Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Perjalanan Haji - Solat Sebelah Wanita, Peminta Sedeqah & Bayar Tunai

Hari 29 ( Rabu 18 Nov / 1 Zulhijjah )

Bangkit 12.30 untuk mengerjakan umrah kali ke-13 yang aku niatkan untuk bondaku sekali lagi. Orang sangat ramai, namun alhamdulillah aku dapat bergerak lancar dan siap jam 3.45 pagi.

Sedang mencari saf, aku nampak Pegawai Masjid sedang meminta jemaah wanita beralih ke belakang. Lalu aku dapat tempat yang dikosongkan oleh jemaah wanita yang beredar ke belakang. Nampak ini macam satu taktik nak dapat ruang saf.

Solat Sebelah Wanita India
Namun dalam baris saf yang aku dapat tu masih kedapatan wanita. Aku jadi aku bengang betul, ketika hampir nak azan suboh, beberapa lelaki sebelah kiriku meninggalkan saf dan saf yang kosong diisi oleh jemaah wanita Indon dan India. Argh !!! Nak lari juga ke aku .. nak lari ke mana ? Di sebelah kiriku hanya satu ruang kosong yang kecil menjadi pemisah, kemudian diikuti dengan beberapa wanita Indon. Ketika hendak solat suboh, masuk seorang wanita India menyelit. Aduh … kacau sungguh. Dahlah pakaian solat tidak sempurna bagi pandanganku, selendang aje tiada telekong. Pakai pulak seluar yang tergantung nampak kaki yang tidak bersetokin tu.

Lalu aku melangkah sikit kedepan untuk mengelakkan bersentuhan dengan wanita India tadi. Kiranya saf jadi terputus secara fizikal, namun memang terputus pun sebab campur lelaki pompuan. Agaknya ini ujian sungguh dari Allah, lantaran aku sering mempertikaikan percampuran jemaah dalam saf solat. Dalam hatiku, patut pun bencana selalu berlaku di India dan Indonesia … di hadapan Kaabah pun lagu tu. Boleh ke aku berperasangka begitu ?

Lepas solat Duha, mendung di langit. Aku tunggu juga, kot-kot hujan turun membasahi Kaabah. Tapi tak turun-turun juga. Sejak sampai Mekah dan Madinah, tidak pernah aku mengalami suasana hujan turun. Lantas balik ke hotel saja.

Peminta Sedeqah
Sedang aku mengaji di MH sebelum masuk waktu zuhor, aku ditegur oleh seorang lelaki India. Seperti yang aku alami sebelum ini, ‘Can you speak English’. Kemudian mengakulah yang dia kehilangan duit dan mohon sumbangan daripadaku, fi sabilillah. Lalu aku katakan, ada yang pernah mengaku perkara yang sama kepadaku sebelum ini termasuk kepada roomateku. Lalu dia kata, ’takkan di dalam MH bersaksikan Kaabah saya hendak menipu’. Begitulah lebih kurang katanya. Aku jadi terkedu, ya tak ya jugak. Lagipun aku lihat ditangannya gelang tanda seolah-olah memang ia jemaah India. Betullah tu … lalu aku berilah SR5.

Aku lihat kemana dia pergi. Nampaknya berjumpa seseorang lagi. Modus operandinya nampak simple, jumpa orang yang agak-agak boleh berbahasa Inggeris dan masih muda. Bercermin mata dan kelihatan kemas, mungkin sekadar ciri tambahan. Aku ambil gambarnya dan kemudian beliau beredar jauh apabila menyedari yang aku mengambil gambarnya. Terpulanglah, antara dia dengan Allah.

Adakah benar masalah yang dihadapi atau apakah ini suatu sendikit atau sekadar helah. Ustaz TH pernah kata kalau ada orang minta sedeqah atau minta sumbangan, berilah kalau nak beri dan katalah yang terbaik jika tidak. Jangan buat siasatan seperti polis CSI pulak !!

Dikejar Peminta Sedeqah
Di luar MH memang ramai peminta sedeqah, kalau boleh aku katakan peminta sedeqah. Pelbagai cara digunakan untuk menarik simpati. Kebanyakkannya budak-budak. Antaranya tangan kelihatan kudung. Ada aku dengar yang kudung tu dibuat-buat sahaja, sedangkan sebenarnya dilipat dan diletakkan alat dihadapannya. Ada aku lihat orang ramai yang cuba memegang tangannya, tetapi peminta sedeqah tu mengelak. Ada juga wanita tua dengan mengendong anak kecil. Dimana suaminya ? Apabila ada polis datang, mereka bertempiaran lari lintang pukang. Kesian pulak.

Teringat satu hari, ada seorang jemaah Malaysia yang agak berusia menghulurkan sumbangan kepada salah seorang daripada budak peminta sedeqah tu. Lantas yang lain mengejar dan mengerumuni pakcik tersebut meminta wang. Pakcik tersebut kelihatan seperti cuba melarikan diri. Payah jugak lagu ni.

Sebaik solat isyak, dapat ku lihat betapa ramainya manusia. Ada yang masih berada dalam saf solat dan ada yang mula berduyun-duyun keluar dari MH untuk pulang ke tempat penginapan masing-masing.



Hari 30 ( Khamis 19 Nov / 2 Zulhijjah )

Bangkit 12.30malam untuk umrah kali ke-14. Sengaja aku kuatkan diriku untuk buat hari ini sebab esok pagi Jumaat dan ada ceramah pulak bagi jemaah KT03. Orang sudah tidak ramai yang nak buat umrah dari hotelku. Itu yang tunggu punya tunggu nak cukupkan penumpang van. Sejak dari jam 1.30 tunggu. Tunggu punya tunggu, jam 2.20 pagi baru dapat bergerak ke Tanaim. Ini sudah dikira lewat. Pemandu van pula minta tambang SR10. Memasing diam saja, kemudian turun kepada SR7.

Dibayar Tunai ?
Namun aku terkejut apabila ada seorang jemaah lelaki bayarkan tambang ku. Aku tanya mengapa ? ‘Ah tak ada apa-apa’, jawabnya. Lantas aku teringat sumbanganku kepada jemaah India yang mendakwa kehilangan wang semalam, apakah ini bentuk tunai yang Allah bayarkan semula kepada ku ?

Sampai semula MH sudah dikira lewat. Orang sudah ramai dan ketika tawaf pun agak perlahan perjalanannya. Selesai tawaf, azan suboh pertama berkumandang. Lantaran kelihatan orang yang sangat ramai, aku mengambil keputusan untuk melakukan saie di tingkat dua. Aku pun naik ke atas dengan escalator yang disediakan.

Saie Di Tingkat 2
Wah, memang lega sangat pada mulanya. Aku gunakan laluan wheel chair sahaja. Tiada sebarang gangguan, kecuali apabila wheel chair lalu, aku ke tepi memberikan laluan.

Tetapi lama kelamaan, apabila hampir waktu suboh, orang semakin ramai datang dan memenuhi ruang serta laluan bersaie. Selesai umrah kekira jam 5.10 pagi sedang waktu suboh jam 5.20. Aku cuba menyelit untuk mendapatkan ruang solat dalam saf untuk solat suboh.

Tetapi standardla, percampuran jemaah tetap berlaku ditingkat dua tempat saie. Lepas masuk Duha baru balik hotel.

Umi Gagal Tukar Putrajaya
Terima SMS daripada anak sulongku Kak Yong, 'Permohonan Umi bertukar ke Putrajaya Gagal', argh !! Ya Allah, macamana ni ? Kena berulang lagi nampaknya isteriku ke SMK Saujana Utama. Ya Allah, kenapa Engkau tidak perkenankan doa kami. Lalu Aku SMS Che Asir bapa saudaraku yang janji nak hantarkan surat peermohonan kepada Menteri Pelajaran lagi. Takde jawapan. Rupanya beliau bercuti di India. Sebarang rayun tarikh tutupnya 30 November.

Hari 31 ( Jumaat 20 Nov / 3 Zulhijjah )

Jam 8.30 pagi di perkarangan lif tingkat 15 untuk jemaah KT03 diadakan Ceramah Masyaer. Masyaer bermaksud ibadah Haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina. Dalam ceramah ini diberikan penerangan aturcara, pengisian cabaran serta persediaan yang sewajarnya termasuk peralatan yang perlu di bawa sepanjang berada di ketiga-tiga tempat serta pergerakannya. Terasa 'haji' baru nak bermula ...

Kami dijangka bertolak sehari awal daripada tarikh wukuf iaitu 8 Zulhijjah dan perlu pulang semula ke Mekah pada 12 Zulhijjah. Sepatutnya dan kebanyakkan jemaah haji lain pulang semula dari bermalam Mina selama 4 hari untuk ke Mekah pada 13 Zulhijjah, tetapi jemaah KT03 diminta pulang awal sehari iaitu 3 malam sahaja, 10, 11 dan 12 Zulhijjah yang dinamakan juga sebagai Nafar Awal. Lepas tu rehat sehari dan bersiap untuk ke Jeddah sebelum pulang ke Malaysia. Maksudnya kalau boleh sebelum ke Masyaer, dinasihatkan siap packing semua barang. Ah ! Sudah nak pulang ? Terasa macam belum puas, sudah bicara hal keberangkatan pulang. Shopping pun belum habis …

Lepas ceramah terus bergegas ke MH. Jam sudah hampir 10.30. Hari ini merupakan Jumaat terakhir di MH. Jumaat minggu hadapan kami berada di Mina. Semakin dekat nak wukuf, orang tentunya bertambah ramai, lagi pun kami sudah lewat.

Sampai masjid askar bertugas membuat hadangan mengawal kemasukan jemaah menerusi pintu-pintu tertentu. Nampaknya laluan biasaku juga sudah ditutup. Aku percaya hadapan Kaabah masih kosong, tetapi hadangan tersebut menyebabkan aku beralih ke atas tingkat sekali dengan escalator, iaitu tempat saie yang baru.

Di situ tentunya masih kosong sebab orang nak elak daripada kepanasan matahari. Di luar bangunan MH orang telah memenuhi safa merata tempat. Ternyata benar, di lihat daripada atas tempat saie tu, masih banyak kosong di lantai hadapan Kaabah.

Masa solat asar, ruang solat dalam saf agak sempit. Orang sebelahku walaupun sudah aku tegur dengan menunjukkan arah kiblat, namun masih tetapi dengan kedudukannya. Akibatnya, masa sujud, kepala kami bersentuhan.

Lepas solat agak mengantuk, lantas aku round-round sekitar pintu King Abdul Aziz cuci mata. Nampak sangat meriah di situ.



Jumpa Tak Jumpa
Malam balik isyak, jumpa Rahman Sadikin yang kerja di Telekom, jiran sekampung masa di Kg Pt Lapis Kadir. Dia yang tegur aku dulu sebeb terperasan akan kad nama yang aku pakai, sedangkan ketika itu aku memakai mask. Tak sangka jumpa beliau. Namun bateri kameraku habis, tak dapat nak merakamkan saat itu.

Sebenarnya ramai yang mempunyai kaitan denganku turut berada di Mekah ketika ini, namun masih tidak ketemuan. Riduan jiran selang dua rumah di Putrajaya, Fadil dan isteri sepupu ibuku, ibu kepada adik iparku, Rosli Naib Pengerusi serta Kak Wan Ketua Muslimat Al-Hidayah, Radzi account manager IBM bagi pejabatku, Saimin classmate masa di matrikulasi serta Kahar, arkitek bangunan baru pejabatku. Mungkin memasing sibuk berurusan dengan Allah. Tak mengapalah …

Share:

Komik Perak Darul Kartun

Pada 11 Disember yang lalu, semasa pulang dari berurusan dengan Darul Syifa untuk menjemput ke Majlis Bacaan yasin & Doa Selamat sempena penggunaan bangunan baru pejabatku, aku singgah di pasar pagi dekat Pasar Bandar Baru Bangi. Tetiba aku terpandang buku kartun yang aku kira agak esklusif. Lalu ku belek-belek isi kandungannya dan aku beli dengan harga RM10.

Buku komik Perak Darul Kartun setebal 80 muka surat ini merupakan himpunan hasil karya beberapa kartunis yang diketui oleh Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque. Komik ini baru sahaja diterbit dan dilancarkan. Kandungannya merupakan rakaman, kritikan tajam serta sindiran terhadap pergolakan politik yang telah berlaku di negeri Perak khususnya serta beberapa kisah di negeri lain di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat ( PR ).

Kekadang agak sukar memahami apa yang cuba disampaikan menerusi kartun dalam komik ini. Nampaknya, pembaca yang tidak mengikuti perkembangan politik tanahair mungkin sukar memahaminya. Tetapi untuk beberapa keadaan, anak-anak ku nampak macam faham dan tergelak-gelak membacanya.

Persoalannya, apakah penerbitan sebegini mendapat kelulusan KDN, kalau pun tidak diharamkam serta ditarik balik pengedaran dan penerbitannya ? Aku percaya sekiranya penjualan komik ini mendapat sambutan daripada masyarakat, khususnya pihak PR, akan ada sequelnya walau dalam tema yang berbeza. Apa pun terpulang kepada anda yang membaca komik ini, untuk menerima penerbitan seumpama ini.
Share:

Perjalanan Haji - Kisah Kak Pah, Maulid Nabi & Air Zamzam

Hari 27 ( Isnin 16 Nov / 28 Zulkaedah )

Bangun 1.00 pagi untuk aku mengerjakan umrah untuk kali ke-12 yang juga aku niatkan untuk allahyarham ayahandaku sekali lagi. Nampaknya aku masih bernasib baik, sebab mudah dapat van dengan hanya SR5 sahaja untuk pergi balik Tanaim ke MH.

Tetapi orang semakin ramai dan umrahku hanya dapat selesaikan pada 4.15pagi, iaitu hampir azan suboh pertama. Mungkin lepas ini aku nak saie di tingkat atas.

Akibat kelewatan ini, aku sukar dapat kedudukan syaf di lantai Kaabah, sebagaimana selalu aku dapat. Namun selepas suboh, aku berjaya selesaikan bacaan al-Quran ku untuk khatam buat kali ke-3.

Semasa sarapan bersama, isteriku buka cerita yang roomatenya tegur salah seorang jemaah Indon yang enggan berpisah daripada saf wanita kumpulannya yang mungkin sedara mara atau taulan. Lalu dijawabnya teguran itu dengan, ‘apa di Malaysia kalau lelaki dekat dengan wanita, jadi kuat terangsang ke ?’ … Aduhai !! Aduhai Wak Kaji, Wak Kaji ….

Kisah Kak Pah Kehilangan Bag Galas
Lepas sarapan, kekira jam 8.00 pagi, jumpa Kak Pah dan Abang Mat di ruang rehat Tingkat 15. Mereka baru balik sidai pakaian yang dibasuh. Memang hanya di tingkat atas sekali sahaja ada tangga untuk ke bumbung hotel yang menyediakan ampaian.

Petang selepas umrah, Kak Pah duduk dalam ruang khas wanita di atas lantai Kaabah. Ketika hampir maghrib, Kak Pah rasa nak buang air lantas meminta jiran dalam safnya untuk pegangkan bag galasnya dan kemudian menuju ke toilet. Tetiba pihak masjid meminta semua wanita dalam kawasan tersebut beredar dan dinding pemisah kawasan wanita dibuka.

Apabila Kak Pah hendak kembali ke saf asalnya, beliau terkejut sebab sudah semuanya lelaki. Di mana bag galas ? Mulailah nakjadi tak tentu arah, dimana orang yang dipesan untuk pegangkan bagnya tu ? Pagi esoknya pergi MH untuk cuba cari semula bag tersebut, maklumlah pelbagai dokumen serta duit tunai ada dalamnya. Solat hajat khas di MH dan berserah kepada Allah sahaja. Terpaksa juga buat semua kad pengenalan jemaah dengan TH. Tetapi apabila balik semula bilik hotel, bag galas yang dicari sudah berada di atas katil. Bagaimana boleh sampai ? Khabarnya ada orang hantar. Memang di Mekah nie semua orang jujur. Berdasarkan nama dan alamat di atas bag galas tu, mungkin orang itu membawanya terus ke bilik Kak Pah. Tetapi siapakah orang itu, apakah memang orang yang diamanahkan atau …?

Tempat Saie Baru
Lepas asar aku naik atas sekali tempat saie yang baru siap agaknya. Wah menarik. Kini ada 4 tingkat untuk bersaie bagi pejalan kaki. Selain ada ruang untuk wheel chair bagi setiap tingkat tersebut, juga dibina laluan khas untuk mereka diantara setiap tingkat.

Kelihatan belum ada orang bersaie di sini, mungkin kerana tidak tahu telah siap, atau kalau tahupun tidak mahu kepanasansan terik matahari pada waktu siang sebab tiada bumbung. Sebaliknya jadi ruanguntuk orang solat dan berehat lepak-lepak sahaja ketika ini.

Bagiku, masih belum perlu naik ke tingkat atas sekali. Kat bawah sekali lagi menarik dan dapat rasa serta kelihatan Bukit Safa dan Marwahnya. Tapi memang fatwa mengizinkan, malahan sehingga tinggi melangit sekalipun, boleh dianggap bersaie dari Bukit Safa ke Marwah.

Namun pemandangan Kaabah dari atas tingkat 3 tempat saie sangat menarik. Pemandangan lebih luas lagi.

Sebelum maghrib dan isyak ada orang minta lelaki kedepan dan wanita ke belakang. Lega … mengurangkan pening kepalaku sebab kedengaran juga dikata tak mengapa percampuran sebab keadaan yang sukar di kawal. Solat di atas nie selesa dan sejuk sikit sebab tiada bahang yang masih terperangkap seperti di tingkat bawah.

Hari 28 ( Selasa 17 Nov / 29 Zulkaedah )

Jam 2.30 pagi aku ke MH untuk qiamullail. Selepas suboh dan solat Dhuha, aku ke bangunan yang hari-hari kelihatan, tapi belum berkesempatan mengunjunginya, iaitu Maktabah Makahtul Mukaramah.

Maulid Nabi
Terletak di hadapan MH, berhampiran dengan pintu pagar yang berdekatan dengan bangunan tandas, terdapat sebuah bangunan yang dikatakan berada di atas tapak asal di mana Rasulullah s.a.w dilahirkan. Bangunan ini dinamakan Maktabah Makahtul Mukaramah atau Perpustakaan Makah Al-Mukarramah. Kiranya banguna perpustakaan. Terdapot boot penerangan di luar pagar kawasan yang turut mengedarkan pelbagai risalah kepada orang ramai.

Nak dikirakan, dekatlah agaknya Rasulullah s.a.w dengan Kaabah. Sekali imbas, bangunan biasa sahaja dan tiada apa yang menarik. Akupun tidak pernah perasan bila perpustakaan tersebut dibuka. Khabarnya apabila tapaknya hendak di’clearkan’ bagi tujuan pembinaan bangunan yang lain, ada saja gangguan yang diperolehi. Seolah-olah ‘keras’ sikit kawasan tersebut. Tetapi suatu ketika dahulu, kawasan tersebut pernah di dirikan masjid, sebelum dirobohkan untuk dibina perpustakaan sebagai mana sekarang.

Ada beberapa kenyataan yang agak pelik bagiku di luar bangunan tersebut. Sesamalah kita fikirkan maksudnya. Mungkin untuk mengelakkan khurafat, sebab khabarnya ada juga orang yang menangis-nangis melekat dipagar atau dinding bangunan tersebut. Tetapi masa aku ke situ, tak ada pulak.

Pusat Pengambilan Air Zam-zam
Berdekatan dengan Maktab Mekah Al-Mukarramah, sentiasa sibuk dengan orang yang ingin mengambil air zam-zam dalam kuantiti yang di kira banyak secara percuma. Orang ramai beratus panjang untuk mendapatkan air zamzam yang diisikan kedalam bekas yang dibawa.

Bekas atau tong untuk mengisi air zam-zam pula turut dijual ini pada kadar SR4 – SR5 setiap satu dengan saiz 5 dan 10 liter.

Selepas disi dengan air zam-zam, mereka boleh seal bekas dengan plastik bagi membolehkan tiada air tumpah keluar sekiranya bekas dalam bag tersebut bocor atau tumpah. Tidak mengira saiz botol, SR5 sekali seal. Kiranya untuk dapatkan 10 liter air zamzam, cuma SR10 belanjanya. Sedangkan di Malaysia, ianya dijual dengan rega RM 100 – 120.

Nampak pelbagai gaya dan cara orang membawa balik tong-tong berisi air zamzam. Akupun pada mulanya ingat nak bawak masuk dalam bagasi kapalterbang nanti. Tapi mengenangkan cuma 30 kilogram dibenarkan, maka tak jadiklah. Habis tu orang ramai yang banyak-banyak ambik, nak bawak balik naik kapal terbang jugak ke ?

Aku rasa air zamzam di Mekah atau yang kedapatan di sekitar MH lebih sedap daripada yang pernah aku rasa di Malaysia. Kenapa agaknya ? Adakah suasana sekitar MH mempengaruhi ?

Berbalas SMS Dengan Azrul
Beberapa kali sepanjang hari ini, aku saling bersms dengan Azrul, Pemangku Pengerusi Surau Al-Hidayah. Pemangku kerana Pengerusi dan Naib Pengerusinya dua-dua pergi Mekah. SMS hal genting berkenaan permohonan nak naik taraf Surau Al-Hidayah menjadi masjid. Bagiku yang pentingnya kekal solat Jumaat dahulu berdasarkan justifikasi yang pernah dibincang dan diputuskan bersama.

Katanya 20hb November ini, solat Jumaat bermula di Masjid Baru Saujana Utama. Apakah solat Jumaat tidak dibenarkan diteruskan di Surau Al-Hidayah ? Tuan Kadhi Kuala Selangor akan membawa isu ini kepada Mesyuarat JK Kariah pada 24 November dan rombongan surau dijangka menemui Exco Agama Selangor iaitu Dato’ Dr Hassan Ali. Ketika ini saluran politik mungkin perlu digunakan. Akhirnya aku sms juga kepada Naib Pengerusi untuk sesama doakan yang terbaik untuk Surau Al-Hidayah di hadapan Kaabah.

Ceramah Agama 3

8.00 malam ada Ceramah Agama 3 khas untuk jemaah KT03 yang memperjelaskan hal berkaitan dengan falsafah perjalanan wukuf di Arafah, Mudzalifah dan Mina nanti. Tetiba aku jadi berdebar dan sesekala tidak sabar nak menanti saat berwukuf.

Sabda Rasulullah, ‘Haji adalah wuquf’. Haji adalah urusan kita dengan Allah. Kerana itu setiap individu yang menunaikan haji, mesti melaksanakan wuquf pada 9 Zulhijjah walau dalam apa keadaan sekalipun.

Inilah masanya umpama kita menerima anugerah yang agung daripada Allah, menerima pengiktirafan daripada Allah akan ibadah haji yang dilaksanakan. Pengiktirafan ini tidak sewajarnya diperolehi secara diwakilkan. Ya Allah, berilah aku peluang untuk sampai ke saat itu !!

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.