Untuk mengerjakan haji di Mekah, bukan setakat perlu mempunyai simpanan wang yang mencukupi tetapi atas faktor kuota yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, maka terpaksa mengikut giliran pendaftaran. Lewat daftar lewatlah gilirannya. Malah mungkin tidak kesampaian hajat lantaran giliran yang panjang.
Namun sementara menunggu giliran sampai, atau yang berhajat nak pergi lagi tetapi tidak dapat melaksanakan, sebagai gantinya mari kita beramal dengan amalan harian yang pahalanya seumpama mengerjakan haji atau umrah. Namun bukan bermaksud dengan melaksanakannya, sudah tidak perlu mengerjakan Haji dan Umrah. Tetapi kini kita boleh mendapat pahala mengerjakan haji dan umrah bila-bila masa sahaja.
Berdasarkan study yang dilakukan, terdapat beberapa amalan berikut yang pahalanya seumpama mengerjakan haji atau umrah. Harapnya bukan bidaah, bukan daripada maksud hadith yang dipertikaikan atau hadis dhaif, walaupun ada dikatakan hadis dhaif dibolehkan jika sekadar untuk amalan.
Pertama : Solat Berjemaah & Solat Dhuha Di Masjid
Daripada Abu Umamah (r.a) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya; “Barangsiapa berjalan (ke masjid) untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah, maka solatnya sama dengan melaksanakan ibadah haji. Barangsiapa pergi mengerjakan solat sunat (dhuha) di masjid, maka solatnya itu sama dengan mengerjakan ibadah “umrah" ( H.R Imam Ahmad )
Dari Abu Umamah r.a, ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci ( telah berwudhu ), menuju masjid untuk melaksanakan solat fardhu jemaah, maka pahalanya seperti pahala seperti orang yang sedang melaksanakan haji dalam keadaan ihram." ( H.R. Imam Ahmad dan Abu Daud )
Kedua : Terus Tetap Berada Di Masjid Setelah Solat Suboh Sehingga Terbit Matahari
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang solat subuh berjemaah, kemudian tetap duduk di masjid ( berdzikir mengingat Allah s.w.t ) sehingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat ( solat sunat Isyra’), maka dia mendapat pahala haji dan umrah, sempurna, sempurna dan sempurna." ( H.R. At-Tirmidzi dan dinilai hasan oleh Al Albani )
Berzikir mengingati Allah s.w.t boleh bermaksud membaca al-quran atau mengikuti kuliah suboh di masjid selain zikir biasa. Besar pahala rupaanya … Cuma dalam hadis ini terdapat penafsiran solat dua rekaat itu sama ada solat terbit matahari ( solat sunat Isyra’ ) atau solat dhuha.
Ketiga : Menghadiri Halaqah Atau Majlis Ilmu Di Masjid
“Barangsiapa yang berangkat ke masjid dia tidak menginginkan kecuali untuk belajar sesuatu kebaikan atau mengajarinya maka baginya adalah seperti pahala orang yang beribadah haji dengan sempurna.” (H.R. At-Thabrani ).
Keempat: Membaca Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah) dan Takbir (Allahu Akbar) selepas solat
Disebutkan bahawa sekelompok orang-orang fakir miskin datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, “Ya Rasulullah, orang-orang kaya telah memborong semua kedudukan yang tinggi serta kebahagiaan yang abadi dengan harta memreka. Mereka shalat dan berpuasa sebagaimana yang kami lakukan. Akan tetapi mereka mempunyai harta untuk menunaikan haji, umrah dan bersedekah.”
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Sukakah kalian saya ajarkan sesuatu yang dapat mengejar orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, dan tidak ada yang lebih utama dari kalian, kecuali mereka melakukan seperti yang kalian lakukan?” Mereka menjawab, “Baiklah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w lalu bersabda, “Setiap selesai sholat bacalah olehmu Tasbih ( Subhanallah ), Tahmid ( Alhamdulillah ) dan Takbir ( Allahu Akbar ) masing-masing sebanyak 33 kali.” ( H.R Bukhari )
Kelima : Berbakti Kepada Kedua Orang Tua
Ada seorang lelaki menghadap Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada beliau, “Sesungguhnya saya ingin ikut berjihad, namun saya tidak mampu.” Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, “Apakah di antara kedua orang tuamu ada yang masih hidup?” Lelaki itu menjawab, “Ibu saya masih hidup.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, “Berjuanglah karena Allah dengan cara bersikap baik kepada ibumu. Bila kamu melaksanakannya, maka kamu ( bagaikan ) orang yang haji, umrah, dan juga berjihad.” ( H.R. Abu Ya’la dan At-Thabrani)
Keenam : Menolong Orang Lain Dalam Kesusahan
Daripada maksud suatu hadis Rasulullah s.a.w., ”Siapa yang berjalan menolong orang yang susah maka Allah akan menurunkan baginya tujuh puluh lima ribu malaikat yang selalu mendoakannya dan dia akan tetap berada dalam rahmat Allah selama dia menolong orang tersebut dan jika telah selesai melakukan pertolongan tersebut, maka Allah akan tuliskan baginya pahala haji dan umrah dan sesiapa yang mengunjungi orang yang sakit maka Allah akan melindunginya dengan tujuh puluh lima ribu malaikat dan tidaklah dia mengangkat kakinya melainkan akan dituliskan Allah baginya satu kebaikan, dan tidaklah dia meletakkan tapak kakinya untuk berjalan melainkan Allah angkatkan daripadanya, Allah akan ampunkan baginya satu kesalahan dan tinggikan kedudukannya satu derajat sampai dia duduk disamping orang sakit, dan dia akan tetap mendapat rahmat sampai dia kembali ke rumahnya.” ( H.R. At-Thabrani )
Ketujuh : Isteri Bersabar Melayan Kerenah Pasangan
Wasiat baginda Rasulullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri.
Kata Baginda, “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.”
Itulah ganjaran pahala seorang isteri dalam melayani kerenah suaminya, selagi tidak melakukan kemungkaran. Namun tidak dapat dipastikankesahihannya walaupun ianya dipetik dari artikel yang disiarkan di akhbar Berita Harian pada 11 Oktober 2012.
Penutup
Ada beberapa lagi amalan seumpama umrah dan haji seperti solat di Masjid Quba dan umrah dalam bulan Ramadan. Namun kena juga pergi ke Mekah Madinah sana. Ada juga disebutkan pahala solat sunat Aidil Fitri seperti pahala umrah manakala solat sunat Aidil Adha seperti pahala haji. Namun diragui kesahihannya. Namun, usah gundah gulana. Peluang terbuka selagi hayat dikandung badan. Mari kita beristiqamah untuk mendapat pahala menunaikan haji setiap hari.
Home »
amalan pahala seumpama haji umrah
,
haji
,
umrah
,
umrah haji setiap hari
» Jom Umrah dan Haji Setiap Hari ?
1 Komen:
Menawarkan Ground Haji VIP dan Umrah 2015 / 1436H
Untuk maklumat lanjut layari www.abkhgc.com
Post a Comment