Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

21hb Feb :Perjalanan Ke Las Vegas

Setelah membuat persiapan yang sewajarnya walaupun dalam keadaan yang kelam-kabut akhirnya sampailah masa untuk bertolak pergi. Sama ada sibuk dengan tugasan harian, sibuk nak buat visa dan yang paling mencabar ialah sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan anakku yang berlangsung pada 19hb Feb lalu. Malah minggu yang sepatutnya aku cuti, terpaksa hadir juga ke pejabat untuk mempengerusikan meeting demi meeting.

Juga sibuk nak sediakan paper untuk pembentangan sempena persidangan IBM Interconnect 2015 yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 Februari di Las vegas, USA. Mungkin inilah sahaja peluangku untuk berjalan ke luar negara lagi, khususnya Amerika. Penyertaan serta perjalananku ditanggung oleh penganjur. Nak harap gomen tanggung, mungkin susah dalam keadaan sekarang.

Bermula Perjalanan
Perjalanan bermula on-time dari KLIA dengan MAS, 11.35 malam. Agak penuh juga penumpang flight. Aku fikir nak tidur sahaja sepanjang perjalanan setelah keletihaan menguruskan dan menjayakan majlis kawin anakku, tetapi payah nak terlelap.

Maka aku layanlah movie yang disediakan atas kapal dan sempat aku menonton beberapa filem yang disediakan. Namun yang memberi kesan dihatiku ialah filem Indonesia berjodol 99 Cahaya Di Langit Eropah.

Komitment kita kepada ajaran Islam dengan mempamirkan nilai murni Islam menjadikan kita adalah agen dakwah dan penyebaran Islam Di Eropah. Tanpa ku sedari mengalir air mataku terharu apabila didedahkan satu demi satu bahawa banyak penciptaan, seni serta binaan di Paris khususnya tersimpan rahsia besar berkaitan dengan Islam seperti ‘Jalan Lurus’ menghala Kaabah walaupun dibina oleh Napolean Bonapert !!!

Tiba Airport Paris
Namun tidak sempat habis filem, flight ku mahu mendarat di Paris. Keluar dari flight kekira 6.15 pagi terus mencari surau atau ruang untuk solat Suboh. Perjalanan agak jauh untuk keluar dari ‘Arrival Area’. Terasa besar sangat airportnya. Mujur banyak escalator.

Lalu ketemu ‘Multi-faith Prayer Room’ atau ‘Meditation Area’. Biliknya tidaklah besar mana, namun beberapa orang sedang sedia untuk solat berjemaah suboh.

Ketemu dengan beberapa Malaysian yang dalam misi pembelian Kapal Selam ke-2 Malaysia ?? Namun mereka menasihatkan untuk aku tidak keluar ke Bandar Paris memandangkan cuma ada 4 jam masa transit.

Lalu ronda-ronda sekitar airport dan kemudian chek-in untuk penerbangan seterusnya iaitu American Airlines di terminal berlainan. Perhubungan antara terminal dengan train yang disediakan seperti di KLIA.

Orang telah ramai berator. Aku cuba check-in dengan kiosk yang digunakan seperti orang lain, tetapi ada masalah lalu terus sahaja ke kaunternya. Aku rasa scanner dia tak boleh baca passport aku bila diminta untuk scan.

Walaupun takde duit Euro, aku gunakan kad kredit untuk membeli beberapa barangan kenangan di Airport Paris. Minimum purchase dengan kad kredit ialah 1Euro !!! Tapi 1Euro = RM5 kot ??

Nak melepasi pemeriksaan keselamatan punyalah siksa. Tinggal pakaian sahaja yang tidak ditanggalkan dan keluarkan untuk pemeriksaan. Mujur ada banyak saluran pemeriksaan.

Kemudian menaikki kapalterbang American Airlines. Kalau selalu barisan tempat duduk ekonomi 3-4-3, tetapi yang aku naikki 2-3-2. Ok juga, Nampak macam lapang.

Berbanding dengan naik MAS tadi, naik MAS lebih stabil. Tidak terasa bila langgar awan berbanding naik American Airlines ni. Aku dibekalkan dengan makanan halal sebagai ditempah sebelum penerbangan lagi.

Airpot Newyork
Since tidak ada entertainment disediakan, aku lebih banyak tidur kali ini. Sedar-sedar aku terdengar ramai penumpang bertepuk tangan kerana agaknya bersyukur sebab flight mendarat di Airport Newyork dengan selamat dan pendaratannya smooth sahaja.

Suhu di Airport New York sangat rendah dan terasa sejuk. Dikatakan suhu luar bangunan mencecah 5 darjah. Kelihatan juga salji di lapangan, tetapi sudah dialihkan supaya tidak menghalang laluan flight.

Sekali lagi terpaksa menempuh pemeriksaan keselamatan yang ‘meletihkan’. Entahlah. Namun sempat juga membeli kenang-kenangan, walaupun reganya mahal. Maklumlah rega airport. Lagipun anakku pesan key-chain di setiap destinasi yang aku singgahi. Huhu.

Flight pula delay 30minit. Setelah masuk dalam flight, delay lagi hampir sejam. Bila diummukan bahawa flight sedang menunggu beberapa barangan penumpang yang belum sampai, ada penumpang yang ‘memboo’ … kuat pulak tu.

Kekira sejam setengah kami lewat daripada masa asal. Dalam flight dikatakan ada perkhidmatan wifi, tetapi rupanaya kena bayar. Huhu … yang free cuma kalau nak sms dan berlanggan dengan salah sebuah telco di USA.

Tiba Las Vegas
So tidur sahajalah dalam perjalanan. Sesadar sudah mendarat di Airport Las Vegas. Dari tempat masuk bangunan airport setelah keluar dari flight, terasa jauh sungguh perjalanan menuju tempat tuntutan bagasi.

Terasa besar betul Airport ini. Dalam perjalanan menuju tempat tuntutan bagasi, kelihatan mesin-mesin perjudian di merata tempat. Setelah ambil bag, terus naik limo menuju ke hotel.

Jam sudah menujukkan jam 10.30 malam. Terasa keletihan setelah kekira 32 jam perjalanan walaupun tarikh tempatan masih 22hb.

Share:

Tribut Buat Sang Pencerah

Pemergiannya betul-betul menyentak hatiku yang sedang sibuk dengan urusan duniaku. Terasa ingin terbang atau drive ke Kota Bharu memberikan penghormatan terakhir buat seorang yang aku kira Lagenda Negara, dikagumi ramai dan mempunyai aura tersendiri. Rasanya first time dapat lihat beliau secara live ialah dalam satu ceramah di Masjid UKM, kekira tahun 1983. Manakala kali terakhir ialah ketika mengikut kuliah pagi beliau Dataran Ilmu Kots Bharu, 11 Sept 2014.

Terasa sebak melihatkan gambar-gambar beliau ketika hidup, juga suasana penkebumian beliau. Namun aku rasa tidak layak nak mengkisahkan tentang diri arwah Tok Guru, cukuplah dari apa yang sempat ku kutip dari beberapa yang lebig dekatt dengan beliau dan aku selang-selikan foto-foto arwah yang terdapat dalam koleksi lensaku. Ya Allah, terimalah beliau kembali kepada Mu dan berilah syurga buatnya.

Tribut Buat Sang Pencerah
Oleh:Dr Riduan Mohamad Nor

Seakan petir menyambar relung hati apabila mesej kepulangan abadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat aku terima saat sedang berforum memperingati as syahid Hasan al Banna di masjid al Azim Pandan Indah. 12 Februari 1949, umat Islam kehilangan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin dan 12 Februari 2015, dunia Islam kehilangan pula Mursyidul Am Pas. Airmata mula bergenang dan aku menamatkan forum malam itu tanpa ada sesi soaljawab, terasa jasad longlai dan kehilangan patah-patah kata. Terpanar!.

Aku mula merasakan kehadiran Ayah Ziz dalam hidupku pada tahun 1986, apabila Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu memberikan kuliah subuh di Masjid Rusila sempena Muktamar Pas Pusat. Sejujurnya aku tertidur culas semasa kuliah subuh berlangsung, suara perlahan yang penuh mutiara ilmu itu tak mampu dicicip oleh aku dan teman-teman remaja berseluar jeans lusuh dan berbaju T. Kami mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun tersebut. Pada malam itu hujan turun ketika kami melabuhkan badan di perkarangan Masjid Rusila, kami berlari masuk menyambung dekuran dalam masjid dan menyambung tidur lagi semasa kuliah subuh berlangsung. Aku merenung kembali nostalgia ini dengan dada sebak dan air jernih mengalir dipelupuk mata, merasa beruntung kerana jamaah ini dipandu oleh ulama dan tidak meminggirkan kami anak-anak remaja yang jahil.

Pada tahun 1990 pula bersama teman-teman yang mengambil peperiksaan STPM, kami bertakbir kegembiraan di perkarangan Pejabat Daerah Marang, bukan sahaja meraikan kemenangan Tuan Guru Haji Hadi Awang di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, juga kerana keberhasilan PAS menawan kembali Kelantan melalui pemuafakatn politik APU.


Nama Tuan Guru Nik Aziz mulai diratib oleh rakyat negara ini apabila menjadi Menteri Besar Kelantan, dengan penampilan sederhana alumni Deoband dan al Azhar ini mula mendapat sorotan lensa dan menjadi tajuk utama berita. Sosok ini menjadi fenomena politik dan dakwah tanahair, ribuan manusia menghadiri kuliah dan ceramahnya dimana sahaja beliau hadir. Paling menarik, kejayaan almarhum melintasi garisan politik kepartian, sosok dan aura sebagai negarawan mengiringi pelbagai ilmu yang beliau miliki.

Tuan Guru Nik Aziz semenjak usia mudanya sehinggalah sebelum beliau dimasukkan ke wad ICU berhempas-pulas berjuang untuk mewajahkan islam yang sebenar kepada masyarakat negara ini yang telah jauh meninggalkan agama akibat penjajahan dan juga pengisian kemerdekaan oleh parti pemerintah yang tidak meletakkan islam sebagai agama sistem hidup. Tuan Guru seorang tokoh yang tidak berhenti untuk mendidik dan men'tarjih' masyarakat untuk menjadi subur jiwa dengan haruman ketaqwaan. Hujan, panas, kekangan masa serta kepenatan diri tidak menjadi alasan untuk beliau berhenti mengajar dan menyantuni segenap lapisan masyarakat.Beliau telah menjadi milik masyarakat dan negara bahkan menjadi simbol kepada rakyat tertindas di negara ini.

Semenjak dilantik sebagai MB beliau kekal mendiami rumah kampungnya yang serba sederhana yang dijirani dengan masjid dan Sekolah Agama Darul Anuar yang didirikan oleh Almarhum orang tuanya sendiri. Segak bergaya dengan lilitan serban, bersampin dan berbaju melayu dan beliau juga memulangkan elaun rumah sebanyak tiga ribu ringgit kepada perbendaharaan negeri. Tidak ada jurang diantara beliau dengan rakyat pelbagai peringkat, datanglah seusai subuh setiap hari Jumaat, Tuan Guru melayan tetamu yang datang dari seluruh negara. Rumah dan masjidnya menjadi produk pelancongan bagi negeri Kelantan. Kuliah Subuh pagi Jumaat mempunyai tarikan yang besar kepada anak-anak tempatan dan pelancong luar Kelantan. Hidupnya tidak dikelilingi oleh pengawal peribadi seperti pemimpin lain di Malaysia, tiada skuad motor atau 'out rider' mengiringi beliau ke hulu ke hilir.

Jika hari lebaran tiba, berkunjunglah ke Pulau Melaka dan santaplah apa yang ada sekadarnya.Tuan Guru tidak membazirkan duit rakyat untuk jamuan raya rumah MB, elaun keraian MB juga diserahkan kepada perbendaharaan negeri, bahkan gajinya dipotong sebanyak 45 peratus untuk rakyat dan parti yang didokongnya. Seperti kata seorang sahabat, bahawa sosok ini akan muncul sekali dalam seabad malah permata kepada PAS yang ingin menterjemahkan konsep 'good governance'. Bayangan Umar Abdul Aziz memerintah (99H~101H) kini dan telah muncul di Kelantan. Tuan Guru mengingatkan kita kepada akhirat dalam arus pemodenan yang sarat dengan perlumbaan untuk meraih kemewahan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah sosok yang wajar diteladani oleh pemimpin-pemimpin gerakan Islam di negara ini. Beliau berjaya menunjukkan kepada rakyat negara ini dan juga dunia bagaimana untuk mengaplikasi ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya. Keupayaan ini sangat terserlah sehingga banyak ditiru olek kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri BN yang lain. Beliau mempunyai kekuatan spiritual yang ampuh bagi menghadapi serangan liar musuh dengan tidak mengabaikan amalan-amalan sunat bagi melestarikan amalan fardhu, tutur patahnya di saat tenang mahupun saat cemas semuanya dikaitkan dengan nas yang kukuh. Figur ini sering pula menjadi bidikan media milik BN dengan memutar belit kenyataan supaya sosok mulia ini dilihat angkuh, bodoh dan menjadi liabiliti kepada PAS, namun semua serangan ini akan dan telah menjadi 'boomerang'yang membahang batang tengkuk diri mereka kembali.

Almarhum Tuan Guru yang telah menikmati saat-saat gemilang dalam kehidupan, beliau telah diangkat menjadi ikon kepada seluruh masyarakat. Beliau bukan sahaja milik kepada ahli-ahli PAS namun juga rakyat biasa yang tidak menyertai mana-mana parti politik juga sangat senang apabila berbicara tentang beliau. UMNO sendiri mengakui bahawa agak sukar untuk mereka merampas kembali Kelantan ketika Tuan Guru masih berkuasa, sebagai mana yang kita lihat dalam PRU12, kempen'pade doh 18 tahun'yang dilancarkan oleh pemuda UMNO Malaysia dilihat tidak berhemah sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan yang masih setia bersama Tuan Guru selepas 18 tahun memerintah Kelantan.

Abad 20 telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh Islam dengan kerencaman bakat dan kepakaran, Hassan al~Banna, Sayyid Qutb, Al~maududi, Dr M. Natsir, Yussuf Qaradhawi, Dr Mustapha as~sibaie, Abul Ali Hassan an~Nadwi, Ahmad Yassin, serta ribuan tokoh lain yang menulis sejarah dengan tinta emas.Namun,Tuan Guru bukan sekadar ideologue kepada gerakan islam malah pentadbir yang berkesan, satu ruang yang jarang dikecapi oleh tokoh-tokoh besar gerakan islam yang lain. Tidak kurang pula tokoh gerakan islam yang berada di singgahsana kekuasaan akhirnya terkumpul dengan imej kejabatan dan kebobrokan.

Almarhum Tuan Guru dalam tempoh lima penggal mentadbir Kelantan telah berinteraksi dengan khalayak yang pelbagai. Beliau tidak pernah berhenti untuk mendidik masyarakat Kelantan dan juga luar Kelantan. Pemikirannya sentiasa dikaji dan diperdebatkan. Tidak kurang pula kenyataannya dipolemikkan seperti isu 'tuhan samseng', 'bekerjasama dengan syaitan' dan pelbagai isu lain yang telah dipolitikkan dengan cara berlebihan oleh media. Tuan Guru dalam membuka ruang perdebatan telah memungkinkan rakyat dihidangkan dengan Islam yang sebenar, terlalu banyak isu yang berakhir dengan ramuan kesempurnaan disebelah Tuan Guru dan juga PAS serta negeri Kelantan.

PENUTUP
Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan seribu kebaktian dan menjadi cermin keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Maestro dakwah ini menjadi arca yang memantulkan cahaya pembias sehingga mengharumkan gerakan Islam ini, pemergiannya ke negeri abadi untuk selamanya telah ditangisi jutaan manusia, melepasi sempadan geografi dan politik.

Ratusan ribu menyolatkan jenazah almarhum serta menyempurnakan pemakaman insan yang bukan hanya milik PAS tetapi ummah seluruhnya. Bersemadilah dengan penuh bahagia wahai sang murabbi dan kami akan terus menyambung perjuangan membentengi agama Allah ini sehingga Deenullah ini tegak di tanah leluhur ini.


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat)
Share:

Pesta Buku Selangor 2015

Pesta Buku Selangor 2015 telah berlangsung dari 29 Januari hingga 8 Februari 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menjadi penaja utamanya. Sebenarnya aku selalu termiss event ini, apakah sebab agak jauh tetapi kebetulan ada hal lain atau di luar kawasan. Kali ini aku singgah lantaran kebetulan ada jemputan kawin di bangunan berdekatan.

Namun mungkin buat pertama kalinya aku just jalan-jalan,, tengok-tengok tanpa membeli apa-apa lantaran tak terjumpa apa-apa judul buku yang aku berminat untuk memilikinya. Ha .. ha ...

Sekadar aku kongsikan beberapa gambar suasana pesta tersebut kerana aku tahu akan menyusul beberapa pesta buku di Putrajaya dalam bulan ini dan bulan depan.

Kanak-kanak menguji permaianan minda yang dipamerkan di salah sebuah booth pameran.

Agak menarik juga peribahasa di atas, walaupun agak kasar bunyinya. Membaca Jambatan Ilmu, Tidak Membaca Jambatan Bangang .... huh !

Kehadiran pengunjung ku kira boleh tahan juga, tetapi dewan pameran tidaklah begitu besar. Cuma satu kawasan sahaja. Tak tahylah kalau ada di kawasan atau tingkat lain.

Ini yang menarik minat ku walaupun apabila aku bandingkan dengan nasakah yang aku pernah beli di Bandung tahun lepas, ianya lebih mahal walaupun setelah 50% diskaun. Namun ianya ku kira pembelian yang berbaloi.


Share:

Tahniah Daqmie Tangis Sebatang Tamar

Umpama memang sebelum bertanding. Itulah jangkaanku sebelum berlangsungnya final Anugerah nasyid IKIM FM ( ANI2014 ) pada 10 Januari 2015 di Dewan Planetarium, Putrajaya International Convention Centre ( PICC ). Mungkin aku agak bias, lantaran memang aku meminati lagu tersebut dan pernah juga aku jadikan entri dalam blogku ini.

10 tahun dahulu, aku menghadiri Anugerah Carta Nasyid IKIM ( ACNI ) yang berlangsung di Dewan PMSA, Shah Alam. Selepas ini, anugerah nasyid IKIM terus menyepi. Puncanya dikatakan ketiadaan penaja. Tapi kali ini aku hanya nonton secara langsung di TV Al-Hijrah, rakan penyiar.

Memang lagu Tangis Sebatang Tamar begitu istimewa. Baik susunan melodinya, suara Daqmie yang gemersik dan senikata yang menyentuh kalbu. Wajarlah ia menggondol Juara Nasyid Terbaik, Vokal Terbaik dan Lirik Terbaik. Lagu tersebut juga merupakan pemenang kepada Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM.

Teringat aku kepada kata-kata DJ IKIM dalam showcase ANI2014 di Putrajaya akhir tahun lalu, betapa tiang-tiang dan pokok-pokok bergegar apabila ketika Daqmie menyampaikan lagunya. Tetapi memang padu dan gemersik sekali suara Daqmie pada malam showcase itu.

10 lagu final terpilih daripada 30 lagu yang disenarai pendek serta pernah disiarkan di corong radio IKIM sejak lebih daripada setahun yang lalu. Mungkin semua 30 lagu tersebut pernah memasuki Carta Nasyid IKIM, tetapi tidak semuanya pernah menduduki tempat teratas dalam carta.

Malahan aku rasa ada juga yang pernah menduduki tempat teratas tetapi tidak terpilih pun dalam 30 lagu yang disenarai pendek. Jadi ukuran atau aspek apa yang digunapakai.

Apapun tahniah kepada IKIM kerana terus memartabatkan irama nasyid di negara ini menerusi penganjuran anugerah ini serta menghiasi irama nasyid di saluran radio IKIM. Moga aka nada anaugerah seumpamanya pada tahun-tahun akan datang demi menyemarakkan lagi persada industri nasyid tanah air.

Senarai Keputusan Penuh ANI2014
A) Lagu Terbaik
1) Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
2) Seiring Sehaluan (UNIC)
3) Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)
B) Lirik Terbaik - Tangis Sebatang Tamar (Ito Lara)
C) Persembahan Terbaik - Al Haq Kau Yang Satu (Mawi & Datuk AC Mizal)
D) Vokal Terbaik - Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
E) Lagu Paling Banyak Menjadi Juara Carta IKIM - Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)
F) Lagu Paling Lama Bertahan Carta IKIM - Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)
G) Artis Baru Nasyid Terbaik - Du’a
H) Artis Solo Pilihan Pendengar - Hafiz Hamidun
I) Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar - Nowseeheart
J) Nasyid Pilihan Pendengar - Kasih PadaMu (Hafiz Hamidun)
Share:

Pengajaran Serangan Ke atas Charlie Hebdo

Sejauhmana yang dikatakan bebas bersuara atau bebas berekspresi ? Bebas sebebasnya tanpa sebarang batasan ? Sekalipun mendapat bantahan dunia Islam, tetapi atas nama kebebasan bersuara, pihak berkuasa Perancis tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas majalah Charlie Hebdo yang pernah menyiarkan kononnya karikatur Rasulullah s.a.w dalam keadaan yang dianggap menghina Islam dan umatnya.

Tak ada bahan atau berita lain ke ? Sekadar ingin melariskan jualan ? Atau mungkin suatu provokasi yang disengajakan kepada umat Islam. Akhirnya keangkuhan Charlie Hebdo seolah-olah ‘dibayar’ dengan serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari 2015 yang mengakibatkan 12 terkorban yang melibatkan pengarang dan beberapa orang kuat syarikat tersebut.

Dua suspek yang beragama Islam dikatakan terlibat dalam kejadian tersebut dan menjadi buruan pihak keselamatan Perancis Begitu tragis nilai balasan ke atas kebebasan bersuara. Bagaimana jika bukan muslim yang menyerang lantas didakwa serangan atas nama Muslim, Islamm pula yang dituduh.

Mengapa ini berlaku ketika penghuni dunia yang sedang kerisauan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, penurunan harga minyak dunia yang mendadak dan nilai mata wang dunia yang merosot. Negara umat Islam pula seolah-olah terpingga-pingga mencari jawapan atau alasan sama ada hendak menyokong serangan tersebut atau sebaliknya.

Sedang pimpinan seluruh dunia bangkit khususnya negara Eropah menyelar serangan tersebut lantas bangkit, terbang ke Paris, bersama berhimpun dan berarak dalam perarakan protes besar-besaran. Ironiknya, PM Israel turut menyertai pearakan tersebut sedangkan dunia Islam khususnya tahu apa yang telah dan sedang dia lakukan terhadap rakyat Palestine ? Hak rakyat Palestine sebakn sahaja di nafikan, tetapi rakyatnya dibunuh dengan kejam.

Perarakan protes besar-besaran itu menimbulkan persoalan, apakah ia permulaan kepada serangan balas yang lebih hebat terhadap Islam dan umatnya ? Media sosial terus-terusan di jadikan saluran dalam mengancam dan menyerang balas terhadap Islam. Redaksi Charlie Hebdo sebelum itu dikatakan telah berkali-kali diingati oleh umat Islam Perancis dan juga Eropah, jangan memperlecehkan tokoh-tokoh Islam dalam penerbitannya. Tetapi mereka degil dan lupa bahawa ada pihak lain yang tersinggung oleh kebebasan yang melampau batas itu.

Peristiwa Charlie Hebdo mungkin memberikan satu lagi masalah Islam dan umatnya, iaitu meningkatnya semula Islamphobia di kalangan non-Muslim, khususnya di Perancis yang dikatakan mempunyai komuniti Muslim antara yang teramai di Eropah. Insiden itu secara tidak langsung menaikkan kembali salah faham dan ketidakpuasan terhadap ajaran Islam itu sendiri.

Walaupun umat Islam tidak membenarkan Nabi Muhammad s.a.w menjadi bahan ejekan dalam bentuk kartun atau apa pun itu, tetapi kekerasan sehingga menghilangkan nyawa manusia bukanlah jalan penyelesaian. Tindakan tersebut walaupun seolah-olah pembelaan terhadap Islam dan Rasulullah s.a.w, tetapi ia dilihat merosakkan lagi imej Islam. Nabi Muhammad s.a.w pun tidak pernah terlepas dari dicaci dan diejek musuhnya. Namun bagaimana Rasulullah s.a.w bertindak balas ?.

Kini bagaimana hendak menyakinkan dunia dan non-Muslim bahawa Islam adalah agama yang baik dan damai, Rahmatan lil alamin ? Bagaimana hendak menyingkirkan persepsi yang mengaitkan Islam dengan terrorist ?

Namun aku percaya, ada hikmah disebalik kejadian ini. Jika kita mengimbas kembali beberapa kejadian yang dilihat mengubah dunia seperti tsunami 2004 dan tragedi 11/9 Tahun 2001 di New York. Kejadian tersebut seperti membuka mata non-muslim terhadap Islam dan ramai yang kembali memelok Islam ekoran peristiwa tersebut meskipun umat Islam dimomokkan oleh banyak media sebagai pengganas, ekstremis dan agama Islam hanya disebarkan melalui pedang.

Berhentilah menebarkan kebencian, berhentilah membenarkan kekerasan dengan alasan membela agama. Menghina Rasulullah s.a.w dan Islam atau agama apapun adalah di luar batasan kebebasan media. Walaupun kita mengutuk serangan yang kononnya dibuat atas nama agama itu, namun dalam waktu yang sama kita juga kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mencemuh dan menghina agama dan kepercayaan pihak lain kononnya atas nama kebebasan.

Sekiranya manusia sudah tidak dapat menghormati hakmilik, anutan kepercayaan, amalan sesama manusia atau mendiskriminasi, maka tatkala itu ketegangan mudah sahaja tercetus ke atas individu, kaum, penganut agama atau pihak lain.

Hati-hati memberikan respon atau komen dalam media sosial, khususnya yang berkatan bangsa dan agama. Tak reti, kurang faham, usah memandai memberikan komen. Pemilik portal pula eloklah menyaring komen pembacanya bagi memastikaan tiada ketegangan yang timbul, bukan untuk berbangga dengan hits, jumlah pengunjung serta yang like.
Share:

Ambillah Iktibar Daripada Maulidur Rasul

Sejak tinggal di Putrajaya, rasanya aku tidak pernah ketinggalan mewakili Jabatanku untuk menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan. Berkumpul di sekitar bangunan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, then berjalan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra mengikut kumpulan kontinjen sambil berselawat.

Perjalanan kira-kira sepanjang 2 kilometer dan berpeloh juga badan dibuatnya. Aku difahamkan, perarakan 149 kontinjen membabitkan kekira 12 ribu peserta terdiri daripada pasukan jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, badan beruniform, sekolah, institut pengajian tinggi dan kontinjen badan bukan kerajaan.

Bagi aku, sebagai motivasi diri ialah dapat baju, samping dan songkok baru lagi, sebagaimana tahun-tahun lepas. Tetapi persoalannya, apa yang hendak dizahirkan semasa perarakan ini ? Tunjuk baju baru, nak menang pertandingan perarakan antara kontinjen ?

Menariknya kedatangan Tahun Baru 2015 hanya selisih 2 hari dengan Hari Keputeraan Rasulullah s.a.w yang jatuh pada Sabtu, 3 Jan. Malah tahun 2015 ini, kita akan menyambut dua kali Maulidur Rasul, jadi boleh dapat dua kali set pakaian kebangsaan !!!

Sewajarnyalah segala peristiwa dan peringatan-peringatan yang Allah berikan perlu diinsafi bersama agar dapat membaiki akhlak dan meneguhkan jati diri sebagai seorang muslim.

Lihat sahajalah deretan peristiwa dan peringatan yang telah Allah s.w.t datangkan kepada kita akhir-akhir ini dengan peristiwa malang terhadap MH370, MH17 dan QZ8501. Suasana , kemarau yang menyukarkan pada awal tahun serta banjir besar yang luar biasa sehingga mengakibatkan kemusnahan yang sangat besar kepada rakyat dan kerajaan di beberapa buah negeri mulai pada akhir 2014.

Lantaran itu, sempena Maulidur Rasul, sewajarnya kita sentiasa mengenang perjuang Rasullullah s.a.w serta pengorbanan para Sahabat yang dengannya kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam hari ini.

Namun bagaimana menerusi perarakan sambil berselawat itu boleh membawa peserta memperingati pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w dalam memperjuangkan Islam ? Bagaimana pula aspek melaksanakan dan menghayati sunnah Rasulullah s.a.w ? Mungkin perkara ini dapat dibangkitkan ketika perhimpunan berlangsung dalam Masjid Putera sebaik perarakan.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.