Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Rindu Tok Guru @ KLIBF 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIBF ) 2015 telah berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei di tempat biasa, PWTC, Kuala Lumpur. Alhamdulillah aku berkesempatan mengunjunginya walaupunn dalam waktu yang sangat terbatas. Tidak sempat juga untuk sampai area antarabangsa sebab ada buku yang hendak aku cari. Nama pun pesta buku antarabangsa …

Namun KLIBF kali ini mengingatkan aku kepada arwah Tok Guru ex-MB Kelantan. Maklumlah ini merupakan Fiesta Buku Antarbangsa KL pertama sejak Tok Guru meninggal dunia. Aku terperasan terdapat beberapa buku terbitan baru yang berkaitan dengan Tok Guru.

Cuma kali ini sebaliknya, orang lain melancarkan buku berkaitan Tok Guru.

Aku rasa beberapa kali dulu Tok Guru pernah hadir melancarkan buku baru. Aku sempat mengikuti majlis pelancaran sebuah buku berkaitan pemikiran Tok Guru dilancarkan.

Fiesta yang berlangsung kali ini nampak banyak buku berkaitan Al-Marhum telah diterbit dan dilancarkan. Penulis atau penerbit cuba memikat ‘peminat’ yang masih terasa akan kehilangan Tok Guru, masih terasa rindu kepada Tok Guru dalam melariskan jualan bukunya. Namun jika nak dibandingkan dengan jualan novel novel kontemporari, mungkin jualannya tidak setanding. Tetapi sekurang-kurangnya idea, nasihat dan buah pemikiran Tok Guru dapat disampaikan, dihayati, dikaji dan dikaji serta disebarluaskan kepada generasi semasa dan akan datang.

Agaknya ada juga buku-buku lama juga diterbitkan mula dengan wajah Tok Guru di letak di muka hadapan, menghiasi tajuk buku.

Memang aura Tok Guru begitu hebat sekali. Sama ada bagi seseorang yang pernah melihat beliau secara life atau tidak. Mungkin ada yang lebih kenal dan menyayanginya, setelah Tok Guru meninggalkan kita.

Teringat aku ketika menziarahi perkuburan arwah. Begitu saja keadaannya, kelihatan macam daif sangat. Macam rasa tidak layak dibiarkan sebegitu rupa. Terasa simpati pulak …. Tetapi didoakan arwah tenang dan sejahtera di sana, insyaallah.

Lagi gambar kenangan semasa KLIBF 2015 ...

Share:

Menyusuri Perairan Pulau Pangkor

Aku berkesempatan kembali semula ke Pulau Pangkor Perak kerana mengikuti program Jabatanku pada April 2015 yang lalu. Kali terakhir aku ke sana ialah pada tahun 2013 dan menginap di tempat yang sama. Tetapi sekejap sahaja ketika itu, malah tidak sempat pun mencecah air walaupun berada di pulau. Sebelum itu pernah mengelilingi pulau ini tahun 2010.

Berbeza pada kali ini, aku berkesempatan menyusuri sebahagian perairan Pulau Pangkor. Nak kata Island hooping pun tidak sebab cuma lihat dari jauh pulau-pulau yang terdapat di sekitar Pulau Pangkor. Tapi kali ini berpeluang untuk snorkeling.

Pulau Marina
Sebagaimana biasa naik feri menerusi Jetty Pulau Marina, lebih dekat dan lebih cepat sampai.Pulau Marina merupakan pulau buatan manusia yang pertama di Malaysia. Ia dimajukan oleh Marina Sanctuary Resort Sdn. Bhd dengan keluasan sebanyak 316 ekar.

Namun aku perasan, perkembangannya semakin menurun. Dulu macam banyak kedai-kedai dibuka sebaik menyeberangi satu-satunya jambatan, tetapi sekarang nampak banyak yang dah tutup.

Pernah sebelum ini aku mengikuti program Jabatanku di salah sebuah resort di atau Pulau Marina ini. Salah satu malam tu, makan di restoren steamboat. Nampak dah tutup restoren tu.

Pulau Pangkor
Dari jeti, perjalanan cuma mengambil masa kekira 10 minit sahaja. Tidak perlu risau sama ada dapat naik feri atau tidak, atau memikirkan sama ada feri akan penuh atau tidak.

Menurut petugas di jeti, selalunya memang boleh memuatkan penumpang yang menunggu pada satu-satu masa. Mungkin disebabkan kekerapan jadual feri tiba dan berlepas semula ke Pulau Pangkor.

Feri besar seperti seperti di Langkawi, namun takdela TV sebagaimana Langkawi. Kalau ade pun tak sempat start cerita sudah sampai.

Jeti Di Pulau Pangkor
Jet ini kiranya terletak di Pekan Pangkor. Sebagai jeti, beberapa kemudahan disediakan di sini seperti surau, tandas serta restoren.

Ia juga bersambung dengan deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai keperluan penduduk tempatan serta pengunjung pulau.

Yang paling penting ia merupakan hentian bagi perkhidmatan pengangkutan pulau seperti taxi dan van.

Aku kira tidak perlu sangat sewa kereta di sini, kecuali memang seharian nak round pulau.

Anjungan Beach Resort & SPA Teluk Nipah
Sekali lagi menginap di sini. Memang menarik kawasannya berbanding kebanyakan resort lain di Pulau Pangkor yang nampak ‘crowded’ atau padat.

Suasananya tenang dan cantik susunan bangunan dengan kolam berbentuk perahu di tengah-tengah bangunan resort.

Bilik-bilik di Anjungan Resort & Spa mempunyai balkoni peribadi dengan pemandangan kolam renang atau taman. Setiap bilik dilengkapi dengan TV satelit, bar mini dan kemudahan membuat teh atau kopi.

Pernah datang sebelum ini, bilik untuk mesyuarat atau berbengkel tidaklah besar mana. Mungkin sekadar muat sekitar 30 orang saja.

Teluk Nipah
Terletak berhadapan dengan Anjungan Beach Resort & Spa, jalan kaki sahaja. Ia juga merupakan antara tempat perkelahan yang popular di Pulau Pangkor. Dari tepi pantai sudah nampak Pulau Giam yang popular dengan kawasan snorkeling.

Pemandangan lautnya sangat cantik. Pantainya agak landai, pasir yang putih halus serta air yang jernih menjadikan ia sesuai untuk berkelah dan bermandi manda. Pelbagai aktiviti atau permainan sukanair disediakan seperti banana boat, jet ski, berkayak dan memancing.

Sepanjang pantai Teluk Nipah tu banyak agensi yang menawarkan pakej yang hampir sama dengan harga yang hampir sama sahaja. Pilih sahaja mana yang berbaloi.

Teluk Nipah mempunyai kemudahan awam dan juga menawarkan banyak tempat penginapan lain. Cumanya seperti yang aku kata tadi, agak crowded. Nak makan serta membeli keperluan harian takde masalah.

Banyak kedai-kedai disediakan di sini. Set-set seafood menjadi hidangan yang aku kira popular di sini.

Suasana ketika matahari hampir terbenam sangat menarik. Bersedialah dengan kamera anda bagi merakam suasana yang mungkin sukar didapati di tempat-tempat lain.


Island Hooping
Kalau ikutkan Island Hopping ni menyusuri dan singgah dari pulau ke pulau. Tapi pula apalah sangat, cuma tengok dari bot sahaja. Bukan boleh disinggah lantaran sama ada pulau tidak berpenghuni atau pulau-pulau persendirian.

Sekadar menyusuri perairan Pulau Pangkor dan melihat keindahan semulajadi ciptaan Illahi dengan bot yang memuatkan sekitar 15 orang dewasa. Pemandu kami agak muda usianya, macam nak merempit dipandunya boat yang kami naikki.

Namun tidak perlu risau, jaket keselamatan dibekalkan setiap sorang.

Pelbagai Rupabentuk Batu
Dengan bot juga dibawa mengunjungi pelbagai batu-bata dengan pelbagai bentuk yang dikatakan semulajadi. Semestinya ciptaan Allah s.w.t.

Antaranya berbentuk ikan paus, buah epal, kepala ular dan kepaa buaya dan tangan manusia.

Setidak-tidaknya menjadi bahan cerita atau tarikan pengunjung.

Dua pokok di atas batu dalam gambar di atas dipanggil 'Pokok Cinta' lantaran bertahun-tahun hidup tetapi ketinggiannya sama setakat itu sahaja. Kira macam sehidup semati.

Pulau Pangkor Laut
Ia merupakan pulau kecil tetapi kedua terbesar di gugusan sembila buah pulau di Pulau Pangkor, dimiliki oleh Syarikat konglomerat negara yang besar iaitu YTL. Pulau ini mempunyai pelbagai keistimewaan seperti pantai yang ‘crystal clear water’ yang dinamakan Telok Emerald, Pantai Coral dan Teluk Royal. Namun kena menginap di resort mewah yang disediakan di Pulau ini.

Resort yang disediakan memang esklusif dan bertaraf dunia. Dikatakan pernah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa kerana keindahan dan suasana semulajadinya.

Terdapat penginapan diperbuat daripada kayu esklusif yang disediakan di atas air kata pemandu bot kami, biasa dikunjungi oleh mat saleh serta untuk pasangan berbulan madu. Kelihatan memang unik entah beraga reganya. Kata pemandu bot, sekitar RM 800-1200 semalam !!!

Pulau Giam
Merupakan pulau terakhir. Dikatakan terkenal dengan pantai yang landai, pasir yang putih dan halus serta warna air laut yang kebiru-biruan. Tetapi tidak nampak sangat pun, mungkin sebab air pasang.

Dikatakan oleh pemandu bot kami, setia tahun dalam 3-4 hari air akan surut dan pulau ini didatangi dari Pantai Nipah dengan berjalan kaki sahaja, iaitu ketika Tahun Baru Cina.

Snorkeling @ Pulau Giam
Pertama kami terjun masuk, tak nampak apa-apa di dasar laut sama ada ikan mahupun batu karang. Apakah sebab dalam sangat atau cahaya matahari yang terlindung lagi.

Ketika itu orang agak ramai, mungkin itu yang mengeruhkan air dan dasar laut. Ataupun minyak boat berbau menyebabkan ikan lari ?

Lepas naik semula boat melihat suasana, aku turun semula menuju ke tepi pantai yang berbatu. Di sana barulah kelihatan ikan dan mungkin juga batu karang. Banyak juga ikan yang berwarna warni, cuma airnya yang tetap keroh, menghalang pemandangan yang menarik.

Pendek cerita jauh ketinggalan berbanding Pulau Perhentian, apatah lagi Mabul Kapalai.
Share:

Mengenang Pejuang Rosli Dhoby

Mungkin kalangan generasi X dan Y kenal atau pernah mendengar nama Rosli Dhoby. Kalau tidak, sama ada dia tidak pernah pergi sekolah atau tidur semasa cikgunya mengajar sejarah dalam kelas.

Apabila aku bertanyakan beberapa pemandu teksi Cina yang sudah berumur di Jeti Sibu, masing-masing tidak tahu dimana lokasi Makam Pahlawan Sibu yang menempatkan kubur Rosli Dhoby. Waduh ..

Pertama kali ke Sibu pada Jun 2014, aku tidak mendapat maklumat bahawa kubor Rosli Dhoby terletak di Sibu. Malah rupanya beliau dilahirkan di Kg Pulo, Sibu, Sarawak pada tahun 1932.

Tidak terfikir di bumi yang ketika itu mungkin tiada pengajian pondok, sekolah agama atau tokoh agama, muncul anak muda yang berjiwa agama bangkit menentang penjajahan British di atas wadah Islam.

Sebenarnya beliau tidak bergerak sendirian. Sebelum itu bersama rakan-rakan lain beliau dikatakan menubuhkan Pergerakan Pemuda Rukan 13 yang menjadikan ibadah solat sebagai teras utama dalam perjuangannya. Pada 1946 ketika keluarga Raja Brooke yang memerintah Sarawak menyerahkan kuasa kepada British, berlaku kebangkitan rakyat menentang kemasukan Brirish ke Sarawak. Bibit kebencian Rosli Dhoby terhadap penjajah mulai menebal.

Menerusi rakan pergerakannya yang juga seorang peguam, Awang Rambli Hamit beliau dengan beraninya menulis surat amaran kepada Gabenor Sir Duncan Stewart supaya tidak datang ke Sarawak. Surat amaran tersebut tentu sekali tidak pedulikan.

3 Disember 1949, dengan laungan Allahu Akbar, Rosli Dhoby yang berusia 16 tahun itu meluru ke arah Gabenor British Gabenor Sir Duncan Stewart, membenamkan sepuas-puasnya senjata badik dalam genggamannya ke perut Gabenor itu hingga rebah ke bumi. Bayangkan di usia semuda itu sudah sanggup berkorban nyawa demi kemerdekaan negerinya daripada penjajahan British.

Semua terkejut. Orang ramai bertempiaran lari. Tentera pengiring Gabenor yang terkejut dengan kejadian yang tidak diduga kemudiannya berjaya menangkap Rosli Dhoby. Gabenor yang parah itu dibawa ke Singapura untuk dirawat. Tetapi mati tiga hari kemudiannya.

Rosli bersama tiga rakannya, beliau ditahan di Penjara Kuching. Kesempatan dalam tahanan beliau mengutus surat kepada ibu bapanya menasihatkan mereka agar bersabar dan berdoa untuk keselamatan dirinya dan rakan di dalam tahanan. Dia juga berpesan agar diadakan solat hajat moga diberi bantuan dari Allah.

Selepas beberapa bulan dalam Penjara Pusat Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Itupun setelah surat beranak yang membuktikan Rosli itu baru berusia 16 tahun dan tidak boleh dihukum mati kerana masih juvana telah dikhianati British dengan mengubahnya supaya melebihi 18 tahun bagi melayakkannya dijatuhkan hukuman mati.

Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Mereka semua dikatakan dikebumikan di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara kerana pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan penjajah. Gerakan anti penjajah kemudiannya lenyap setelah kematian mereka ber-empat.

Selepas kejadian pembunuhan dan semasa perbicaraan, seluruh kampung Melayu di sekitar Kg Pulo, Sibu dan saudara mara yang berkaitan dengan Rosli Dhoby dirundung ketakutan. Polis penjajah berada di rumah-rumah yang tertuduh dan berkawal di setiap jalan di Kg Pulo dan jalan-jalan masuk.

Penjajah sememangnya mahu menghapuskan Rosli Dhoby dan keluarganya. Mereka mencari dan menyiasat dari rumah-ke rumah orang-orang yang berkaitan dengan ahli Pergerakan Rukun 13. Ramai ahli keluarga tertuduh berhijrah ke luar Sibu dan Malaysia atas tekanan.

Sebelum dijatuhkan hukuman mati, Rosli dikatakan sempat mewasiatkan kepada keluarganya menerusi surat terakhirnya supaya sentiasa bersabar, berilah didikan agama kepada anak anak dan jangan lupa perbanyakkan kebajikan dan jangan tinggalkan solat untuk bekalan di hari baqa’.

Selepas dijatuh hukuman mati, mayatnya tak dibenarkan dilihat ahli keluarga. Jasadnya terus berada di Penjara Kuching walau negara sudah merdeka. Dia masih tak dihargai sebagai pejuang. Selepas berbagai desakan, kerajaan membenarkan pusara nya bersama tiga rakan yang lain dipindahkan ke Sibu. Pemindahan itupun dikatakan kerana kerja-kerja pembinaan semula Penjara Kuching.

Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak, berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.

Tetapi ada kejadian aneh berlaku yang menjawab teka teki selama lebih 40 tahun. Pusara Rosli kosong, tiada tulang rangka, gigi, maupun rambut. Berbeza dengan 3 sahabatnya yang ditemui tulang rangka, gigi dan rambut.

Ini seolah-olah membenarlah cerita yang mendakwa, isteri kepada Gabenor yang mati dibunuh sangat berhajat untuk menatap wajah pemuda yang berani membunuh suaminya itu. Rosli dikatakan tidak digantung, tetapi dibawa ke England untuk diperlihatkan kepada isteri Gabenor. Di sana kemungkinan dia disiksa, dibunuh, dicincang atau dicampak ke laut. Waullahu alam. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Menurut catatan pada batu nesan di Makam Pahlawan tu pulak, tarikh kematian mereka adalah berbeza. Rosli dan Morshidi Sidek dijatuhkan hukuman mati pada 2 Mac 1950, manakala peguam dan juga mentor beliau Awang Ramli dan Bujang Suntong dijatuhi hukuman pada 23 Mac 1950.

Al-Fatehah untuk Allahyarham Rosli Dhobi, Allahyarham Awang Rambli Amit, Allahyarham Bujang Suntong dan Morshidi Sidek. Mudah mudahan mereka termasuk di kalangan para syuhada yang mati kerana memperjuangkan Islam.
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.