Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Kesan Sambutan Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina atau Raya Cina ? Menyambut Tahun Baru Cina atau merayakan Raya Cina ? Apa bezanya dengan sambutan tahun baru masehi, apatah lagi Tahun Baru Hijrah. Dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, nampaknya sambutan Tahun Baru Cina menampakkan pengaruh yang semakin meresapi kehidupan masyarakat Malaysia keseluruhannya, khususnya orang Melayu sendiri. Mungkin dah lama ianya berlaku. Bunga api, mercun, limau mandarin dan pemberian duit raya dalam sampul khas adalah sebagai contoh.

Mungkin kuih bakul tu tidak mengikut citarasa atau selera orang Melayu Islam walaupun telah disahkan Halal oleh JAKIM, kalau tidak ….. berbakul-bakullah orang Melayu Islam memakannya. Kalau setakat berkumpul sekeluarga dan makan-makan serta kunjung mengujung di kalangan sanak-saudara itupun merupakan tradisi dalam sambutan Raya Aidil Fitri orang Melayu Islam. Tiada sambutan seumpamanya pada sambutan Tahun Baru Hijrah mahupun Raya Korban. Apa pula hukumnya orang Melayu Islam merayakan Tahun Baru Cina bersama orang Cina ? Apakah Tahun Baru Cina merupakan perayaan agama ? Kalau agama, agama apa pulak ? Buddha …??

Tahun Baru Cina merupakan hari pertama dalam kalendar Cina. Ia disambut di negara dan wilayah yang diduduki oleh ramai orang Cina, seperti Tanah Besar China, Hong Kong, Indonesia, Macau, Malaysia, Filipina dan Singapura. Juga dilokasi yang kuat pengaruhnya dengan budaya Cina, khususnya di mana-mana China-Town. Ia melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul untuk makan besar dengan masakan tradisi. Rumah dibersihkan dan dihiasi dengan pokok buah limau, manakala mercun dibakar pada malam hari.

Apa signifikannya mercun, bunga api, buah limau dan pokoknya, yee sang dan kuih bakul kepada orang Cina ketika sambutan tahun baru itu. Golongan muda khususnya yang belum kahwin pula selalunya akan menerima wang ang pau daripada golongan tua yang telah berkeluarga dalam sampul merah. Mengapa pemberian dibuat dan mengapa warna merah ? Di sesetengah tempat di adakan pertunjukan tarian naga atau singa, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.

Sejarah & Mitos
Tidak dapat nak buat penyelidikan lanjut, namun dikatakan ianya bermula beribu tahun dahulu, semasa sistem pemerintahan dinasti di negeri China sejak sebelum Masehi lagi. Daripada segi mitosnya menurut legenda pada zaman dahulu, seekor raksaksa yang dinamakan Nian muncul membuat huru hara setiap menjelang tahun baru Cina, memburu mangsa seperti binatang-binatang liar, burung, serangga dan juga manusia. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan.

Ada juga sehingga dikatakan penduduk akan mengosongkan rumah dan pergi ke tempat lain yang aman untuk menyelamatkan diri. Sehinggalah suatu ketika ada seorang tua yang enggan berpindah, sebaliknya melekatkan riben berwarna merah di luar rumah serta membuat bunyi bising.

Ini membuatkan raksaksa tersebut takut dan beredar ke tempat lain. Bunyi bising tersebut digantikan dengan dentuman bunyi mercun serta bunga api. Perayaan Tahun Baru Cina juga berkaitan dengan kejayaan menghalau raksaksa tersebut.

Pemilihan 12 Binatang
Lagenda juga meriwayatkan bahawa suatu masa dahulu Buddha ( ada juga dikatakan Maharaja Cina ) telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru. Ada juga dikatakan berlumba. Namun hanya 12 binatang sahaja yang sampai mengikut turutan iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan akhir sekali khinzir.

Sebagai penghargaan, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Bagaimana tikus boleh sampai dulu berbanding haiwan lain ? Itu tentunya ada mitos tersendiri selain tikus menang bertanding lumba lari dengan arnab. Ada dikatakan sebab tikus tersebut duduk di hidung lembu yang berada di kedudukan kedua.

Dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Sejauh mana masyarakat lain di Malaysia mempercayainya ? Mungkin itu sebagai mitos, tetapi rasanya ada kisah lain yang sebenarnya.

Sesak Balik Kampung
Apakah ini kesan terbesar yang begitu dirasakan sehingga aku lebih suka duduk di rumah berbanding berjalan-jalan, bercuti atau balik kampong semasa cuti Tahun Baru Cina. Apa taknya, jalan-jalan utama serta lebuhraya ke kampong akan sesak dengan kenderaan balik kampong.

Bukan sahaja bagi kaum cina, kaum lain pun mengambil kesempatan daripada cuti yang agak panjang, sekolah pun ambil cuti peristiwa, kilang pun tutup dan pekerja dipaksakan cuti. Ini menyebabkan timbulnya keperluan mencadangkan jadual giliran selain mengetatkan kawalan keselamatan jalan raya, seperti mana yang dijalankan ketika Aidilfitri supaya kurangnya berlaku kemalangan.

Cina Tutup Kedai, Melayu Susah ?
Memandangkan orang Cina merupakan populasi kaum kedua teramai di Malaysia, sedikit sebanyak sambutannya memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam Melayu. Ketika cuti Tahun Baru Cina, banyak kedai atau kilang milik bangsa Cina akan bercuti sehingga dikatakan orang melayu boleh kebulur jika kedai orang Cina cuti panjang.

Tahun ini timbul pula isu Pasar Borong Selangor cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina. Akibatnya peniaga bangsa lain menjalankan aktivitinya di luar bangunan Pasar Borong Selangor. Pelik juga, padahal tertulis perkataan 24jam sehari. Namun di sesetengah tempat, petang hari pertama Tahun Baru Cina, ada kedai runcit orang Cina dah kembali berniaga atau buka kedai.

Itu sekadar kedai runcit atau pasar, bagaimana dengan bisnes lain seperti spare part kereta, barangan elektrik dan bahan binaan ? Sesetengah tempat mungkin terjejas dan sesetengah tempat lain ada alternatifnya daripada kedai orang melayu atau India. Teringat aku sekiranya cuti perayaan yang melibatkan kaum India yang diketahui memonopoli pengedaran akhbar, terpaksa syarikat akhbar pun cuti mencetak akhbar. Patutnya jika kedai Cina tutup, kedai Melayu kenalah buka. Ini nak cuti jugak ?

Makan Besar
Pada malam Tahun Baru, kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Biasanya diadakan di rumah anggota keluarga yang paling tua. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Ini dikatakan juga sebagai simbol bagi memastikan semua ahli keluarga berada bersama dalam keadaan selamat daripada serangan Nian ?

Dalam adat kita pun, maghrib menjelang raya berkumpul semuanya setelah tiba ke kampong menghadap juadah berbuka puasa yang terakhir. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya tidak akan dimakan habis. Ia sebaliknya disimpan bakinya semalaman dengan maksud semoga ada lebihnya setiap tahun.

Buah Limau Mandarin
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Orang Melayu pun tidak melepaskan peluang mendapatkannnya yang banyak dijual secara kotak dengan harga yang agak murah di pasaraya dan pusat membeli belah. Entah-entah makan lebih banyak dari orang Cina, kerana rasanya pun yang sedap.

Buah ini datang kebanyakkannya ( mungkin semuanya ) dari negeri China yang diimpot memang ikut time musim Tahun Baru Cina. Masa-masa lain tak nampak pun limau mandarin dijual di mana-mana.

Rasanya tak ada masalah untuk umat Islam Melayu makan sebanyak mana, asalkan tidak terikut–ikut dengan keyakinan dan kepercayaan orang Cina. Tetapi apa hukumnya menanam pokok buah limau yang rendang tetapi berbuah lebat sebagaimana dilakukan oleh orang Cina sempena Tahun Baru Cina ?

Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina antaranya ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial. Buah limau mandarin melambangkan kesejahteraan dan kemewahan. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki.

Mercun
Apakah jika umat Islam Melayu bermain mercun, juga bermaksud nak menghalau raksaksa Nian daripada membuat huru-hara mencari pemangsa ? Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru bagi orang Cina dan bagi menghalau puaka serta nasib malang. So, bagaimana umat Islam Melayu ?

Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Ini macam merim buluh yang dimainkan oleh orang melayu Islam ketika musim puasa dan raya. Pada zaman moden sikit, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun.

Mercun ini biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.

Walaupun mercun kini dilarang dijual secara komersial dan terbuka atas sebab-sebab keselamatan, namun ianya tetap dimainkan sama ada semasa Tahun Baru Cina atau pun Hari Raya Aidilfitri. Dari mana mereka dapat ? Secara seludup dari Siam ?

Bunga Api
Bagaimana pula dengan bunga api ? Sama juga dilarang atas faktor keselamatan, walaupun ianya kelihatan cantik dan menarik apabila dimainkan sehingga menjadi acara rasmi dalam sesuatu sambutan atau perasmian event tertentu.

Namun dikatakan kebenaran diberikan pada musim perayaan Tahun Baru Cina, selainnya perlu mendapat kebenaran atau dalam kawalan pihak berkuasa,m seperti dalam sambutan tahun baru masehi serta perasmian beberapa kejohanan sukan di Malaysia.

Untuk menghasilkan bunga api yang menarik serta meriah, tentunya kosnya mahal. Jika tidakpun terpengaruh dengan kepercayaan mengusir roh jahat, apa hukumnya membakar mercun dan bunga api sama ada semasa menyambut hari raya serta dalam majis tertentu ? Apakah boleh dikira membazir seperti membakar duit ?

Angpau
Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian 'angpau' atau sampul merah yang berisi duit. Begitu juga anak anak kita ketika menyambut Aidil Fitri untuk dapat ‘duit raya’. Nampaknya budaya ini juga telah sebati dengan umat Melayu Islam. Cuma warna biasanya bukanlah merah dan hanya kanak-kanak yang selalu menerimanya. Semasa sambutan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin tanpa mengira usia bagi melambangkan nasib baik.

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Benarkah RM isi kandungannya bukan sebarang nilai. Dikatakan jumlah wang yang terkandung lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian. Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial ( kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati ) maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah ( kerana sama bunyinya dengan ‘kaya’ ), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau.

Angpau yang membawa maksud 'Tuah Wang', dengan harapan pemberian ini akan dibalas dengan kemakmuran kepada mereka yang menghulurkan.

Ucapan Gong Xi Fa Chai
Gong Xi Fa Chai diterjemah sebagai ‘Tahniah dan semoga mendapat rezeki’. Ia merupakan ucapan paling popular diucapkan, hatta daripada kalangan bukan Cina kepada orang Cina sebagai tanda begitu dekatnya kesan sambutan perayaan terbesar masyarakat kedua terbesar di negara ini. Cumanya ada yang beranggapan ia bermaksud Selamat tahun baru Cina.

Dua aksara pertama ungkapan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan ucapan tahniah atas kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, selain melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk ( di negara China ). Manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh tenang kaya raya dengan harta benda yang begitu penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia.

Gong Xi Fa Chai adalah sambutan bagi orang Cina dan tidak berkait dengan upacara keagamaan seperti Thaipusam, Deepavali dan Krismas. Kerana itu, tidak menjadi halangan untuk orang Melayu Islam turut meraikan bersama kaum Cina dengan ziarah, kunjungan dan memakan hidangan yang disediakan, asalkan halal.


Share:

Al-Fatehah Untuk Azli Paat

Semasa aku tinggal di Saujana Utama dan berulang alik ke tempat kerjaku di Kuala Lumpur sekitar awal 2000, sambil memandu aku sering mengikuti siaran yang membincangkan tentang perkembangan ICT di Radio Malaysia Kuala Lumpur ( RMKL ) yang dikendalikan bersama Sdra Azli Paat. Kemudian entah mulai bila aku mulai hilang daripada mengikuti celoteh beliau di Radio sehinggalah kepada minggu lalu, aku terkejut apabila mendapat berita tentang kematian beliau pada 6 Februari 2013, pada usia 46 tahun setelah beberapa hari mengidap demam panas.

Azli Paat meninggal dunia pada kira-kira jam 7.00 malam di rumahnya di Bukit Segambut. Namun jenazahnya kemudian dikebumikan di Batu Pahat Johor, atas permintaan arwah sendiri. Baruku tahu beliau orang Kampung Pedada Kuning, Batu Pahat rupanya. Dia dulu sekolah di Sekolah Tinggi Batu Pahat dan merupakan graduan Sains Komputer dari Universiti Iowa USA ( 1982 ).

Azli Paat merupakan CEO dan juga Founder Syarikat Vista dapat Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2000. Rasanya Azli Paat adalah orang Melayu paling awal berceloteh tentang ilmu IT yang berkumandang di corong radio sejak tahun 90 an. Dari beliau menerangkan apa itu IT, bagaimana nak buka akaun email, bagaimana IT dapat membantu masyarakat berinteraksi dan berbagai topik IT. Mungkin cara penyampaian beliau yang mudah difahami oleh orang ramai ketika itu, beliau semakin diminati, semakin dikenali dan sering menjadi panel diberbagai rancangan IT di berbagai saluran Radio dan TV.

Berdasarkan cara perbulan beliau menerusi radio dan beberapa kali pernah aku lihat di kaca TV, aku kira beliau seorang ‘intelligent’ yang jujur, luhur, ikhlas, ceria dan disenangi ramai. Cara penyampaian khususunya dalam Bahasa Melayu agak mudah difahami berbanding orang lain yang kerana kononnya hendak menampakkan ‘pakar; maka pelbagai istilah dan hal teknikal disebutkan.


Walaupun di mana beliau berada, beliau jarang miss dalam slot yang disediakan di Radio untuknya kerana mengunakan pelbagai teknologi ICT bagi membolehkan beliau terus bersiaran.

Terasa benar akan kehilangannya. Antara pencapaian dan sumbangan besar beliau semasa hayatnya adalah memperkenalkan Kod DAPAT (32728) yang digunakan dalam ribuan perkhidmatan, membangunkan sistem Rakan Cop untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mewujudkan sistem mySMS 15888 dengan pihak kerajaan yang membolehkan pesanan tanpa sempadan antara pelbagai syarikat telekomunikasi untuk perkhidmatan awam di Malaysia.

Beliau baru memperkenalkan produk yang dinamakan 'Adacode', yang membolehkan kandungan dihantar ke emel atau SMS dengan hanya membuat panggilan miscall. Pada majlis Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) 2012, allahyarham Azli Paat menerima anugerah Best of the Best Award daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau juga pernah merangkul anugerah Best of e-Inclusion and e-Community Service, MSC Malaysia APICTA (2009) dan Best of Communications Application, MSC Malaysia APICTA (2007).

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Arwah meninggalkan seorang balu, Dr Fadhilah ( Pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan ) dan 10 orang anak ( 6 lelaki dan 4 perempuan ) yang berusia antara 6 tahun hingga ada yang baru memasuki alam pekerjaan. Diberitakan isterinya hanya menyedari setelah mendapati arwah tidak bernafas lagi sebaik pulang ke rumah dari menjemput anak-anak pulang dari sekolah.

Dunia IT negara kehilangan seorang tokoh keusahawanan, pakar inovasi dan pakar teknologi maklumat. Beliau telah membawakan pelbagai inovasi dalam dunia IT dan kandungan mudah-alih di Malaysia. Moga ilmu yang disampaikan arwah menjadi penyuluh beliau di alam barzah sana. Semoga Allah s.w.t menempatkan roh arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan golongan solehin.

Al-Fatehah.
Share:

Pameran Topeng Muzium Negara

Topeng merupakan sesuatu yang menutupi muka dengan tujuan berselindung. Oleh yang demikian ianya direka pelbagai rupa selaras dengan sebagai maksud tertentu, hiburan, persembahan melambangkan kepercayaan dan budaya individu atau sesuatu bangsa. Topeng telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu sehinggalah sekarang. Terdapat lebih daripada 500 topeng dari seluruh dunia kini dipamerkan di Muzium Negara sejak 20 Disember 2012 dan akan berakhir pada 20 Mac 2013.

Aku berkesempatan ke sana pada 10 Februari 2013 lalu sempena cuti Tahun Baru Cina. Pemeran di Muzium Negara terbahagi kepada dua iaitu satu yang tetap dan satu lagi yang bermusim. Nampak ramai yang menuju ke tempat pameran tetap, sebaliknya tidak ramai yang ke Pameran Topeng. Apakah kerana takut, menyeramkan serta takut termimpi-mimpi. Tiket mahal ? Dewasa cuma RM5 sahaja dan kamera RM3.

Pameran ini diadakan bagi memberikan kefahaman tentang latar belakang sejarah dan sosio budaya masyarakat umum di dunia, khususnya di negara yang mengamalkan kebudayaan topeng. Ia juga cuba memberikan kefahaman berkaitan falsafah pemakaian topeng yang diamalkan sejak dahulu kala.

Topeng-topeng yang dipamerkan didatangkan dari negara Asia Tenggara ( Indonesia, Thailand, Kemboja ), Asia ( Jepun, China, India, Korea, Nepal, Sri Lanka, Mesir), Eropah (Itali), Amerika ( Amerika Syarikat, Kanada ), Amerika Latin ( Mexico, Guatemala, Caribbean, Haiti, Peru, Ecuador, Bolivia ) dan Benua Afrika ( Nigeria, Burkine Faso, Ivory Coast, Malawi ). Dari Malaysia pula kebanyakkannya di datangkan dari Sabah dan Sarawak.

Pelbagai bentuk, rupa dan warna topeng. Ada yang nampak cantik, ceria, menyeramkan dan juga yang burok. Ada rupa manusia, binatang dan rupa entah apa-apa, abstrak ? Teringat aku akan topeng yang dipakai semasa persembahan kuda kepang zaman kanak-kanak dulu yang dipanggil ‘pentol’. Di sini dipamerkan bersama 'barongan' dari Indonesia.

Penggunaan dan pemakaian topeng dalam sesuatu masyarakat banyak berhubung kait dengan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat tersebut. Mereka percaya bahawa topeng mampu mewakili satu kuasa luar alam nyata, mewakili nenek moyang atau kuasa-kuasa lain yang mempunyai hubungan dengan masyarakat berkenaan.

Ini memberi pengertian bahawa topeng dijadikan medium untuk berhubung dengan dunia ghaib, di samping menjadi pelindung terhadap ancaman kuasa-kuasa luar lain yang tidak diketahui mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Bunyi macam menyeramkan sikit.

Ada sesetengah topeng yang dipemerkan diberikan tanda topeng yang digunakan sebagai ritual, maknanya memang benar-benar digunakan untuk ritual adat istiadat, keagamaan dan pemujaan. Nampak topeng-topeng ini macam biasa aje.

Penggunaan topeng juga dapat dikesan melalui seni persembahan tradisional terutama bagi masyarakat Melayu tradisi seperti Menora dan Makyung di Kelantan serta Mek Mulung dan Awang Batil di Kedah dan Perlis.

Sebelum ke bahagian kedua pameran, kena melalui terowong gelap yang penuh dengan topeng bergantungan dengan bentuk, warna dan suasana seram. Taklah seram sangat, takdelah macam rumah hantu seperti kat pameran tu.

Bahagian kedua, nampak lebih kepada topeng benua luar seperti Amerika, Eropah dan Afrika. Di Eropah siap ada majlis topeng dengan para hadirin memakai topeng. Digambarkan juga perisai yang digunakan semasa peperangan dianggap juga topeng. Selain melindungi muka, juga melindungi diri.

Walau apapun bentuk topeng, terasa bagiku bahawa sebenarnya kreativiti pengukir topenglah yang sangat hebat sehingga mampu memberikan hasil yang dianggap sebagai mewakili kreativiti bagi setiap bangsa yang terdapat di dunia ini. Oleh yang demikian, dipandang daripada objektif topeng maknanya ianya masih relevan digunakan sehingga hari ini.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Wajah Baru Pasar Tani Putrajaya 2013

Sempena dengan Hari Wilayah Persekutuan 2013 pada 1 Februari 2013 yang lalu, FAMA telah melancarkan semula Pasar Tani Putrajaya dengan apa yang dipanggil wajah baru di lokasi yang sama diadakan Pasar Tani pada setiap Selasa dan Jumaat. Aku kebetulan ke Pasar Tani tersebut pada lewat petang itu. Sebenarnya jarang-jarang juga aku ke sana sebab terasa malas.

Sempena pelancaran semula ini, disediakan makanan dengan lauk gulai kawah secara buffet untuk dimakan anggaran 1,000 orang. Nampak ada VIP yang hadir, antaranya President Perbadanan Putrajaya.

Entah, aku pun tidak pasti. Apakah wajah barunya setiap gerai pasar tani di sini, kecuali ada di sesetengah kedai tu baner baru serta gantungan baner segitiga macam bendera bertali, yang digantungkan di bahagian hadapan khemah gerai. Pakaian penjual memang semuanya seragam, Cuma aku tidak pasti sama ada ada perbezaan berbanding dengan sebelumnya, sama ada daripada segi warna dan coraknya.

Kalau FAMA hendak war-warkan bahawa pembelian di Pasar Tani adalah menjimatkan belanja dapor, baik pegawai-pegawai FAMA tu tengok cermin. Cuba buat pembelian bahan mentah seperti sayur, buah, ikan, ayam dan daging di Pasar Tani Putrajaya dan kemudian esok hari buat pembelian yang sama di Pasar tani Dengkil sahaja dan buat perbandingan. Itu belum lagi kalau beli di Mydin Mart Presint 14 atau Pasar Borong Selangor dan buat perbandingan.

Jangan perasanlah. Ingat orang yang duduk di Putrajaya ini orang senang, orang berada yang gajinya RM5-6K sebulan ? Kalau gaji sebanyak itu, baik beli rumah sendiri di luar Putrajaya bukan duduk di kuaters kerajaan.

Kalau ke Pasar Tani Putrajaya tu aku lebih suka beli barang makanan yang sudah siap untuk dimakan sahaja. Harganya pun kira okeylah juga walau tidak ok sangat. Aku selalu beli di Mydin Mart Presint 14 dan kadang kala Pasar Borong Selangor yang terletak tidaklah jauh sangat daripada tempat tinggalku di Presint 14.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Pelancaran Kempen Jalan Raya Sempena CNY 2013

Pengalaman musim-musim cuti perayaan Tahun baru Cina yang lalu menyebabkan aku dan keluarga mengambil keputusan untuk tidak balik kampong atau melancong. Selalunya jalanraya serta lebuh raya khususnya sesak dengan kenderaan orang ramai yang sama ada pulang balik kampong bagi yang menyambut Tahun Baru Cina atau turut bercuti balik kampong, jemputan kenduri kendara atau melancong. Sesak di jalan raya biasa dengan kesesakan di lebuhraya adalah berbeza. Sudahlah bayar tol lagi, pun sesak juga. Baik ikut jalan biasa.

Pada 4 ebruari lalu, aku hadir dalam majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pengangkutan Malaysia serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan MIROS.

Malah pelbagai agensi kemudiannya turut mengadakan kempen seumpamanya. Tidak tahulah sama ada atas kesedaran agensi berkenaan atau sekadar memberikan ruang serta peluang bakal-bakal calon menunjukkan keperihatinan menjelang PRU yang semakin hampir.

Majlis pelancaran diadakan pada 4 Februari di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan. Agak mengalakkan juga kehadiran. Bimbang juga jika tidak ramai, surat tunjuk sebab akan diminta memandangkan setiap agensi serta bahagian dalam agensi telah ditetapkan kehadiran yang perlu dicapai. Bimbang orang takde, nanti menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi, memandangkan PRU semakin tiba.

Memang selalunya ketika cuti musim perayaan, khususnya yang agak panjang sikit, kadar kemalangan akan meningkat. Begitu juga kadar kematian oleh kemalangan jalan raya akan meningkat. Sebab itu pegawai agensi penguatkuasa lain pun meningkatkan operasi mereka.

Namun agak aneh, sedang dipromosikan bahawa Sistem Kamera AES mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kehilangan jiwa, tetapi timbul kenyataan bahawa penggunaan Kamera AES akan dihentikan sementara waktu selama dua bulan. Bukankah jika begitu baik objektif AES, maka ianya wajar diteruskan sahaja tanpa diberikan ‘cuti’ sempena musim cuti perayaan Tahun Baru Cina. Mungkin ada alas an lain, entahlah …

Sebaliknya, selain daripada menempatkan anggota penguatkuasa JPJ di pelbagai kawasan hitam atau kawasan yang sering berlaku kemalangan JPJ akan menempatkan anggotanya yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres sepanjang operasi Tahun Baru Cina ini. Ini bagi memastikan bas dinaiki selamat dari segi teknikal serta pemanduan.

Satu gelagat atau tebiat yang semakin menular dikalangan pemandu kini ialah sikap sombong dan kurang berkomunikasi dengan kenderaan lain. Ini dapat dilihat sekiranya hendak belok atau masuk ke kiri atau kanan, penggunaan lampu isyarat kenderaan tidak digunakan. Ke nak jimat bateri kereta ? Ini betul-betul menyusahkan kenderaan lain. Bukan sahaja teksi, bas serta kenderaan awam, malahan kereta peronda polis pun dua kali lima. Apakah wajar lampu isyarat kenderaan dijadikan keperluan optional semasa beli kenderaan, mungkin boleh kurangkan sikit harga kenderaan tu ...
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.