Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Selamat Ulang Tahun Ke-3 TV-Alhijrah

Tiga tahun telah berlalu rupanya. Rasa macam sudah lama. Aku sempat menghadirkan diri ke sambutan ulangtahun ke-3 TV-Alhijrah di Dataran Putrajaya yang diadakan sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa Putrajaya 2013 (PIIACuF2013) 2013. Mungkin mudah nak ingat, 1 Muharram ialah ulang tahun kelahiran TV-Alhijrah, sebuah stesen TV yang berkonsepkan Islam.

Sejauh mana keislamannya, maksudnya sejauh mana konsep Islam berjaya ditonjol dan dikekalkan dalam memastikan siaran TV-Alhijrah terus relevan, dapat bertahan dan mendapat sambutan penonton. Maklumlah kos operasinya tentu tinggi dan sejauh mana kerajaan menerusi JAKIM terus-terusan menjadi penaja utamanya.

Bagiku yang pentingnya, cukuplah sekiranya TV-Alhijrah mampu membawa atau menyiarkan siaran seperti ceramah, kuliah, tazkirah dan forum perbincangan mengenai segala aspek dalam Islam ke dalam rumah menerusi kaca TV. Tidak kiralah sama ada yang diadakan dalam studio, masjid surau dan dewan-dewan kuliah.

Bukan maksudnya sudah tidak perlu lagi ke surau masjid untuk dengar kuliah atau tazkirah, tetapi ianya sebagai alternative. Malah mungkin boleh menarik minat orang ramai khususnya remaja untuk ke surau masjid bagi mengikuti rakaman-rakaman kuliah agama, kot-kot muka masuk TV. Ha.. ha ..

Cuma yang pentingnya, cara, gaya dan suasana persembahan perlulah mampu menarik. Camana agaknya ? Tidak disogokkan dengan perwatakan ustaz yang berterusan serius, sukar hendak senyum dan ceramah yang membosankan.

TV-Alhijrah sebenarnya bersaing dengan siaran TV lain yang sedikit sebanyak, cenderong kepada Islam seperti saluran 119 dan Astro Oasis ( 106 ) dalam menyampaikan mesej Islam. Malahan mungkin kedatangan TV-AlHijrah sebagai media arus perdana berteraskan Islam menjadi pemangkin saluran TV lain untuk sama-sama menerbitkan rancangan agama. Takpe, bersaing demi kebaikan ummah. Islam sebagai ad-din adalah luas, merangkumi segala urusan kehidupan manusia dan masyarakat.

Antara program yang dikatakan popular, 30 Minit Ustaz Don, Reflections, Chef Ammar, Assalamualaikum , Menu Alam, Cinta Ilmu dan Dikir Zikir. Yang juga penting syariah compliance peru diperkukuhkan dalam setiap siaran termasuklah filem dan dramanya. Camana agaknya ? Apakah perlu semua pelakon wanitanya bertudung dan lelakinya berjubah ketayap ? Pelakongnya berimejkan ustaz dan ustazah, berlatar belakangnya sekolah pondok, sekolah agama atau Universiti Islam ?

Penting juga personaliti dan pengacara berakhlak mulia, penampilan Islamik sesuai dengan konsep TV-Alhijrah. Macam Kumpulan nasyid. Hendak menyampaikan dakwah cara baru dan method baru, kena cakap serupa bikin juga.

Selain nasyid-nasyid, menerusi sambutan di Putrajaya itu, penonton berpeluang melihat secara live personaliti TV-Alhijrah serta Mawi dan Siti Norhaliza menyempaikan lagu ketuhanannya. Selamat Maju Jaya TV-Alhijrah dan Selamat Ulang Tahun Ke-3.
Share:

Kalimah Allah: Emosi Dan Realiti

KALIMAH ALLAH: EMOSI DAN REALITI
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai minta saya tulis artikel tentang isu nama Allah yang dipanaskan semula dan terus menjadi krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian. Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.

Hanya Di Sini
Isu kalimah Allah ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia. Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan. Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama Allah.

Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Padahal bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai RasululLah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan ‘Allah’. Demikian Kristian Lebanon dan Jordan, gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘Allah’ sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa a.s. Justeru bukan sahaja perkataan Allah, banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain.

Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah (maksudnya): ‘segala puji bagi Allah tuhan segala alam’. Tiada muslim pun yang menyebut ‘segala puji bagi Allah Tuhan kaum muslimin sahaja’. Ini kerana muslim mengakui Allah itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.

Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu Allah. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.

Kristianisasi
Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama Allah disebut. Sementara orang cina yang bukan muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah ‘inshaa Allah’. Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah Allah’ yang dinyanyikan oleh semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis ‘Allah’ dan ‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang muslim dan non-muslim.

Namun apabila orang muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi sesuatu yang benar-benar wujud. Orang muslim dalam negara ini bimbang. Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut Tuhan sebagai Allah yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula bangkit. Apa tidaknya, mengapakah hanya versi melayu sahaja yang hendak digunakan ‘perkataan Allah’?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain juga menggunakan Allah?

Provokatif
Kelihatan seolah macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di situ. Maka ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu Allah, tetapi sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.

Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama Allah dalam edaran bahasa melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat berbilang agama dan ijtihad pentadbiran. Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.

Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan larangan mutlak bahawa bukan-muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi agama dilarang.

Salah Faham
Malangnya ada muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan muslim sama sekali tidak boleh menggunakan nama Allah. Kononnya nama Allah eksklusif untuk muslim sahaja. Ada pula yang berfatwa ‘murtad sesiapa yang membenarkan‘. Pada hal nas asal, dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar ataupun ‘The Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini. Firman Allah:(maksudnya)

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Bahkan Nabi s.a.w ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama Allah, bukan nama Jesus. Firman Allah: maksudnya)

“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).

Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka disuruh bersumpah dengan nama Allah?!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.

Lojik

Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari menyebut masya Allah dengan diganti ‘masyaa God’.

Jika bukan muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah menjawab Allah. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia berkata demikian, maka dia syirik.

Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w, dan umat Islam di seluruh dunia.

Maka, kita muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian hidup dalam negara yang pelbagai agama. Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah dan hikmah.

Disiarkan pada Oct 17, 2013
Share:

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah & Korban

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah: Sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah. Beberapa dalil dari al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah, maksudnya; “Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr : ayat 1-2) Kata Ibnu Kathir : Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].

2. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].

3. Firman Allah, maksudnya: “Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah al-Haj : 28). Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan].

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Kelebihan Korban, Adab & Hukum

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut: 1.Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.

2.Puasa. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei] Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3.Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).” Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.” Ibnu Umar bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah. Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya. “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim]. PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah). Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya. Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara Menyambut Musim Kebajikan

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut : ayat 69).

Contohi Korban Nabi Ibrahim, Hajar & Ismail

Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” [HR Muslim].

Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” [Syarah Sahih Muslim].

Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persedian pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
30 Sep 2013
http://www.abuanasmadani.com/
Share:

Pengubat Kerinduan Mekah & Madinah

Melihat bakal haji sampai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu pada 26 September 2013 untuk bertolak mengerjakan haji, mengingatkan aku kepada pengalamanku yang pernah sampai ke sana. Ini menimbulkan rasa kerinduan untuk sampai lagi ke sana mendakap bumi haramain. Kerinduan yang menggamit kenangan pada keindahan lantaran terpilih menjadi tetamu Allah. Rindu betapa seronoknya berada di sana, meskipun terpaksa meredah segala kepayahan, meskipun berjauhan daripada rumah, keluarga, kampung halaman dan sanak saudara.

Dalam aku menyaksi dan merakamkan pergerakan mereka, tidak aku sangka apabila aku lihat dalam foto yang aku ambil sebagaimana di atas ( cuba teka ), merupakan seorang Ahli Parlimen Malaysia yang aku kira agak lantang bersuara dan boleh dianggap tersohor kerana kepetahan berbicara dengan fakta dan hujah beraninya.

Mengunjungi Mekah dan Madinah bukan seperti ziarah biasa. Ia merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan juga cuma ulang alik dari Masjid Nabawi ke Hotel penginapan sahaja atau ulangalik Hotel ke Masjidil Haram dan pakai redah sahaja Tawaf, Saie, Wukuf, Mina serta melontar jamrah. Ini kerana setiap perlakuan dalam ziarah, umrah dan haji mempunyai sejarah dan hikmatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, penziarah atau bakal haji sangat digalakkan untuk mengenali dua tempat penting itu iaitu Mekah dan Madinah, agar menjadikan penghayatan serta rasa kyusyu’ yang lebih lagi.

Buku Sejarah Mekah Dan Madinah
Masa pertama kali aku ke tanah suci mengerjakan haji, aku sempat membeli buku di bawah di bumi Madinah sebagai rujukan. Tetapi bahasa Indonesianya agak kelam kabut dan gambarnya agak lama serta banyak gambar hitam putih. Mungkin sekarang sudah tidak dijual di sana atau telah diupgrade mutunya.

Memang masa kursus sebelum ke Mekaqh dan Madinah ada disentuh, tetapi masa tu tumpuan pemahaman lebih kepada tatacara dan aliran kerja ibadah haji dan tawaf. Tak fikir sangat bab ziarah, sedangkan kita ada masa sehingga 45 hari di bumi Madinah-Mekah. Takkan nak ibadat khusus, mengaji, makan dan tidur sahaja. Apabila mengikuti program ziarah aku cuba merujuk kepada buku ini. Walaupun ada pemandu mengiringi kami, namun pengkisahannya adalah terhad. Kalau nasib tak baik, mereka cuma tunjuk itu dan ini sahaja.

Madinah Munawwarah & Mekah – Kelebihan & Sejarah
Dua buku ini aku anggap terbaik, padat dengan info bergambar, lengkap serta menyeluruh dalam menceritakan tentang Mekah dan Madinah sebagai bandar lama yang bersejarah. Gambarnya banyak yang terkini, berwarna dan jelas. Selalunya memang kena ada dua-dua, tentang Madinah dan tentang Mekah. Aku boleh kategorikan buku ini sebagai mesti baca sebelum berangkat ke tanah suci.

Penulisnya pun orang yang pernah tinggal lama di sana semasa belajar di Universiti Madinah daripada peringkat ijazah pertama sehinggalah ke peringkat kedoktoran. Tentulah kajiannya menyeluruh. Aku beli buku ini sebelum berangkat mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun 2011.

Walaupun harganya agak murah berbanding buku lain mengenai Madinah dan Mekah, namun ia mengandungi huraian yang agak terperinci berkenaan tempat-tempat yang ada sekitar Mekah dan Madinah. Turut disertakan nas-nas, kisah Nabi lain yang terlibat serta beberapa tokoh yang terkait dengan tempat-tempat tersebut.

Sejarah Kota Madinah Munawarrah Dan Tempat-Tempat Bersejarahnya
Aku beli buku ini semasa di Mekah. Tetapi aku tidak pasti mengapa hanya tajuk Madinah sahaja, tanpa buku tentang Mekah. Sudah habis stok, tidak cukup duit nak beli atau memang tiada versi Mekah ?

Buku ini dicetak di Arab Saudi tetapi dalam bahasa Indonesia agak standard dan mudah difahami. Aku anggap buku ini sesuai bagi mereka yang pertama kali masuk Madinah sebab penerangannya yang menyeluruh. Murah sahaja SR15.

Destinasi Haji dan Umrah, Travelog Haji Bergambar
Buku ini aku beli masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia hasil atau buah tangan daripada orang yang banyak buat novel Islamik sehingga ada yang difilemkan. Membukanya lembaran demi lembaran yang penuh dengan gambar-gambar yang menarik, terasa syahdu lantas mengingatkan aku kepada pengalaman sama semasa berada di sana.

Bermula daripada persiapan hendak berangkat, pengkisahan beririnagan engan gambar-gambar sampai lah balik semula ke kampong halaman. Yang menariknya ialah perkara di belakang tabir yang kita tidak tahu seperti persiapan pihak berkuasa, kesihatan, pengangkutan dan pasukan keselamatan.

Bayu Kerinduan di Bumi Haramain
Ini merupakan buku terbaru tentang perjalanan Haji Mekah dan Madinah yang aku milikki dan sangat menarik untuk dibaca kepada mereka sebelum berangkat ke tanah suci. Malah bagi yang pernah ke sana, membacanya memberikan bibit-bibit kerinduan untuk berangkat ke tanah suci lagi.

Ini adalah kerana ia dipenuhi dengan pelbagai warna pengalaman sebenar penulis di Haramain yang turut menyingkap hikmah dan penghayatan setiap peristiwa, penuh dengan pelbagai info dan maklumat yang jarang diketahui umum, termasuk cara kupasan dan penceritaan yang santai. Tentunya ianya merupakan catatan perkongsian penulis yang boleh dianggap sangat berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Catatan Perjalanan Haji & Umrah
Tidak dinafikan aku sering mengimbas kembali perjalanan Haji dan Umrah sebagaimana dipaparkan dalam blog ini, khususnya apabila teringatkan Mekah dan Madinah.

Mungkin gaya bahasanya tidak mempunyai nilai komersial untuk dibukukan sebagaimana buku di atas, namun sekurang-kurangnya cukup untuk aku mengimbau kembali kenangan dan perasaan semasa berada di sana, selain dapat dimanafatkan oleh pengunjung blogku.
Share:

Konsert Pray 4

Pada malam 7 September 2013 yang lalu, aku telah menghadiri Konsert Pray 4 di Stadium Bandar Baru Bangi. Konsert ini dikatakan menghimpunkan lebih daripada 100 orang daripada pelbagai kategori artis, penasyid dan penceramah dengan tujuan untuk menyedarikan orang ramai dalam mengambil perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di 4 buah Negara Umat Islam iaitu Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya. Berbanding dengan promosi yang aku anggap besar-besaran dibuat, bagiku orang tidaklah seramai mana kehadiran. Mungkin sebabkan hujan lebat berselang seli gerimis yang turun sejak waktu asar lagi atau menonton menerusi internet sahaja.

Perlukah konsert sedemikian rupa dalam menyampaikan doa untuk Mesir, Syria, Gaza dan Rohingnya ? Sedang mereka berhadapan dengan tentera dan peluru serta pelbagai penindasan dan kesengsaraan. Kita di sini dengan konsertnya. Apakah betul caranya dan sejauhmana kesannya berbanding objektif untuk menyedarkan orang ramai tentang pergolakan yang tertimpa ke atas umat Islam di sana ?

Khabarnya kutipan sebanyak RM80k telah berjaya dibuat pada malam tersebut untuk disampai kepada 4 wakil negara berkenaan yang diiktiraf. Ada pula yang kata RM31 ribu sahaja.


Mungkin lantaran artis serta yang terlibat menjayakan konsert ini kira free sahaja, bolehkah ada ‘untungnya’. Kelihatan banyak juga persiapan fasiliti disediakan yang semuanya memerlukan kos juga.

Mesir
Antara Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya, aku kira yang terkini dan begitu menyentuh ialah pergolakan semula dI Mesir. Betapa lemahnya kita umat Islam hanya kerana seorang As-Sisi yang lebih teruk dan jahat daripada Israel berbuat angkara yang jelas menguntungkan Israel dan Amerika. Yang ghalatnya banyak Negara umat Islam sekitar pun menyokong Morsi digulingkan. Siap bagi bantuan kewangan lagi.

Selain tidak ambil kisah, di Malaysia pun tidak kurang ada yang menyokong tindakan tentera dan berpendapat tindakan penyokong Morsi membuat demontrasi dan apa yanag dianggap keganasan tu adalah salah di sisi Islam. Habis tu suroh berdoa siang malam dalam Masjid saja dan redha dengan apa yang berlaku ?

Syria
Di Syria, pergolakan telah berlarutan begitu lama. Pergolakan di Syria kini dikaitkan pula dengan isu perselisihan antara Syiah dan Sunni ? Ini adalah lantaran Iran yang kuat berfahaman Syiah, dikatakan banyak membantu Syria. Orang Sunni dizalimi dan dibunuh di Syria. Apakah benar isu Syiah-Sunni merupakan utama di Syria hingga di Malaysia pun gempak dengan ajaran Syiah yang dikatakan menyesatkan, mulai menular dalam masyarakat Malaysia.

Ini menenggelamkan isu asal kebangkitan rakyat yang disebabkan oleh dinasti pemerintahan yang lama, zalim dan ala diktator tetapi bertopengkan demokrasi.

Malahan ada yang mengajak umat Islam Malaysia memboikot serta mengatakan haram makan kurma atau barangan daripada Iran, menggesa Kerajaan Malaysia hentikan import eksport barangan dengan Iran. Ada berani ke ?

So tahun depan jangan jemput Iran menyertai Musabaqah Al-Quran. Jangan benarkan orang Iran masuk Makkah dan Maddinah mengerjakan haji ? Camana ?

Gaza
Bukan setakat Gaza, rasanya merujuk kepada keseluruhan rakat Palestin yang berhadapa denganzionist Israel. Keperihatinan rakyat Malaysia memang telah lama terhadap Palestine. Terdapat pelbagai NGO yang memperjuangkan nasib dan memberi serta menyampaikan bantuan kepada Palestine.

Ini menimbulkan pertanyaan, sejauh mana Negara umat Islam sekitarnya memberikan bantuan selama ini ? Atas nama keselamatan Negara masing-masing, mereka menjalin hubungan strategik dengan Amerika yang sekaligus menguntungkan Israel.

Kemenangan Hamas dan Morsi menerajui Mesir mungkin tidak sempat dikecapi nikmat oeh penduduk Palestine sedang dunia Islam menanti tempias kebaikan yang bakal diterima oleh Palestine.

Rohingya
Berbanding dengan Mesir, Syria dan Gaza, mungkin Rohingnya paling kurang profail. Mungkin kerana tiada badan khas atau NGO yang memperjuangkannya berbanding dengan Palestin. Usah mengharap dan memuji sangat ‘ketokohan’ Aung San Suu Kyi yang dikatakan pejuang demokrasi di Myanmar tetapi membisu terhadap isu penindasan Rohingya.

Malah Suu Kyi pun tidak pasti sama ada Rohingya boleh dianggap sebagai warga Burma atau Myanmar. Apakah kerana mereka minoriti umat Islam ? Bagaimana kalau Keristian atau seugama dengannya ? Beliau pun mungkin rasa wajar etnik Rohingya diketepikan begitu, memandangkan demokrasi memerlukan majority bukannya minority.

Pengisian Konsert
Majlis konsert disikandengan bacaan qasidah, selawat, nasyeed, bacaan puisi, mini orum, tazkirah mini dan diakhiri dengan doa. Sebagai penyiar rasmi, TVIKIM menyiarkan secara langsung majlis ini menerusi laman web tvnya.

Doa yang dibaca dan diaminkan beramai-ramai diakhir majlis sangat menyentuh kalbu dan aku rasa ramai yang menitiskan air dengan harapan sinar baru akhirnya ditemui bagi Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya.

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Catatan Rumah Terbuka Rayaku 1434H

Posting ini aku buat sekadar nak meraikan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat handai, rakan sepejabat dan kenalan yang telah hadir dalam Majlis Kesyukuran dan Open House Aidil Fitri 1434H di kediamanku. Alhamdulillah walaupun terasa penat kemudiannya, tapi rasa seronok sebab ramai yang hadir termasuk yang telah lama tidak ditemui.

Aku sekalikan dengan majlis kesyukuran sebab anakku Nurul Najihah dapat masuk UM dalam jurusan perubatan dan akan mendaftarkan diri dan memulakan pengajian pada 1 September 2013.

Keluarga Adik Beradik
Alhamddulillah semuanya dapat hadir walapun jauh dari Johor dan Melaka. Tetapi memang mereka sentiasa datang setiap tahun setiap kali raya, walaupun aku tak buat rumah terbuka. Terlanjur datang, mereka akan beraya rumah sedara mara tempat lain pulak di Lembah Kelang.

Kali ini mereka aku jemput khas menerusi Group FB Keluarga Maklimah. Mereka juga antara yang terawal datang.

Selain membantu sama ada di dapor serta menyediakan hidangan, kehadiran mereka yang ramai telah memeriahkan suasana dengan keriuhan bocah-bocah anak sedara.

Saudara Mara
Aku kira merupakan kelompok kedua ramai yang hadir, mana-mana yang tinggal di sekitar Lembah Kelang.

Kebanyakan mereka adalah merupakan daripada keluarga sebelah ibuku yang tinggal di Kajang, Beranang dan Kepong.

Che Rauf Shah Alam hadir bersama abangnya yang tinggal di Cheras. Kesian dia, sebab ini merupakan raya pertama tanpa isterinya Che Nah yang meninggal bebaru ini.

Keluarga sebelah bapaku, cuma Mohd Hafis sahaja yang hair. Dia dan keluarga menetap di Pandan ( rasanya ). Tampak isterinya berbual dengan isteri rakannku dari Saujana Utama, macam pernah kenal dulu-dulu.

Teman-Teman Saujana Utama
Ini yang bestnya, daripada ramai-ramai yang aku jemput, ramai juga yang kata 'Insyaallah'. Siap ada yang mohon izin memanjangkan kepada geng-geng AJK Surau lamaku dahulu. Macam ada harapan bahawa ramai yang akan hadir.

Tapi yang hadir ada kekira lapan keluarga sahaja. Takpe, itupun sudah cukup orait dan kira mewakili yang lain.

Mungkin yang lain sibuk beraya di tempat lain. Memang perjalanan musim beraya ni sukar nak diramalkan. Lebih lama perjalanan menempuhi kesesakan jalan raya berbanding masa beraya di tempat tujuan.

Rakan Pengajian Universiti
Kemudian rakan seperjuangan semasa belajar di universiti dahulu. Seronok sebab mereka antara yang sudah lama tidak bersua muka.

Dr Khairuddin dan Pok Loh adalah antara yang terawal sampai. Kebetulan mereka memang berjiran di Bandar Salak Tinggi.

Rusdi dan keluarga masih di Subang tempat lamanya dulu dan masih juga bertugas di Telekom.

Rakan Sekolah Menengah
Aku hanya jemput menerusi Group FB, so hanya sesiapa yang buka saja nampaknya yang tahu. Akibatnya hanya dua keluarga yang hadir. Khabarnya akau patut war-warkan juga dalam e-YahooGroup teman sekolah menengahku.

Tetapi aku tidak kisah sebab aku mungkin tidak sepopular berbanding dengan rakan seangkatan sekolah menegahku.

Rakan Sepejabat
Masa puasa lagi mereka ah tanya, buat open house tak bos raya ni. Tapi seperti biasa, aku tidak mengharap ramai yang hadir. Sekitar 20 orang pun sudah cukup kuat walaupun ada yang kata nak datang dengan bas.

Ok juga, adalah beberapa keluarga yang hadir dan kira melebih daripada jangkaan asalku.

Malah ada yang hadir di penghujung majlis ketika makanan berbaki sedikit dan ada yang lalu ketika aku sedang berkemas.

Berbanding dengan tahun lepas, aku rasa kali ini lebih ramai rakan sepejabatku yang hadir. Alhamulillah. Mereka memuji keenakan masakah Nasi Dagang isteriku. Bodeklah tu ...

Wakil Keluarga Terengganu
Ada juga wakil yang dapat hadir. Tetapi semuanya ari keluarga Abang Mat Kuala Terengganu. Farah anak 'Baba' ada sejak awal membantu persiapan majlis dan sibuk di dapor.

Abu Darda yang bertugas sebagai pensyarah UKM datang lewat sikit dan tak sempat nak bergambar dengannya. Tetapi sempat mencetuskan idea untuk mewujudkan Whatsapp KeluargaHjIsmailAwang.

Yang Lain-Lain
Yang lain tu sama ada cikgu rakan setugas isteriku yang aku tidak berapa kenal sangat, kawan-kawan anak-anakku serta jiran tetangga.

Terima kasih semuanya kerana dapat hadir.


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.