Bertempat di Dewan Kantin SK Parit Kadir Senggarang, Sabtu 2 April 2011, aku menghadiri dan memberikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Parit Kadir Kali Ke-37. Berikut adalah ucapan perasmian yang aku sampaikan dalam majlis tersebut.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dipanjangkan usia dapat kita bersama dan dipertemukan dalam majlis ini. Mesyuaray Agung PIBG Kali Ke-37. Agaknya sudah lebih daripada 37 sekolah ini. Pada mulanya saya menerima panggilan daripada Tn YDP PIBG untuk berucap dalam majlis ini, agak terkejut juga. Nak cakap apa ? Maklumlah selalunya ucapan perasmian dilakukan oleh wakil rakyat atau wakil Pejabat Pelajaran Daerah.
Kalau wakil rakyat, lepas perasmian dia akan tinggalkan janji, kalau tak sumbang seribu ringgit, mungkin 2 ribu atau 3 ribu kalaupun tidak 10,000. Kalau saya, nak tinggalkan apa ? Mungkin kaedah yang baik juga, memanggil semula bekas murid sekolah ini bagi perasmian. Terasa agak gementar juga, maklumlah di hadapan saya ini merupakan pangkat abang kakak, ibu bapa, pakcik makcik, selain yang seusia dan pangkat adik. Mungkin ada yang pernah sekelas dengan saya di sini dahulu.
Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya kembali ke sekolah ini yang telah saya tinggal sejak tahun 1975. Pada ketika itu masih merupakan sekolah kayu atau papan beratapkan zink, tingkap pun jaring dawai. Bangunan utama sekolah sekarang pun ketika itu masih dalam peringkat awal pembinaan, piling serta cerucuk kayu bakau. Tapi sekarang dah ada macam-macam. Selalu juga nampak sekolah ini apabila datang ziatah ke rumah bapa saudara di sebelah sana, Che Sahri.
Saya pun tak pasti berapa ramai guru-guru yang mengajar saya ketika itu masih ada lagi. Masa tu Guru Besar adalah Arwah Cikgu Johari dan antara yang lain Cikgu Supanji, Cikgu Zaini dan agak terkejut yang Guru Besar Pertama iaitu Ckgu Adam masih ada lagi. Allah masih panjangkan usia beliau. Terima kasih tidak terhingga atas bantuan dan tunjuk ajar mereka, semoga di balas oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang setimpal.
Saya bersekolah di sekolah ini antara tahun 1970 hingga 1975, dari darjah satu hingga enam. Semasa sekolah dahulu kalau tidak dapat nombor satu, nombor dua. Hanya sekali dapat nombor tiga. Yang selau nombor satu ialah Dr Osman Warijo yang merasmikan Mesyuarat PIBG ini tahun lepas. Selalu berlawan dengan dia. Saya masih ingat ini sebab sering saya cerita dan ingatkan kepada anak-anak saya sebagai perangsang. Kad kemajuan pun masih ada sebagai bukti.
Dulu takde UPSR, tapi Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Masa Peperiksaan Darjah 5 tahun 1974 saya dapat keputusan 3A dan berpeluang ke sekolah berasrama penoh, SM Sains Johor di Kluang. Kalu di Pt Kadir dapat nombor satu dua, tapi di SM Sains Johor dapat nombor banyak. Tapi Dr Osman dia maintain. Lepas SPM 1980, saya mengikuti Kelas Matrikulasi UKM di SM Sains Melaka ( sekarang SM Muzafar Shah ), kemudian masuk UKM Bangi. Di UKM saya mengambil jurusan Sains Komputer yang merupakan jurusan yang sangat baru ketika itu. Mula tu nak ambil Doktor juga, tapi keputusan yang diperolehi tidak melayakkan.
Tamat belajar tahun 1986, tapi kebetulan masa itu krisis ekonomi dan agar sukar mendapat pekerjaan. Selalunya masa tu kalau sudah tahun empat Sains Komputer, jawatan dalam kerajaan sedia meenunggu. Beberapa tahun bekerja sementara di Terengganu sebagai Cikgu Komputer dan Pegawai di Unit Komputer Pejabat JKR Terengganu. Malah pernah beberapa ketika ke laut jadi ‘nelayan’ bersama bapa mertua.
Tahun 1989 baru mendapat kerja tetap sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Bahagian Komputer Kementerian Pendidikan dan bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Masa ini saya sering mengikuti perkembangan SK Pt Kadir menerusi keputusan peperiksaan UPSRnya, Malah ada orang Kg yang sering telefon saya untuk bertanyakan keputusan awal, sama ada UPSR, PMR atau SPM.
Tahun 2003 saya bertukar ke Bahagaian Teknologi Maklumat JPJ sehingga sekarang. Mulanya pejabat di Kuala Lumpur, kemudian berpindah ke Cyberjaya pada Disember 2009. Kalau sebelum ini saya tinggal di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor, saya pun terpaksa berpindah ke kuaters kerajaan di Putrajaya mulai Jun 2009 sehingga sekarang. Kalau ada yang ke sasar sampai Putrajaya, bolehlah kalau nak menyinggah.
Semasa di Saujana Utama Sungai Buloh, saya banyak melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat setempat. Antaranya menjadi Pengerusi Surau, Pengerusi Sekolah Agama. Malah saya bersama rakan dan penduduk setempat, berjaya membina bangunan Surau dan Sekolah Agama hasil sumbangan orang ramai. Masa ini beberapa kali muka saya masuk TV. Mungkin ada yang perasan agaknya. Juga pernah jadi AJK Penduduk, AJK Rukun Tetangga, Khairat Kematian dan AJK PIBG sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.
Saya berkahwin ketika masih belajar di UKM lagi, pada tahun ketiga pengajian. Suatu yang mungkin jarang berlaku ketika ini. Sudah jodoh kot ? Isteri saya kini seorang guru Sekolah Menengah di SMK Dato Abu Bakar Baginda Selangor. Dato Abu Bakar Baginda ialah MB Selangor yang pertama. Kini saya mempunyai 4 orang anak. Semuanya telah lepas UPSR dan PMR. Alhamdulillah, semuanya 5A dalam UPSR dan dapat semua A dalam PMR. 2 orang 8A dan 2 orang lagi 9A, tambahan mata pelajaran Bahasa Arab. 3 orang telah lepas SPM dan yang bongsu kini di MRSM Langkawi, ambil SPM tahun ini. Semuanya berpeluang ke sekolah asrama penoh.
Yang sulong dan kedua pernah bersekolah di SK Pt Kadir kekira setahun sekitar 1995-96. Yang sulong lulusan Universiti Teknologi Petronas sudah bekerja. Yang kedua sedang belajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di luar negara, Kanada atas tajaan JPA atau kerajaan. Dijangka habis tahun ini. Anak yang ketiga baru memperolehi keputusan untuk ambil jurusan Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa setelah menghabiskan program matrikulasinya. Anak ke-3 saya ini, selepas saja habis SPM, diberi peluang mengikuti Sijil Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jabatan Perdana Menteri Kuala Kubu Baru Selangor. Alhamdulillah, hafal 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 bulan. Harapnya beliau dapat jadi doktor yang hafal 30 juzuk al-Quran. Doakanlah.
Mengapa saya ceritakan semua ini ? Bukan untuk berbangga, nak tunjuk anak-anak Hassan Masrom berjaya dan pandai semuanya. Yalah, kejayaan itu luas pengertiannya, antara kejayaan dalam pelajaran dengan kejayaan dalam hidup. Yang mustahaknya kejayaan dunia dan akhirat.
Memang ramai bertanyakan kepada saya atau isteri saya, mengapa anak-anak saya dikatakan pandai-pandai dan berjaya dalam pelajaran. Sampai dapat anugerah pelajar terbaik lagi. Sukar nak jawap sebab kami suami isteri pun bukannya buat kajian, analisis atau buat ujikaji tertentu.
Tapi mungkin atas dorongan bersama isteri untuk mendidik dan memastikan anak-anak kami lebih berjaya daripada ibu bapanya. Siapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajarannya. Memang itu hasrat kita semua untuk melihat anak-anak kita lebih berjaya daripada kita, lebih bernasib baik daripada kita dan lebih senang hidupnya berbanding apa yang kita kecapi. Ilmu dan kejayaan dalam pelajaran antara yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga.
Cumanya kita mungkin tidak tahu atau didedahkan dengan ilmu keibubapaan. Sekarang sudah banyak kursus atau program motivasi berkaitan, mungkin boleh korban sikit duit, laburkan untuk mengikutinya atau PIBG boleh anjurkannya. Bukan sekadar murid-murid yang perlu diberikan motivasi, kita sebagai ibubapa juga perlu.
Tadi Guru Besar menyatakan perlunya dipastikan anak murid kita berkemahiran khususnya dalam membaca sejak peringkat awal mula persekolahan. Sebenarnya memang betul dan kita para ibu bapa patutnya memulakannya lebih dari awal di rumah, tidak hanya mengharapkan usaha pihak sekolah.
Berdasarkan pembacaan buku serta nasihat ustaz masa sekitar 1980an dulu, sering diperkatakan bahawa kita kena banyakkan mengaji al-Quran atau membaca ayat dari surah-surah tertentu, khususnya oleh wanita yang mengandung. Maknanya usaha ketika peringkat mengandung lagi dalam usaha untuk melahirkan anak yang soleh dan cerdik pandai. Rasanya perkara ini pun masih sering diperkatakan pada hari ini.
Semasa ibu mengandung, digalakkan membaca Surah Luqman dengan harapan anak yang dikandung menjadi yang cerdik akal dan jiwa. Baca Surah Yusuf, supaya anak yang lahir menjadi cantek rupa paras dan cantek ahlaknya. Membaca surah Maryam agar mudah bersalin. Memang isteri saya sering mengamalkannya. Kita sebagai orang Islam pun memang digalakkan atau kena baca al-Quran setiap hari, sekurangnya-kurangnya beroleh pahala dengan membaca al-Quran.
Sekarang disebutkan pula banyak ayat-ayat lain seperti surah Al Fatihah untuk terang hati dan kuat ingatan. Surah Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak yang bersifat berhati-hati. Surah Yaasin untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat. Surah At-Taubah Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat Surah An-Nahl Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.
Seorang Pakar air dari Jepun iaitu Dr Masaru Emoto yang juga dibukukan penemuananya dalam bukunya iaitu The Secret Of Water. Sebut tengang Jepun yang di landa Tsunami baru-baru ini, sungguh dahsyat dan terasa itulah gambarkan hari kiamat nanti. Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh pesekitaran.
Seperti air dalam botol ini, jika persekitarannya baik, diberikan kata-kata yang baik, ia membentuk kristal yang cantik. Jika yang buruk di maki hamun atau didengarkan dengan muzik rock, bentuk kristal molekulnya pun berserabut tidak cantik.
Mungkin tuan-puan pernah mendengar tentang rawatan dan pengubatan Islam Darul Syifa’ Bandar Baru Bangi oleh Ustaz Dato’ Dr Harun Din. Ramai orang datang nak dapatkan rawatan dan kena ambil giliran yang panjang. Di sana mereka hanya membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air yang kemudiannya diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta rawatan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Dengan gabungan kedua cara ini, saya yakin akan ada kebenarannya dan ini bukan sihir. Saya yakin memang ada kesannya.
75% anggota badan kita terdiri daripada air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang yang nampak keras tu pun 25% adalah air. Jika perkataan yang baik pun boleh membentuk struktur air yang baik, inikan pula bacaan Al-Quran. Bacaan tersebut juga akan membentuk dan menghasilkan struktur air yang cantik dan baik mengalir dalam badan kita, membentuk diri sendiri serta anak seawal dalam kandungan lagi.
Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Ataupun jika masa mengandung, asyik dengar lagu dangdut atau hidustan aje, maka jadilah anaknya nanti juga minat dangdut atau hindustan .... agaknya kot ?
Kunci Ilmu adalah membaca. Ayat al-Quran pertama diturunkan. Iqra. In iu menunjukkan kepentingan membaca. Sebagai ibubapa, kita kena beri dorongan kepada anak-anak kita untuk banyak membaca, seawal mungkin. Buku adalah gedung ilmu. Belikan buku-buku atau majalah yang berfaedah serta ikut kemampuan kita. Tidak semestinya yang mahal reganya. Kekadang tu ada jualan murah buku-buku lama, beli sahaja selagi mana kelihatan bersesuaian. Apabila anak-anak suka membaca buku, ia juga akan meluaskan fikiran dan meningkatkan keinginan untuk lebih mengetahui dan kemampuan mereka menulis.
Masa saya sekolah di sini, saya sebenarnya di tempatkan di Rumah Che Sahri sekarang disebelah tu, tinggal bersama arwah datok dan nenek saya. Saya tak pasti kenapa dipisahkan daripada tinggal dengan ibubapa saya masa tu. Mungkin faktor dekat dan pengangkutan, tidak perlu nak hantar ambik setiap hari. Tapi keadaan ini memberi peluang untuk saya banyak membaca dan fokus kepada pelajaran.
Yalah bukan asyik belajar sahaja, ada main juga. YDP pun adalah rakan sepermainan kerana ketika itupun beliau duduk di kawasan Pt Kadir baroh sini. Zaman tu saya sering mengikuti program Radio Pendidikan. Majalah dan bahan bacaan seperti Utusan Pelajar dan Dewan Pelajar memang sering bacaan utama. Banyak juga buku-buku di rumah arwah datuk dan nenek saya dulu. Kini lagi banyak bahan bacaan dalam pasaran, cuma kita kena hati-hati dan pandai memilih mana yang sesuai.
Tadi saya sebutkan bahawa saya banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mungkin macam di Sg Buloh sebab saya yang tua, itu yang terpilih. Tetapi saya menganggap penglibatan ini sebagai suatu amal jariah. Jika kita lakukan dengan baik dan iklas, tentunya orang ramai akan mendoakan kebaikan kita. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, insya’allah akan ada balasan daripada Allah manfaat sama ada kepada diri, keluarga dan anak-anak saya sendiri.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai AJK PIBG, Mesyuarat Agung tahunan merupakan masa yang terbaik bagi ibu bapa memberi pandangan, cadangan serta membantu meningkatkan imej dan prestasi sekolah. Bagi para AJK tentunya ini masa untuk menilai sejauh mana usaha yang dilakukan memberikan hasil yang diharapkan dan diterima oleh para ibubapa dan guru.
Janganlah hendaklah dihentam sana dan sini AJK PIBGnya. Bila cerita pasal program selalunya agak senyap. Tapi bila hal kewangan, timbul macam-macam cerita. Malah pernah saya berpengalaman dalam Mesyuarat Agung PIBG, hampir hendak dibatalkan dan diadakan semula kerana laporan kewangannya dikatakan tidak ikut standard perakaunan, tidak betul dan mengelirukan. Maklumlah di kawasan yang dikatakan elit. Mungkin tidak berlaku di sini.
Memang berat tugas AJK PIBG, khususnya kalau melibatkan soal menambah kewangan dan banyak program PIBG hendak adakan. Sekolah sini mungkin agak mudah urusannya sebab tidak ramai pelajarnya, sekitar 200 lebih. Tapi kalau ada 100 keluarga dengan yuran RM10 setahun, baru RM 1,000 setahun. Cukupke untuk aktiviti tahunannya ? Tapi nampaknya sekolah telah ok kemudahan fisikalnya. Hanya perlukan sokongan dan penglibatan ibubapa dan meningkatkan pencapaian muridnya.
Kalau sekolah di tempat saya, yuran PIBG macam-macam hendak digunakan. Itulah untuk buat garage, baiki pagar dan pelbagai kerosakan. Terpaksa PIBG usaha keras cari duit. Banyak aktiviti boleh dilakukan tapi saya tidak pasti sama ada praktikal untuk sekolah ini.
Selalunya kita agak sukar nak menghulurkan derma atau berkorban sedikit wang ringgit untuk kemajuan sekolah anak-anak sendiri. Masih nak mengharapkan jua bantuan kerajaan. Pernah sekolah di tempat saya, macam nak berperang dibahaskan isu nak naikkan yuran PIBG dari RM10 kepada RM20 setahun. Dalam hal sumbangan untuk pendidikan anak-anak, kita kena contohi orang Cina yang sanggup menyumbang dan berkorban mengeluarkan wang ringgit demi pendidikan anak-anak mereka. Sekolah asrama anak-anak saya yuran tahunan PIBGnya tidak kurang RM100.
Harta kita ialah yang sebenarnya ialah yang dapat membantu kita di akhirat nanti. Bukan sebanyak mana tersimpan dalam poket atau simpanan kita. Banyakkan menderma dan bersedeqah kearah kebaikan sebagai saham akhirat kita yang berpanjangan. Duit yang ada dalam poket atau bag tangan kita tu belum tentu milik kita. Entah-entah kejap lagi habis kat kedai beli itu dan ini. Atau buat belanja ngeteh kat warong mana.
Tahniah kepada hadirin hadirat yang dapat hadir pada hari ini. Hadir demi kemajuan sekolah dan pendidikan anak-anak di sini. Mungkin ada yang terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya hari ini nak menyawit atau ke kebun.
Akhir kata, sekali lagi terima kasih atas jemputan untuk saya berucap pada hari ini. Sekiranya dapat dijadikan motivasi atau pendorong kepada semua, ambillah mana yang baik. Harapnya dapat difahami ucapan saya ini. Saya bukannya pandai nak berucap dan berpidato, sekadar berkongsi pengalaman dengan ibu bapa hadirin sekalian. Semoga apa yang saya ucapkan ada manfaatnya, kehadiran saya di sini ada ada kesannya. Maaf atas kekurangan.
Sesamalah kita rasmikan Mesyuarat PIBG SK Pt Kadir Kali ke-37 dengan membaca surah al-Fatehah, yang mana kita sedekahkan pahala bacaannya kepada arwah ibubapa kita serta guru-guru khususnya guru SK Pt Kadir yang telah pergi meninggalkan kita. Al-Fatehah.
Polis temui 12 mayat ditanam berhampiran kuil di Bangkok
4 minutes ago
1 Komen:
SALAM EN HASSAN SAYA PUN ASAL ORANG SENGGARANG DARI KELUARGA GURU DAN INGIN MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA ANDA BERDUA SUAMI DAN ISTERI KERANA TELAH BERJAYA MEMNDIDIK ANAK-ANAK ANDA MENCAPAI KECEMERLANGAN DALAM HIDUP BERBANGGA SUNGGUH ADA ORANG-ORANG MELAYU KITA YANG BERJAYA INSYALLAH DUNIA DAN AKHIRAT,AMIN
Post a Comment