Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Paras Tawaf Untuk Wanita ?

Harin Metro terbitan Jumaat 19 Mac 2010 di mukasurat 63 berkenaan perkara di atas tetiba menarik perhatian ku. Lantaran itu aku teringatkan kembali suasana di Masjidil Haram yang pernah aku lalui semasa musim haji tahun lepas. Memang betul, sesuatu perlu dilakukan.

Berita itu menyebutkan bahawa Dr Yousuf al-Ahmad, seorang pakar perundangan Islam di Universiti Islam Imam Muhammad Saud mencadangkan kerajaan membina tingkat khas untuk wanita di Masjidil Haram bagi mengelak percampuran ketika tawaf dan solat. Menurut beliau lagi, Islam mengharamkan percampuran lelaki dan wanita, sama ada di dalam atau di luar Masjidil Haram.

Tidak dinafikan pembinaan pembangunan semula serta pembesar kawasan Masjidil haram sedang rancak dijalankan. Adalah elok sekali perubahan fizikal itu diiringi dengan perubahan yang bukan sahaja bertujuan mengelakkan kesesakan ketika solat, tawaf, saie dan melontar jamrah, tetapi mengelakkan juga percampuran jemaah lelaki dan perempuan.

Dr Ismawi Zen, seorang rakyat Malaysia yang bertindak sebagai ketua perunding arkitek pembesaran Masjidil Haram, diharap dapat mendengar keluhan ini supaya mempertimbangkan sistem yang sesuai. Memperkenalkan sistem kawasan, sistem masa, sistem laluan, dataran Kaabah bertingkat, ada flyover khusus untuk wanita di sekeliling Kaabah dan pelbagai lagi ...

Memang aku bingung sekali melihatkan keadaan yang diluar kebiasaan, bukan setakat melihat percampuran jemaah semasa solat khususnya di Masjidl Haram, tetapi merasai sendiri bagaimana solat di sebelah jemaah wanita. Aku berharap, cadangan daripada Dr Yousuf al-Ahmad akan dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi.

Aku juga berharap sekiranya diizinkan Allah dapat kembali ke Mekah tahun hadapan, aku dapat melihat perubahan ini, bukan sekadar perubahan fizikal sahaja. Insya'allah.

Dipetik dari berita asal di Harian Metro Jumaat 19 Mac 2010

Paras tawaf untuk wanita

2010/03/19 JEDDAH: Seorang pakar perundangan Islam di Universiti Islam Imam Muhammad Saud mencadangkan kerajaan membina tingkat khas untuk wanita di Masjidil Haram bagi mengelak percampuran ketika tawaf dan solat. Dr Yousuf al-Ahmad berkata, Islam mengharamkan percampuran lelaki dan wanita, sama ada di dalam atau di luar Masjidil Haram.

“Ada dua jenis percampuran jantina, iaitu keadaan sementara di jalan atau di jamrah di Mina, dan percampuran dalam tempoh lama dan sesak ketika tawaf,” katanya. Justeru, katanya, untuk mengatasi masalah itu, pihak berkenaan wajar membina tingkat berbeza dikhususkan untuk wanita di masjid berkenaan.

Katanya, binaan tambahan itu pernah wujud tetapi dimusnahkan pada era kerajaan Uthmaniyah dan ketika Arab Saudi diperintah Raja Saud. “Pembinaan tingkat tambahan itu juga boleh memberi ruang lebih banyak kepada jemaah haji dan umrah,” katanya. Yousuf berkata, semua pihak perlu menghormati hak wanita untuk beribadah dengan tenang di Masjidil Haram.

“Adakah mereka tidak berhak diberikan satu atau dua tingkat khas untuk bertawaf? Adakah mereka tidak berhak bertawaf tanpa perlu bersesak-sesak dengan lelaki? “Apa salahnya membina kawasan khas itu di dalam masjid untuk memberi keselesaan kepada wanita?” katanya. Turut perlu diberi perhatian, katanya, adalah aspek kawalan di tingkat berkenaan.

“Di situ jemaah wanita terhindar daripada sorotan kamera dan imej mereka ditayangkan ke seluruh dunia melalui satelit,” katanya. Selain pernah menyuarakan pendapat itu dalam rancangan terbitan sebuah stesen televisyen, kenyataannya turut boleh diikuti di laman web YouTube. - Agensi

Share:

GST : Kesannya Kepada Kerajaan Dan Rakyat

GST adalah singkatan bagi Goods & Service Tax atau dalam bahasa melayunya, Cukai Barangan & Perkhidmatan. GST sebenarnya telah dicadangkan untuk dilaksanakan di Malaysia sejak zaman Pak Lah. Perkara ini disebut oleh beliau semasa membentangkan budget 2008 di Parlimen pada tahun 2007. Akhir ini, GST sering dibincangkan di media massa sehingga entah kenapa akhirnya pihak kerajaan menangguhkan pelaksanaannya. Akta pelaksanaanya dikatakan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung sekarang bagi membolehkan ianya dilaksanakan pada akhir 2011.

GST telah dilaksanakan di lebih 150 negara dan di Asia Tenggara, hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar belum lagi melaksanakannya. Kalau sudah banyak negara melaksanakanknya mengapa pula susah bagi negara kita yang terkenal dengan ‘BolehLand’, belajar dan mengambil pengajaran untuk melaksanakannya ? Apakah bertentangan dengan semangat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ ?

Menggantikan SST
GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ( SST ) yang ketika ini dikenakan pada kadar 5% hingga 10% seperti di Restoran Makanan Segera dan perhotelan. SST yang dikenakan sebelum ini dikatakan mempunyai beberapa kelemahan tersendiri kepada ekonomi negara termasuk boleh disalah guna oleh sesetengah pihak.

Contohnya, pengusaha kedai makan mengenakan cukai jualan 5%, tetapi bayaran cukai itu masuk kocek mereka sendiri dan caj cukai yang sepatutnya diserahkan kepada kerajaan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Maknanya ini mengurangkan hasil negara. Dengan pelaksanaan GST, sebaliknya kerajaan dikatakan boleh memperolehi pendapatan 1 billion setahun. Ini kelihatan baik untuk negara, tetapi bagaimana dengan rakyat ?

Krajaan pula mengatakan bahawa sesetengah barangan akan menjadi lebih murah khususnya barangan keperluan asas pengguna yang dikecualikan daripada GST seperti produk sayuran, beras, gula, garam, tepung dan minyak masak, daging serta perkhidmatan bagi elektrik dan air. Barangan lain macamana pulak ? Panjang mana senarainya, mana yang dikenakan GST dan mana yang dikecualikan.

Kenaikan Harga
Dikatakan kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai GST bagi setiap barang dan perkhidmata pada kadar 4%. Kalau Kopi Ginseng Tongkat Ali kat Kedai Kopi Mamat sekarang segelas penoh RM 1.50, maknanya dengan tambahan 4%, segelas kopi selepas GST dilaksanakan nanti ialah RM 1.56. Tentunya si Mamat akan kenakan rega RM 1.60. Kalau gunting rambut sekarang RM10, maka dengan adanya GST, caj gunting rambut jadi RM 10.40.

Kerana itu GST dilihat akan menambahkan beban lagi kepada rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah yang sebelum ini tidak dikenakan cukai pendapatan. Yang membayar cukai pendapatan tentulah terasa berganda pulak dikenakan cukai. Maknanya setiap rakyat tanpa mengira pendapatan, kaya atau miskin, susah atau senang, perlu membayar GST apabila sahaja membeli atau mendapatkan perkhidmatan.

Patutpun ada yang mengatakan GST = Golongan Susah Tertindas. Mungkin juga harga barang itu akan tetap kekal, tetapi mungkin juga kuantitinya akan dikurangkan bagi menampung kos membayar GST. Segelas Kopi Ginseng Tongkat Ali kat Kedai Kopi Mamat sekarang tak penoh lagi jika hendak dikekalkan RM 1.50. Gunting rambut nak kira camana pulak ?

Pendapatan Negara
Itu kita cerita bagi pengguna akhir sahaja. GST dikatakan adalah sistem percukaian yang lebih cekap kerana dikutip pada setiap peringkat. Ini bermakna, cukai tidak dikenakan kepada pengguna sahaja sebaliknya turut dikenakan kepada pengilang, pemborong, dan juga peruncit yang tidak dikenakan dalam pelaksanaan SST sebelum ini. Ini boleh menyebabkan akhirnya harga barangan atau perkhidmatan tersebut lebih tinggi daripada sebelum GST dilaksanakan. Tetapi dari satu sudut, bagaimana mekanisma yang tepat bahawa pengilang, pemborong dan peruncit membayat GST yang dibayar oleh pengguna atau pembeli kepada Kerajaan ?

Patut pun GST dilihat memberikan pendapatan bagi negara tetapi bagaimana kesannya kepada rakyat sebagai pengguna atau pembeli ? Benarlah sebagaimana aku sebutkan tadi, mungkin juga harga barang itu akan tetap kekal, tetapi mungkin juga kuantitinya akan dikurangkan bagi menampung kos membayar GST.

PRU13
Lantaran itu mungkin timbulnya keresahan yang mengundang bantahan rakyat. Walaupun Akta ini mungkin menang jika dibentangkan di Parlimen, tetapi rakyat akan menghukumnya. Kerajaan akan menjadi tidak popular dan bakal dihukum dalam PRU13 nanti. GST dilihat sebagai satu instrument baru kerajaan mencari pendapatan. Kenapa baru sekarang hendak dilaksanakan ? Tetapi bagaimana GST dipraktikkan di negara-negara lain ? Apakah mereka tidak menghadapai masalah yang hampir sama dan bagaimana mereka mengatasinya ?

Penarikan balik cadangan untuk melaksanakan GST dilihat seolah-olah kerajaan tidak tegas dalam melaksanakan apa yang hendak dilaksanakan. Tak tahulah apa sebabnya, sehingga pihak kerajaan seakan-akan belum bersedia melaksanakannya. Mungkin kena tunggu apabila negara kita mencapai tahap negara maju tahun 2020 nanti ?

Share:

Pengalaman Di RFC Kluang Johor

Aku mendapat maklum bahawa sehingga kini, baru 4 restoran Radix Fried Chicken ( RFC ) telah dibuka seluruh negara. Bermula di Sg Petani, kemudian di Alor Star, Merbuk dan kini di Kluang Johor. Jauh benar, berbanding di utara di Kedah, tetiba jauh ke selatan di Kluang. Ramai ke umat Islam di bandar sana ? Kini masyarakat Kluang sudah ada pilihan, jadi tiada lagi alasan. RFC adalah suatu imej Halal lagi berorganik yang aku yakini akan menjadi pilihan seluruh masyarakat Malaysia

RFC Kluang terletak Jalan Rambutan berhadapan Kluang Mall. RFC ini dibuka dengan rasminya pada 24 Oktober 2009 oleh Pengarah Urusan HPA, Tuan Haji Ismail Haji Ahmad. Tetapi aku baru mengetahuinya bulan Februari lalu. Lantaran kerana itulah aku singgah bebaru ini kebetulan pulang ke kampong ada jemputan, untuk merasainya sendiri pengalaman di RFC Kluang setelah pernah mengunjungi cawangan pertamanya di Sg Petani juga awal Februari lalu.

Masuk aje, restoran tersebut nampak agak lengang. Ketika itu jam lebih kurang 4.30 petang. Bukan waktu makan tengahari, apatah lagi makan malam. Kami sekeluarga memang tengah lapar belum makan tengahari. Setelah ambil order baru aku perasan yang ramai orang di tingkat atas. Mungkin kerana menemani anak-anak menggunakan taman permainan yang disediakan.

Tetapi berbanding dengan yang pernah kami rasainya di Sg Petani sebelum ini, terasa yang di Kluang nie macam lebih sedap rasanya serta lebih lembut daging ayamnya. Tak kan tak standard or seragam ayam serta resepinya ? Apakah ada pelbagai perasa herbanya selain ori dan pedas ? Selain kemudahan WIFI percuma serta taman permainan kanak-kanak, juga disediakan surau dan tandas di tingkat atas.

Memang aku begitu tertarik dengan kemampuan HPA dan berkeyakinan mereka akan terus berkembang. Dikatakan juga pihak HPA mensasarkan sebanyak 400 RFC seluruh negara, fuh !!! Begitu optimis. Nampaknya restoran ayam goreng lain kena berhati-hati akan saingan yang bakal mereka hadapi. Umat Islam perlu menyokong operasi HPA terutamanya dengan taglinenya, Produk Halal Tanggungjawab Bersama. RFC yang seterusnya dikatakan akan menyusul di Mydin Melaka, Shah Alam, Taman Permata Ampang dan banyak lagi.

RFC menjamin kesemua produk dan servisnya adalah berlandaskan prinsip dan tuntutan Syari’ah Islam. Kesemua proses dan penyediaan adalah dipantau oleh Panel Syari’ah HPA sendiri. Badan ini merupakan himpunan para pakar perunding yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang undang-undang dan Syari’ah Islam. Ini memberikan kita keyakinaan bahawa kesemua produk dan servis RFC adalah selamat dan suci mengikut landasan Syari’ah Islam.

Share:

Warna Warni Pekan Seramik Ayer Hitam


Share:

Merawat Pejabatku Yang Misteri

Memang kelihatan besar, teguh dan seperti bercirikan senibina Islam. Namun di sebaliknya mempunyai misteri tersendiri yang dialami oleh sebahagian penghuninya. Sejak mula didiami pelbagai gangguan dialami yang dipercayai oleh mahluk halus yang mendiami bangunan pejabatku. Antaranya lampu dan monitor on dan off secara tiba-tiba, kedudukan katrij yang digunakan untuk membuat backup beralih dari slot kedudukan biasanya, tepuk bahu belakang ketika solat seperti nak jadi makmum dan lif bergerak turun naik serta terbuka pintu tanpa dilihat sesiapa keluar masuk.

Pada 11 Mac 2010 lalu, aku bersama-sama beberapa staf pejabatku serta ahli Persatuan Pengubatan Islam Darus Syifa telah melaksanakan aktiviti merawat bangunan pejabatku. Majlis bermula menjelang maghrib yang dimulakan dengan Solat Maghrib, diikuti dengan Solat Hajat, bacaan Surah Yasin, zikir, Solat Isyak dan merenjis air sekitar bahagian dalam bangunan.

Sebenarnya sebelum ini, majlis doa selamat dan bacaan Yasin telah diadakan pada pertengahan Disember yang dikendalikan oleh Ustaz Hj Jamal Mahfodz yang juga ahli Darus Syifa.


Ini disusuli dengan rawatan kali kedua pada Januari lalu dengan menabur garam beserta lada hitam di sekitar bangunan selama tiga petang berturut-turut. Disebabkan kawasan bangunan agak besar, pada 11 Mac lalu, kami dibahagikan kepada empat kumpulan untuk merenjis air ke seluruh bahagian bangunan.

Namun selepas rawatan kali kedua, berdasarkan cerita daripada staf pejabatku, dikatakan mahluk halus tersebut semakin bertindak balas. Antaranya terdengar bunyi tapak kaki berlari di lantai bilik komputer utama, suara orang berbual tetapi tiada sesiapa apabila dipandang ke arah suara tersebut, suara wanita menangis dalam bilik air, pintu terbuka tanpa kelihatan sesiapa keluar masuk menerusi CCTV serta seperti bayang-bayang kelihatan dalam monitor komputer dan daripada luar bangunan.

Malah ada seorang dikatakan pernah ‘melihat’ ada satu family mahluk halus sekurang-kurangnya seramai 8 ‘orang’ mendiami bangunan pejabatku. Entahlah, mungkin sebab sudah banyak cerita aku dengar, percaya sajalah tanpa sombong lantaran tidak sendiri mengalaminya. Namun kejadian ini sedikit sebanyak menghalang staf pejabatku daripada terus berada di pejabat menghabiskan kerja sehingga malam.

Bangunan baru pejabatku telah mula dibina pada 1 Oktober 2007. Bangunan yang bernilai RM 50 juta ini terletak di atas tanah seluas 4 hektar di Cyberjaya. Pembinaan bangunan telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Jabatakun secara rasmi pada 31 Mac 2009.

Walau bagaimanapun, disebabkan masalah berhubung dengan perlantikan syarikat bagi mengendalikan kerja-kerja perpindahan dari tempat lama iaitu di Pusat Bandar Damansara Kuala Lumpur, perpindahan keseluruhan pejabatku hanya bermula pada awal November 2009. Maknanya daripada tempoh pembinaan Oktober 2007 serta penyerahan bangunan pada Mac 2009 sehingga November 2009, bangunan tersebut kosong. Agaknya ini mengundang kepada mahluk halus mendiaminya, ataupun mereka sebenarnya merupakan penghuni asal kawasan tersebut.

Pejabatku secara rasmi beroperasi di bangunan baru mulai pada 7 Disember 2009. Manakala peralihan sistem komputer pejabatku sepenuhnya daripada Disaster Recovery Centre berjaya dilakukan pada 18 Disember 2009 iaitu bersamaan dengan 1 Muharram 1431H. Ramai agensi pusat telah dijemput bersama menyaksikan peristiwa yang bersejarah ini yang kebetulannya pada awal Muharram 1431H.

Sebenarnya semasa perpindahan dilakukan, aku berada di Mekah mengerjakan Haji. Sebelum ke Mekah, perpindahan dijangka pertengahan Disember. Namun rupanya dipercepatkan. Balik Mekah sahaja, biliku telah kosong kerana pejabatku telah pindah. Mungkin beruntung tidak serabut dan penat memikirkan hal perpindahan. Tetapi aku kira rugi daripada segi pengalaman. Apapun aku berharap dengan rawatan yang dilakukan ini, pejabatku menjadi lebih aman daripada sebarang gangguan. Penghununya pun terus selesa menjalankan tugas-tigasnya, insya'allah.
Share:

Edy Murtabak Yang Istimewa

Berbanding dengan banyak-banyak murtabak yang aku rasa, rasanya Murtabak Ayam Edy amat istimewa. Nak kata yang paling sedap pun, entahlah. Tetapi memasng istimewa dan sedap. Murtabak ini dijual waktu siang hari sahaja. Tetapi di mana lokasinya ? Susah juga nak cerita, tetapi dekat dengan Uniten Bangi, Kedai Beriani Gam Putrajaya ( Resepi Batu Pahat ). Senang-senang Search dengan Geogle Map di 101 darjah 43'53.30"E.

Tetapi biasalah, yang sedap tu payah nak dapat, kena sabar beratur atau menunggu gilirannya. Harganya cuma RM 3.50 dan saiznya memang besar berbaloi. Selalu juga kalua aku singgah atau lalu sana, jika nampak macam ramai orang menunggu Eddy Murtabak, maknanya lama tempoh menunggu dan aku pun tak jadi beli.

Memang selalunya ramai, memang begitu. Di gerai lain turut dijual di gerai-gerai lain ialah air serta pelbagai makanan goreng-gorengan seperti goreng pisang, ubi, keledek, cendawan, cokodok, jemput-jemput dan keropok.

Eddy membuka gerainya dengan dibantu oleh isterinya sebagai cashier, turut bertugas memotong dan membungkus murtabak yang telah siap. Setiap yang datang membuat order akan ditulis di atas kertas catatannya, tetapi aku musykil camana dia boleh kenal siap yang oder sebab bukannya dia tanya atau ambil nama pelanggannya. Entah-entah dia tulis pelanggannya sebagai monyet, beruk, ungka dan lotong ... ha ! ha !

Lihatlah beberapa aksi si Eddy menyediakan murtabak istimewanya. Kelihatan banyak sangat telor digunakan.



Nampak sedap tak ? Mungkin biasa sahaja. Tetapi bagiku, kalau nak makan sekali sekala eloklah sebab aku rasa kandungan kolesterolnya amat tinggi !!!




Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.