Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Pasar Ikan Tawau

Atas urusan rasmi aku ke Tawau pada 11-12 Mac 201 lalu. Ini merupakan kunjungan aku kali kedua ke sana. Kalau yang pertama dahulu aku menjejaki Pasar Tanjung, tetapi kali ini aku berkesempatan untuk ke Pasar Ikan Tawau yang terletak bersebelahan sahaja. Apa barang ? Datang jauh-jauh, masuk pasar ikan basah pulak. Bukan nak masak.

Rupanya banyak yang menarik dalam pasar tersebut. Banyak pilihan ikan dan fresh. Kebanyakkan ikan atau udang yang dijual bersaiz besar-besar. Macam tak kelihatan ikan yang kecil-kecil.

Tapi yang bestnya, harganya kira murah-murah. Terfikir pulak, kenapa murah. Aku difahamkan kerana jeti pendataran ikan terletak bersebelahan, malah bersambung dengan pasar ini. Itu yang boleh murah reganya.

Satu lagi sebab ialah kerana bandar Tawau dekat sahaja dengan Indonesia. Malah sebuah pulau dalam jajahan Indonesia boleh kelihatan di pinggir pantai bandar Tawau.

Lantaran itu, banyak tangkapan oleh nelayan Indon dijual di sini yang tentunya reganya murah lantaran duit kita lebih mahal daripada Rupiah Indonesia, sedang bagi mereka lebih mahal atau menguntungkan jual di Malaysia berbanding jual di Indonesia sendiri.



Memang geram tengok ikan-ikannya. Belilah sedikit sebagai kenang-kenangan. Ikan dibeli kemudian dikumpul di suatu kedai, lantas dimasukkan dalam kotak bersama air batu supaya kesegarannya terpelihara.

Sampai airport, salin dengan kotak lain sebab syarikat penerbangan flightku tidak membenarkan kotak yang mengandungi ikan tersebut dimasukkan sebagai bagasi, sebaliknya kena bawa sendiri dengan tangan dengan berat tidak melebihi 7kg sebagaimana biasa.

Share:

Mengikuti Kapsul Pengurusan Jenazah

Pada 3-4 Mac 2012 lalu, bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya atau juga dikenali sebagai Masjid Besi, aku mengikuti Kursus Pengurusan Jenazah. Kira-kira 150 orang mengikuti kursus yang yang kebanyakkannya merupakan wakil dari surau-surau sekitar Putrajaya. Beberapa orang AJK serta ahli kariah surau tempatku, Surau As-Syakirin telah mengikuti kursus yang diadakan secara percuma ini.

Berbanding dengan kursus-kursu lain yang pernah aku ikuti sebelum ini, nampak ada kelainan pengisian dana bagaimana ianya dikendalikan. Cuma mungkin akanmenjadi lebih berkesan sekiranya para peserta tidak seramai yang mengikuti kursus tersebut. Kalau separuh daripadanya mungkin lebih baik dan efektif.

Kursus pada awalnya dikendalikan oleh Ustaz Md Tahir bin Md Yusoff dengan beberapa slot ceramah. Agak panjang dan meletihnya, tambahan tiada nota sebagaimana diceritakan dan tidak menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat terkini. Al-Ustaz rupanya orang Kg Kenangan Batu Pahat dan telah lama terlibat dalam pengurusan jenazah, termasuk jenazah orang kenamaan, VIP serta raja-raja. Harapnya pihak penganjur atau ada peserta yang secara volunteer membantu al-Ustaz yang banyak ilmu dan pengalaman itu untuk menyediakan bahan atau nota secara multimedia agar penyampaian lebih mudah di fahami.

Dalam tiga slot ceramah dari pagi hingga petang, ceramah menyentuh tentang Adab Serta Tanggungjawab Terhadap Orang Yang Nazak Dan Selepas Kematian, Tatacara Pengurusan Jenazah dan diikuti dengan Pengurusan Mandi Dan Kafan Jenazah.

Sebelum bersurai, simulasi bagaimana menyediaan kain kafan, memandi serta mengkafankan jenazah dilakukan dengan bantuan daripada fasilitator program. Hanya beberapa peserta yang terlibat, manakal yang lain jadi pemerhati sahaja.

Patutnya para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, tetapi barangkali tidak cukup fasilitator dan kelengkapan, maka pemecahan hanya dibuat untuk peserta lelaki dan wanita sahaja.

Hari Kedua
Pada hari kedua, program di sambung di Tanah Perkuburan Putrajaya Presint 20. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke sana.

Memang luas kawasannya. Ia sebenarnya kompleks tanah perkuburan yang menempatkana bukan sahaja jenazah orang Islam, tetapi juga agama lain di kawasan-kawasan yang diasingkan antara satu sama lain.

Di sana para peserta ditunjukkan secara apraktikal bagaimana pengendalian jenazah daripada sudut pengkebumian serta hal tanah kubur. Lubang kubur sudah siap digali, guna jentera barangkali. Tetapi bukanlah saiz sebenar, hanya contoh. Lebar dan panjang sudah ok, Cuma kedalamannya tidak cukup 6 kaki.

First time ikut kursus jenazah, sampai di bawa ke tanah kubor. Bagus juga, suatru kelainan selain lebih memberikan keinsafan tentang kematian yang akan datang menjemput kita suatu masa nanti.

Sempatlah tengok-tengok atau ziarah kubor orang kaya, kenamaan serta Allahyarhaman Pn Seri Hendon, isteri mantan PM Malaysia Pak Lah. Simpel tanpa sebarang binaan di atasnya. Al-Ustaz mengatakan itu memang menjadi tradisi keluarga serta keturunan Pak Lah sejak dahulu lagi.

Program kemudian dikuti dengan minum pagi dan seterusnya majlis penerangan serta dialog bersama Pengurus Tanah Perkuburan Putrajaya Presint 20. Keluasan tanah perkuburan tersebut yang kini menempatkan kira-kira 500 jenazah, dijangka akan penuh 80 tahun lagi. Kubor tersebut hanya untuk jenazah penduduk Putrajaya dan bukan sedang nak dikebumikan di situ, kena ada kelulusan serta proses tertentu.

Share:

Ekspo Buku Islam Ke-2 @ Putrajaya

Dengan bertemakan 'Suburkan jiwa dengan ilmu, sirami ibadat dengan amal' Ekspo Buku Islam edisi ke 2 diadakan setelah kejayaan menganjurkannya buat pertama kali pada tahun lepas di Kl Sentral. Ekspo ini bermula 24 Februari sehingga 4 Mac 2012 dan diadakan di Dewan Cempaka Sari, Precint 3, Putrajaya. Dewan ini berhadapan di Masjid Sultan Mizan ataupun dikenali sebagai Masjid Besi, berdekatan Pejabat Putrajaya Holding atau berhadapan Istana Keadilan.

Aku berkesempatan ke sana pada Sabtu 25 Feb lalu. Ramai juga pengunjungnya. Tetapi tempat atau kawasan pameran tidaklah berapa luas. Pelbagai gerai buku tampil menyokong ekspo ini dengan menawarkan pelbagai buku yang sangat subur ilmunya. Nampaknya setiap gerai menawarkan sekurang-kurangnya 10% diskaun.

Terdapat juga kedai yang menawarkan lebih daripada itu, atau pakej pembelian set yang mengandungi pelbagai tajuk. walaupun kebanyakkan gerai menerima baucer buku 1Malaysia, tapi malangnya tiada satupun gerai yang menawarkan pembayaran menerusi kad kredit. Jadi kena banyak bawak duit secukupnya.

Selain itu, pengunjung berpeluang meluangkan masa untuk hadir memeriahkan program-program di pentas utama, khususnya pada hari minggu.

Nampak pelbagai acara diadakan dan kebetulan masa aku ke sana, sesi bersama Dr Muhaya sedang berlangsung, serta persembahan dari kumpulan nasyid kanak-kanak Huda dengan konsep belajar Bahasa Arab mudah menerusi lagu.

Namun persoalannya kini, kenapa dinamakan Ekspo Buku Islam ? Kerana majoriti atau 90% buku yang dijual adalah buku agama Islam ? Pengedar atau penerbit yang turut serta merupakan penerbit serta pengedar buku Islam. Atau penjual atau petugasnya terdiri daripada orang Islam, dengan etika pakaian serta akhlak menurut Islam ?

Di mana perginya penerbit atau syarikat buku yang merupakan pelopor kepada pengedaran serta penerbitan buku Islam dulu-dulu seperti Dewan Pustaka Fajar dan Pustaka Salam. Apakah mereka telah berkubur ? Ataukah ekspo ini merupakan pameran kendalian kelompok syarikat pengedar serta penerbit tertentu yang 'satu geng', lantas dinamakan Ekspo Buku Islam ?

Share:

Sebak Pada Malam Konsert Selawat 1433H

Selalunya dalam menyambut Maulidur Rasul atau kelahiran Rasulullah s.a.w, pengkisahan kelahiran beliau sering menjadi topic utama dalam sambutan yang dilakukan. Ini diikuti dengan pahit getir perjuangan baginda serta nilai yang wajar menjadi teladan kepada umat memandangkan Rasulullah s.a.w diutuskan sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam ini.

Namun aku jadi sebak pada Malam Konsert Berselawat 1433H yang aku dan famili hadiri pada 6 Febuari 2012 lalu di AU5C Hulu Kelang. Ustaz Zulkifli Pandan dalam tazkirahnya menceritakan detik-detik kewafatan Rasulullah s.a.w di mana beliau sentiasa mengingati ummatnya walaupun dalam keadaan nyawanya hendak dicabut.

Ini ditambah dengan alunan nasyid yang disampaikan oleh kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di negara kita, Kumpulan Inteam. Kumpulan tersebut menyampaikan lagu Pemergianmu di celahan selawat qasidah berkumpulan bersama Al-Walid dan pelajar Mahad Tahfiz Dar Al-Quran Wal-Hadith.

Sebelum itu, kumpulan nasyid Unic memberikan persembahan mereka. Tetapi tidak satu pun lagu mereka berkaitan dengan tema konsert selawat. Setelah tazkirah oleh Ustaz Zulkifli Pandan, diikuti dengan persembahan bersama Ustaz Zul dengan Sham Kamikaze yang menyampaikan lagu Pelangi Petang dan KepadaMu Kekasih. Boleh tahan juga Ustaz Zul menyanyi.

Sham Kamimaze puntidak ketinggalan memberikan tazkirah kepada orang ramai serta menyampaikan beberapa mesej khusus untuk orang muda pada malam tersebut.

Lagu Pemergianmu sebenarnya bukanlah lagu baru, malah sering aku dengari sebelum ini. Tetapi entah macamana baru aku sedari rupanya lagu tersebut mengkisahkan Pemergian Rasulullah s.a.w. Apabila mendengarkan semula serta mengulang-ulanginya menerusi youtube, terasa ianya menusuk kalbu dan terasa ingin terbang menziarahi makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi sekarang juga. Mengapa tidak aku menyedarinya sebelum ini, sebelum dua kali kunjungan aku ke Madinah.



Pemergianmu

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan

Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat

Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya

Ya Rasulallah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Pemergian Rasulullah s.a.w menyebabkan Bilal enggan mengalunkan azan lantaran begitu sedih. Bilal tidak pernah azan selepas Rasulullah s.a.w wafat, sehinggalah pada suatu hari di mana para sahabat yang selama ini sibuk berjuang dan berjihad menyebarkan Islam ke pelusuk dunia berkumpul di Bukit Golan Baitulmaqdis.

Pada salah satu waktu solat, Umar meminta Bilal mengalunkan azan. Bilal yang tidak pernah azan setelah Rasulullah wafat, tidak dapat menyelesaikan azan lantaran menangis ketika azan dilaungkan. Sebak dan berlinangan air mata para sahabat kerana azan tersebut mengingatkan mereka dengan Rasulullah s.a.w, perjuangan pahit getir serta pengorbanan sehingga menimbulkan kerinduan yang teramat sangat dengan Rasulullah s.a.w, yang walaupun telah agak lama wafat, terasa seperti baru pergi meninggalkan mereka.

Rasulullah s.a.w yang agung telah pergi dan menjadi lumrah setiap manusia, setiap yang hidup pasti akan mati kembali menemui Allah. Ya Rasullullah, terima kami sebagai umatmu, pengikutmu dan menerima syafaatmu di Padang Mahsyar nanti.

Gambar Sekitar Konsert Selawat 1433H

Teringat semasa ke Masjid Nabawi dahulu. Di bawah kubah hijau itulah terletaknya maqam Rasulullah s.a.w.



Share:

Perarakan Maulidur Rasul 1433H

Kekira pertengahan 1990an ( mungkin 1996 ) aku berpeluang mengikuti perbarisan atau perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan. Itulah tahun pertama ianya dihidupkan kembali setelah dihentikan acara berarak untuk entah berapa lama sebelumnya. Tidak dapat dipastikan punca ianya dihentikan. Perarakan ketika itu bermula dari hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur atau Dataran Merdeka dan berakhir di Stadium Negara.

Tahun 2012 atau 1433H kali ini aku turut serta lagi dalam perarakan Maulidur Rasul bagi mewakili Jabatanku. Kali ini perarakan bermula dari hadapan Istana Kehakiman Putrajaya dan berakhir di Masjid Putra dengan jarak kira-kira 2.4km. Apakah perbezaan suasana antara sekarang dengan yang 16 tahun dulu ?

Aku rasa memang tidak salah untuk berarak semasa menyambut Maulidur Rasul, bid’ah hasanah barangkali. Itu juga sebagai usaha menunjukkan atau membangkitkan semangat kita dalam melahirkan rasa cinta, sayang dan kebanggaan kita kepada Rasulullah s.a.w serta apa yang ditinggalkannya kepada kita.

Perbarisan bermula seawal 7.15pagi. Masjid ‘Besi’ waktu Suboh itu dibanjiri dengan jemaah yang juga peserta perarakan. Macam solat Jumaat atau solat raya pula dibuatnya. Maklumlah masing-masing dengan pakaian baru ‘free’ yang ditempah khas serta disumbangkan oleh agensi atau jabatan yang diwakili.

Sebanyak lebih daripada 120 kumpulan perarakan yang terdiri dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, swasta, IPT serta sekolah. Dikatakan jumlah peserta sebanyak 12,000 orang. Bayangkan kalau set pakaian lengkap seorang berjumlah RM200, maka kali 12,000 peserta = RM 2.4 juta !!! Itu belum termasuk sesetangah agensi yang siap sediakan kasut untuk peserta perarakan agensinya.

Sepanjang perarakan, selawat dialunkan bersama pembesar suara yang disediakan oleh van-van Jabatan Penerangan pada jarak antara setiap 300-400 meter. Aku kira sekiranya tiada selawat pembesar suara, tentunya perarakan begitu sunyi lantaran peserta ‘segan’ nak keluarkan suara untuk berselawat, sebagaimana yang pernah aku alami 16 tahun lalu. Selawat dalam hati kot.

Tiba di Masjid Putra, berpeloh juga badan. Ini suatu senaman juga ni, maklumlah 2.4km berjalan kaki. Tiba masjid sahaja, ramai yang terus merehatkan diri sambil menikmati juadah sarapan pagi yang disediakan. Daripada kononnya 12,000 peserta agaknya berapa ramai yang mengambil berkat solat Tahiyatul Masjid setelah memasuki Masjid Putra ? Atau bimbang nanti dikatakan riak pula ?

Majlis terus berjalan apabila DYMM Agung tiba. Bagiku ini majlis rasmi pertama yang sempat aku hadiri bersama DYMM Agung yang baru dilantik. Majlis berjalan agak ringkas dalam suasana masjid yang dingin. Ucapan Aluan Datuk Jamil Khair, DYMM Agung, ceramah 15minit oleh penceramah jemputan dan penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul.

Apakah natijah daripada sambutan Maulidur begini ? Sejauh mana ianya memberikan bekas dalam hati umat Islam yang terlibat tentang Rasulullah s.a.w ? Sejauhmana rakyat atau orang ramai dapat menyemat masuk semua yang disampaikan oleh penceramah serta titah DYMM Agung ?

Namun aku merasakan tidak semua peserta perarakan mengikuti aturcara majlis dalam dewan solat utama Masjid Putra, sebaliknya berehat dan berbual di tepi-tepi atau sekitar masjid, lantas pulang ke rumah. Khemah yang disediakan pun tidak diisi sepenuhynya.

Berbaloikah dengan jutaan RM yang dibelanjakan untuk program sebegini jika para peserta tidak memanfaatkannya ? Apa outcomenya selain mungkin dapat mengurangkan berat badan peserta dalam beberapa ratus gram serta keseronokan peserta dapat baju free yang boleh dipakai untuk raya tahun ini ?? Tepuk dada tanya iman. Yang tambah mengejutkan aku, Jabatanku menang dalam pertandingan perarakan kategori unit beruniform !!!

Apapun tahniah kepada penerima Anugerah Maulidur Rasul kali ini. Melihatkan bidoata mereka, agak teruja juga. Yang mencuri tumpuan selain penerima anugerah perdana ialah pelajar yang walaupun tidak cukup sifat namun berjaya mencapai 9A dalam PMR 2011.

Lagi Gambar
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.