Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Gamat, Cokelat Dan ...

Sebut tentang gamat dan cokelat, tentunya Langkawi yang dibayangkan. Tapi mungkin benar bagi yang pernah pergi ke Langkawi. Suatu ketika dahulu, barangan kaca, pinggan mangkuk pelbagai berjenama menjadi tumpuan lantaran harganya yang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Maklumlah pulau bebas cukai.

Namun apakah kini masih murah atau sejauhmana lebih murah berbanding di tempat lain di Malaysia. Entahlah, sebab sejak akhir ini kalau kesana, tidak berapa nak tengok bab pinggan mangkuk. Mungkin sudah tidak ada keperluan dan yang di rumah masih elok digunakan ? Mungkin tidak jauh berbeza dengan tempat lain, tambahan di tempat lain boleh bayar ansur. Jadi kurang berbaloi dengan nak mengangkutnya. Ini berbeza dengan gamat dan cokelat yang diguna dan dimakan. Beli banyak mana pun akan habis di makan, paling tidak beri kengkawan, jiran, sedara mara atau dibuang sebab sudah expired.

Ada yang mengatakan Langkawi sebagai Syurga Cokelat. Pengemar cokelat boleh mendapatkan pelbagai jenis cokelat dalam pelbagai rupa dan dengan harga yang murah. Khususnya yang diimport atau dikilangkan di luar negara. Benarkah harganya lebih murah ?

Cokelat Halal ?
Bagiku masalah dalam memilih cokelat ialah sama ada ianya ditanggung halal, tidak kira sama ada dikilangkan di luar negara atau dalam negara. Tapi kalau yang dikilangkan dalam negara, rasanya macam tidak jauh beza daripada segi harga, jika dibandingkan dengan yang dijual di pasaraya besar di tanah besar, khususnya di Lembah Kelang.

Walaupun tidak ada cop Halal Malaysia-JAKIM, at least ada logo jaminan halal antara bangsa atau daripada negara pengeluar kira orait juga. Ini kerana kandungan 'whey powder' yang antara menjadi persoalan, sama ada diperolehi daripada haiwan secara halal atau sayur-sayuran.

Malah ada satu jenama terkenal dan dikira agak popular juga, siap dipaparkan surat pengesahan halal daripada negara pengeluar. Ini satu cara untuk meyakinkan pembeli. Namun boleh percaya ke ?

Gamat
Gamat dengan pelbagai kegunaan masih menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke Langkawi. Khasiat gamat serta nilai terapeutiknya masih dipercayai sehingga kini. Namun disebutkan bahawa gamat yang diproses di Langkawi di bawa daripada Thailand dan Pulau Pangkor sejak beberapa tahun lalu. Benarkah ?

Disebalik dakwaan gamat semakin pupus di Langkawi lantaran pengambilan yang tidak terkawal sehingga yang masih belum cukup umurpun diambil dan diproses, dipercayai usaha pemulihan untuk 'menternak' secara besar-besaran sedang dilakukan. Kepupusan ini juga disebabkan perubahan ekosistem yang mengganggu pembiakan gamat.

Industri berasaskan gamat perlu kekal menjadi suatu tradisi dan keunikan Langkawi. Perkara ini perlu dipertahankan dan semua pihak perlu berperanan, sama ada pihak kerajaan dan juga pengusaha gamat.

Klik untuk lagi gambar
Share:

Catatan Hujung Ahmad Lutfi Othman

Suatu ketika dahulu, pada sekitar akhir 1990an, banyak buku politik yang dihasilkanya. Tulisannya, ideanya, analisis serta komentarnya mendapat perhatian dan aku kira banyak memberikan pengaruh tertentu dalam menyuburkan gerakan reformasi di Malaysia. Apabila ‘berakhirnya’ era reformasi, jika boleh dikatakan demikian, tiada lagi buku politik dihasilkannya. Namun beliau terus aktif menulis dalam media seperti akhbar tabloid dan majalah. Majalah Tamaddun, Harakah, Detik dan Wasilah begitu mendapat perhatian ramai, mungkin akibat sentuhan beliau.

Pandangan teori dan ramalan beliau mengenai suasana politik di Malaysia khususnya, tidak boleh diperlekehkan. Ini mengundang kepada masalah kepada pemerintah, lantas beliau menerima pelbagai dugaan, halangan dan cabaran yang sangat kuat dalam meneruskan penglibatan beliau dalam dunia penulisan menerusi akhbar atau majalahnya. Jatuh bangunnya menunjukkan keazamannya.

Itulah Ahmad Lutfi Othman. Gaya penulisannya bukannya kompleks untuk difahami. Tapi beliau ternyata seorang yang berani dan komitted dengan apa yang ditulisnya. Tidak takutkan beliau dengan tulisannya ? Maklumlah pandangannya banyak mengkritik pihak kerajaan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan info terhadap sesuatu isu nasional di sebalik apa yang pihak kerajaan perjelaskan sdalam mesia masa atau tidak di dedahkan dalam media masa arus perdana. Pandangan beliau menerusi tulisannya mempunyai pengaruh dan ikutan tersendiri.

Hanya kesihatan yang dihadapai sehingga menyebabkan beliau menyepi dan berehat hampir dua tahun membuatkan pelbagai andaian, persepsi dan tuduhan. Kena ‘buat orang’ ke dia ? Teringat kisah tragis beliau yang kematian anaknya beberapa tahun lalu. Yang anehnya, beliau tidak pernah mengikuti kursus untuk menjadi penulis pun. Di Universiti Teknologi Malaysia Jalan Gurney dulupun itu dia mengambil kursus sarjana muda Kejuruteraan Awam. Kini bidang kewartawanan yang diminati. Tulisannya pun tidaklah ‘teknikal’ sangat. Biasa-biasa sahaja.

Aku berkesempatan meghadiri majlis Diskusi Buku “Catatan Hujung” pada 8 April lalu sempena Pesta Buku Bandar Baru Bangi 2011. Mungkin ramai yang ternanti-nanti, bilakah Ahmad Lutfi Othman kembali dengan buku politiknya, apatah lagi dengan pelbagai isu yang sedang berlaku kini. Buku ini bukanlah buku politik beliau yang baru. Ia merupakan kompilasi tulisan dan pandangan beliau yang diterbitkan dalam akhbar Harakah dan laman Harakahdaily yang diusahakan oleh Kemilau Publika selaku penerbit.

Apakah mungkin kita tidak dapat melihat lagi buku politik nukilannya ? Atas faktor kesihatannya, beliau masih memerlukan pengawasan rapi daripada pihak doktor. Harapnya beliau akan sembuh dan kembali dan terus menulis. Mungkin itulah harapan masyarakat pembaca negara ini yang sangat memerlukan tulisan analisis politiknya yang bernas, tajam dan segar serta berani berkata kerana benar.

Malah dalam menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan dalam majlis tersebut, beliau ada bercadang untuk menulis beberapa sanggahan beliau terhadap buku terbaharu yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir – Doctor In The House. Menurut beliau, banyak fakta yang tidak benar dan boleh dipertikaikan dalam buku tersebut. Mungkin juga beliau akan bergabung dengan penulis lain dalam menghasilkan buku berkenaan. Sesamalah kita tunggu, di samping doa agar Allah menyembuhkan beliau. Amin.



Lagi Gambar Sekitar Pesta Buku Bangi 2011

Share:

Zoo Kedua Terbesar Malaysia : Zoo Melaka

Zoo Melaka terletak bersebelahan Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Ia menjadi salah satu daya tarikan pelancung yang berkunjung ke Ayer Keroh Melaka. Memang banyak tempat tarikan pelancung di Ayer Keroh, antaranya Taman Mini Malaysia, Taman Mini Asean, Taman Burung, Muzium Lebah Terbesar, Taman Buaya dan Taman Rama-Rama. Kalau hujung minggu, memang sesak sekitar Ayer Keroh dengan kunjungan orang ramai termasuk pelancung dari Singapura.

Dengan keluasan 22 hektar, Muzium Ayer Keroh dikatakan yang kedua terbesar di Malaysia, selepas Zoo Negara. Dikatakan terdapat lebih dari 214 spesies haiwan yang boleh ditemui di Asia Tenggara dan Afrika terdapat di sini secara semula jadi, selain 1,200 spesimen.

Pengunjung dikenakan tiket, dewasa RM & dan kanak-kank termasuk kanak-kanak sekolah RM5 sahaja. Kamera free tapi diveo kamera dikenakan RM10. Jumlah pelawat adalah kira-kira 400,000 orang setahun. Waktu terbaik untuk membuat lawatan adalah di waktu pagi ketika haiwan masih aktif menunggukan masa makan. Selepas makan, haiwan akan menghabiskan masa berehat ataupun tidur.

Zoo ini ada menganjurkan safari malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk membolehkan pengunjung melihat tabiat dan telatah haiwan sewaktu malam antara jam 8:00 - 11:30 malam. Tiket waktu malam, mahal sikit.

Pada mulanya Zoo Melaka ditadbir oleh Kerajaan Negeri Melaka tetapi kini pengurusan Zoo Melaka diambil alih oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Terdapat 66 bertugas menguruskan Zoo ini dengan kos operasi sekitar RM 2. Kalau 400,000 orang setahun berkunjung dan tiket RM5 seorang, makanya cukup-cukup RM 2juta untuk operasi Zoo ini.

Elok juga menjadi salah satu tempat wajid dikunjungi jika berkunjung ke Ayer Keroh, melihat dan memerhatikan keindahan dan gelagat haiwan yang juga mahluk Allah. Aku sempat singgah beberapa hari lalu dan sekadar nak kongsikan gambar-gambar yang sempat ku tangkap, sambil nak test lens baru.

Klik Untuk Lagi Gambar

Share:

Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Pt Kadir Kali Ke-37

Bertempat di Dewan Kantin SK Parit Kadir Senggarang, Sabtu 2 April 2011, aku menghadiri dan memberikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Parit Kadir Kali Ke-37. Berikut adalah ucapan perasmian yang aku sampaikan dalam majlis tersebut.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dipanjangkan usia dapat kita bersama dan dipertemukan dalam majlis ini. Mesyuaray Agung PIBG Kali Ke-37. Agaknya sudah lebih daripada 37 sekolah ini. Pada mulanya saya menerima panggilan daripada Tn YDP PIBG untuk berucap dalam majlis ini, agak terkejut juga. Nak cakap apa ? Maklumlah selalunya ucapan perasmian dilakukan oleh wakil rakyat atau wakil Pejabat Pelajaran Daerah.

Kalau wakil rakyat, lepas perasmian dia akan tinggalkan janji, kalau tak sumbang seribu ringgit, mungkin 2 ribu atau 3 ribu kalaupun tidak 10,000. Kalau saya, nak tinggalkan apa ? Mungkin kaedah yang baik juga, memanggil semula bekas murid sekolah ini bagi perasmian. Terasa agak gementar juga, maklumlah di hadapan saya ini merupakan pangkat abang kakak, ibu bapa, pakcik makcik, selain yang seusia dan pangkat adik. Mungkin ada yang pernah sekelas dengan saya di sini dahulu.

Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya kembali ke sekolah ini yang telah saya tinggal sejak tahun 1975. Pada ketika itu masih merupakan sekolah kayu atau papan beratapkan zink, tingkap pun jaring dawai. Bangunan utama sekolah sekarang pun ketika itu masih dalam peringkat awal pembinaan, piling serta cerucuk kayu bakau. Tapi sekarang dah ada macam-macam. Selalu juga nampak sekolah ini apabila datang ziatah ke rumah bapa saudara di sebelah sana, Che Sahri.

Saya pun tak pasti berapa ramai guru-guru yang mengajar saya ketika itu masih ada lagi. Masa tu Guru Besar adalah Arwah Cikgu Johari dan antara yang lain Cikgu Supanji, Cikgu Zaini dan agak terkejut yang Guru Besar Pertama iaitu Ckgu Adam masih ada lagi. Allah masih panjangkan usia beliau. Terima kasih tidak terhingga atas bantuan dan tunjuk ajar mereka, semoga di balas oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang setimpal.

Saya bersekolah di sekolah ini antara tahun 1970 hingga 1975, dari darjah satu hingga enam. Semasa sekolah dahulu kalau tidak dapat nombor satu, nombor dua. Hanya sekali dapat nombor tiga. Yang selau nombor satu ialah Dr Osman Warijo yang merasmikan Mesyuarat PIBG ini tahun lepas. Selalu berlawan dengan dia. Saya masih ingat ini sebab sering saya cerita dan ingatkan kepada anak-anak saya sebagai perangsang. Kad kemajuan pun masih ada sebagai bukti.

Dulu takde UPSR, tapi Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Masa Peperiksaan Darjah 5 tahun 1974 saya dapat keputusan 3A dan berpeluang ke sekolah berasrama penoh, SM Sains Johor di Kluang. Kalu di Pt Kadir dapat nombor satu dua, tapi di SM Sains Johor dapat nombor banyak. Tapi Dr Osman dia maintain. Lepas SPM 1980, saya mengikuti Kelas Matrikulasi UKM di SM Sains Melaka ( sekarang SM Muzafar Shah ), kemudian masuk UKM Bangi. Di UKM saya mengambil jurusan Sains Komputer yang merupakan jurusan yang sangat baru ketika itu. Mula tu nak ambil Doktor juga, tapi keputusan yang diperolehi tidak melayakkan.

Tamat belajar tahun 1986, tapi kebetulan masa itu krisis ekonomi dan agar sukar mendapat pekerjaan. Selalunya masa tu kalau sudah tahun empat Sains Komputer, jawatan dalam kerajaan sedia meenunggu. Beberapa tahun bekerja sementara di Terengganu sebagai Cikgu Komputer dan Pegawai di Unit Komputer Pejabat JKR Terengganu. Malah pernah beberapa ketika ke laut jadi ‘nelayan’ bersama bapa mertua.

Tahun 1989 baru mendapat kerja tetap sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Bahagian Komputer Kementerian Pendidikan dan bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Masa ini saya sering mengikuti perkembangan SK Pt Kadir menerusi keputusan peperiksaan UPSRnya, Malah ada orang Kg yang sering telefon saya untuk bertanyakan keputusan awal, sama ada UPSR, PMR atau SPM.

Tahun 2003 saya bertukar ke Bahagaian Teknologi Maklumat JPJ sehingga sekarang. Mulanya pejabat di Kuala Lumpur, kemudian berpindah ke Cyberjaya pada Disember 2009. Kalau sebelum ini saya tinggal di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor, saya pun terpaksa berpindah ke kuaters kerajaan di Putrajaya mulai Jun 2009 sehingga sekarang. Kalau ada yang ke sasar sampai Putrajaya, bolehlah kalau nak menyinggah.

Semasa di Saujana Utama Sungai Buloh, saya banyak melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat setempat. Antaranya menjadi Pengerusi Surau, Pengerusi Sekolah Agama. Malah saya bersama rakan dan penduduk setempat, berjaya membina bangunan Surau dan Sekolah Agama hasil sumbangan orang ramai. Masa ini beberapa kali muka saya masuk TV. Mungkin ada yang perasan agaknya. Juga pernah jadi AJK Penduduk, AJK Rukun Tetangga, Khairat Kematian dan AJK PIBG sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.

Saya berkahwin ketika masih belajar di UKM lagi, pada tahun ketiga pengajian. Suatu yang mungkin jarang berlaku ketika ini. Sudah jodoh kot ? Isteri saya kini seorang guru Sekolah Menengah di SMK Dato Abu Bakar Baginda Selangor. Dato Abu Bakar Baginda ialah MB Selangor yang pertama. Kini saya mempunyai 4 orang anak. Semuanya telah lepas UPSR dan PMR. Alhamdulillah, semuanya 5A dalam UPSR dan dapat semua A dalam PMR. 2 orang 8A dan 2 orang lagi 9A, tambahan mata pelajaran Bahasa Arab. 3 orang telah lepas SPM dan yang bongsu kini di MRSM Langkawi, ambil SPM tahun ini. Semuanya berpeluang ke sekolah asrama penoh.

Yang sulong dan kedua pernah bersekolah di SK Pt Kadir kekira setahun sekitar 1995-96. Yang sulong lulusan Universiti Teknologi Petronas sudah bekerja. Yang kedua sedang belajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di luar negara, Kanada atas tajaan JPA atau kerajaan. Dijangka habis tahun ini. Anak yang ketiga baru memperolehi keputusan untuk ambil jurusan Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa setelah menghabiskan program matrikulasinya. Anak ke-3 saya ini, selepas saja habis SPM, diberi peluang mengikuti Sijil Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jabatan Perdana Menteri Kuala Kubu Baru Selangor. Alhamdulillah, hafal 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 bulan. Harapnya beliau dapat jadi doktor yang hafal 30 juzuk al-Quran. Doakanlah.

Mengapa saya ceritakan semua ini ? Bukan untuk berbangga, nak tunjuk anak-anak Hassan Masrom berjaya dan pandai semuanya. Yalah, kejayaan itu luas pengertiannya, antara kejayaan dalam pelajaran dengan kejayaan dalam hidup. Yang mustahaknya kejayaan dunia dan akhirat.

Memang ramai bertanyakan kepada saya atau isteri saya, mengapa anak-anak saya dikatakan pandai-pandai dan berjaya dalam pelajaran. Sampai dapat anugerah pelajar terbaik lagi. Sukar nak jawap sebab kami suami isteri pun bukannya buat kajian, analisis atau buat ujikaji tertentu.

Tapi mungkin atas dorongan bersama isteri untuk mendidik dan memastikan anak-anak kami lebih berjaya daripada ibu bapanya. Siapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajarannya. Memang itu hasrat kita semua untuk melihat anak-anak kita lebih berjaya daripada kita, lebih bernasib baik daripada kita dan lebih senang hidupnya berbanding apa yang kita kecapi. Ilmu dan kejayaan dalam pelajaran antara yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Cumanya kita mungkin tidak tahu atau didedahkan dengan ilmu keibubapaan. Sekarang sudah banyak kursus atau program motivasi berkaitan, mungkin boleh korban sikit duit, laburkan untuk mengikutinya atau PIBG boleh anjurkannya. Bukan sekadar murid-murid yang perlu diberikan motivasi, kita sebagai ibubapa juga perlu.

Tadi Guru Besar menyatakan perlunya dipastikan anak murid kita berkemahiran khususnya dalam membaca sejak peringkat awal mula persekolahan. Sebenarnya memang betul dan kita para ibu bapa patutnya memulakannya lebih dari awal di rumah, tidak hanya mengharapkan usaha pihak sekolah.

Berdasarkan pembacaan buku serta nasihat ustaz masa sekitar 1980an dulu, sering diperkatakan bahawa kita kena banyakkan mengaji al-Quran atau membaca ayat dari surah-surah tertentu, khususnya oleh wanita yang mengandung. Maknanya usaha ketika peringkat mengandung lagi dalam usaha untuk melahirkan anak yang soleh dan cerdik pandai. Rasanya perkara ini pun masih sering diperkatakan pada hari ini.

Semasa ibu mengandung, digalakkan membaca Surah Luqman dengan harapan anak yang dikandung menjadi yang cerdik akal dan jiwa. Baca Surah Yusuf, supaya anak yang lahir menjadi cantek rupa paras dan cantek ahlaknya. Membaca surah Maryam agar mudah bersalin. Memang isteri saya sering mengamalkannya. Kita sebagai orang Islam pun memang digalakkan atau kena baca al-Quran setiap hari, sekurangnya-kurangnya beroleh pahala dengan membaca al-Quran.

Sekarang disebutkan pula banyak ayat-ayat lain seperti surah Al Fatihah untuk terang hati dan kuat ingatan. Surah Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak yang bersifat berhati-hati. Surah Yaasin untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat. Surah At-Taubah Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat Surah An-Nahl Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Seorang Pakar air dari Jepun iaitu Dr Masaru Emoto yang juga dibukukan penemuananya dalam bukunya iaitu The Secret Of Water. Sebut tengang Jepun yang di landa Tsunami baru-baru ini, sungguh dahsyat dan terasa itulah gambarkan hari kiamat nanti. Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh pesekitaran.

Seperti air dalam botol ini, jika persekitarannya baik, diberikan kata-kata yang baik, ia membentuk kristal yang cantik. Jika yang buruk di maki hamun atau didengarkan dengan muzik rock, bentuk kristal molekulnya pun berserabut tidak cantik.

Mungkin tuan-puan pernah mendengar tentang rawatan dan pengubatan Islam Darul Syifa’ Bandar Baru Bangi oleh Ustaz Dato’ Dr Harun Din. Ramai orang datang nak dapatkan rawatan dan kena ambil giliran yang panjang. Di sana mereka hanya membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air yang kemudiannya diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta rawatan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Dengan gabungan kedua cara ini, saya yakin akan ada kebenarannya dan ini bukan sihir. Saya yakin memang ada kesannya.

75% anggota badan kita terdiri daripada air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang yang nampak keras tu pun 25% adalah air. Jika perkataan yang baik pun boleh membentuk struktur air yang baik, inikan pula bacaan Al-Quran. Bacaan tersebut juga akan membentuk dan menghasilkan struktur air yang cantik dan baik mengalir dalam badan kita, membentuk diri sendiri serta anak seawal dalam kandungan lagi.

Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Ataupun jika masa mengandung, asyik dengar lagu dangdut atau hidustan aje, maka jadilah anaknya nanti juga minat dangdut atau hindustan .... agaknya kot ?

Kunci Ilmu adalah membaca. Ayat al-Quran pertama diturunkan. Iqra. In iu menunjukkan kepentingan membaca. Sebagai ibubapa, kita kena beri dorongan kepada anak-anak kita untuk banyak membaca, seawal mungkin. Buku adalah gedung ilmu. Belikan buku-buku atau majalah yang berfaedah serta ikut kemampuan kita. Tidak semestinya yang mahal reganya. Kekadang tu ada jualan murah buku-buku lama, beli sahaja selagi mana kelihatan bersesuaian. Apabila anak-anak suka membaca buku, ia juga akan meluaskan fikiran dan meningkatkan keinginan untuk lebih mengetahui dan kemampuan mereka menulis.

Masa saya sekolah di sini, saya sebenarnya di tempatkan di Rumah Che Sahri sekarang disebelah tu, tinggal bersama arwah datok dan nenek saya. Saya tak pasti kenapa dipisahkan daripada tinggal dengan ibubapa saya masa tu. Mungkin faktor dekat dan pengangkutan, tidak perlu nak hantar ambik setiap hari. Tapi keadaan ini memberi peluang untuk saya banyak membaca dan fokus kepada pelajaran.

Yalah bukan asyik belajar sahaja, ada main juga. YDP pun adalah rakan sepermainan kerana ketika itupun beliau duduk di kawasan Pt Kadir baroh sini. Zaman tu saya sering mengikuti program Radio Pendidikan. Majalah dan bahan bacaan seperti Utusan Pelajar dan Dewan Pelajar memang sering bacaan utama. Banyak juga buku-buku di rumah arwah datuk dan nenek saya dulu. Kini lagi banyak bahan bacaan dalam pasaran, cuma kita kena hati-hati dan pandai memilih mana yang sesuai.

Tadi saya sebutkan bahawa saya banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mungkin macam di Sg Buloh sebab saya yang tua, itu yang terpilih. Tetapi saya menganggap penglibatan ini sebagai suatu amal jariah. Jika kita lakukan dengan baik dan iklas, tentunya orang ramai akan mendoakan kebaikan kita. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, insya’allah akan ada balasan daripada Allah manfaat sama ada kepada diri, keluarga dan anak-anak saya sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai AJK PIBG, Mesyuarat Agung tahunan merupakan masa yang terbaik bagi ibu bapa memberi pandangan, cadangan serta membantu meningkatkan imej dan prestasi sekolah. Bagi para AJK tentunya ini masa untuk menilai sejauh mana usaha yang dilakukan memberikan hasil yang diharapkan dan diterima oleh para ibubapa dan guru.

Janganlah hendaklah dihentam sana dan sini AJK PIBGnya. Bila cerita pasal program selalunya agak senyap. Tapi bila hal kewangan, timbul macam-macam cerita. Malah pernah saya berpengalaman dalam Mesyuarat Agung PIBG, hampir hendak dibatalkan dan diadakan semula kerana laporan kewangannya dikatakan tidak ikut standard perakaunan, tidak betul dan mengelirukan. Maklumlah di kawasan yang dikatakan elit. Mungkin tidak berlaku di sini.

Memang berat tugas AJK PIBG, khususnya kalau melibatkan soal menambah kewangan dan banyak program PIBG hendak adakan. Sekolah sini mungkin agak mudah urusannya sebab tidak ramai pelajarnya, sekitar 200 lebih. Tapi kalau ada 100 keluarga dengan yuran RM10 setahun, baru RM 1,000 setahun. Cukupke untuk aktiviti tahunannya ? Tapi nampaknya sekolah telah ok kemudahan fisikalnya. Hanya perlukan sokongan dan penglibatan ibubapa dan meningkatkan pencapaian muridnya.

Kalau sekolah di tempat saya, yuran PIBG macam-macam hendak digunakan. Itulah untuk buat garage, baiki pagar dan pelbagai kerosakan. Terpaksa PIBG usaha keras cari duit. Banyak aktiviti boleh dilakukan tapi saya tidak pasti sama ada praktikal untuk sekolah ini.

Selalunya kita agak sukar nak menghulurkan derma atau berkorban sedikit wang ringgit untuk kemajuan sekolah anak-anak sendiri. Masih nak mengharapkan jua bantuan kerajaan. Pernah sekolah di tempat saya, macam nak berperang dibahaskan isu nak naikkan yuran PIBG dari RM10 kepada RM20 setahun. Dalam hal sumbangan untuk pendidikan anak-anak, kita kena contohi orang Cina yang sanggup menyumbang dan berkorban mengeluarkan wang ringgit demi pendidikan anak-anak mereka. Sekolah asrama anak-anak saya yuran tahunan PIBGnya tidak kurang RM100.

Harta kita ialah yang sebenarnya ialah yang dapat membantu kita di akhirat nanti. Bukan sebanyak mana tersimpan dalam poket atau simpanan kita. Banyakkan menderma dan bersedeqah kearah kebaikan sebagai saham akhirat kita yang berpanjangan. Duit yang ada dalam poket atau bag tangan kita tu belum tentu milik kita. Entah-entah kejap lagi habis kat kedai beli itu dan ini. Atau buat belanja ngeteh kat warong mana.

Tahniah kepada hadirin hadirat yang dapat hadir pada hari ini. Hadir demi kemajuan sekolah dan pendidikan anak-anak di sini. Mungkin ada yang terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya hari ini nak menyawit atau ke kebun.

Akhir kata, sekali lagi terima kasih atas jemputan untuk saya berucap pada hari ini. Sekiranya dapat dijadikan motivasi atau pendorong kepada semua, ambillah mana yang baik. Harapnya dapat difahami ucapan saya ini. Saya bukannya pandai nak berucap dan berpidato, sekadar berkongsi pengalaman dengan ibu bapa hadirin sekalian. Semoga apa yang saya ucapkan ada manfaatnya, kehadiran saya di sini ada ada kesannya. Maaf atas kekurangan.

Sesamalah kita rasmikan Mesyuarat PIBG SK Pt Kadir Kali ke-37 dengan membaca surah al-Fatehah, yang mana kita sedekahkan pahala bacaannya kepada arwah ibubapa kita serta guru-guru khususnya guru SK Pt Kadir yang telah pergi meninggalkan kita. Al-Fatehah.
Share:

Pesta Belon Udara Panas Putrajaya Ke-3

Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya Ke-3 berlangsung pada 17 - 20 Mac 2011. Walaupun merupakan kali ketiga diadakan, tetapi kali kedua sempat aku kunjungi. Kali pertama tahun lepas. Jika dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini aku lebih eager nak ambil gambar dan dapatkan photo yang memberangsangkan. Bukan nak tahu tentang sejarah serta bagaimana serta belon boleh 'terbang' diangkasa. Jadi aku catatkan dalam dalam blog ini sekadar untuk mengabadikan kenangan sepanjang kunjungan aku ke sana.

Namun hujan yang turun beberapa kali serta kaedaan langit yang mendung nampaknya mengurangkan kerancakan pesta belon kali ini. Tapi orang tetap ramai dan kesesakan berlaku di sekitar tapak pesta, walaupun tidaklah sebanyak gerai seperti pada tahun lepas.

Keadaan langit yang mendung melunturkan harapan mendapatkan photo yang menarik. Ini kerana belon tu macam biasa aje, tetapi pemandangan di belakangnya seperti awan dan langit boleh memberikan photo yang menarik. Seorang Mat Saleh mengalamai kekecewaan setelah dua hari ke pesta kali ini, tapi gagal memdapat photo yang memberangsangkan. Nak buat camana, sudah kuasa Allah.

Pada malam Ahad 19 Mac 2011 kami berkumpul dekat Masjid Besi untuk menyaksikan pula pertunjukan bunga api.

Namun tak banyak bunga api yang dimainkan, tambahan asap yang terhasil sejak dari letusan bunga api pertama menghalang pemandangan bagi menyaksikan bunga api di udara.

Rasanya pesta ini bakal diadakan lagi di Putrajaya pada setiap cuti sekolah pertengahan penggal @ semester pertama. So tunggu pulak pada tahun hadapan nampaknya.

Klik Untuk Lihat Lagi Gambar
Share:

Ke Muzium Kesenian Islam Malaysia

Muzium Kesenian Islam Malaysia terletak bersebelahan dengan Masjid Negara. Ia dikatakan sebagai muzium yang pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara yang dikhususkan bagi kesenian Islam. Muzium ini mula dibuka pada 12 Disember 1998. Yang menariknya bangunan muzium yang bernilai RM 100 juta ini dibina dan diuruskan oleh Yayasan Al-Bukhary, sebuah yayasan yang diterajui oleh jutawan Melayu Islam yang tidak asing lagi iaitu Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bangunan muzium ini direka oleh rakyat Malaysia dan keindahan senibina Islam jelas dilihat menerusi binaan kubahnya. Ilham pembinaannya adalah berikutan kejayaan Pameran Dunia Tamadun Islam yang telah diadakan di Pusat Islam Kuala Lumpur pada tahun 1994, dimana perlunya penubuhan satu pusat pembelajaran dan penyelidikan yang tetap untuk memelihara sejarah, kesenian dan warisan budaya Islam.

Kunjungan aku kali ini bukan yang pertama, pernah lama dahulu aku ke sana. Jika dibandingkan dengan Muzium Negara, mungkin jauh berbeza daripada segi bilangan pengunjungnya. Apakah kerana kurang promosi atau tidak tersenarai dalam senarai muzium di bawah Jabatan Muzium Negara Malaysia. Atau orang tidak minat dengan tema ‘Kesenian Islam’ berbanding dengan tema hantu, keranda seperti yang pernah dilakukan di Muzium Negara. Satu pameran khas bertajuk Al-‘Ilm : Sains Dan Inovasi Dalam Islam sedang berlangsung bermula 25 Februari hingga 29 Mei 2011. Pameran tersebut sepatutnya dirasmikan oleh PM, tetapi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menggantikannya.

Galeri Senibina
Sebaik mendapatkan tiket masuk ( RM 12 dewasa dan pelajar serta kanak-kanak RM6 ) , naik lift untuk ke Galeri Senibina. Di sini terdapat pelbagai model senibina beberapa bangunan yang mempunyai signifikannya dengan tamaddun serta senibina Islam.

Senibina binaan mengambarkan bagaimana penzahiran identiti budaya Islam. Ini antara yang awal dapat dilihat dalam sejarah Antaranya, Masjidil Haram, Taj Mahal dan masjid di sekitar Iran dan Cina.


Sukarnya Memelihara Naskah Al-Quran
Daripada pelbagai bentuk dan jenis naskah dipamerkan, nampaknya macam sukar aje memelihara naskah Al-Quran, sejak zaman Rasulullah s.a.w. Tidak hairanlah kalau ada pehak serta orientalis yang mempertikaikan kesahihan Al-Quran. Bagi mereka, tak mungkin tidak berlaku kesilapan dalam penyusunannya.

Memanglah kalau dibandingkan dengan teknologi masa kini, naskah Al-Quran mudah dikumpul dan diterbitkan dalam pelbagai bentuk. Yang berbeza adalah perubahan teknologi, namun sebagai seorang Islam, keyakinan tinggi bahawa dalam apa keadaan sekalipun Allah s.w.t sentiasa memeliharanya.


Bagaimana Islam Sampai Ke Malaysia ?
Di sudut galeri Dunia Melayu, pelbagai manuskrip serta Al-Quran tulisan tangan dengan pelbagai saiz dipaparkan. Ada al-Quran yang hanya boleh dibaca dengan kanta pembesar. Persoalannya mengapa al-Quran bersaiz kecil dibuat. Bukankan payah nak membaca atau menyemak tulisannya.

Al-Quran bersais kecil dikatakan untuk memudahkan ianya dibawa kemana-mana serta menjadi pelindung daripada godaan syaitan khususnya. Persoalan timbul bagaimana Islam boleh sampai dan mula bertapak di Malayisa suatu ketika dahulu ?

Galeri China
Bagi sudut galeri Cina, kesenian Islam banyak diabadikan dalam pinggang, mangkuk, pedang, kendi etc. Cantik-cantik nampaknya, tapi tentunya susah dan memakan masa yang lama untuk menghasilkannya. Apakah pinggan mangkuk tersebut sebagai hiasan atau digunakan untuk menjamu selera ? Alangkah ‘berkatnya’ makanan tersebut.

Berbanding dengan negara kita, memang Islam lebih awal sampai ke Negara China. Banyak juga naskah Al-Quran tulisan tangan dari negara tersebut dipamerkan. Tulisan kaligraf arab dianggap sebagai elemen seni Islam yang penting dan cepat berkembang bersama dengan perkembangan Islam. Pengaruh Islam dalam tulisan kaligraf Cina begitu ketara. Beberapa skrol berkaitan dipamerkan.

Apakah Kesenian Islam ?
Mengunjungi muzium ini membuka minda yang membawa kepada persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan Kesenian Islam ? Ini kerana muzium ini dikatakan memuatkan sehingga 7 ribu artifak dari seluruh dunia termasuk contoh kerja logam dan seramik Islam. Kalau konsert atau malam kesenian, tentunya dipersembahkan tarian dan nyanyian.

Untuk mengetahui jawapannya, dipamerkan takrifan yang berkaitan iaitu Asal-usul Dan Latar Belakang Kesenian Islam. Tapi aku macam rasa yang lebih sesuai muzium ini dijadikan Muzium Tamaddun Islam.

Al-‘Ilm : Sains Dan Inovasi Dalam Islam
Galeri Khas Al-Ilm mempamerkan betapa inovasi yang pernah dipelopori oleh cendikiawan Islam dahulu telah memberikan pengaruh dan sumbangan sehingga kepada dunia modern kini. Mereka menggunakan pemerhatian dan ujikaji mereka sendiri dalam menjawab segala persoalan tentang dunia sekitar.

Pemerintah Islam ketika itu menjadi pengalak kepada inovasi umat Islam, sama ada dengan mewujudkan perpustakaan, pembinaan balai cerap dan institusi pendidikan. Banyak didedahkan pencapaian inovator Islam dahulu kala dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, pertanian dan senibina.

Cenderahati
Memang menarik. Dua jam di sana rasanya macam tidak cukup hendak menyelami keseluruhan pameran yang menghimpunkan kesenian Islam dari seluruh dunia.

Untuk mengabadikan kenang-kenangan, selain ruang makan disediakan juga kedai yang menjual buku serta cenderahati yang berkaitan dengan apa yang dipamerkan. Reganya dari serendah RM5 sehingga berpuloh ribu RM. Berkunjunglah ke muzium ini, banyak manfaatnya
Share:

Keutamaan Azan Yang Tidak Diendahkan

Pada cuti sekolah yang lalu, aku singgah dan menginap di salah sebuah hotel di Bandar Chukai. Ketika hendak check-in, kedengaran suara azan. Lantas aku teringat berita yang tersiar di sebuah akhbar beberapa bulan lalu, Masjid Jamek Chukai terpaksa menggunakan telivesyen untuk memperdengarkan azan pada setiap kali masuk waktu solat fardhu. Ini dilakukan memandangkan ketiadaan bilal bagi menggantikan bilal yang telah bersara sejak tiga tahun lalu. Tapi tak dapat hendak ku bezakan, azan yang aku dengar ini, live atau dari siaran TV.

Sekali mendengar kisah ini, menggelengkan kepala juga. Apa taknya, berlaku di sebuah Negeri Darul Iman, saban tahun mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam UPSR, PMR dan SPM, sering mewar-warkan visi melahirkan generasi ulul albab. Majoriti penduduknya beragama Islam pulak tu.

Mungkin ada sebab teknikal lain yang mengakibatkan berlakunya perkara ini, sehingga belum ada pengganti bilal. Apakah bilal tetap yang hendak dilantik mesti ahli parti pemerintah negeri ? Tiada calonkahdari parti pemerintah ? Sejauhmana merit politik diambil kira ? Atau imbuhan bulanannya tidak menarik. Atau bilik atau Sistem PA untuk melaungkan azan berkunci atau terlalu canggih sehingga menyukarkan sesiapa yang volunteer nak melaungkan azan ? Mungkin ada yang boleh azan, tapi merendahkan diri mengatakan suara tak bagus, tak sedap atau tidak lantang.

Profession muazzin dalam masyarakat kita dipandang agak tinggi, seperti Imam, Ketua Kampung dan Penghulu. Namun profession ini mendapat nilaian yang rendah daripada segi imbuhan yang diterimanya sama ada sebagai Bilal Tetap, apa tah lagi bilal sambilan atau volunteer. Maklumlah, semua orang boleh melaungkan azan. Kalau tidak azan pun ekonomi dan keselamatan negara tidak tergugat. Kedudukan parti pemerintah pun tidak tergugat. Tidak semestinya pula ada Ijazah atau diploma untuk melayakkan seseorang melaungkan azan.

Keutamaan Azan
Dari Al-Barra’ bin ‘Azib r.a bahwasanya Nabi s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya akan bershalawat untuk orang-orang yang berada di shaf yang terdepan. Muazzin akan diampuni dosanya sepanjang suaranya, dan dia akan dibenarkan oleh segala sesuatu yang mendengarkannya, baik benda basah maupun benda kering, dan dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang-orang yang solat bersamanya”. ( H.R. An-Nasai dan Ahmad )

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Seorang imam adalah penjamin ( pelaksanaan shalat ) dan muazzin adalah orang yang diberikan kepercayaan untuk menjaganya. Ya Allah tunjukilah para imam dan berilah ampunan untuk para muazzin.” ( H.R. Abu Daud dan Tirmizi )

Dari Muawiah bin Abi Sufyan r.a berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Orang-orang yang azan (muazzin) adalah orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.” ( H.R. Muslim ) Maksudnya ketika manusia sudah berdesak-desakan dan ketika keringat-keringat manusia sudah membanjiri mereka, bahkan ada yang keringatnya setinggi mulutnya, muazzin selamat dari semua itu karena lehernya yang panjang.

Dari Abu Hurairah r.a bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda : ‘Kalau seandainya manusia mengetahui besarnya pahala yang ada pada panggilan (azan) dan shaf pertama kemudian mereka tidak bisa mendapatkannya kecuali dengan undian maka pasti mereka akan mengundinya. Dan kalaulah mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan karena bersegera menuju solat maka mereka pasti akan berlomba-lomba ( untuk menghadirinya ). Dan kalaulah seandainya mereka mengetahui besarnya pahala yang akan didapatkan dengan mengerjakan solat isya dan subuh, maka pasti mereka akan mendatanginya meskipun harus dengan merangkak.’ ( H.R Al-Bukhari dan Muslim )

Dari Ibnu Amru bin Al-‘As r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tukang azan yang melaungkan azan secara sukarela adalah seperti seorang syahid yang berlumuran darah, jika dia meninggal dunia, matinya tidak berulat di dalam kubur’. ( H.R Al-Imam At-Thabrani)

Terasa begitu besar ganjaran yang dijanjikan oleh Allah di akhirat nanti. Apakah lantaran ganjaran begitu besar di sana, maka tidak perlulah diberikan ganjaran yang besar juga di dunia ini ? Bayangkan kalau Allah janjikan juga ganjaran secara cash berbentuk $RM di dunia ini, tentunya berebut semua orang nak berazan di surau atau masjid.

Berdasarkan pengajaran Hadith diatas dapat disimpulkan, tanggungjawab mengazankan bukanlah terletak dibahu muazin(bilal) semata-mata, sesiapapun boleh mengambil peluang untuk melaungkan azan apabila telah masuk waktunya. Sebagai ahli kariah rebutlah peluang ini sementara kita masih hidup, jika muazin atau bilal terlewat melaungkan azan, eloklah kita kedepan untuk melaungkan azan. Insya Allah semoga kita tergolong di dalam golongan sebagaimana di atas.

Fungsi Azan
Azan dilaungkan sebagai tanda telah masuk waktu solat. Azan juga sebagi pemberitahu tempat untuk solat berjemaah. Yang pentingnya azan sebagai menzahirkan tanda Islam dan Kalimah Tauhid. Bayangkan di suatu tempat, tiada azan dilaungkan ketika masuk waktu solat, timbul pertanyaan. Tiada orang Islamkah di sini, tiada masjid or suraukah di sini ?

Selain daripada itu, laungan azan mempunyai banyak kelebihan lain, antaranya ialah laungan azan itu dapat mengusir syaitan sebagaimana disebutkan dalam hadis Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Apabila azan dikumandangkan maka syaitan akan lari sambil kentut hingga dia tidak mendengarkan azan lagi. Ketika azan sudah selesai maka dia kembali lagi. Ketika qamat dikumandangkan untuk solat dia kembali pergi, ketika qamat sudah selesai dia kembali lagi hingga dia boleh mengganggu hati orang yang solat. Dia mengatakan, ‘Ingatlah ini, ingatlah itu,’ yang mana hal tersebut tidak teringat olehnya sebelum solat. Sehingga akhirnya seseorang tidak menyadari lagi sudah berapa raka’atkah solatnya.’ ( H.R. Al-Bukhari dan Muslim )

Azan juga boleh digunakan untuk mengubati orang yang sedang dalam kerasukan dan menghindarkan mereka daripada kejahatan jin.

Sunat mengazankan orang yang buruk sifatnya sama ada daripada manusia atau binatang dan orang yang resah gelisah kerana azan itu boleh menghilangkan keresahan itu. S

Sunat melaungkan azan ketika menghadapi kebakaran atau untuk orang yang hendak musafir atau untuk bayi yang baru lahir supaya anak itu tidak akan diganggu oleh Ummu Syibbyan iaitu daripada kalangan jin.

Waktu di antara azan dan iqamah merupakan di antara saat-saat mustajab di mana doa diperkenankan oleh Allah s.w.t. Oleh kerana itu kita disunatkan untuk berdoa pada ketika itu seperti memohon selamat daripada musibah dan penyakit sebagaimana hadis dari Annas bin Malik katanya : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : Doa tidak ditolak antara azan dan iqamah. Mereka berkata : Apakah yang kami katakan wahai Rasulullah ? Baginda bersabda : 'Kamu memohon kepada Allah afiat ( keselamatan ) di dunia dan di akhirat'. ( H.R. Al-Imam At-Termidzi )


Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.