Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Dari Mat Cincang Ke Pulau Payar

Awal Disember 2011, aku dan keluarga sekali lagi ke Pulau Langkawi. Entah untuk kali yang ke berapa ? Target utama sebenarnya nak jemput anak bongsuku pulang dengan barang-barang dari asramanya setelah tamat belajar di MRSM Langkawi. Since tak dapat tiket murah, kami pergi naik kereta dan feri di Jeti Kuala Kedah.

Kira ok juga, sebab bertolak dari rumah jam 4.30 pagi, sampai di Jeti Kuala Kedah jam 9.00 pagi. Itu dah termasuk stop isi minyak dan solat suboh. Cuma yang terasa lama ialah naik feri dari Kuala Kedah, dua jam baru sampai di Jeti Kuah. Tapi dalam feri ditayangkan filem Alamak Toyol. Dalam ngantuk, tengok juga dan tau-tau dah sampai.

Lepas check-in di sebuah apartment homestay, kami terus ke Beras Terbakar. Kawasan Beras terbakar seperti itu juga. Namun kedai-kedai disana kami anggap banyak pilihan souvenir serta kain baju yang agak murah.

Kereta Kabel Langkawi

Kemudian ke Orientel Village untuk menaikki kereta kabel Langkawi. Walaupun sebelum ini aku berazam ketika first time naik kereta cable Langkawi, kononnya itulah first dan last. Ini didorong dengan oleh rasa takut, gayat yang amat sangat.

Namun memandangkan cuaca cerah dengan awan yang aku kira menarik, aku kuatkan diri untuk menaiki sekali lagi. Mudah-mudahan dapat snap gambar yang menarik. Tetapi petang itu agak berangin dan orang pun tidak berapa ramai di tempat penjualan tiket. Kenapa agaknya ? Sedangkan sebelum ini terasa ramai pengunjungnya. Entahlah !!

Memang agak kuat angin ketika tu. Sesekali menghayunkan gondola yang kami naikki. Itu yang menggerunkan. Bayangkan kalau terjatuh, rosak ke, terputus tali gendola ke ... Aku difahamkan kalau angin tersangat kuat, operasi kereta kabel tersebut akan dihentikan.

Dengan perjalanan kira-kira 15 minit, kami sampai di stesen tertinggi. Sebelum ini aku hanya sampai di stesen pertama, lantaran stesyen kedua, yang tertinggi ditutup untuk pengambaran filem.

Rasanya tiada ada apa sangat perbezaan pemandangan sekitar berbanding pergi sebelum ini. Seperti dulu sahaja agaknya. Dengan angin yang agak kuat bertiup, rasa macaam menggugat keyakinan. Kami jalan-jalan sekitar pelantar yang disediakan. Terasa agak gayat juga.

Kemudian menyusuri laluan jalan dan tangga dalam hutan untuk ke Jambatan yang menghubungkan dua puncak gunung. Wah memang lagi terasa gayatnya. Tetapi pemandangan sangat menarik. Terfikir sekali lagi, bagaimana agaknya mereka buat dahulu ?



Cokelat lagi
Seperti biasa, gi Langkawi tidak sah atau tidak lengkap kalau tidak beli cokelat. Lepas turun kereta kabel, ronda sekitar Pekan Kuah untuk beli mana yang berkenaan. Cokelatnya seperti itu juga, jenama dan bentuk sepertu dulu. Tiada perbezaan yang ketara rasanya.

Menjadi kebiasaan, isi punya isi dalam bakul, apabila nak bayar terkejut dengan harganya. Yealah kalau satu paket, satu bungkus atau batang sudah mencecah RM10, maka kalau ambik 10 sudah RM 100 !!!

Pulau Payar
Hari Kedua, kami bersiap ke Jetty Kuah untuk ke Pulau Payar. Ini merupakan destinasi target kunjungan kami kali ini, sebab tidak pernah sampai sebelum ini. Yang lain kebanyakkannya telah dikunjungi.

Kami bertolak menaikki boat yang agak besar kekira jam 9.30 pagi. Agak penoh tempat duduk, ramainya orang !! Banyak dapat untung juga bisnes pelancongan ni.

Pulau Payar dikatakan antara pula yang menarik di Langkawi dan aktiviti utama di pulau ini ialah menyelam dan snorkeling. Pakej yang aku ambil sefamili ialah snorkeling sahaja.

Menghampiri pulau, kami bertukar kepada boat kecil lalu berlabuh du jeti berhampiran Pulau Payar. Wah, memang cantik pulau ini. Airnya kelihatan jernih sekali dengan jelas kelihatan ikan yang berenang-renang dalam air. Kelihatan ramai pengunjung yang telah sampai dan melakukan aktiviti snorkeling di tepi pantai. Terasa tak sabar nak terjun ke pantai.

Selepas diberikan diberikan taklimat demi taklimat serta etika ketika berada di pulau ini, snorkeling time !!! Kami diberikan peralatan snorkeling dan terus masuk pantai.

Memang cantik pemandangan di dasar laut yang dilihat menerusi aktiviti snorkeling. Kelihatan ikan-ikan yang mungkin habitatnya di celahan batu karang berenang ke hulur hilir. Terasa macam jinak, tapi lari bila aku cuba menyentuhynya. Ada juga yang main gigit-gigit kaki apabila kita berdiri. Mula-mula terkejut, terasa geli, tapi lama-lama jadi biasa.

Di tepi pantai Pulau ini selain wakaf-wakaf berehat mengikut kumpulan pengunjung, turut disediakan bilik persalinan ( tetapi masih gunakan air masin ), Kedai Runcit, Pejabat Marine dan surau untuk kemudahan orang ramai.

Kekira jam 3.00 petang, kami pun beransur pulang balik ke Jeti Kuah. Terasa letih juga walaupun tak semana aktiviti snorkeling di Pulau Payar. Namun cukup untuk meninggalkan kenangan berada di sana.



Klik Untuk Lagi Gambar


Share:

Restoran Ikan Bakar Tini Tg Lumpur Kuantan

Tanjung Lumpur merupakan sebuah perkampungan nlayan tradisional yang terletak berhampiran Sungai Kuantan. Tanjung Lumpur dikatakan sebagai salah satu daripada kampung-kampung yang terawal dibuka oleh Orang Melayu di Kuantan. Ia terletak di daerah Kuantan, tidak jauh dari bandar Kuantan kira-kira 2 kilometer. Tanjung Lumpur dan Kuantan dipisahkan oleh Sungai Kuantan di pertengahannya dan dihubungkan dengan sebuah Jambatan.

Tanjung Lumpur dikenalli dengan ikan bakarnya. Mungkin sebab ia perkampungan nelayan dan ikan yang segar-segar didapati dengan mudah. Pada 25 Diseember 2011 lalu aku dan family sempat singgah di salah sebuah restoran yang terletak di tepi pantai Tanjung Lumpur. Terdapat banyak restoran seumpamanya, tapi ketika aku tiba kekira jam 5.00 petang belum banyak restoran yang sudah sedia menerima pelanggan.

Setelah membuat tinjauan ke beberapa restoran, lihat apa jenis ikan yang terdapat, kami pun stop di Restoran Ikan Bakar Tini. Ketika itu orang pun tidak ramai dan kami menjangkakan hidangan cepat disediakan. Persekitaran juga agak bersih, tapi tidak nampak pulak papan tanda penarafan gred restoran, sama ada A, B atau C.

Servisnya kira cepat juga. Takde lah lama kami menunggu. Lihat apa yang kami makan untuk 4 orang.Rasanya ? Ok juga, tapi just ok saja. Takde la best sangat.





Share:

Awas Pesalah Penunggang Bawah Umur !!

Penunggang motosikal bawah umur akan berhadapan dengan masalah untuk memiliki lesen memandu sekiranya pernah membuat kesalahan jalan raya. Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, walaupun kesalahan itu dilakukan sekian lama, namun pesalahan berkenaan akan menjejaskan peluang mereka untuk memiliki lesen memandu kerana rekod itu disimpan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya golongan bawah umur ini tidak menunggang motosikal jika tidak memiliki lesen memandu. "Golongan ini mungkin tidak menyedari akibatnya kerana jika disaman mereka akan membayar saman. Namun mereka harus ingat mereka akan menghadapi kesukaran untuk memiliki lesen memandu kerana kita menyimpan rekod mereka.

"Sehubungan itu, kita meminta ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak membawa kenderaan jika tidak memiliki lesen dan tidak terbabit dengan aktiviti rempit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ ,di Kampung Kuala Abang di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menggunakan kaedah penguatkuasaan ini kerana cara itu paling berkesan bagi menangani masalah rempit. Menurutnya, JPJ akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menangani masalah tersebut.

"Sebagai contoh di Terengganu kita telah menggunakan kaedah ini dan berjaya mengurangkan masalah rempit di negeri ini sepanjang operasi sejak sebulan lalu dan akan meneruskan operasi hujung minggu ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan 'Ops Pra Perayaan' sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Ismail berkata, operasi percubaan itu diadakan untuk membuat penilaian sebelum melaksanakan operasi sebenar dan ia dilakukan selama sebulan bermula awal Disember lalu. - BERNAMA 2011/12/24

Klik Untuk Lagi Gambar
Share:

Durian Tuaran Turun Kota Kinabalu

Dalam kesempatan berada di Kota Kinabalu 17 - 21 Dismber 2011 baru baru ini, aku sempat singgah di suatu tempat yang agak menarik berhampiran hotel penginapanku. Pada waktu siang, tempat tersebut agak sibuk dan sesak dengan kenderaan parking dan lalu lalang. Tetapi malam hari, bertukar jadi pasar malam durian.

Aku pun mengambil peluang untuk turut merasakan suasana ini. Kebanyakkan durian adalah durian kampung sahaja yang di bawa dari Tuaran, kata penjual di situ. Ada yang dijual pakai longgok, biji, timbang kilo serta yang siap buka dalam bekas polistrin. Yang timbang sekitar RM3 - RM8 sekilogram.

Tetapi yang menarik bagi ku ialah selain ada yang beli dan bawa pulang, disediakan banyak kerusi meja untuk mereka yang mahu makan di situ. Pastinya orang seperti aku, memilih cara ini iaitu makan di situ juga. Nak bawa balik hotel penginapan tidak dibenarkan. Lagipun kalau makan di situ, sekiranya isinya tidak elok, mentah atau busuk, boleh tukar dengan yang baru.

Suasana begini rasa jarang tidak pernah aku lihat di Semenanjung. Mungkin ada tetapi tidaklah sebanyak itu kerusi meja yang disediakan untuk makan durian. Air mineral juga disediakan dengan RM1 sebotol 500ml.

Rasanya ? Ah selagi nama durian memang rasa durian lah !! Tidak ada perbezaan yang ketara jika hendak dibandingkan dengan rasa durian Semenanjung.

Share:

Pengalaman Mengikuti ESQ Basic Training

ESQ (Emotional Spiritual Quotion) adalah sebuah Kursus Kepimpinan dan Pengurusan yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian di bawah Syarikat ESQ Leadership Center berpusat di Jakarta. Kursus ESQ telah berkembang ke Malaysia sejak beberapa tahun lalu sehingga timbullah isu kontroversi pengharaman aktivitinya di Wilayah Persekutuan pada tahun 2009. Namun pada 22-23 November 2011 lalu aku berkesempatan mengikuti kursus ini di sebuah resort di Melaka. Kursus ESQ tak mainlah kat masjid surau atau balairaya. Maklumlah untuk executive, leader or senior officer.

Pengalaman mengikuti kursus ESQ selama dua hari itu memberikan aku sesuatu untuk dikongsikan. Tiada buku atau handsout diberikan sehingga memaksaku membuat catatan sendiri. Katanya kursus ini memerlukan penghayatan menerusi pengalaman aktiviti yang dilakukan serta kesedaran dari hati nurani. Dilarang membuat sebarang rakaman dan semuanya adalah hakcipta terpelihara ESQ.

Hari pertama dilalui dengan aku tertanya-tanya kepada diriku sendiri. Apakah yang sebenarnya cuba disampaikan oleh pihak ESQ. Aku konpius dan pening serabut memikirkannya. Patutpun kursus ini kosnya tinggi, sebab nak kena sediakan bahan serta system siaraya yang mantap bagi menghasilkan multimedia yang berkesan. Mungkin bagi setiap lagu yang dimainkan dibayar royalty kepada pemilik lagu seperti Raihan, Haddad Alwi dan Kitaro.

Dentuman Teori Big Bang
Ditekankan dengan teori Big Bang yang disahkan menerusi penemuan sains serta ayat al-Quran bagi menginsafkan kerdilnya diri serta bukti adanya Allah yang maha pencipta. Payah rupanya nak sedarkan manusia serta menimbulkan keyakinan bahawa Allah yang mencipta alam ini. Para peserta diusik hati dan perasaan, seolah-olah di paksa atau diprovok untuk merenungi, menghayati, menginsafi dan mengalirkan air mata dalam suasana kegelapan lampu dewan.

Rangkap ayat yang berulang-ulang diutarakan dengan nada mendayu dan merayu, membuatkan aku jadi bosan sehingga terlelap, walaupun dari alunan lemah lebut muzik sehingga berdentum bingit muzik memenuhi segenap ruang bilik. Mungkin lantaran aku yang sudah tua, pendekatan ini macam tidak sesuai, kecualilah bagi orang muda remaja. Zaman Rasulullah s.a.w tidak perlu multimedia. Apakah pendekatan ini sebagai nak mengganti mukjizat yang dikurniakan Allah ke atas Rasulnya bagi menimbulkan keinsafan akan kebenaran risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Namun bagiku kesedaran yang cuba disampaikan oleh diperolehi dengan percuma menerusi kuliah dan tazkirah di surau masjid secara biasa walauun tanpa sebarang dentuman muzik. Sebaiknya menimbulkan persoalan lain, tetapi tidak berpeluang untuk diutarakan sepanjang program dijalankan. Apakah pendekatan ini juga dilakukan oleh pihak gereja ? Gerakan fasilitator utama di atas pentas meniru gerakan burung terbang di angkasa mengingatkan aku kepada beberapa perilaku yang dilakukan oleh pendeta keristian dan TV atau filem. Kalau teori Bing Bang dikemukakan bagi menunjukkan proses kejadian alam ini sejak 15,000 juta tahun lalu, siapakah yang mencetuskan the Bing Bang dan mengapa ia berlaku ?

Rutin Yang Melenakan
Begitulah setiap kali sesi demi sesi, bermula dengan satu aktiviti atau game, diikuti dengan pengajaran darinya dan diikuti dengan rayuan keinsafan dalam suasana gelap tetapi dilatar belakangkan dengan alunan muzik multimedia, sama ada secara santai atau berdentum-dentum.

Dalam suasana rayuan keinsafan yang cuba dibangkitkan, salah seorang akan dipilih untuk meratapi doa yang diluahkan dari isi hati keinsafan. Tidak cukup dengan itu, dipanjangkan dengan doa yang dibacakan dengan ratapan daripada fasilitator ESQ. Ia diikuti dengan berjabat tangan raya dikalangan peserta serta bersalam semut. Entahlah, mungkin kerana hatiku yang ‘keras’ atau kesombongan yang masih menebal dalan sanubariku.

165 The ESQ Way
Apa yang dapat aku fahami, pendekatan ESQ mengambil sempena dari 5 Rukun Islam, 6 Rukun Iman dan satu adalah ihsan atau fitrah. ESQ 165 merupakan satu model pembangunan diri dan kepimpinan yang ditafsirkan berasaskan 3 perkara tadi, iaitu rukun iman, rukun Islam dan ihsan.

5 tonggak atau asas kejayaan ialah mempunyai penyataan misi yang jelas ( dirujuk kepada penyataan syahadah dalam rukun Islam ), mempunyai value dan pembinaan karakter ( manifestasi daripada solat yang laksanakan ), self-control ( berdasarkan kawalan diri menerusi ibadah puasa yang ditunaikan ), mempunyai strategic collaboration dan contribution ( berdasarkan semangat zakat dan fitrah yang dikeluarkan ) serta totakl action ( berdasarkan perlakuan dalam ibadah haji yang merupakan perbuatan seperti saie dan tawaf )

Manakala 6 perkara pula yang menjadi prinsip keyakinan dan ialah ultimate principle ( berdasarkan Iman kepada Allah ), angel principle ( berdasarkan Iman kepada para Malaikat ), leadership ( berdasarkan keimanan kepada para Rasul dan Nabi ), learning continuous ( berdasarkan kepercayaan kepada kitab yang diturunkan sebagai rujukan), mempunuyai visi ( lantaran kepercayaan kepada hari akhirat yang akan dituju ) dan well-organized ( merujuk kepada qadar dan qadar, dimana usaha bersungguh dan berkesan, namun tidak semua yang diusahakan akan berhasil ).

Penekanan dibuat dimana Allah sebagai pencipta dan maha luas penciptaannnya. Kepadanya kita dikembalikan, dinilai dan dipersoalkan.

Allah telah menanamkan fitrah dan nilai-nilai murni kepada manusia sehingga jika ditanyakan kepada setiap manusia, siapa yang maha berkuasa menjadikan alam ini, tentunya mereka akan menjawab Allah. Malah dalam keadaan terdesak dan kesusahan, Allah juga yang dicari. Nilai-nilai ini lalu dihubungkaitkan dengan AsmaulHusna yang secara sedar atau tidak terjelma dalam kebanyakan mana-mana penyataan dan visi manusia dalam sesuatu organisasi.

Bukan setakat misi dan visi serta nilai Jabatanku dikaitkan dengan Asmaul-Husna, malah Rukun Negara serta senikita Jalur Gemilang pun hendak dikaitkan. Bagaimana kalau dipanjangkan kepada agama-agama lain ? Dalam kursus ini nilai samurai, kaizen serta Bushido dijadikan contoh betapa nilai-nilai baik seperti jujur, ikhlas, tanggungjawab, disiplin, adil dan perihatin. Tidak tahulah, apakah ini hendak menuju kepada 'semua agama menuju yang sama' ?

Allah Juga The Greatest Consumer
Manusia menggunakan segala rezeki serta anugerah daripada Allah dan ditekankan juga bahawa sebenarnya Allah juga adalah the greatest consumer, lantaran apa yang dihasilkan semula oleh manusia, akan dimanfaatkan oleh hamba-hamba Allah juga. Maknanya berbakti kepada Allah juga, besar tu.

Oleh yang demikian, ditekankan betapa dengan berbuat sesuatu kebaikan yang sungguh-sungguh, dimanfaat ramai hamba Allah maka segala usaha serta pengorbanan yang dilakukan dalam dunia pekerjaan kita adalah merupakan ibadah, merupakan sajadah yang panjang untuk sampai kesyurga. Perjalanan ulang alik yang dilakukan adalah umpama perlakuan tawaf atau saie. Usaha dan lontaran buah fikiran sebagai melontar jamrah. Ilmu dan pengajaran yang disampaikan kepada anak buah merupakan amal jariah yang berpanjangan.

Perkara ini sewajarnya menjadi motivasi dalam kejayaan dalam pekerjaan yang sebenarnya dan bukan pangkat, jawatan serta gaji mahal yang menjadi dorongan, lantaran itu semuanaya sementara dan tidak kekal lama. Kalau apa yang kita ‘hasilkan’ dapat dimanfaatkan untuk kebaikan maka kita dapat pahala, bagaimana pula jika digunakan oleh hamba Allah untuk kejahatan walaupun dinamakan salah guna ?

Nilai Sahaja ?
Tapi yang terkilannya, penekanan diberikan terhadap nilai, nilai dan nilai. Jika tidak diperlakukan manakah hendak dapat nilainya. Walaupun mungkin rata-rata atau 90% peserta dalam keadaan musafir, namun tidak sewajarnya dilengah-lengahkan waktu solat sehingga zuhur 1.40 tengahari ( masuk 1.00 tengahari ) dan maghrib 7.30 malam ( masuk maghrib 6.55 petang ). Bagaimana hendak mendapatkan nilai solat yang berkesan jika lewat dan perlakuan pun jadi tergesa-gesa.

Ataukah jika telah diberikan tumpuan kepada pekerjaan yang dapat dimanfaatkan kepada hamba Allah yang lain ( dikira sebagai amal jariah dan ibadah juga ), tidak perlulah solat awal waktu atau berjemaah di surau masjid. Asal solat bila-bila dan dimana, sekadar mengambil nilai solat iaitu mempunyai good character sebagai asas untuk mencapai kejayaan. Sewajarnya ditekankan apakah konsep ibadah dalam islam atau bagaimana sesuatu tugas dan perilaku boleh dikira menjadi ibadah.

Awal hari kedua, aku terasa hendak balik sahaja. Pening kepala hendak meneruskan kursus pada hari kedua. Tapi entanlah, aku gagahi juga walaupun keikhlasanku sudah boleh dipersoalkan. Aku ikuti saja satu demi satu aktiviti, game dan celotehan fasilitator ESQ sampai 7.40 malam baru selesai. Tidak nampak pulak fasilitator ESQ solat berjemaah bersama. Jamak kot, atau ini isu remeh ?

Balik rumah keesokan, mulalah aku tercari-cari dalam internet tentang ESQ dan mengapa diharamkan di Wilayah Persekutuan walaupun di negeri lain ianya OK. Salah soang daripada ofis-mateku yang beragama Keristian, hanya sempat bersama dalam sesi hari pertama. Kata beliau terdapat beberapa pendekatan yang dilakukan oleh fasilitator serta penggunaan musik, telah lama menjadi pendekatan yang dilakukan oleh gereja keristian. Mungkin kebetulan. Waullahu alam.
Share:

Aidil Adha 1432H

Alhamdulillah, buat pertama kalinya pakatan berkorban seekor lembu dari kalangan ahli keluargaku telah dapat diadakan pada hari pertama Hari Raya Korban 1432H, yang jatuh pada hari Ahad, 6 November 2011. Selalunya Adil Adha aku tak balik kampong, kerana cuti pun sehari sahaja. Berbanding dengan Aidil Adha yang lalu, peluang cuti yang agak panjang tahun ini dapat juga dimanfaatkan untuk semua ahli keluarga dapat berkumpul. Memang sudah rancang beberapa bulan lalu supaya bolehlah memulakan simpanan bulan demi bulan.

Penyembelihan dilakukan oleh Imam Masjid Pt Kadir, iaitu Imam Hj Osman yang dibantu oleh kalangan jiran tetangga pada kira-kira jam 10.30 pagi. Begitu juga proses melapah dan membungkus daging korban dilakukan secara bergotong royong dengan jiran tetangga. Alhamdulillah, urusan semuanya siap kira-kira jam 1.30 tengahari.

Walaupun apa pun, adalah diharapkan agar ibadah korban yang dilakukan bersama diterima oleh Allah s.w.t. Kalau ada rezeki nanti, bolehlah pakat-pakat untuk buat lagi pada tahun-tahun yang akan datang.



Solat Raya
Ada satu kekurangan apabila solat raya, sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha di kampungku, iaitu ketiadaan jemaah wanita. Maknanya wanita tidak mengambil peluang untuk solat raya. Namun pada tahun ini, aku sertakeluarga solat di masjid kampung bersebelahan. Namun jemaahnya wanitanya boleh dibilang dengan jari.


Entahlah, terasa macam tidak meriah sahaja di Masjid pagi itu. Jemaahnya pun berpakaian bukan macam raya. Takbirnya tidak bersemangat manakala khutbahnya pun bukan sahaja tersangat, tetapi entah apa isinya dan gaya penyampaiannya pun kurang jelas.

Kentut Nyaring Ketika Solat
Masjid dua tingkat, bolehdikira baru. Binaan masjid yang lamam masih kekal di sebelahnya. Namun di masjid lama ini, mengingatkan aku tentang peristiwa ketia aku di sekolah rendah dahulu.

Ketika tahiyat akhir, tetiba aku terasa hendak kentut dan aku tahan-tahankannya. Namun akhirnya tidak tertahan dan meletuslah ia, mengeluarkan bunyi yang nyaring dan 'cantikkkkkk' ... apa lagi jemaah bubudak disekitarku ada yang tertawa kuat sedang aku cuba buat tak tahu menahan 'malu'.

Kesalahan Dalam Ibadah Korban
Aku ada menerima info dan e-mel mengenai perkara ini untuk dikongsikan bersama di sini tentang beberapa kesalahan dalam ibadahkorban. Tak pastinya bagaimana dengan dalil dan nas-nya.

1. Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.

2. Begitu juga dalam masalah pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.

3. Melaksanakan ibadah korban dengan tujuan untuk menunjukkan kepada orang ramai akan kemampuan dirinya untuk melakukan korban, supaya dengan itu mereka akan dipandang mulia, dihormati dianggap sebagai orang yang hebat di sudut kemampuan kewangan, sedangkan dia sepatutnya insaf bahawa hanya korban yang disertakan dengan keikhlasan dan ketaqwaan sahaja yang diterima di sisi Allah. Firman Allah SWT maksudnya, Daging-daging korban dan darahnya itu, sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi (keikhlasan) yang lahir dari ketaqwaan darimulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah memudahkan bagimu (binatang korban itu) untuk kamu supaya kamu mengagongkan Allah lantaran petunjukNya kepadamu dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”(Surah al-Haj : ayat 37)

4. Pembaziran daging korban, di mana terdapat daging korban yang lambat diagih-agihkan menyebabkan daging tersebut menjadi busuk. Di samping sikap sebahagain daripada kita yang terlalu tamak menghimpunkan daging korban, tetapi akhirnya menjadi busuk dan rosak, apabila ruang peti ais rumah kita tidak mampu memuatkan semua daging korban yang kita bawa pulang.

5. Pembahagian daging korban yang hanya ditentukan kepada kumpulan-kumpulan atau puak-puak tertentu sahaja, dengan mengenepikan hak orang lain terutama yang tinggal sejiran, sekampung atau setaman dengan kita.

6. Kedatangan ke masjid, ke surau atau ke tempat sembelihan, semata-mata untuk mendapatkan bahagian dari pembahagian daging korban, namun begitu tidak mensyukuri nikmat Allah setelah memakan dan menikmati daging korban tersebut, dengan cara melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Malah ada di antara mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau dan ke masjid atau bermuamalah dengan penduduk setempat.


Lagi Gambar Sekitar Aidil Adha Dan Majlis Korban
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.