Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label darussyifa. Show all posts
Showing posts with label darussyifa. Show all posts

Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Pt Kadir Kali Ke-37

Bertempat di Dewan Kantin SK Parit Kadir Senggarang, Sabtu 2 April 2011, aku menghadiri dan memberikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Parit Kadir Kali Ke-37. Berikut adalah ucapan perasmian yang aku sampaikan dalam majlis tersebut.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dipanjangkan usia dapat kita bersama dan dipertemukan dalam majlis ini. Mesyuaray Agung PIBG Kali Ke-37. Agaknya sudah lebih daripada 37 sekolah ini. Pada mulanya saya menerima panggilan daripada Tn YDP PIBG untuk berucap dalam majlis ini, agak terkejut juga. Nak cakap apa ? Maklumlah selalunya ucapan perasmian dilakukan oleh wakil rakyat atau wakil Pejabat Pelajaran Daerah.

Kalau wakil rakyat, lepas perasmian dia akan tinggalkan janji, kalau tak sumbang seribu ringgit, mungkin 2 ribu atau 3 ribu kalaupun tidak 10,000. Kalau saya, nak tinggalkan apa ? Mungkin kaedah yang baik juga, memanggil semula bekas murid sekolah ini bagi perasmian. Terasa agak gementar juga, maklumlah di hadapan saya ini merupakan pangkat abang kakak, ibu bapa, pakcik makcik, selain yang seusia dan pangkat adik. Mungkin ada yang pernah sekelas dengan saya di sini dahulu.

Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya kembali ke sekolah ini yang telah saya tinggal sejak tahun 1975. Pada ketika itu masih merupakan sekolah kayu atau papan beratapkan zink, tingkap pun jaring dawai. Bangunan utama sekolah sekarang pun ketika itu masih dalam peringkat awal pembinaan, piling serta cerucuk kayu bakau. Tapi sekarang dah ada macam-macam. Selalu juga nampak sekolah ini apabila datang ziatah ke rumah bapa saudara di sebelah sana, Che Sahri.

Saya pun tak pasti berapa ramai guru-guru yang mengajar saya ketika itu masih ada lagi. Masa tu Guru Besar adalah Arwah Cikgu Johari dan antara yang lain Cikgu Supanji, Cikgu Zaini dan agak terkejut yang Guru Besar Pertama iaitu Ckgu Adam masih ada lagi. Allah masih panjangkan usia beliau. Terima kasih tidak terhingga atas bantuan dan tunjuk ajar mereka, semoga di balas oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang setimpal.

Saya bersekolah di sekolah ini antara tahun 1970 hingga 1975, dari darjah satu hingga enam. Semasa sekolah dahulu kalau tidak dapat nombor satu, nombor dua. Hanya sekali dapat nombor tiga. Yang selau nombor satu ialah Dr Osman Warijo yang merasmikan Mesyuarat PIBG ini tahun lepas. Selalu berlawan dengan dia. Saya masih ingat ini sebab sering saya cerita dan ingatkan kepada anak-anak saya sebagai perangsang. Kad kemajuan pun masih ada sebagai bukti.

Dulu takde UPSR, tapi Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Masa Peperiksaan Darjah 5 tahun 1974 saya dapat keputusan 3A dan berpeluang ke sekolah berasrama penoh, SM Sains Johor di Kluang. Kalu di Pt Kadir dapat nombor satu dua, tapi di SM Sains Johor dapat nombor banyak. Tapi Dr Osman dia maintain. Lepas SPM 1980, saya mengikuti Kelas Matrikulasi UKM di SM Sains Melaka ( sekarang SM Muzafar Shah ), kemudian masuk UKM Bangi. Di UKM saya mengambil jurusan Sains Komputer yang merupakan jurusan yang sangat baru ketika itu. Mula tu nak ambil Doktor juga, tapi keputusan yang diperolehi tidak melayakkan.

Tamat belajar tahun 1986, tapi kebetulan masa itu krisis ekonomi dan agar sukar mendapat pekerjaan. Selalunya masa tu kalau sudah tahun empat Sains Komputer, jawatan dalam kerajaan sedia meenunggu. Beberapa tahun bekerja sementara di Terengganu sebagai Cikgu Komputer dan Pegawai di Unit Komputer Pejabat JKR Terengganu. Malah pernah beberapa ketika ke laut jadi ‘nelayan’ bersama bapa mertua.

Tahun 1989 baru mendapat kerja tetap sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Bahagian Komputer Kementerian Pendidikan dan bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Masa ini saya sering mengikuti perkembangan SK Pt Kadir menerusi keputusan peperiksaan UPSRnya, Malah ada orang Kg yang sering telefon saya untuk bertanyakan keputusan awal, sama ada UPSR, PMR atau SPM.

Tahun 2003 saya bertukar ke Bahagaian Teknologi Maklumat JPJ sehingga sekarang. Mulanya pejabat di Kuala Lumpur, kemudian berpindah ke Cyberjaya pada Disember 2009. Kalau sebelum ini saya tinggal di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor, saya pun terpaksa berpindah ke kuaters kerajaan di Putrajaya mulai Jun 2009 sehingga sekarang. Kalau ada yang ke sasar sampai Putrajaya, bolehlah kalau nak menyinggah.

Semasa di Saujana Utama Sungai Buloh, saya banyak melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat setempat. Antaranya menjadi Pengerusi Surau, Pengerusi Sekolah Agama. Malah saya bersama rakan dan penduduk setempat, berjaya membina bangunan Surau dan Sekolah Agama hasil sumbangan orang ramai. Masa ini beberapa kali muka saya masuk TV. Mungkin ada yang perasan agaknya. Juga pernah jadi AJK Penduduk, AJK Rukun Tetangga, Khairat Kematian dan AJK PIBG sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.

Saya berkahwin ketika masih belajar di UKM lagi, pada tahun ketiga pengajian. Suatu yang mungkin jarang berlaku ketika ini. Sudah jodoh kot ? Isteri saya kini seorang guru Sekolah Menengah di SMK Dato Abu Bakar Baginda Selangor. Dato Abu Bakar Baginda ialah MB Selangor yang pertama. Kini saya mempunyai 4 orang anak. Semuanya telah lepas UPSR dan PMR. Alhamdulillah, semuanya 5A dalam UPSR dan dapat semua A dalam PMR. 2 orang 8A dan 2 orang lagi 9A, tambahan mata pelajaran Bahasa Arab. 3 orang telah lepas SPM dan yang bongsu kini di MRSM Langkawi, ambil SPM tahun ini. Semuanya berpeluang ke sekolah asrama penoh.

Yang sulong dan kedua pernah bersekolah di SK Pt Kadir kekira setahun sekitar 1995-96. Yang sulong lulusan Universiti Teknologi Petronas sudah bekerja. Yang kedua sedang belajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di luar negara, Kanada atas tajaan JPA atau kerajaan. Dijangka habis tahun ini. Anak yang ketiga baru memperolehi keputusan untuk ambil jurusan Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa setelah menghabiskan program matrikulasinya. Anak ke-3 saya ini, selepas saja habis SPM, diberi peluang mengikuti Sijil Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jabatan Perdana Menteri Kuala Kubu Baru Selangor. Alhamdulillah, hafal 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 bulan. Harapnya beliau dapat jadi doktor yang hafal 30 juzuk al-Quran. Doakanlah.

Mengapa saya ceritakan semua ini ? Bukan untuk berbangga, nak tunjuk anak-anak Hassan Masrom berjaya dan pandai semuanya. Yalah, kejayaan itu luas pengertiannya, antara kejayaan dalam pelajaran dengan kejayaan dalam hidup. Yang mustahaknya kejayaan dunia dan akhirat.

Memang ramai bertanyakan kepada saya atau isteri saya, mengapa anak-anak saya dikatakan pandai-pandai dan berjaya dalam pelajaran. Sampai dapat anugerah pelajar terbaik lagi. Sukar nak jawap sebab kami suami isteri pun bukannya buat kajian, analisis atau buat ujikaji tertentu.

Tapi mungkin atas dorongan bersama isteri untuk mendidik dan memastikan anak-anak kami lebih berjaya daripada ibu bapanya. Siapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajarannya. Memang itu hasrat kita semua untuk melihat anak-anak kita lebih berjaya daripada kita, lebih bernasib baik daripada kita dan lebih senang hidupnya berbanding apa yang kita kecapi. Ilmu dan kejayaan dalam pelajaran antara yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Cumanya kita mungkin tidak tahu atau didedahkan dengan ilmu keibubapaan. Sekarang sudah banyak kursus atau program motivasi berkaitan, mungkin boleh korban sikit duit, laburkan untuk mengikutinya atau PIBG boleh anjurkannya. Bukan sekadar murid-murid yang perlu diberikan motivasi, kita sebagai ibubapa juga perlu.

Tadi Guru Besar menyatakan perlunya dipastikan anak murid kita berkemahiran khususnya dalam membaca sejak peringkat awal mula persekolahan. Sebenarnya memang betul dan kita para ibu bapa patutnya memulakannya lebih dari awal di rumah, tidak hanya mengharapkan usaha pihak sekolah.

Berdasarkan pembacaan buku serta nasihat ustaz masa sekitar 1980an dulu, sering diperkatakan bahawa kita kena banyakkan mengaji al-Quran atau membaca ayat dari surah-surah tertentu, khususnya oleh wanita yang mengandung. Maknanya usaha ketika peringkat mengandung lagi dalam usaha untuk melahirkan anak yang soleh dan cerdik pandai. Rasanya perkara ini pun masih sering diperkatakan pada hari ini.

Semasa ibu mengandung, digalakkan membaca Surah Luqman dengan harapan anak yang dikandung menjadi yang cerdik akal dan jiwa. Baca Surah Yusuf, supaya anak yang lahir menjadi cantek rupa paras dan cantek ahlaknya. Membaca surah Maryam agar mudah bersalin. Memang isteri saya sering mengamalkannya. Kita sebagai orang Islam pun memang digalakkan atau kena baca al-Quran setiap hari, sekurangnya-kurangnya beroleh pahala dengan membaca al-Quran.

Sekarang disebutkan pula banyak ayat-ayat lain seperti surah Al Fatihah untuk terang hati dan kuat ingatan. Surah Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak yang bersifat berhati-hati. Surah Yaasin untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat. Surah At-Taubah Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat Surah An-Nahl Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Seorang Pakar air dari Jepun iaitu Dr Masaru Emoto yang juga dibukukan penemuananya dalam bukunya iaitu The Secret Of Water. Sebut tengang Jepun yang di landa Tsunami baru-baru ini, sungguh dahsyat dan terasa itulah gambarkan hari kiamat nanti. Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh pesekitaran.

Seperti air dalam botol ini, jika persekitarannya baik, diberikan kata-kata yang baik, ia membentuk kristal yang cantik. Jika yang buruk di maki hamun atau didengarkan dengan muzik rock, bentuk kristal molekulnya pun berserabut tidak cantik.

Mungkin tuan-puan pernah mendengar tentang rawatan dan pengubatan Islam Darul Syifa’ Bandar Baru Bangi oleh Ustaz Dato’ Dr Harun Din. Ramai orang datang nak dapatkan rawatan dan kena ambil giliran yang panjang. Di sana mereka hanya membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air yang kemudiannya diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta rawatan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Dengan gabungan kedua cara ini, saya yakin akan ada kebenarannya dan ini bukan sihir. Saya yakin memang ada kesannya.

75% anggota badan kita terdiri daripada air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang yang nampak keras tu pun 25% adalah air. Jika perkataan yang baik pun boleh membentuk struktur air yang baik, inikan pula bacaan Al-Quran. Bacaan tersebut juga akan membentuk dan menghasilkan struktur air yang cantik dan baik mengalir dalam badan kita, membentuk diri sendiri serta anak seawal dalam kandungan lagi.

Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Ataupun jika masa mengandung, asyik dengar lagu dangdut atau hidustan aje, maka jadilah anaknya nanti juga minat dangdut atau hindustan .... agaknya kot ?

Kunci Ilmu adalah membaca. Ayat al-Quran pertama diturunkan. Iqra. In iu menunjukkan kepentingan membaca. Sebagai ibubapa, kita kena beri dorongan kepada anak-anak kita untuk banyak membaca, seawal mungkin. Buku adalah gedung ilmu. Belikan buku-buku atau majalah yang berfaedah serta ikut kemampuan kita. Tidak semestinya yang mahal reganya. Kekadang tu ada jualan murah buku-buku lama, beli sahaja selagi mana kelihatan bersesuaian. Apabila anak-anak suka membaca buku, ia juga akan meluaskan fikiran dan meningkatkan keinginan untuk lebih mengetahui dan kemampuan mereka menulis.

Masa saya sekolah di sini, saya sebenarnya di tempatkan di Rumah Che Sahri sekarang disebelah tu, tinggal bersama arwah datok dan nenek saya. Saya tak pasti kenapa dipisahkan daripada tinggal dengan ibubapa saya masa tu. Mungkin faktor dekat dan pengangkutan, tidak perlu nak hantar ambik setiap hari. Tapi keadaan ini memberi peluang untuk saya banyak membaca dan fokus kepada pelajaran.

Yalah bukan asyik belajar sahaja, ada main juga. YDP pun adalah rakan sepermainan kerana ketika itupun beliau duduk di kawasan Pt Kadir baroh sini. Zaman tu saya sering mengikuti program Radio Pendidikan. Majalah dan bahan bacaan seperti Utusan Pelajar dan Dewan Pelajar memang sering bacaan utama. Banyak juga buku-buku di rumah arwah datuk dan nenek saya dulu. Kini lagi banyak bahan bacaan dalam pasaran, cuma kita kena hati-hati dan pandai memilih mana yang sesuai.

Tadi saya sebutkan bahawa saya banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mungkin macam di Sg Buloh sebab saya yang tua, itu yang terpilih. Tetapi saya menganggap penglibatan ini sebagai suatu amal jariah. Jika kita lakukan dengan baik dan iklas, tentunya orang ramai akan mendoakan kebaikan kita. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, insya’allah akan ada balasan daripada Allah manfaat sama ada kepada diri, keluarga dan anak-anak saya sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai AJK PIBG, Mesyuarat Agung tahunan merupakan masa yang terbaik bagi ibu bapa memberi pandangan, cadangan serta membantu meningkatkan imej dan prestasi sekolah. Bagi para AJK tentunya ini masa untuk menilai sejauh mana usaha yang dilakukan memberikan hasil yang diharapkan dan diterima oleh para ibubapa dan guru.

Janganlah hendaklah dihentam sana dan sini AJK PIBGnya. Bila cerita pasal program selalunya agak senyap. Tapi bila hal kewangan, timbul macam-macam cerita. Malah pernah saya berpengalaman dalam Mesyuarat Agung PIBG, hampir hendak dibatalkan dan diadakan semula kerana laporan kewangannya dikatakan tidak ikut standard perakaunan, tidak betul dan mengelirukan. Maklumlah di kawasan yang dikatakan elit. Mungkin tidak berlaku di sini.

Memang berat tugas AJK PIBG, khususnya kalau melibatkan soal menambah kewangan dan banyak program PIBG hendak adakan. Sekolah sini mungkin agak mudah urusannya sebab tidak ramai pelajarnya, sekitar 200 lebih. Tapi kalau ada 100 keluarga dengan yuran RM10 setahun, baru RM 1,000 setahun. Cukupke untuk aktiviti tahunannya ? Tapi nampaknya sekolah telah ok kemudahan fisikalnya. Hanya perlukan sokongan dan penglibatan ibubapa dan meningkatkan pencapaian muridnya.

Kalau sekolah di tempat saya, yuran PIBG macam-macam hendak digunakan. Itulah untuk buat garage, baiki pagar dan pelbagai kerosakan. Terpaksa PIBG usaha keras cari duit. Banyak aktiviti boleh dilakukan tapi saya tidak pasti sama ada praktikal untuk sekolah ini.

Selalunya kita agak sukar nak menghulurkan derma atau berkorban sedikit wang ringgit untuk kemajuan sekolah anak-anak sendiri. Masih nak mengharapkan jua bantuan kerajaan. Pernah sekolah di tempat saya, macam nak berperang dibahaskan isu nak naikkan yuran PIBG dari RM10 kepada RM20 setahun. Dalam hal sumbangan untuk pendidikan anak-anak, kita kena contohi orang Cina yang sanggup menyumbang dan berkorban mengeluarkan wang ringgit demi pendidikan anak-anak mereka. Sekolah asrama anak-anak saya yuran tahunan PIBGnya tidak kurang RM100.

Harta kita ialah yang sebenarnya ialah yang dapat membantu kita di akhirat nanti. Bukan sebanyak mana tersimpan dalam poket atau simpanan kita. Banyakkan menderma dan bersedeqah kearah kebaikan sebagai saham akhirat kita yang berpanjangan. Duit yang ada dalam poket atau bag tangan kita tu belum tentu milik kita. Entah-entah kejap lagi habis kat kedai beli itu dan ini. Atau buat belanja ngeteh kat warong mana.

Tahniah kepada hadirin hadirat yang dapat hadir pada hari ini. Hadir demi kemajuan sekolah dan pendidikan anak-anak di sini. Mungkin ada yang terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya hari ini nak menyawit atau ke kebun.

Akhir kata, sekali lagi terima kasih atas jemputan untuk saya berucap pada hari ini. Sekiranya dapat dijadikan motivasi atau pendorong kepada semua, ambillah mana yang baik. Harapnya dapat difahami ucapan saya ini. Saya bukannya pandai nak berucap dan berpidato, sekadar berkongsi pengalaman dengan ibu bapa hadirin sekalian. Semoga apa yang saya ucapkan ada manfaatnya, kehadiran saya di sini ada ada kesannya. Maaf atas kekurangan.

Sesamalah kita rasmikan Mesyuarat PIBG SK Pt Kadir Kali ke-37 dengan membaca surah al-Fatehah, yang mana kita sedekahkan pahala bacaannya kepada arwah ibubapa kita serta guru-guru khususnya guru SK Pt Kadir yang telah pergi meninggalkan kita. Al-Fatehah.
Share:

Merawat Pejabatku Yang Misteri

Memang kelihatan besar, teguh dan seperti bercirikan senibina Islam. Namun di sebaliknya mempunyai misteri tersendiri yang dialami oleh sebahagian penghuninya. Sejak mula didiami pelbagai gangguan dialami yang dipercayai oleh mahluk halus yang mendiami bangunan pejabatku. Antaranya lampu dan monitor on dan off secara tiba-tiba, kedudukan katrij yang digunakan untuk membuat backup beralih dari slot kedudukan biasanya, tepuk bahu belakang ketika solat seperti nak jadi makmum dan lif bergerak turun naik serta terbuka pintu tanpa dilihat sesiapa keluar masuk.

Pada 11 Mac 2010 lalu, aku bersama-sama beberapa staf pejabatku serta ahli Persatuan Pengubatan Islam Darus Syifa telah melaksanakan aktiviti merawat bangunan pejabatku. Majlis bermula menjelang maghrib yang dimulakan dengan Solat Maghrib, diikuti dengan Solat Hajat, bacaan Surah Yasin, zikir, Solat Isyak dan merenjis air sekitar bahagian dalam bangunan.

Sebenarnya sebelum ini, majlis doa selamat dan bacaan Yasin telah diadakan pada pertengahan Disember yang dikendalikan oleh Ustaz Hj Jamal Mahfodz yang juga ahli Darus Syifa.


Ini disusuli dengan rawatan kali kedua pada Januari lalu dengan menabur garam beserta lada hitam di sekitar bangunan selama tiga petang berturut-turut. Disebabkan kawasan bangunan agak besar, pada 11 Mac lalu, kami dibahagikan kepada empat kumpulan untuk merenjis air ke seluruh bahagian bangunan.

Namun selepas rawatan kali kedua, berdasarkan cerita daripada staf pejabatku, dikatakan mahluk halus tersebut semakin bertindak balas. Antaranya terdengar bunyi tapak kaki berlari di lantai bilik komputer utama, suara orang berbual tetapi tiada sesiapa apabila dipandang ke arah suara tersebut, suara wanita menangis dalam bilik air, pintu terbuka tanpa kelihatan sesiapa keluar masuk menerusi CCTV serta seperti bayang-bayang kelihatan dalam monitor komputer dan daripada luar bangunan.

Malah ada seorang dikatakan pernah ‘melihat’ ada satu family mahluk halus sekurang-kurangnya seramai 8 ‘orang’ mendiami bangunan pejabatku. Entahlah, mungkin sebab sudah banyak cerita aku dengar, percaya sajalah tanpa sombong lantaran tidak sendiri mengalaminya. Namun kejadian ini sedikit sebanyak menghalang staf pejabatku daripada terus berada di pejabat menghabiskan kerja sehingga malam.

Bangunan baru pejabatku telah mula dibina pada 1 Oktober 2007. Bangunan yang bernilai RM 50 juta ini terletak di atas tanah seluas 4 hektar di Cyberjaya. Pembinaan bangunan telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Jabatakun secara rasmi pada 31 Mac 2009.

Walau bagaimanapun, disebabkan masalah berhubung dengan perlantikan syarikat bagi mengendalikan kerja-kerja perpindahan dari tempat lama iaitu di Pusat Bandar Damansara Kuala Lumpur, perpindahan keseluruhan pejabatku hanya bermula pada awal November 2009. Maknanya daripada tempoh pembinaan Oktober 2007 serta penyerahan bangunan pada Mac 2009 sehingga November 2009, bangunan tersebut kosong. Agaknya ini mengundang kepada mahluk halus mendiaminya, ataupun mereka sebenarnya merupakan penghuni asal kawasan tersebut.

Pejabatku secara rasmi beroperasi di bangunan baru mulai pada 7 Disember 2009. Manakala peralihan sistem komputer pejabatku sepenuhnya daripada Disaster Recovery Centre berjaya dilakukan pada 18 Disember 2009 iaitu bersamaan dengan 1 Muharram 1431H. Ramai agensi pusat telah dijemput bersama menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini yang kebetulannya pada awal Muharram 1431H.

Sebenarnya semasa perpindahan dilakukan, aku berada di Mekah mengerjakan Haji. Sebelum ke Mekah, perpindahan dijangka pertengahan Disember. Namun rupanya dipercepatkan. Balik Mekah sahaja, biliku telah kosong kerana pejabatku telah pindah. Mungkin beruntung tidak serabut dan penat memikirkan hal perpindahan. Tetapi aku kira rugi daripada segi pengalaman. Apapun aku berharap dengan rawatan yang dilakukan ini, pejabatku menjadi lebih aman daripada sebarang gangguan. Penghununya pun terus selesa menjalankan tugas-tigasnya, insya'allah.
Share:

Pengijazahan Darussyifa Kumpulan 20

Majlis Pengijazahan Pelajar Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Malaysia ( Darussyifa’ ) bagi Kumpulan Pengambilan Ke-20 telah berlangsung pada 13 Disember 2008, di Kem El-Azhar, Morib Selangor. Kumpulan ini telah mengikuti pengajian di Bangunan Darussyifa, Bandar Baru Bangi mulai Januari 2008. Majlis telah disempurnakan oleh Pengasas serta Penasihat Darussyifa’, Y Bhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Dalam majlis tersebut seramai 335 graduan telah menerima pengijazahan. Daripada jumlah tersebut seramai 8 orang adalah dari warga Saujana Utama yang terdiri daripada 3 lelaki dan 5 orang perempuan, termasuklah aku.

Walaupun telah bergelar graduan atau ahli Darussyifa, perasaan tu berlainan dengan dianugerahkan ijazah masa belajar-belajar dulu. Ini kerana apabila mengikuti majlis dan kuliah-kuliah Darussyifa’ setiap Isnin mulai waktu maghrib, maka banyak yang perlu diketahui mengenai kaedah, tatacara, bahan yang diperlukan serta doanya. Mungkin kalau para huffaz, mengingati doa tak payah berbanding aku yang ‘benok’ ni. Mungkin sebab itu mengikuti pengajian kedoktoran ni payah, sebab nak faham dan ingati tentang banyak perkara mengenai anggota badan dan rawatannya.

Malah Pengerusi Darussyifa, Tn Haji Abdul Rahman Ahmad dalam ucapan alu-aluannya mengesa para pelajar di samping memanfaatkan ilmu yang dipelajar sepanjang setahun berlalu, detik hari ini menurut beliau adalah sebagai permulaan untuk menjadi perawat Darussyifa, tetapi masih banyak lagi yang perlu dipelajari dan hendaklah sentiasa mempertingkatkan diri dengan latihan praktikal.

Kukira, penerimaan ijazah ini hanyalah sekadar penyataan redha daripada Tn Guru kepada anak murid untuk menerima dan mengamalkan or mengaplikasikan sehingga menjadi manfaat kepada diri dan orang lain. So sejauh mana ilmu difahami dan dipergunakan tu bergantung kepada yang menerima ijazah.

Rakanku, Ustaz Mohamad Zaini yang merupakan Perawat Darussyifa’ yang aktif di Saujana Utama turut hadir bagi mengiringi isterinya yang turut menerima pengijazahan pada majlis tersebut. Beliau yang dari dulu lagi tak henti-henti mengajak aku menjadi ahli. Aku rasa macam payah sebab nak pastikan dapat hadir kuliah setiap Isnin mulai maghrib tu agak berat tanpa missed melebihi 5 kali. Jarak perjalanan pulak dari rumah kekira 62km, melalui leburaya bertol dalam 60 minit perjalanan. Itu cabaran besar dan dalam keadaan penat pulang dari kerja, kadang tu aku cuma hadirkan badan tapi tertidur masa kuliah. Rasanya aku missed 3 kali kuliah.

Ustaz Zaini memang berhasrat untuk menubuhkan Klinik Rawatan Darussyifa di Saujana Utama, sama ada di rumah beliau atau di Surau Al-Hidayah. Memang ini bukan sahaja menjadi hasratku dalam memakmurkan serta menghidupkan fungsi surau, tetapi termaktub dalam Pelan Strategik Surau Al-Hidayah 2008-2010 dalam meningkatkat usaha memenuhi keperluan fardu ain dan kifayah kepada penduduk ahli kariah khususnya dan seluruh umat Islam umunya. Pada ketika ini, rawatan menurut Darussyifa’ diadakan di rumah beliau pada setiap Ahad pagi serta di Surau Al-Hidayah pada setiap Rabu, selepas solat Isyak. Kesempatan ini akan aku ambil untuk mempelajari secara praktikal bagaimana rawatan diberikan.

Dalam memastikan diri 'terikat' dengan Darussyifa, aku telah menawarkan diri untuk jadi ahli pengendali kepada laman web Darussyifa. Jika diterima mungkin banyak yang akan kucatatkan mengenai Darussyifa dalam blogku nanti.
Share:

Keajaiban Air Untuk Merawat

Semua orang tahu betapa air sangat penting dalam kehidupan kita. 70% permukaan bumi adalah air. Tetapi kebanyakkan, 98% adalah air laut yang masin. Hanya 2% merupakan H2O. Namun air sebenarnya benda hidup. Air bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga, tetapi air berperanan untuk media pengubatan dan rawatan. Pendek kata air dapat menyembuhkan. Kitapun digalakkan untuk minum plain water sekurang-kurangnya dalam sehari 2 liter. Plain water, bukan teh, kopi, sirap dan apatah lagi air gas bikarbonat. Kesihatan kita banyak bergantung kepada kualiti dan kuantiti air yang kita minum. Mungkin benar jika dikatakan bahawa ‘you are not just what you eat, you are what you drink’.

Kajian sebagaimana diwar-warkan sebelum ini oleh Dr Masaru Emoto daripada Jepun telah mengemparkan orang ramai. Memang aku pernah membacanya. Terpulanglah kepada setiap individu untuk menilai kebenaran teori Emoto ini. Tetapi apabila mengikuti kuliah Mengapa Air Digunakan Dalam Rawatan & Pengubatan Islam pada 10 November 2008 yang lalu, ada beberapa perkara lain yang menarik untuk dicoretkan dan dikongsi bersama.

Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk Kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh peserkitaran. Jika manusia menumpukan pemikiran atau konsentrasi terhadap air, kristal air akan terbentuk mengikut apa yang kita fikirkan. Selalunya melalui doa, muzik ataupun dengan menulis ayat-ayat di gelas tersebut. Emoto mengambil gambar-gambar kristal air yang beku mengikut prosedur sains yang diiktirafkan Gambar-gambar berikut dipetik daripada buku The Secret Of Water oleh Dr Masaru. Aku tidak memiliki buku ini tetapi ini dicilok daripada sumber perkongsian maklumat dalam entah e-group mana.

Ini kristal yang terbentuk, di atas apabila dibacakan perkataan 'suka' dan bawah - `benci'. Perkataan `benci' menghasilkan kristal yang berlubang seperti tercekik.


Di bawah ni gambar kristal yang terbentuk dari perkataan `perang', (kristal yang buruk di atas). Dan `damai' menghasilkan kristal seakan bergabung.


Ini pula kristal yang terhasil dari `cinta suami isteri'. Seolah-olah yang besar mengiringi kristal yang kecil.

Yang ni gambar kristal air di danau Zurich, Switzerland. Gambar sebelum dan selepas doa dibacakan ke air.



Efek melodi terhadap kristal. Penyembuhan melalui muzik indah ?



Kristal air yang terbentuk dari perkataan `Islam'. Kristal dari perkataan agama lain juga cantik.


Itu petikan daripada buku Dr Masaru, Ada banyak lagi gambar yang menarik yang menunjukkan efek doa dan pemikiran terhadap kristal air.

Menurut Ustaz penceramah tu, bentuk air yang dikatakan baik ialah bersegi enam, Kalau serabut berbentuk tak tersusun tu dikatakan ‘celaru’. Takde sampelnya pulak … Ternyata ada kebenaran jika air yang didoakan, membentuk kristal yang sungguh cantik. Kita diajar membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air sebelum diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta menyembuhkan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Namun jangan kita lupa, kuasa menyembuhkan adalah datang dari Allah s.w.t jua.

75% badan kita juga merupakan air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang pun 25% adalah air. Kecuali tulang kering kot !!!! Bayangkan jika badan kita selalu diperdengarkan dengan ayat-ayat suci al-Quran, dengar ceramah atau kuliah agama, azan atau iqamat serta lagu-lagu irama nasyid ( agaknya ), sedikit sebanyak tentu memberikan kesan baik terhadap air yang mengalir dalam badan kita. Ibu-ibu mengandung diminta bacakan ayat-ayat surah-surah tertentu, membentuk air yang berkualiti untuk bekalan anak dalam kandungan.

Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Cumanya aku menjadi syak kalau perkara ini juga dijadikan bukti akan kebenaran agama lain, khususnya apabila ‘mereka’ melakukan perkara yang sama terhadap air, sehingga membentuk air yang cantik bentuk kristalnya dan mampu memberikan ‘kuasa’ rawatan.
Share:

Ah Lega ... Lepas First Test.

Alhamdulullah, lega ... dah lepas satu hal. Walaupun kuliah masih banyaak lagi, namun entah kenapa exam nya dilakukan awal. Agaknya nak beri peluang kepada yang gagal untuk mengulangi. Pada mulanya aku risau juga sebab terlalu banyak doa yang nak kena hafal. Rupanya yang ditest cuma yang kira basic aje atau dipangil 10 Asas Pertama. So lepas ini, kalau nak mendalami dan terus jadi pengamal, kenalah hafal banyak doa. Sebelum kuliah sekarang pun dah mula abaca Asas 10 Kedua.

Lepas test tanya penguji, OK ke Ustaz ? Ustaz Zul yang menguji aku tu sebenarnya yangjuga mengajar kelas tajwid. Aku terpilih untuk wajib hadir kelas itu. Mula-mula ada juga hadir, tetapi lepas tu stop. Sudahlah jauh, di tempat sendiri dan di pejabat tempat kerjakua pun ada juga. Ustaz Zul kata, Ok. Semoga aku lulus hendaknya. Insya'allah.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.