Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Ucapan Perbahasaan Bajet 2017 Oleh Ex-TPM

Agak panjang, tetapi banyak fakta dan kisah menarik. Entah betul entah tidak mungkin masa akan menentukannya. Sekurang-kurangnya suatu catatan yang elok juga disimpan yang mungkin suatu masa nanti begitu bermakna kepada kita semua. Siapa tahu ?

Tuan Yang di-Pertua,

1.​Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambi bahagian dalam perbahasan Bajet 2017. Saya mengambil peluang ini untuk menyentuh beberapa perkara asas berkaitan dengan bajet dan pengurusan ekonomi negara.

2.​Pertamanya ialah mengenai tadbirurus ekonomi (economic governance). Bercakap mengenai soal ini, saya tidak dapat lari daripada menyentuh satu isu yang amat menggelisahkan kita hari ini iaitu isu 1MDB.

3.​Dahulu saya duduk di sebelah sana dan hari ini saya berdiri di sebelah sini pun kerana saya bercakap mengenai isu 1MDB. Saya meragui kewajaran Perdana Menteri menubuhkan 1MDB dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya. Saya mempersoalkan mengapa 1MDB yang bermodal hanya RM1 juta tetapi menanggung liabiliti sehingga RM42 bilion disebabkan kerugian dan kehilangan wang yang tidak diketahui sebabnya. Akhirnya 1MDB menghadapi masalah kecairan wang tunai yang teruk sehingga tidak dapat membayar hutang piutangnya. Saya juga bertanya ke mana wang 1MDB lesap dan bagaimana sejumlah RM2.6 billion dijumpai dalam akaun peribadi Malaysian Official One?

4.​Banyak perkara yang saya bangkitkan mengenai skandal 1MDB ketika saya masih di dalam kerajaan. Saya tidak bersetuju dengan Perdana Menteri hampir dalam semua perkara yang melibatkan 1MDB. Semasa di dalam kerajaan saya menolak pelan rasionalisasi 1MDB untuk menyelesaikan hutang-hutang yang bertimbun menerusi penjualan aset-asetnya yang diperolehi dengan harga yang murah daripada kerajaan kerana saya percaya ada elemen-elemen terselindung yang tidak dijelaskan dengan nyata. Pelan tersebut tidak dibuat oleh pihak pakar yang bebas, tetapi disediakan secara dalaman sahaja oleh Kementerian Kewangan. Seolahnya Malaysian Official One ingin menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai penyelewengan 1MDB daripada diketahui oleh pihak lain.

5.​Malah, selepas mesyuarat kabinet saya menghubungi mantan Peguam Negara dan bertanyakan beliau adakah wajar kabinet memutuskan pelan penstrukturan semula 1MDB. Bukankah itu tanggungjawab Lembaga Pengarah 1MDB? Peguam Negara bersetuju dengan pandangan saya dan kemudiannya keputusan kabinet ditukar daripada meluluskan pelan rasionalisasi 1MDB kepada mengambil maklum sahaja tentang cadangan tersebut. Jelas terbukti sekarang bahawa teguran saya terhadap pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Tambun sebagai Menteri Kewangan II pada ketika itu adalah berasas bilaman apa yang diluluskan oleh Jemaah Menteri tidak dilaksanakan malahan apa yang berlaku hari ini berlainan sekali dari apa yang sepatutnya dilaksanakan.

6.​Begitu juga apabila kabinet diminta meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB untuk membayar faedah pinjamannya. Saya berasa amat tidak selesa dengan keputusan itu. Bilamana syarikat 1MDB ditubuh, kabinet langsung tidak dirujuk. Kehilangan wang berbilion ringgit pun tidak tidak dilapor kepada kabinet. Tetapi apabila syarikat ini menghadapi masalah untuk membayar hutang, barulah Perdana Menteri merujuk kepada kabinet untuk meminta sejumlah wang yang besar daripada kerajaan. Ini suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip tadbirurus ekonomi yang baik. Tiada ketelusan dan akuntabiliti. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan itu. Akhirnya, keputusan untuk meluluskan pembiayaan sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB ditukar kepada kredit tersedia sebanyak RM950 juta.

7.​Akhirnya, apabila masalah 1MDB menjadi semakin parah, kerajaan terpaksa menanggung semua hutang-piutang 1MDB yang asalnya berjumlah RM42 bilion dan sehingga tahun lalu meningkat kepada RM53 bilion. Jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa apabila ditambah faedah yang mesti dibayar. Ini adalah satu kerugian yang amat besar kepada rakyat kerana wang rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Adakah wajar rakyat menanggung beban hutang sedangkan wang 1MDB telah dicuri dan disalahgunakan sewenang-wenangnya oleh Malaysian Official One dan konco-konconya untuk berfoya-foya dan bermewah?

8.​Saya berdoa semoga Malaysian Official One diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk mengakui kesilapannya, memohon maaf dan bertaubat nasuha di atas segala kemungkaran yang dilakukan. Rakyat yang bermaruah pastinya tidak akan bertolak ansur dengan kemungkaran. Malah adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melawan dan mengubah kemungkaran. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith sahih:

Yang bermaksud:

Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya (yakni kuasa), jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan lisannya, jika tidak mampu maka (ubahlah) dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.

9.​Keduanya ialah tentang institusi-institusi penting negara seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia yang gagal berfungsi atau menjadi, dengan izin, dysfunctional. Institusi-institusi ini telah disalahgunakan oleh Malaysian Official One untuk melindungi kesalahan jenayah besar yang telah dilakukannya. Peguam Negara dipecat, pegawai-pegawai SPRM ditukar dan dibersarakan, Gabenor Bank Negara diugut dan Ketua Polis Negara telah gagal melaksanakan amanah.

10.​Integriti institusi-institusi ini semakin dipersoalkan. Ketika pihak berkuasa di luar negara mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan langsung dengan 1MDB, di Malaysia seolahnya tiada apa yang berlaku. Di Amerika Syarikat, Peguam Negara memfailkan saman ke atas individu-individu yang dikaitakan dengan 1MDB, termasuk anak tiri Najib Razak. Peguam Negara Amerika Syarikat menemui bukti-bukti kukuh mengenai perlakuan jenayah kleptokrasi yang terbesar dalam sejarah dunia yang melibatkan kehilangan wang berjumlah sekurang-kurangnya US$3.5 bilion atau RM28 bilion. Di Singapura, beberapa buah bank ditutup kerana terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang ada kaitan dengan 1MDB. Di Switzerland, pihak berkuasa kewangan negara itu mendapati beberapa buah bank melanggar undang-undang mengenai pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan transaksi 1MDB. Semuanya bertumpu kepada skandal 1MDB yang mana Pengerusi Lembaga Penasihatnya adalah Perdana Menteri.

11.​Tetapi di Malaysia tiada apa yang berlaku. Kenapa senyap sunyi? Seolah-olah siasatan terhadap salahlaku oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam skandal 1MDB tidak dikuatkuasakan! Siasatan terhadap bekas CEO Shahrul Halmi tidak diambil. Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah yang berhenti tidak disiasat dan dilepaskan begitu saja. Tiada seorang pun dipecat atau dihadapkan ke mahkamah atas salahlaku yang dibuat oleh mereka. Yang nyata seolah-olah segala yang berlaku ini disahkan oleh Perdana Menteri. Peguam Negara yang baharu pun tidak menemui sebarang bukti untuk mendakwa sesiapapun yang terlibat dalam skandal 1MDB. Walaupun ada bukti RM42 juta wang SRC International masuk ke dalam akaun Perdana Menteri, tetapi Peguam Negara mendapati Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah. Pelik dan ajaib! Kalau seringgit pun duit syarikat milik kerajaan masuk ke dalam akaun penjawat awam tanpa ada sebab munasabah merupakan satu perbuatan rasuah, inikan pula RM42 juta masuk ke dalam akaun Perdana Menteri. Bagaimana Peguam Negara boleh mengatakan ini bukan perbuatan rasuah? Betapa rosaknya institusi Peguam Negara di bawah telunjuk Malaysian Official One!

12.​Seingat saya janji kerajaan bahawa isu dan masalah 1MDB ini akan diselesaikan pada tahun 2016 sebagaimana yang dibuat dalam cadangan rasionalisasi 1MDB hanya merupakan khayalan yang tidak mampu dilaksanakan dengan berlalunya tahun 2016 tidak lama lagi. Benarlah sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB bahawa tahap pematuhan (compliance) dengan tadbir urus korporatnya adalah di tahap paling lemah.

13.​Isu ketiga yang saya ingin bangkitkan di Dewan yang mulia ini ialah tentang kedudukan kewangan kerajaan yang semakin meruncing dan ketahanan ekonomi negara yang kian lemah.

14.​Jelas, bajet untuk tahun hadapan dibentangkan dalam keadaan hasil kerajaan merosot hampir 10 peratus yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia. Purata harga minyak dunia telah jatuh daripada US$100 setong pada tahun 2014 kepada kira-kira US$52 pada tahun 2015, dan kini dengan purata kira-kira US$42. Akibat kemerosotan hasil kerajaan, defisit bajet negara kita telah meningkat kepada hampir 4 peratus pada bulan Ogos 2016. Begitu juga dengan hutang kerajaan yang semakin membebankan. Pada bulan Jun 2016, hutang kerajaan dilaporkan berjumlah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus kepada KDNK. Jika diambil kira hutang 1MDB yang kini berjumlah lebih RM50 bilion, yang sebahagian besarnya dijamin oleh kerajaan, hutang kerajaan kepada KDNK adalah melebihi had 55 peratus yang ditetapkan.

15.​Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan kerajaan amat meruncing. Dengan bayaran faedah bagi hutang kerajaan meningkat daripada RM20.3 bilion pada tahun 2013 kepada RM28.9 bilion pada tahun 2017, kutipan cukai GST sebanyak RM30 bilion nampaknya akan habis digunakan untuk menampung bayaran faedah sahaja.

16.​Malah, jika dilihat akan unjuran pendapatan tahun hadapan sekitar RM220 bilion, kerajaan mencadang akan membelanjakan sebanyak 97% daripada pendapatan negara untuk perbelanjaan mengurus. Ini amat merisaukan. Hanya lebih kurang RM5 billion sahaja yang ada untuk perbelanjaan pembangunan, maka dengan itu kerajaan terpaksa berhutang lagi sebanyak RM40 bilion untuk perbelanjaan pembangunan pada tahun hadapan.

17.​Lebih merisaukan kita ialah ketahanan ekonomi Malaysia yang semakin lemah. Hutang isirumah telah meningkat secara mendadak daripada RM90 bilion pada tahun 1997 kepada RM847 bilion pada tahun 2015, iaitu pertumbuhan hutang sebanyak 841 peratus. Hari ini, hutang isirumah Malaysia mencecah 89.9 peratus kepada KDNK, iaitu antara yang tertinggi di Asia.

18.​Saya bimbang dalam keadaan hutang kerajaan dan isirumah meningkat, rizab antarabangsa berkurangan, nilai ringgit jatuh, harga komoditi rendah dan kadar inflasi tinggi, negara kita tidak mampu bertahan jika berlaku serangan sepekulasi matawang, na’uzubillahi min zalik. Ketika ringgit kita diserang pada tahun 1997 sekurang-kurangnya rizab antarabangsa kita masih kukuh, harga komoditi masih tinggi dan kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi dan mengeluarkan negara daripada krisis.

19.​Malangnya, bajet 2017 yang dibentangkan oleh Malaysian Official One langsung tidak menunjukkan bahawa kerajaan serius serta mempunyai pelan yang jelas untuk memulihkan ekonomi negara dan mempersiapkan Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang akan berlaku akibat ketahanan ekonomi negara yang lemah.

Tuan Yang di-Pertua,

20.​Di awal ucapan saya tadi, saya menyebut tentang isu 1MDB. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa saya membangkitkan isu ini. Apa kaitannya dengan bajet? Apa kaitannya dengan kepentingan rakyat?

21.​Kaitannya dengan bajet adalah jelas. RM53 bilion hutang 1MDB kini ditanggung oleh kerajaan. Tetapi malangnya, Malaysian Official One tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana hutang piutang ini hendak dibayar oleh kerajaan.

22.​Persoalannya, adakah kerajaan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melunaskan hutang piutang ini? Tentunya segala tanggungan ini perlu dilunaskan dengan menggunakan sumber dana kerajaan, iaitu sumber sama yang diagihkan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam bajet yang dibentangkan. Apakah nantinya kementerian-kementerian akan menerima peruntukan yang lebih kecil berbanding apa yang dijanjikan di dalam bajet kerana kerajaan terpaksa menggunakan sumber yang sedia ada untuk membayar hutang piutang yang ditanggung akibat penyelewengan dan kepincangan dalam tadbir urus negara? Persoalan ini mesti dijelaskan oleh Malaysian Official One.

23.​Isu 1MDB juga mempunyai kaitan langsung dengan rakyat. Saya berjumpa dengan orang ramai dan bertanya kepada mereka 1MDB ini milik siapa? Mereka jawab milik Najib. Ada yang jawab milik Rosmah. Saya kata salah! 1MDB milik rakyat! Kemudian saya bertanya, siapa akan membayar hutang 1MDB? Mereka jawab rakyat akan bayar!

24.​Rakyat sebenarnya cerdik. Mereka tahu skandal 1MDB membawa padah secara langsung ke atas nasib mereka. Yang cuba menafikan hakikat ini hanyalah Menteri-Menteri, pegawai-pegawai JASA dan cybertroopers UMNO yang sememangnya diupah untuk berbohong dan menegakkan benang yang basah!

25.​Selain itu, skandal 1MDB mempunyai kesan negatif ke atas nilai ringgit yang menjunam. Ya, banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan atau kejatuhan nilai matawang, tetapi skandal 1MDB adalah salah satu fakor utama yang mempengaruhi sentimen pasaran terhadap ringgit. Walaupun dikatakan asas ekonomi kita kukuh, tetapi kehilangan keyakinan terhadap Malaysia akibat skandal 1MDB menyebabkan nilai ringgit jatuh ke paras yang lebih rendah. Pakar-pakar ekonomi mengatakan berdasarkan perkiraan asas ekonomi, nilai ringgit kita tidak sepatutnya melebihi RM3.50 berbanding US$1.00. Yang lebih daripada itu adalah sentimen.

26.​Sebab itu rakyat merungut mengenai kenaikan harga barang. Saya pergi ke pasar bertanya seorang makcik apa yang beliau beli? Katanya tak banyak tapi harganya lebih mahal daripada dahulu. Kalau dahulu dengan wang RM50.00 sudah boleh membeli barang satu bakul, sekarang dengan nilai yang sama hanya separuh bakul sahaja yang mampu dibeli.

27.​Ini sebenarnya adalah kesan daripada kejatuhan nilai ringgit. Banyak barang makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, beras, daging, kelapa dan lain-lain yang diimport. Apabila nilai ringgit jatuh, maka harga barang-barang ini akan menjadi lebih mahal. Jadi mana boleh dikatakan masalah 1MDB tiada kesan kepada rakyat. Kerana sentimen pasaran yang negatif terhadap negara kitalah, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh skandal 1MDB, nilai ringgit kita jatuh, harga barangan yang diimport menjadi lebih mahal dan rakyat menanggung beban kos sara hidup yang tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

28.​Saya ingin mengucapkan tahniah juga kepada Perdana Menteri. Beliau pandai menggunakan sumber yang ada untuk membina persepsi bahawa semuanya berada dalam keadaan yang baik. Dengan izin, everything is okay! Cash is King! Banyak gula-gula diberikan kepada rakyat dalam Bajet 2017. Tetapi gula-gula ini manisnya hanya sementara. Ia umpama candu ekonomi untuk membuatkan orang khayal sebentar dibuai mimpi yang indah-indah. Sedangkan penyakit sebenar ekonomi negara kita tidak dirawat. Ubat yang pahit tidak diberikan untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang tenat.

29.​Pembentangan bajet pada tahun ini pun agak berlainan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ada grandstanding. Ada props. Biasanya grandstanding dan props digunakan untuk mencantikkan sesuatu yang sebenarnya tidak cantik. Ia sekadar suatu silap mata untuk menutup kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara. Kos sara hidup meningkat, hutang negara bertimbun, perniagaan perlahan, syarikat membuang pekerja, pengangguran meningkat, perbelanjaan pengguna menurun, hasil kerajaan merosot, peruntukan untuk kementerian-kementerian dipotong, wang dalam khazanah negara lesap dan sumber kerajaan digunakan untuk membayar hutang.

30.​Namum, dalam keadaan yang meruncing sebegini pun, kita berasa amat kesal kerana kerajaan masih mengambil sikap, dengan izin, “business as usual”. Perbelanjaan untuk kebajikan rakyat seperti biasiswa, perkhidmatan kesihatan dan subsidi barangan asas telah dipotong, namun gaji dan elaun Menteri kekal seperti biasa. Malah projek-projek mega yang hanya menguntungkan beberapa kerat kroni diteruskan tanpa diusik sedikit pun. Tiada pun disebut dengan jelas bagaimana kerajaan bercadang menjana peluang pekerjaaan untuk mengatasi masalah kadar pengangguran semakin meningkat.

31.​Baru-baru ini ketika para mahasiswa kita yang berada di dalam mahupun di luar negara keluh kesah kerana tidak menerima biasiswa seperti yang dijanjikan dan para pesakit terpaksa membayar sendiri kos perubatan di hospital-hospital kerajaan, Perdana Menteri dengan bangganya merasmikan projek pengindahan Taman Tugu Negara yang menelan belanja sebanyak RM650 juta. Nampaknya, kerajaan pimpinan Malaysian Official One ini lebih mementingkan pengindahan taman yang pastinya menguntungkan segelintir pihak daripada nasib para pelajar dan pesakit di negara kita yang amat memerlukan bantuan kerajaan.

32.​Kerajaan juga nampaknya langsung tidak prihatin dengan masalah kos sara hidup rakyat. Ketika rakyat mengharapkan bantuan kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung, kerajaan sebaliknya menghapuskan subsidi minyak masak yang pastinya akan menyebabkan harga makanan meningkat dan menambah beban kos sara hidup rakyat. Sedangkan isu sebenar iaitu masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi kerajaan tidak diatasi dengan baik. Misalnya, kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM540 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan minyak masak yang gagal dibendung oleh pihak berkuasa.

33.​Ini tidak termasuk ketirisan-ketirisan lain. Berdasarkan kajian yang dibuat ke atas Laporan Tahunan Ketua Audit Negara, kerajaan mengalami kerugian antara RM23 bilion hingga RM40 billion setahun disebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan dan gejala rasuah dan penyelewengan yang berleluasa.

34.​Kita juga sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh persekitaran luaran yang lemah dan keyakinan terhadap ekonomi domestik yang merosot teruk. Dalam keadaan ini, fokus seharusnya diberikan kepada usaha untuk merangsang permintaan domestik. Ini bermakna, peruntukan perlu diberikan kepada sektor-sektor yang mewujudkan peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama menghasilkan aliran masuk pertukaran asing. Elaun pelaburan semula bagi sektor-sektor ini perlu diperkenalkan dan projek-projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi boleh ditangguhkan.

35.​Nasib pekerja boleh dilindungi dengan memperkenalkan skim insurans pengangguran. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan hanya 1 daripada 10 rakyat Malaysia boleh menyara hidup lebih daripada 6 bulan jika mereka kehilangan pendapatan utama. Kos sara hidup juga boleh dikurangkan dengan mengurangkan kos barangan makanan. Antara langkah sementara yang boleh diambil ialah menghapuskan GST untuk barangan runcit tertentu seperti susu tepung, kicap, sos cili dan barangan asas yang lain. Untuk mengurangkan beban kos perubatan, terutamanya bagi penyakit kritikal, kerajaan boleh mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli insuran perubatan.

36.​Inilah antara langkah-langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan, bukannya menyuruh graduan yang telah melabur puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan segulung ijazah menjual nasik lemak, ataupun rakyat berkerja siang dan malam sebagai pemandu Uber. Ini bukanlah penyelesaian yang rakyat harapkan daripada kerajaan. Tanpa disuruh oleh kerajaan pun mereka mungkin akan melakukan kedua-dua perkara ini untuk memperolehi rezeki yang halal dan menyara kehidupan.

Tuan Yang di-Pertua,

37.​Bajet yang dibentangkan oleh kerajaan bukanlah satu bajet yang realistik. Ia langsung tidak memenuhi kehendak rakyat dari segi keperluan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia juga tidak mengandungi satu perancangan yang jelas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan menambahkan pendapatan rakyat. Peruntukan kepada kementerian-kementerian yang bertanggungjawab menyampaikan perkhidmatan-perkhidmatan utama kepada rakyat seperti pendidikan dan kesihatan dipotong. Isu tadbirurus ekonomi (economic governance) tidak ditangani dengan baik sehingga menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap ekonomi negara.

38.​Sebaliknya, pada pandangan saya, bajet 2017 hanya sarat dengan gula-gula politik sekadar untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Malaysian Official One yang telah mencuri dan merompak khazanah negara.

Terima kasih.


YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
AHLI PARLIMEN PAGOH
Share:

Disebalik Pemecatan Tan Sri Muhyiddin

Sebaik Tan Sri Muhyiden Yassin ( TSMY ) diumumkan yang dia digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 28 Julai 2015 dalam rombakan cabinet baru, aku jadi terkejut berok. Walaupun PM kata pengguguran tersebut mendapat sokongan 154 Ketua Bahagian dan 3 juta ahli Partinya, tapi ada jutaan lagi warga negara yang juga pengundi berdaftar dan bukan ahli UMNO turut terkejut dan terpingga-pingga.

Akhirnya kalangan pimpinan UMNO, sama ada yang menganggotai kabinet atau tidak, pun jadi senyap to play safe. PM berjaya mengekalkan kuasa eksekutif menerusi rombakan kabinet yang dibentuk. Namun bagaimana di mata khalayak ramai ? Sejauh mana rakyat meyakininya disebalik palitan isu-isu demi isu yang melingkarinya ?

Tambahan membingungkan ialah pemecatan back-dated perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail 27 Julai, dikatakan atas faktor kesihatan. Ada surat doktor ke sedangkan dia bakal bersara wajib Oktober nanti ? Abdul Gani Patail terlibat dalam pasukan penyiasatan dan pemecatannya tentu pembantutkan penyiasatan Pasukan Petugas.

Melengah-lengahkan Isu ?
Pasukan PAC pun tergendala sebab Pengerusinya selain beberapa ahlinya dilantik menganggotai kabinet. Speaker Dewan Rakyat sudah sudah kata yang anggota baru PAC tidak akan dilantik sehingga Dewan bersidang Oktober ini. Bolehkah Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw ( DAP ) meneruskan tugas dengan ahli yang tinggal ? Bimbang nanti tidak mendapat kerjasama pengurusan Parlimen atau hasil siasatan mereka tidak diiktiraf.

Terkini orang SPRM pula menjadi sasaran apabila yang terlibat dengan siasatan ditukarkan kerja ke tempat lain. Bila siasatan mahu ditamatkan, atau sengaja mahu dilengah-lengahkan sehingga rakyat lupa. Maklumlah Melayu mudah lupa ...

Persoalan kini jug apakah ex-PM boleh bertahan lama lagi ? Sejauh mana beliau dan penyokongnya berupaya mengubah keadaan di peringkat atas sama ada dalam Umno atau kerajaan. Atau sebaliknya mereka boleh mengubah persepsi dan sokongan rakyat jelata dan pengundi. Ini yang mungkin dibimbangi dan tidak hairan kalau beliau dilucutkan jawatan Timbalan Presiden atas alasan disiplin dan berhadapan dengan tindakan tata-tertib partinya. Ataupun tunggu 18 bulan lagi untuk UMNO adakah semula pemilihan.

Bak kata Raja Petra Kamaruddin dalam blognya, TSMY dituduh cuba merancang hendak mengulingkan Najib bersama kekuatan pembangkang dan media seperti The Edge dan Sarawak Report menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen. Entahlah, sukar juga nak percaya. Atau sekadar nak reka cerita bagi menyakinkan orang ramai bahawa pemecatan TSMY adalah wajar.

Apapun, tindakan mengugurkan atau memecat TSMY telah menimbulkan pelbagai kebimbangan yang boleh menyebabkan krisis kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan negara. Perkara ini boleh membawa kepada suasana tidak stabil dan menjejaskan perjalanan negara. Nilai RM berbanding matawang lain semakin menyusut.

Persepsi Rakyat
Dalam isu derma RM2.6billion, pelbagai alasan diutarakan untuk menghalal dan menampakan ianya memang halal. Kalaupun halal, bukan jenayah dalam UMNO dan dana lebih selamat diperlakukan begitu, namun bagaimana persepsi rakyat atau ahli UMNO itu sendiri ? Anehnya Timbalan Presiden pun tak tahu. Bagaimana pula dengan Bendahari ?

Tidak dapat tidak, parti pemerintah dan barisan kabinet barunya mesti berusaha memujuk dan meyakinkan kembali rakyat agar mendapat sokongan semula. Jika tidak akan menjadi realitilah kegusaran TSMY bahawa UMNO-BN akan kalah jika esok pilihanraya.

Malangnya my junior seorang masa sekolah menengah yang jadi Timbalan Menteri tu buat lawak antarabangsa, esok tidak pilihanraya. Buat apa gusar lagi … Guru BM dia sama ke dengan guru BM aku dulu ?

Aku ada tanyakan mereka yang hadir dalam jamuan Aidil Fitri di taman kediamanku tadi, MP tak datang ke ? Dulu-dulu beliau sering datang dan membuat ucapan. “UMNO nak runtuh dah. Nak datang macamana, sibuk kehulu hilir dengan mesyuarat Bahagian”, kata salah sorang hadirin. Terkejut aku, "jangan cakap kat sangat", balasku.
Share:

Polemik Hudud Melanda Lagi

Setelah beberapa ketika senyap, polemik hudud melanda lagi. Bagi orang awam mungkin mengejutkan, tetapi bagi perancang itulah sebagaimana diatur. Melandanya kebetulan dengan saat kegawatan rakyat dalam menghadapi GST serta kenyataan ex-PM, Tun Mahathir pedas-pedas terhadap PM sekarang dan kepimpinannya.

Setelah pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan dalam sidang DUN Kelanan pada 19 Mac 2015 yang lalu. Bila sebenarnya pindaan tersebut yang yang dimaksudkan sebagai Hudud hendak dibentangkan di Parlimen. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan telah menghantar permohonan agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud itu di bawa ke Parlimen kali ini.

Difahamkan, sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan. Kenapa perlu dibentang juga di parlimen sedangkan ianya hanya untuk negeri Kelantan. Bukan setakat negeri Kelantan, tetapi umat Islam Kelantan sahaja. Tidak cukupkah setakat di Dun Kelantan sahaja. Mengapa pula dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ?

Polemik
Sultan Kelantan pun sudah memberi perkenan dan semua ahli DUN pun setuju, termasuk dari UMNO dan PKR. Apakah ahli DUN takut nak bantah, takut dicop derhaka kepada Sultan ? Kepimpinan BN dan PKR di pusat pula merestui tindakan ADUNnya, walaupun kemudian bersikap lain sedikit. DAP yang menjadi rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat ( PR ) bersama PAS dan PKR terus memberikan tekanan, khususnya pimpinan pusatnya. Presiden Pas dituduh main tikam belakang dan tidak membincangkan tentang pelaksanaan Hudud dalam mesyuarat bersama, apatah lagi memohon restu.

Pimpinan DAP Pusat kata akan memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, tetapi tidak dengan PAS. Mereka juga ugut PAS supaya keluar dari PR. PAS pulak kata akanterus dalam PR dan DAPlah yang patut keluar PR jika tidak setuju. Berani ke DAP keluar dari PR ? Mereka akan kehilangan Pulau Pinang. PAS awal-awal dah kata rela hilang semua kerusi demi sebuah pemerintahan yang diberkati Allah s.w.t.

PKR yang 'kehilangan' Datuk Seri Anwar Ibrahim pula macam jadi serba salah. Jalan selamat maka dikatalah, belum sesuai dilaksanakan pada masa ini. Apakah tidak sesuai lagi bagi umat Islam di Kelantan sedangkan mereka telah bersedia ?

UMNO seperti mahu menunjukkan sikap positif untuk menyokong tindakan PAS, mungkin bagi memastikan PR terus berpecah danmudah bagi mengekalkan popularity dan pemerintahan seterusnya. Namun MCA awal-awal lagi mengancam akan keluar dari BN jika UMNO bersetuju. PAS Selangor kata belum bersedia, ikut dialah. Cuma yang tidak sedapnya ex-MB Perak siap menandatangani dekarasi tidak akan melaksana hudud sekiranya PR memerintah di Perak. Walau apapun alasannya, mulai hilang respect aku kepadanya selama ini.

Asap Tebal Politik
Yang menjadi sukar atau halangan sebenarnya ialah kepulan asap tebal politik yang melindungi dan mengkelabui persepsi, pengakuan dan tindakan. Ada pengundi yang hendak dijaga, ada pengauan yang hendak dipertahankan dan ada janji yang hendak dikota. Polemik hudud sepatutnya ia dibicarakan secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan berautoriti.

Namun disebalik persoalan, bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Hudud, sekurang-kurangnya polemik ini meningkat dan mempromosikan lagi pemahaman masyarakat terhadap intipati serta kandungan hukum Hudud itu sendiri.

Tetapi masalahnya sampai bila ? Atau sampai bila-bila lantaran kata Pak Menteri Pelancongan, hanya orang bodoh sahaja yang membicarakannya, sedangkan ianya tidak akan dapat direalisasikan atas halangan prosedur, undang-undang dan perlembagaan semasa.

Atas faktor ini juga ada ahli DAP yang menyelar pimpinan DAP Pusat. Biarkan ianya dibentang secara gentlemen di Parlimen. Kalau tak setuju, undi sahaja tidak setuju, daripada berpolemik sehingga menggugat PR !!!

Keadilan
Bagi orang-orang Islam, pelaksanaannya adalah tuntutan akidah. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk melaksanakan undang-undang Islam. Apatah lagi penganut Islam adalah majoriti dan Islam menjadi Agama Rasmi negara.

Tidak bolehke kefahaman atas dasar sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi serta bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat menjadi penentu kepada kefahaman dan keharmonian beragama di Malaysia.

Hudud hanya terlibat kepada umat Islam, sebagaimana wajibnya solat bagi umat Islam. Jika ini dikatakan tidak adil kepada penganut agama lain, apakah nak dikatakan tidak adil kepada penganut bukan Islam lantaran mereka tidak solat zakat, puasa dan haji ?
Share:

28 Oktober 2014 : D-Day Untuk PR

Kalau di Putrajaya, seluruh pendokong PR diminta berhimpun di Mahkamah Persekutuan bagi memberikan apa yang dikatakan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ) yang berdepan dengan keputusan rayuan kes Liwat IInya. Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kepada DSAI atas pertuduhan itu. Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos lepas 2014 menetapkan 28 dan 29 Oktober untuk mendengar rayuan terakhir DSAI berhubung kes Liwat IInya.

Manakala di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pula, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ( TGAHA ) akan hadir pada perbicaraan kes saman fitnah oleh calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin ekoran pertanding tiga penjuru anatara PAS-UMNO-PKR dalam PRU13 lalu di Dun Bukit Besi. Apakah implikasi keputusan kedua-dua perbicaraan tersebut ? Sebab itu aku kata bahawa 28 Oktober 2014 mungkin boleh dianggap sebagai D-Day Untuk Pakatan Rakyat.

Sejak krisis MB Selangor ciptaan PKR yang bermula dengan Langkah Kajang yang sumbang itu, PAS sering dilihat sebagai yang bersalah. PKR dilihat semakin intim dengan DAP tetapi renggang dengan PAS. Malah kekalahan PAS di PRK DUN Pengkalan Kubor pun, bukan sekadar PAS dipersalahkan tetapi terpaksa bergerak tanpa sokongan padu gabungan PR yang lain. Bukan di Pengkalan Kubor sahaja, malah di Teluk Intan pun PAS dipersalah kerana kekalahan DAP dan kurangnya majoriti di Limau Manis yang dimenangi PAS.

Kelihatannya segala kesungguhan, usaha dan pergorbanan PAS tidak begitu dihargai sehingga mendabik dada, dikatakan PR boleh boleh terus berjuang ke Putrajaya tanpa PAS. Tetapi dalam masa yang sama mereka mengingatkan bahawa PAS bukan sahaja akan kalah di DUN dan Parlimen yang kini dimenangi, malah tidak akan dapat mengekalkan Kelantan sekiranya meninggalkan PR.

Bagi menyaingi BN, pakatan PAS-DAP-PKR perlu diteruskan. Jika PAS keluar daripada PR, cita-cita mewujudkan pembangkang yang kuat atau kerajaan alternatif hanya tinggal angan-angan saja. BN dengan parti komponennya tentu bergembira sekiranya PR perpecah dan bertelagah sesama sendiri.

Malah jarum ini yang sedang dicucuk kepada PAS dengan mengatakan PAS akan lebih dihormati sekiranya keluar daripada PR. PAS telah terpesong perjuangan dan kini diperalatkan oleh DAP serta PKR. PAS juga dilihat tidak dominan dan sering ditenggelami atau mengikut rentak PKR dan DAP. Sedikit kesilapan PAS dilihat tidak mencerminkan watak keislaman dan keperibadian Muslim. Kedudukan PAS dalam gabungan PR kini dilihat menjadi semakin genting. Selain ada suara yang mahu PAS keluar daripada PR, wujud PASMA untuk memastikan PAS kekal dalam PR.

Aku berkeyakinan bahawa DSAI akan gagal dalam rayuannya dan akan kekal bersalah. Ini dapat dilihat setelah kegagalan DSAI dalam mengenepikan Peguam UMNO, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam mengetuai pasukan pendakwa. Seandainya DSAI gagal dalam rayuannya, beliau akan dipenjarakan selama 5 tahun. Mungkin sehingga 2019 sedangkan PRU14 sekitar 2017 atau 2018.

Apakah nasib dan masa depan PR ? Sejauhmana PR akan bangkit ? Sajauh mana PM sekarang akan terpalit sama dengan apa yang mungkin dianggap dosa atau kezaliman pemerintah sekarang walaupun kesnya bermula dari kempimpinan PM sebelum ini ? Mungkin sama seperti episode semasa beliau dipenjara selama 6 tahun dulu.

Bermula dengan siapa akan jadi Ketua Pembangkang di Parlimen ? PKR dan DAP tentunya menolak TGAHA sebagai Ketua Pembangkang. Datin Seri Wan Azizah bukan lagi Ahli Parlimen. So Lim Kit Siang ( LKS ) ? Jika dalam PRU14 nanti LKS menang dan PR menguasai parlimen, makanya LKS jadi PM ? Apakah suasana ini dipersetujui PAS ?

Keadaan mungkin bertambah parah sekiranya TGAHA juga tewas dengan kes saman calonPKR ke atasnya. Dibimbangi dendam dan kebencian pengikut PAS ke atas PKR semakin menebal. Maka semakin rengganglah PAS dengan PKR atau PR. Alang-alang kalah, biar semuanya kalah. Alang-alang PAS kehilangan apa yang diperolehi, biarlah yang lain pun hilang juga. Boleh begitu ?
Share:

Selamat Tinggal Ramadan 1435H

Ramadan 1435H telah berlalu meninggalkan pelbagai kenangan dan peristiwa yang mungkin sukar difahami, di luar kawalan dan di luar jangkaan kita. Ia mungkin juga mahu menguji sejauh mana keikhlasan, kekuatan, kesepaduan kita khususnya umat Islam sama ada di Malaysia atau serata dunia.

Ramadan 1435H tiba disebalik kerancakan pesta Kejohanan Bolasepak Piala Dunia yang berlangsung di Brazil, atau dipanggil Brasilia 2014. Ia mungkin dianggap sbagai the greatest show on earth. Entahlah … Namun ramai umat Islam khususnya di Malaysia serta negara serantaunya, berpeluang menyaksikannya secara live disamping makan sahur.

Satu lagi yang musykil ialah bagaimana kejohanan yang turut disertai oleh pemain Muslim termasuk dari negara Islam ‘tersengaja’ diadakan dalam bulan Ramadan. Tidak dinafikan zaman nabi pun pernah berperang dalam bulan Ramadan. So bolehlah tidak berpuasa demi memastikan kecergasan semasa perlawanan, demi jihad untuk mendapatkan kemenangan negara ?

MH370 vs MH17
Belum pun selesai operasi pencarian MH370, Malaysia malah dunia dikejutkan dengan terhempasnya kapaterbang MH17 di satu wilayah Ukraine yang dikatakan ditembak jatuh pada 17 Julai 2014. Ia dikatakan menjadi mangsa akibat pertikaian sekian lama antara kerajaan Ukraine dengan pihak pemisah atau anti Ukraine yang disokong oleh Russia.

Tak sangka peluru penembak boleh sampai sejauh laluan kapalterbang komersil. Sungguh tragis dan tidak berperikemanusiaan. Tak kan tidak dapat beza antara kapalterbang komersil dengan tentera ? Silap percaturan, silap perkiraan ?

Mayat dan sisa bertaburan, kawasan tidak dikawal, orang bebas keluar masuk. Tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya keadaan detik-detik akhir yang dialami oleh penumpang sebelum terhempas.

Salah seorang mangsa ialah seniorku 3 tahun semasa di SMS Johor, Kluang iaitu Tn Hj Mohd Ghaffur yang merupakan Ketua Pramugara. Namun ada perkara menarik mengenai beliau yang dipaparkan di merata media social. Antaranya ialah ketegasan untuk tidak menghidangkan arak dalam kapalterbang, menulis surat kepada Jakim untuk melarang pengidangan arak dalam kapalterbang MAS serta pakaian menutup aurat pramugari.

Keganasan Zionis Israel
Pada saat umat Islam sibuk dengan puasa dan ibadah Ramadan. Pada ketika Brasilia 2014 sedang rancak, tetiba Israel membuat serangan demi serangan ke atas Palestine khususnya di kawasan Gazza.

Namun kali ini, serangan Israel mendapat tentangan luarbiasa dari pihak Hamas. Pihak Israel dikatakan terkejut dengan kemampuan serangan balas Palestine. Namun seperti biasa pihak Israel mendapat sokongan banyak negara, walaupun mereka yang kelihatan memulakan keganasan. Dalam hal ini yang jelas kelihatan ialah dunia Arab yang semakin lemah dan berpecah belah. Malah dunia Islam lain pun seperti tidak tahu nak berbuat apa-apa seolah-olah membenarkan kata-kata bahawa Israel tidak akan dapat menawan Gazza, sebalik telah berjaya menawan semua negara di dunia ini kecuali Gazza.

Di Malaysia selain demontrasi menyuarakan bantahan serta membuat kutipan bagi membantu Palestine kita kelihatannya mengorak langkah kepada pemboikotan barangan Israel serta yang mempunyai kepentingan membantu Israel. Banyak rupanya, malah banyak juga dagangan Malaysia dengn Israel.

Apakah akhirnya ? Daripada segi logik aqal, aku kira tidak berapa lama lagi seluruh Palestine akan jatuh ketangan Israel. Terlalu banyak ketidakadilan dunia pada masa ini.

Kekalutan Kerusi Menteri Besar Selangor
Serabut betul. Aku rasa sudah elok-elok Selangor dengan pentadbiran dan kemajuan yang yang diterajui oleh PR dengan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MBnya. Tetiba, berpanjangan pulak krisisi dalaman Parti Keadilan Rakyat yang mengheret sama masalah dengan sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS.

Sayang Selangor, terlalu banyak politiking oleh PKR. Aku secara peribadi pun tidak setuju dengan Datin Sri Wan Azizah sebagai MB Selangor sebab dia perempuan dan bukan anak jati Selangor pulak tu. Langkah Kajang ? Pilihanraya Kecil DUN Kajang pun aku berpandangan tidak wajar.

Seandainya bubar DUN Selangor, aku kira PR termasuk PKR akan kehilangan banyak kerusi dan BN akan memerintah semula. DAP dan PAS tentunya bimbang keadaan ini.

Sukan Komanwell
Ramadan 1435H ditutup dengan kerancakan Sukan Komanwell Kali Ke-20 yang diadakan di Glasgow, Scotland di sebalik serangan yang berterusan oleh Israel ke atas Gazza dan kekalutan kerusi MB Selangor.

Mungkin tidak banyak yang boleh diharapkan kejayaan Malaysia dalam Sukan Komanwell memandangkan ianya bukanlah arena yang popular. Kejayaan penganjuran tidak lebih sebagai menunjukkan betapa England merupakan suatu kuasa besar yang pernah menakluki atau memerintah pelbagai negara di dunia ini. Sedangkan Englandlah yang membuat keputusan yang menempatkan bangsa Yahudi di bumi Palestine … jahat England ni sebenarnya
Share:

Wajarkah PRK Dun Kajang ?

Ketika seolah-olah berlaku ‘pergeseran’ diantara beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) yang melibatkan jawatan Menteri Besar dan Penasihat PKR ( yang juga penasihat Ekonomi Selangor ), tetiba ADUN Kajang, YB Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberikan laluan kepada PRK DUN Kajang. Tindakan itu kononnya bagi memberikan laluan kepada usaha taktikal PKR untuk mengambil alih Putrajaya.

Berdasarkan dua penggal PRU, mungkin tiada masalah untuk PKR menang lagi. PKR juga kelihatan begitu yakin walaupun meletakkan calon Melayu di kawasan yang BN sentiasa diwakili oleh orang Cina MCA. Malah calom awal juga dikatakan bakal menggantikan Menteri Besar sekarang. Setujukah Sultan ?

Mungkin aku akan dikatakan pendek akal jika mengatakan Pilihanraya kecil ( PRK ) Dun Kajang membazirkan masa dan wang rakyat. Isu dalam parti, rakyat yang menjadi mangsa untuk keluar mengundi, berkempen dan terpaksa menghadapi PRK. Kalau aku pengundi di sana rasanya nak boikot sahaja. Macam main-main aje.

Memang daripada segi teknikal, ianya dibenarkan oleh perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta tidak salah dari sudut undang-undang.

Juga tidak salah daripada segi moral lantaran merasakan perletakan jawatan itu untuk memberi peluang kepada pengundi di Kajang mendapat ADUN yang lebih baik atau yang lebih hebat.

Atau beralasan ini tindakan taktikal Pakatan Rakyat ( PR ) setelah gagal menawan Putrajaya. Tetapi aku difahamkan ini tidakpun dibincangkan bersama anggota PR yang lain sebelum perletakan jawatan YB Lee Chin Cheh.

Ini 'memaksa' DAP dan PAS serta lainya bersetuju atas dasar semangat setiakawan ? Malahan Sultan Selangor pun nanti dipaksakan setuju sekiranya jawatab MB perlu ditukar juga.

Bagaimana jika calon PKR kalah ? Adakah ia bermakna perjalanan PR untuk menerajui tampuk pemerintahan di Putrajaya masih panjang atau semakin jauh ? Ini adalah kerana tagline ‘Kajang Move’ cuba digunakan sebagai pemangkin untuk menguasai Putrajaya.

Apa istimewanya pengundi Dun Kajang yang terdiri daripada 38,965 orang pengundi ( Pengundi Melayu 48 %, Cina 41 %, India 10 % ) sehingga dijadikan ujikaji atas sokongan dan peluang PR dalam usaha 'menuju Putrajaya' ?

Yang menariknya, hari penamaan calon ditetapkan selepas perbicaraan kes rayuan Liwat II. Walaupun penangguhan dan rayuan berjaya dibuat, nampaknya PKR terpaksa membuat perubahan taktikal juga dan krisis di kalangan pemimpin kanan PKR akan hidup semula selepas PRK Kajang nanti.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.