempat sujud. Ini mengganggu orang di hadapan kerana terkena kasut tersebut sehingga menyebabkan beralih kedudukan yang menyebabkan saf tidak lurus. Itu belum kisah kalau-kalau ada najis padanya ...
Sebenarnya apabila kita letakkan kasut di tempatnya yang betul dan tersusun, kita pun senang dan tenteram sikit daripada memikirkan dimana kasut, hilang ke tidak, bimbang tersalah ambil oleh orang lain. Pihak masjid pun tidak menjadi bebanan untuk membuat sesuatu sebelum memasukkan kasut-kasut yang tertinggal ke bakul sampah.
Air ZamZam
Kalau di Malaysia payah dan mahal kos mendapatkan air zamzam. Bila berkunjung ke rumah orang yang baru balik menunaikan haji, dituangkan air zamzam dalam cawan atau gelas kecik aje. Lalu dikatanya, kalau nak minun banyak-banyak pergilah ke Mekah … ha ! ha ! Diketahui ramai tentang khasiat air zamzam ini. Kita disunatkan memperbanyakkan doa ketika meminum air zamzam dan meminta apa sahaja melalui doa yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah. Terdapat hadis menyebutkan, ‘Meminum air zamzam akan menghasilkan maksud yang dihajati’ ( H.R Al-Hakim & Abu Dar Qutniy ).
Tetapi di sini kira tidak putus-putus bekalan walaupun setahu kita, air zamzam puncanya dari Mekah. Tidak pasti, apakah bekalan ini disalurkan menerusi paip terus dari Mekah atau ada kontena yang mengangkutnya setiap hari ? Tapi kalau diangkut dengan kontena, berlori-lorilah setiap hari bekalan sampai, sedangkan air ini diberikan percuma ?
Dalam masjid, air tersebut diletakkan dalam tong khas yang disediakan dilokasi tertentu. Cawan plastik disediakan dan disusun di tempat khas. Juga disediakan tempat untuk kita letakkan cawan yang telah digunakan, supaya mudah pekerja masjid mengutip dan menggantikan dengan cawan yang baru. Namun ada juga yang membawa bekas atau botol kecil, lantas diisikan dengan air zamzam untuk di bawa pulang ke hotel. Itu tidak menjadi kesalahan nampaknya.
Tetapi untuk kuantiti yang banyak, sesi khas ada dilakukan di luar bangunan masjid. Di sana, orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan air zamzam, tetapi limit kepada dua tong besar sahaja.
Berkemas ?
Walaupun hari Khamis baru nak bertolak ke Mekah, aku dan isteriku mulai mengemas bag untuk buat anggaran sebanyak mana yang mampu di bawa ke Mekah dan sebanyak mana pula yang nak di poskan ke Malaysia. Aku mulanya berkira tak perlu pos, sebab masa datang dulu berat bag kami berdua baru 32 kkg. Sedangkan dibenarkan bawa barang masa balik Malaysia nanti ialah 60 kg. Ada banyak lagi.
Rupanya tidak, nampak gaya kena poskan juga sebahagian. Banyak juga barang yang telah dibeli di Madinah kerana menurut rakan isteriku yang pernah ke sini, ‘kalau nak shopping, elok di Madinah. Di Mekah agak mahal sikit’, entahlah !! Tapi isteriku ini jenis orang yang nampak dan berkenan aje terus beli, tak mahu tangguh-tangguh atau servey dulu.
Hari 6 ( Isnin 26 Nov / 7 Zulkaedah )
Jemu Makan ?
TH menyediakan makanan dua kali sehari, iaitu makan tengahari dan malam. Makanan ini dipek khas dan diedarkan antara jam 11 hingga 2.30 petang untuk makan tengahari dan 5 hingga 9.30 malam untuk makan malam. Sarapan kena cari sendiri.
Entah kenapa aku mulai jemu dengan makanan yang dihidangkan oleh TH. Memang pelik sikit masakkannya. Nak kata masakan arab, tidak juga. Nasinya macam pulut aje. Tapi aku takde nak komen sangat, makan ajelah sekadar alas perut. Tetapi kalau isteriku tak habis makan, aku juga yang menghabiskannya … ha ! ha !
Tetapi buah-buahan di sini manis-manis. Kalau buah epal yang dimport dari China tu, memang rangup dan manis. Sedangkan kalau di Malaysia, yang import dari New Zealand dan Australia aje yang manis. Begitu juga buah lai, tetapi agak mahal sikit dijual di kedai berbanding buah epal. Buah lain sekilo SR8 – SR10, berbandung buah epal SR6 – SR8 sekilo. Terbalik dengan di Malaysia.
Atas nasihat doktor, aku belilah susu segar serta oren juice. Tapi aku rasa kandungan gula dalam juice oren tu sangat tinggi. Minuman berkarbonat jenama pepsi dan mirinda nampak popular dan banyak dijual. Tak nampak pulak Mecca Cola.
Sesekali cuba beli roti canai. Alamak bukan main besar walaupun reganya Cuma SR1. Tetapi kuahnya yang mahal. Kuah dal saja semangkuk sudah SR3, manakala kalau ayam SR 7 – SR8 semangkuk. Bukan besar mangkuk, sedang-sedang aje.
Sesekali sarapan dengan donut yang dibeli di Donout House. Sedap rasanya, tetapi sekeping SR3 !! Sebenarnya memang ada jualan nasi lemak, nasi goreng or nasi kerabu di bawah hotel. Tapi mahal sangat. Sikit aje dalam pek plastik, sudah SR3 !!! Lagipun pernah rasa, tak sedap ...
Upah Doa Di Rawdah
Antara zuhor dan asar hari ini aku cuba masuk ke Rawdah. Seorang lelaki tua Indonesia bertanyakan aku di mana Rawdah. Lalu aku ajaknya mengikutiku. Dalam perjalanan dia minta aku sampaikan hajat sambil mengeluarkan sekeping kertas dari poketnya berserta dengan note Saudi Rial. Apa pulak nie, kata hatiku. Aku katakan, ‘takpe pak, bapak doalah sendiri, saya tolong tunjukkan tempatnya’.
Sampai berdekatan Rawdah, kami berjaya masuk walaupun terpaksa menunggu. Tetapi lepas aku selesaikan ‘hajatku’ di Rawdah, lelaki tadi sudah tidak kelihatan. Tidak pastilah sama ada beliau dapat berdoa di Rawdah. Mengapa perlu nak ‘kirim atau upah’ lagi, sedangkan dia boleh buat sendiri ?
Tetapi ketika itu kedengaran tangisan dan ratapan dari sebelah wanita. Peluang ke Rawdah bagi jemaah wanita dibuka selepas suboh, selepas zuhor dan selepas isyak. Walaupun di balik tabir penghalang sementara yang dibina, namun agak hingar bingar bunyinya. Apakah perlu begitu sekali ? Atau apakah kelemahan diriku sendiri sehingga tidak mampu sampai ketahap begitu ?
1 Komen:
Entah-entah lelaki Indonesia tu malaikat nak uji kita nak ambil duit ke tak?
Post a Comment