Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Konsert Ana For Gaza Yang Suram ?

Jika umat Islam merasakan isu Gaza dan Palestine tiada kena mengena dengan mereka, bermakna telah berjayalah dakyah dan propaganda yang mereka mainkan. Palestine dan Gaza memerlukan sokongan umat Islam seluruh dunia. Palestine dan Gaza tidak boleh sendirian dalam perjuangan mereka. Jika tidak, sewenang-wenanglah pihak Israel bertindak ke atas Palestine dan Gaza. Oleh itu keperihatinan umat Islam terhadap Palestine hendaklah terus dipupuk dan tidak boleh luput sama sekali.

Atas dasar inilah, aku kira Konsert Ana For Gaza di adakan sebagai salah satu pengisian slot di Karnival Ana For Gaza yang diadakan bermula pada 29 Julai 2011 sehingga 31 Julai 2011 di Stadium Kajang. Konsert yang diadakan pada hari Sabtu, 30 Julai 2011 tersebut adalah rentetan daripada usaha-usaha sebelum ini untuk membantu rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang tertindas oleh kekejaman rejim Zionis Israel. Rabbani Productions Sdn.Bhd & Ana Edar Sdn. Bhd selaku penganjur utama konsert tampil dengan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat Palestin di Gaza untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka di sana.

Antara pengisiannya, persembahan nyanyian, sketsa, deklamasi puisi dan sajak, serta penceritaan pengalaman. Antara artis yang membuat persembahan ialah Kumpulan Rabbani Saujana, Nowseeheart dan Inteam. Turut diadakan persembahan istimewa dari Aishah, deklamasi puisi Dato’Ustazah Siti Norbahyah Mahmood serta Datuk Dr. Ibrahim Ghaffar. “Disk Jockey” (DJ) Erwan dan DJ Maslina daripada radio IKIMfm menjadi pengacara majlis pada malam tersebut.

Walaupun dibarisi dengan persembahan daripada pelbagai kumpulan nasyid yang popular di tanah air dan bigname, namun rasanya konsert tersebut kurang mendapat sambutan. Konsert for Gaza yang pernah aku hadiri sebelum ini di Stadium Melawati tahun lepas, dihadiri oleh jumlah penonton yang jauh lebih ramai daripada yang berlangsung tempohari di Stadium Kajang. Malah jumlah sumbangan juga berlipat kali ganda dengan yang berjaya dikutip di konsert Ana For Gaza ini.

Mengapa ini berlaku ? Apakah orang ramai sudah kurang perihatin, kurang minat mengikuti isu ini. Memang tidak semestinya tidak hadir konsert bermakna sudah kurang perihatin terhadap isu palestin. Mungkin ramai yang datang berkunjung ke gerai jualan yang diadakan serta turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan sepanjang karnival.

Tapi aku difahamkan juga ada satu program lain berkonsepkan ‘Malam Amal Kesenian Islam’ dijalankan dalam tempoh masa yang sama di Bandar Baru Bangi. Apakah itu juga jadi penyebabnya ? Atau kedudukan stadium yang tidak strategik, terletak di tengah-tengah Bandar Kajang yang sentiasa sesak menjadi punca ?

Lagi Gambar Sekitar Konsert
Share:

Ke Bandar Seri Begawan - Hari 1

Ke Brunei ? Ada apa ? Mungkin orang akan tanya, apa yang menarik atau yang best di Brunei ? Sejak kecik lagi aku sering melihat pemandangan di perkampungan air dan keindahan Masjid Sultan Omar di Brunei menerusi gambar dan majalah. Dua tarikan itu menjadi penyebab untuk aku kesana bagi melihat dan mengalaminya sendiri. Kebetulan dengan jualan tambang murah oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan, akhirnya impian tercapai dengan hanya RM 132 untuk berdua pergi dan balik. Tak lama, hanya dua hari dan satu malam sahaja.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Brunei ke hotel penginapan begitu lancar sekali. Tiada kesesakan jalan sebagaimana di Kuala Lumpur. Plet nombor pendaftaran kenderaan seperti di Semenanjung Malaysia sahaja. Berbeza dengan Sabah dan Sarawak. Menurut pemandu van, berbanding dengan Proton, orang sini lebih suka beli Toyota Vios yang berharga sekitar 19ribu Dolar Brunei. Tiada cukai kenderaan, minyak murah dan tidak perlu road-tax. Pendeknya cukai import kenderaan yangg membuatkan harga kereta di Malaysia agak mahal, sehingga dianggap kereta mewah.

Pasar Tamu Kianggeh
Pasar Tamu Kianggeh merupakan sebuah pasar terbuka yang terletak di tepi sunggai Kianggeh di tengah-tengah Bandar Seri Begawan. Di sini kita boleh mendapatkan pelbagai barangan termasuk juadah dan buah-buahan tempatan, ikan sayuran, bungaan dan kraftangan.

Pendek kata kalau nak cari barangan atau produk buatan tempatan Brunei, barangkali di sinilah tempatnya. Belacan, makanan kering, undang kering, ikan masin serta pelbagai ubatan tradisional herba dijual dengan harga yang dikira murah juga.

Pasar Tamu Kianggeh dibuka bermula dari awal pagi dan akan berakhir pada lewat petang setiap hari. Kebanyakkan penjual di sini terdiri daripada kaum wanita tempatan. Ada juga yang menjual di atas gerai tetap.

Asas Brunei
Sambil menikmati sarapan pagi di sebuah di sini, aku mendapat info tentang Brunei dan kuliah percuma oleh seorang yang mendakwanya dirinya sebagai pendakwah yang telah merata memberikan ceramah di pendalaman Brunei.

Brunei dikatakan berasal dari ‘Baru Nah’ yang bermaksud tempat yang sangat baik dan strategik di hati mereka yang memula datang ke sini untuk mendirikan negeri. Bagi memudahkan sebutan orang puteh penjajah dulu, lalu menyebutnya Brunei. Kini Brunei terdiri daripada 4 daerah dengan jumlah penduduk sekitar 400,000 orang. Keluasan Brunei pula kira-kira kecil sedikit dari Negeri Sembilan. Majoriti penduduknya berbangsa Melayu Islam.

Brunei merupakan sebuah negara yang menjalankan sisitem pemerintahan monarki mutlak dengan Sultan Hassanal Bolkiah sebagai ketua negara pada masa kini. Hasil petroleum membawa kekayaan utama negara. Nama Borneo pula dikatakan diambil berdasarkan nama negara ini. Ini adalah disebabkan pada zaman dahulu, Brunei mempunyai pengaruh dan kuasa yang kuat di Pulau Borneo.

Ditanyakan tentang kehidupan di Brunei. Pentadbiran dan kemurahan baginda Sultan menyebabkan rakyat hidup aman dan damai. Tidak timbul tentang adanya suara yang berani bersuara membantah. Baginda Sultan disenangi rakyatnya.

Tulisan Jawi
Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan dipertutukan dengan meluas. Bunyi loghatnya macam orang Malaysia Timur juga. Penggunaan tulisan jawi nampaknya luas digunakan sama ada dalam papan iklan, papan tanda serta barangan.

Agak menarik. Cumanya apabila melihatkan kenderaan bertulisan jawi, terasa macam kenderaan jenazah pulak.

Brunei boleh dianggap negara Islam yang masih kuat mempertahankan syairat Islam untuk dilaksanakan dalam pentadbiran negaranya. Dengan majoriti pendudknya Melayu Islam, tidak hairanlah tulisan Jawi menjadi sebagai salah satu bentuk tulisan dalam bahasa Melayu dan sehingga kini pemartabatan dan pemerkasaannya masih dipertahankan penggunaan dan pemakaiannya.

Pelbagai agensi dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan keadaan ini, termasuklah Dewan bahawa Dan Pustaka Brunei.

Perkampungan Air
Inilah keunikan Brunei serta Bandar Seri Begawan. Perkampungan yang terletak di Bandar Seri Begawan, Brunei ini dikatakan merupakan perkampungan air terbesar di Asia Tenggara. Selesai sarapan, aku berpeluang menyusuri perkampungan ini dari atas bot dengan hanya membayar 10 Brunei Dollar seorang.

Mungkin ada yang menganggapnya sebagai Venice Timur. Menyusuri perkampungan ini dapat melihat sendiri rumah-rumah tradisi dan bersejarah di bina di atas air Sungai Brunei. Pemandu bot banyak membantu memberikan informasi mengenai perkampungan ini.

Menurut beliau, perumahan ini banyak dipengaruhi oleh tradisi turun temurun daripada orang dulu-dulu. Nak kata tak ada tanah nak bina rumah tidak juga. Memang masih banyak kawasan lapang. Tetapi juga dipengaruhi kos yang murah, tidak peru beli dan bayar kos tanah. Cukup dengan memohon kebenaran daripada pemerintah. Agaknya berapa banyak rumah di perkampungan ini ?

Perkampungan air ini pula terdiri daripada banyak kampung atau kawasan yang mempunyai ketuanya masing-masing. Turut dilengkapi dengan bekalan elektrik, air bersih, sekolah agama dan sekolah kebangsaan, klinik, masjid surau, bomba, balaiu polis dan kedia runcit. Tapi tak adalah supermarket. Sekolah macam di kebanyakan negeri di Malaysia, pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama. Agaknya bagaimana acara sukan bagi sekolah tersebut ?

Selain dibina sendiri oleh rakyat, terdapat juga perkampunga air moden yang didirikan oleh kerajaan bagai menggantikan rumah-rumah atas air yang pernah terbakar. Katanya kebakaran sering berlaku. Kalau dilihat, memang boleh agak kedudukan dan susunan talian elektrik yang kelihatan silang menyilang. Kelihatan di atas bumbung rumah di sini, piring Astro. Menurut pemandu bot, itu usaha sama Astro Malaysia dengan syarikat tempatan

Ada rumah yang berasaskan tiangnya kayu dan ada yang simen konkrit. Tetapi kebanyakan rumah adalah rumah kayu. Malah ada yang dua tingkat. Untuk mereka yang memiliki kenderaan, ruang meletakkan kenderaan disediakan di tanah besar. Mengunjungi Brunei tanpa mengunjungi perkampungan air yang unik ini boleh anggap tidak lengkap.

Kompleks Membeli Belah Yayasan
Sebenarnya Kompleks Membeli Belah Yayasan Sultanah Bolkiah. Tapi nama pendek panggilan orang di sini ialah Yayasan. Kelihatan agak lengang. Bila melihatkan tanda harga pada barangan, memang murah jika harganya adalah dalam RM, tetapi jika dengan Brunei Dollar, memang tidak berbaloi nak membelinya.

Bak kata pendakwah di Tamu Kianggeh tepi sungai pagi tadi, memang orang tempatan pun sudah kurang ke Bandar Seri Begawan untuk shopping. Sebab parking agak terhad dan berbayar pulak. Banyak kedai membeli belah kini dibina di luar pusat bandar.

Tapi aku rasa sekiranya aku tinggal di Brunei dengan gajiku sekarang dalam Brunei Dolar, tentunya hidup senang lenang, jikapun bukan kaya raya. Agaknya bagaimana nak dapatkan PR di sini ?

Masjid Omar Ali Saifuddien
Sementara menunggu masuk waktu maghrib, aku bersiar-siar menikmati keindahan masjid yang mempunyai senibina yang sungguh unik dan istimewa. Dikatakan diantara masjid yang tercantik di rantau ini. Ia terletak di tengah-tengah bandar, dikelilingi pelbagai bangunan yang menyerlah keunikannya serta berhampiran Sungai Brunei dan perkampungan air.

Senibina masjid ini adalah ilham daripada Sultan Brunei ketika itu iaitu Sultan yang kemudiannya diterjemahkan kepada lukisan dan arkitek. Ia mula dibina pada Februari 1954. dan siap dan mula digunakan pada September 1958 dengan kapasiti jemaah seramai 3,000 orang dan menelan belanja antara Brunei Dollar 7.7 hingga 9.2 juta.

Tidak hairanlah masjid ini dinamakan Masjid Omar Ali Saifuddien bersempena nama baginda yang bertanggungjawab menjadi pereka, pengasas dan berjasa terhadap pembinaannya.

Uniknya lagi, masjid yang bercirikan senibina Islam moden ini mempunyai kubah utama dari emas tulen, dan hampir semua bahan bangunan dikatakan didatangkan dari luar negeri seperti marmar dari Itali, granit dari Shanghai, lampu kristal dari Inggeris, serta kapet dari Arab Saudi.


Memang keindahannya terserlah di bahagian dalam cukup teratur, indah terutama pembinaan mihrab, mimbar dan silingnya. Tetapi sekali sekali kelihatan macam suasana dalam gereja seperti yang kelihatan dalam kaca TV, melihatkan bentuk siling yang melengkong tinggi begitu.

Kawasan perkarangan masjid ini terbahagi kepada dua, sebahagiannya air dan selebihnya daratan. Di kawasan berair terdapat satu membentuk satu kawasan lagun yang di tengah-tengahnya dibina satu replika bahtera kenaikan diraja yang pernah digunakan pada zaman Sultan Bolkiah dahulu. Pembinaanya dikatakan bersempena dengan ulang tahun Nuzul Al Quran kali ke 1,400. Bahtera ini siap dibina pada tahun 1967 dan sering menjadi pentas untuk tilawah Al-Quran.

Kini, Masjid Omar Ali Saifuddien terus megah menjadi lambang kemegahan syiar Islam di negara ini dan mercu tanda kekuatan beragama bagi rakyat Brunei Darussalam di mata dunia.
Selain sebagai tempat beribadah, masjid tersebut berfungsi untuk acara-acara resmi kenegaraan dan merupakan antara tempat wajib dikunjungi jika ke Brunei.

Kebakaran
Sedang meninjau-ninjau memerhatikan keindahan sekitar masjid, tiba-tiba kelihatan ramai yang berlarian menuju ke perkampungan air. Aku pun turut leihat apa yang berlaku. Kelihatan kepulan asap dari arah perkampungan air. Rupanya sedang berlaku kebakaran.

Aku cuma melihat dari jauh api yang menjulang dengan asap hitam memenuhi ruang udara petang itu. Kemudian beberapa kali kedengaran bunyi siren kereta bomba. Difahamkan kejadian kebakaran sering berlaku di perkampungan air. Lantaran rumah yang rapat-rapat, selalunya melibatkan banyak rumah yang musnah.

Pasar Malam
Selepas solat maghrib, aku berkesempatan melalui pasar malam yang terletak di hadapan masjid. Aku rasa ini bukannya pasar malam tetap, tapi diadakan bersempena dengan acara sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang akan diadakan hari esok.

Cari-cari apa yang hendak di makan sebagai makan malam. Sebagaimana di Kompleks Yayasan tadi, ikutkan rega memag murah, tapi jika di dharab 2.5, terasa mahal juga.

Untuk pertama kali nampak penjual sotong kepingan yang di ketuk di situ juga secara manual. Dijual sekeping antara 50 sen hingga 1 Brunei Dollar.

Pertunjukan Bunga Api
Ramai yang turun ke bandar sejak maghrib tadi serat memenuhi Masjid Sultan Omar kerana hendak menyaksikan pertunjukan bunga api. Rupanya ini merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh rakyat Brunei bersempena dengan sambutan keputeraan.


Aku sebenarnya sudah keletihan, tak larat nak layan pertunjukan bunga api malam itu. Balik dan berehat sahajalah. Di TV dipaparkan pelbagai acara sambutan yang nampaknya condong atau bercorak islamik. Berita TV memaparkan kebakaran yang aku saksikan dari Masjid Sultan Omar tadi telah memusnahkan 5 buah rumah berpunca dari litar pintas.

Lagi Gambar Hari Pertama Di Bandar Seri Begawan
Share:

Apabila The Reds Turun Stadium Bukit Jalil

Selama hayatku, tidak pernah aku menjejakkan kaki ke Stadium Bukit Jalil. Namun gara-gara pasukan EPL kegemaranku The Reds atau Liverpool berkunjung ke Malaysia dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia, akhirnya aku sampau juga ke sana. Selalunya tengok live kat TV saja, namun suasana dalam stadium ternyata jauh berbeza. Sorakan satu stadium benar-benar mengegarkan dan memeriahkan suasana petang itu.

Kendatipun tanpa kelibat Steven Gerrard, Suarez dan Pepe Reina Penjaga Gol, nanum persembahan The Reds tidak mengecewakan. Malah Pengurus Kenny Daglish pula terpaksa bergegas pulang ke England untuk menandatangani kontrak dengan pemain yang baru dibeli oleh Liverpool.

Seingatanku, rasanya inilah buat pertama kalinya pasukan Liverpool bertandang ke Malaysia. Kalau bekas-bekas pemainnya memanglah ada datangsebelum ini. Tentunya disebabkan tanda jenama yang terpampang pada jersi pasukan tersebut yang menjadi penghalang. Sejak musim 2010/11, sudah bertukar penaja dan jersi pun sudah tiada lagi logo atau lambang jenama minuman keras sebelum ini.

Bak lautan merah ? Aku kira 90% penonton malam tersebut berbaju merah, memakai baju atau jersi Liverpool. Tidak timbul soal tidak menyokong pasukan kebangsaan Malaysia. Tapi yang hendak disaksikan ialah perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dengan Liverpool. Dua-dua disokong. Jersi Liverpool yang dipakai bukan bukti bahawa peminat Liverpool sudah belot dan tidak lagi menyokong pasukan Malaysia.

Buktinya semua sembilan gol yang dijaringkankan oleh kedua-dua pasukan pada malam tersebut turut sama diraikan. Aku kira sorakannya macam sama saja. Walaupun Malaysia tewas 3-6, namun permainan mereka cukup menghiburkan. Gol-gol Malaysia cantik-cantik jugak. Bahkan suatu ketika, ketika perlawanan pada kedudukan 3-4, terasa macam tidak percaya pasukan Malaysia memberikan tentangan yang menakjubkan kepada Liverpool.

Aku kira ini pengalaman bagus buat pemain pasukan Malaysia yang ketika ini mendapat perhatian ramai lantaran prestasinya yang membanggakan, sejak memenangi Piala Suzuki bagi kejohanan antara negara Asean tahun lalu. Semoga dengan pengalaman ini akan meningkatkan lagi permainan mereka dalam menghadapai perlawanan dan kejohanan yang akan datang.


Stadium Bukit Jalil jadi macam The Anfield, gelanggang rasmi pasukan Liverpool di England. Berkumandang dengan laungan dan nyanyian lagu You’ Will Never Walk Alone dari penonton yang juga peminat LIverpool. Semasa dalam keretapi perjalanan pulang pun, mereka silih berganti menyanyikan lagu tersebut dalam kepadatan keretapi dengan penumpang berbaju The Reds.

Datang lagikah pasukan Lioverpool tahun hadapan ?

Lagi Gambar Perlawanan The Reds Vs Malaysia
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.