Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Menyelami Sedekad Tsunami @ Aceh : Day 1 - 25/12/14

Keinginan ku untuk ke Aceh, Indonesia didorongi untuk melihat sendiri kesan tsunami yang telah melanda pada 26 Disember 2004. Tidak dinafikan tsunami melanda banyak negara tetapi kesan di Aceh berdasarkan media elektronik, banyak keistimewaannya. Lagipun bukanj auh sangat dengan Kuala Lumpur.

Kebetulan 2014 merupakan ulang tahun ke-10 atau sedekat tsunami. Mei 2014 lagi aku dah book flight untuk ke Banda Aceh. Berbantukan kenalan di pejabat, aku dapat travel agent yang boleh menguruskan perjalananku di Banda Aceh yang dikira berpatutan harganya.

Maka pada tengahari 25hb Disember 2014, aku bersama isteri dan anak sulongku bertolak ke Aceh. Masa penerbangan pergi dan balik sebenarnya telah ditukar beberapa kali oleh pihak Air Asia. Terpaksa akurlah, asalkan tidak tukar tarikh. Memang tidak banyak flight ke Aceh. AirAsia hanya satu penerbangan sehari. Firefly menawarkan penerbangan ke Aceh dari Penang.

Ketibaan
Kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda pada jam 1.45tengahari. Waktu Aceh lewat sejam berbanding Kuala Lumpur. Senibina luaran lapangan terbangnya agak cantik dan rupanya baru sahaja di siapkan bagi meningkatkan hubungan Aceh dengan dunia luar termasuk industri pelancongan. Aku kira saiznya lebih kurang sebesar Airport Langkawi sahaja.

Di luar balai ketibaan, telah menunggu pemandu pelancongku (PP), namanya Tuanku Ihsan Munawar empunya Sahabat Packer Tour & Travel. Kami menaikki Avanza dan terus menuju Banda Aceh yang terletak kira-kira 25km dari airport.

Ketika itu hujan turun renyai-renyai. PPku kata sudah seminggu hujan, malah di tempat tertentu dilanda banjir. Aku mulai bimbang ianya boleh mengganggu kelancaran kunjunganku.

Perkuburan Masal Siron
Terletak di tepi jalan menuju Banda Aceh. Menurut PPku, bukan semua Banda Aceh binasa oleh tsunami. Air sampai kekira sehingga 5-6 kilometer dari pantai. Tanah perkuburan ini tidak terkena dan menjadi kawasan yang terbesar dimana kira-kira 47ribu jenazah tsunami di kebumikan di sini dalam tiga lapisan. Masal bermaksud, beramai-ramai.

Sejurus selepas tsunami, mayat bergelimpangan di sana sini tanpa dituntut oleh sesiapa. Nak tuntut macamana, sedara mara waris pun agaknya turut terkorban sama. Mau tak mau, bagi mengelakkan penyakit, keputusan dibuat menguburkannya secara beramai-ramai di sini. cadangan untuk membakar, dibantah para alim ulama.

Asalnya merupakan padang bola dengan seluas 2 hektar. Tiada batu nisan, kecuali beberapa batu tanda, mungkin sebagai hiasan. Beberapa tugu peringatan turut dibina di kawasan perkuburan ini.

Menurut PPku, pada peringkat awal banyak kejadian misteri di kawasan ini seperti ‘orang’ menahan kereta yang lalu lalang, katanya nak balik rumah. Juga dikatakan wanita yang berkeliaran mendukung anaknya di tangan kiri dan kanannya pada waktu malam.

Lunch Dengan Masakan Ayam Tangkap
Perut dah mula terasa lapar. PPku bawa singgah makan tengahari di sebuah restoren tepi jalan. Sebenarnya macam makan nasi padang, nasi dengan pelbagai lauk-lauk dalam pinggan disediakan atas meja. Tetapi satu daripada juadahnya tu dinamakan ayam tangkap.

Ayam Tangkap adalah masakan khas Aceh yang terbuat dari ayam yang digoreng dengan rempahh khas. Ia diperap dengan bahan seperti bawang putih, lada dan garam kekira 10 minit, kemudian digoreng bersama rempah dedaun seperti daun kari dan daun pandan. Dedaun itu pula yang kemudian menutupi sajian ayam goreng tadi di atas piring.

Di beberapa tempat, masakan ini dipanggil juga dengan ayam tsunami kerana masakan ini biasanya disajikan dengan ditebarkan bertaburan dalam pinggan seperti setelah bencana tsunami.

Masjid Raya Al-Makmur @ Masjid Oman
Seterusnya kami singgah untuk solat jamak Asar dan Zuhur di Masjid Raya Al Makmur. Semasa tsunami, masjid ini mengalami kerosakan yang teruk. Ramai beranggapan masjid itu tidak sesuai lagi untuk digunakan.

Namun pembaikan masjid dilakukan antara 2006 hingga 2008 dengan mendapat biayai daripada kerajaan Oman sehingga kelihatan cantik, gah dan semakin dikenali. Lantaran itu dipanggil juga Masjid Oman.

Memang cantik binaan dalamannya. Bersih dan kelihatan baru. Tempatnya yang strategik ditepi jalan, tidak hairanlah ramai yang singgah solat di sini.

Khabarnya ketika solat Jumaat, tidak mampu menampung jemah sehingga melimpah keluar.

Hotel Penginapan - Hotel Medan
Hotel ini dipilih oleh PPku. Tengok kat internet, agak esklusif pulak. Sesampai saje kelihatan baner sambutan 10 tahun tsunami terpampang macam tahu-tahu saja tujuan kedatangan kami dan meraikan kedatangan kami.

Malahan di lobinya terpampang sebuah foto yang memaparkan sebuah kapal besar yang terdampar tepat di depan hotel ketika tsunami terjadi.

Kiranya hotel ini terselamat daripada kerosakan, runtuhan atau keadaan yang lebih teruk berbanding sekiranya dirempuh kapal tersebut.

Kapal tersebut kemudiannya dituntut dan dibawa keluar oleh empunya kapal.

Bilik VVIP yang kami sewa memang besar dan bersih. Tengok publish rate ialah Rp460,000 semalam atau kekira RM140 sahaja. Lengkap kemudahan, cuma kena kongsi sterika untuk seluruh hotel. Tak patut betul.

Rehat-Rehat
Selepas check-in kami berehat di bilik. Janji untuk keluar makan malam lepas solat maghrib. Tapi aku ambil kesempatan ronda lihat apa yang ada di hadapan hotel penginapan kami. Hujan renyai ketika itu.

Wah, banyak kedai-kedai berhadapan hotel penginapan. Ini termasuklah kedai runcit, gerai makanan, barangan souvenir serta beg dan kasut. Kawasan gerai penjualan makanan itu dipanggil Rex, yang dibuka sehingga larut malam.

Makan Malam - Sate Matang
Terletak dekat aje dengan hotel, sebelahan dengan gerai Rex. Sate dibakar di hadapan kedai yang dibuka mulai sebelah petang sahaja. KUAT ASAPNYA, Habis baju kami berbau asap.

Apa yang menariknya sate ini ? Matang bukan bermakna masak dalam bahasa Jawa. Tetapi kerana awal mulanya diperkenalkan di bandar bernama Matang dan awal 1990an baru popular di Aceh.

Sate biasa aje, ada kambing lembu dan ayam. Tapi kecil-kecik sangat saiznya. Cuma acara hidangan agak pelik sikit ada pelbagai kuah dan bebawang. Nasi pulak bukan nasi impit, tetapi nasi biasa aje.

Tambahan di kedai yang kami kunjungi, kerusinya jenis yang menyandar. Rasa tak sesuai makan kemudian menyandar. Kalau nak banding dengan Sate Hj Samuri, rasanya sate kita lagi sedap dan besar saiznya.

Sedikit tentang PPku
Sambil makan baru aku tahun PPku ini rupanya pernah belajar dalam bidang Sains Komputer UKM, tetapi kini lebih memilih bidang pelancongan. jauh berbeza. Masih bujang dan merupakan anak bungsu dari 3 orang adik beradik.

Kebetulan orang sebelah mejaku mempunyai sedara yang masih belajar di Malaysia, mereka menegur PPku. Bahasa utama pertuturan di Aceh ialah bahasa Aceh. Mendengarkannya, sepatah haram pun tak faham berbanding dengan bahasa Indonesia. Beribu bahasa dipertuturkan di Indonesia, pening tentunya. Bagus dia, petah bercakap BM, banyak informasi diberikan dan buat perbandingan dengan kita di Malaysia.

Zikir Memperingati 10 Tahun Tsunami
Selesai makan malam, terus ke Masjid Baitur Rahman di Kota Banda Aceh. Azan Isyak sedang berkumandang. Dekat sahaja tetapi terpaksa meredah kesesakan orang ramai, ditambah hujan renyai. Tiba orang dan mulai solat, tetapi aku telah jamak tadi. Selesai solat aku bersama hadirin lain terus menerjah masuk mencari ruang di celahan saf. Penuh sesak ruang dalam masjid.

Majlis dimulai dengan ucapan dari Gabenur Aceh, Zaini Abdullah. Dalam ucapannya beliau menyeru agar umat Islam Aceh terus kembali berpegang dengan prinsip dan syariah Islam. Baginya tsunami adalah tazkirah dari Allah untuk dunia. Aceh perlu bangkit untuk menjadi Negara Baldatun Tayibatun Warabbur Gaffur.

Ini diikuti dengan gimik penyerahan bantuan kepada anak yatim mangsa tsunami dan seterusnya tazkirah atau tausiyah oleh Syaikh Ali Jabir, seorang penceramah yang tersohor ketika ini di Indonesia. Beliau berasal dari Madinah dan telah lebih 4 tahun ditugaskan khas oleh kerajaan Indonesia untuk berdakwah di Indonesia. Bahasa Indonesianya fasih sekali. Kebetulan semasa di Madinah lagi beliau telah berkahwin dengan orang Lombok Indonesia.

Syaikh Ali Jabir menyeru agar orang Aceh tidak lupa sejarah Aceh. Melalui Aceh, Indonesia bisa bangkit, tidak lagi terus bersedihan dan menjadi cahaya Islam untuk dunia. Aceh perlu melahirkan ramai ulama, huffaz dan cendikiawan Islam. Pesannya juga agar tidak sekali meninggalkan solat.

Zikir akbar dan doa bersama peringatan 10 Tahun Tsunami Aceh ini dipimpin Syaikh Ali Jaber. Ingatan aku asalnya zikir tu ala-ala selawat ya hanana.

Namun tersentuh dengan doa yang disampaikan. Kedengaran ramai yang teresak-esak.
Share:

Hari Keluarga Maklimah 2014

Bertempat di sekitar Negeri Melaka, aku serta keluarga adik beradikku telah berjaya mengadakan Hari Keluarga buat kali ke tiga, yang dinamakan Hari Keluarga Maklimah 2014. Ia berlangsung mulai 12 – 14 Disember 2014. Sebelum ini kami telah mengadakan yang pertama di Terengganu dan Kelantan pada Jun 2010, diikuti di Pulau Langkawi pada Disember 2012.

Kami menginap di Homestay Taman Bertam Jaya, sebuah perumahan yang agak baru di Melaka. Sebenarnya pada awalnya kami dapat book di sebuah Bunglow di Afamosa Melaka lengkap dengan kolam renang private sekali. Tetapi last minute, mereka kata tersilap berikan harga, instead of RM850 untuk dua malam, yang sebenarnya ialah RM850 semalam. Gilosss

Namun Alhamdulillah, homestay yang menjadi pengganti tidak mengecewakan. Luas, bersih dan cukup untuk menampung kami semua tidur dan menjalankan aktiviti yang sewajarnya di rumah. Yang penting kami dapat berkumpul bersama dalam keadaan yang selesa.

Hari Pertama
Hari pertama kami isikan dengan tahlil setelah solat jemaah Maghrib, yang diikuti dengan barbeque serta tazkirah daripada Ustaz Shahriman. Bahan untuk barbeque memasing bawa dan sediakan kemudiaan di masak bersama.

Al-Ustaz, seorang guru takmir yang berasal dari Besut Terengganu telah menjelaskan mengenai matlamat kehidupan kita di dunia serta selepas kematian nanti. Buat pertama kalinya dalam hari keluarga kami adakan sesi tazkirah ini, walaupun cuma sekitar 30minit sahaja.

Ini diikuti dengan upacara potong kek Hari Lahir Aqila, acara surprise iaitu kuiz kanak-kanak serta game untuk pasangan suami isteri. Nampaknya majlis berjalan dengan lancar, semunya sporting dan riang ria sekali.

Cuma kesian dengan Aqeel atau Mr Noisy ( sebab sering pakai t-shirt dengan tulisan Mr Noisy ) . Katanya soalan kuiznya susah-susah, cikgu pun tak ajar lagi. Huhu …

Hari Kedua
Sebaik sarapan dengan juadah yang di bawa dan dimasak, kami ke Pusat Bowling MITC untuk pertandingan bowling. Sebahagian besar antara kami, buat pertama kalinya dapat bermain bowling.

Acara berlangsung dengan meriah sekali dan riuh rendah sekali. Maklumlah semuanya main bersemangat sekali. Kalau sebelum ini asyik tengok orang main kat TV, sekarang baru tahu susah atau payahnya.

Nur Aqila juara longkag, tapi ayahnya Juara Kategori lelaki. Patut pun memang sebab seminggu sebelum itu, mereka dah turun berlatih. Haha … Nampaknya semua happy. Mungkin untuk hari keluarga akan datang boleh buat lagi game ini.

Kemudian makan tengahari di Restoren Dima ( makanan Arab ) yang terletak di MITC juga. Mungkin sebab lapar, makanan yang dihidangkan terasa macam tak cukup.

Kemudian kami solat zuhor di Masjid MITC dan diikuti dengan lawatan ke Planetarium MITC. Rasa macam tak berbaloi dengan rega tiket berbanding bahan pamerannya. Tetapi nasib baik ada tayangan video.

Mungkin kerana sudah mengantuk atau kekenyangan disertai dengan hawa dingin dalam auditorium, ramai yang tertidur semasa tayangan diadakan.

Kemudian kami ke Muzium Lebah yang teretak di Ayer Keroh. Menarik muzium ini, walaupun dikendalikan operasinya oleh swasta, sangat berinformasi, dapat rasa pelbagai jenis madu.

Tetapi padanlah dengan rega madu yang dijual, agal mahal sikit. Maklumlah nak tamping kos operasi muzium

Kemudian kami menuju ke Bandar Hilir untuk lawatan tempat menarik di sekitarnya. Nasib kami kurang baik kerana sudahlah cuti sekolah, hujung minggu lagi maka sesaklah banda Hilir. Berpusing-pusing banyaka masa terbuang untuk dapatkan parking.

Akibatnya hari semakin gelap dan tidak banyak tempat sempat kami lawati. Memang orang ramai betul ketika itu. Mungkin lain kalilah kalau nak melawat tempat menarik sekitar Bandar Hilir.

Lepas makan malam di sebuah restoren, kami pun pulang dalam keadaan yang agak keletihan. Mungkin untuk next hari keluarga, elakkan dari menempuh kesesakan seperti di Banda Hilir tadi.

Hari Ketiga
Pepagi kami bertolak ke Pantai Tanjung Bidara untuk perkelahan keluarga. Perjalanan hanya kekira 25minit sahaja. Sebab datang awal, nampaknya dapat tempat parking yang mudah dan booking satu wakaf yang disediakan.

Sesambil bersarapan, mana yang sudah tidak sabar, mulalah terjun dan bermain di pantai. Nampaknya bagi kanak-kanak, ialah saat yang ditunggu-tunggu. Pantainya agak cetek, bersih dan tiada ombak yanag kuat kira sesuai untuk perkelahan kami.

Seterusnya sukaneka yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kanak-kanak dan dewasa. Acara berlangsung dengan meriah diselang selitkan dengan gelak ketawa melihatkan gelagat peserta sukaneka.

Selepas sukaneka, sambung mandi lagi. Nampaknya sukar nak berhenti mandi, masing-masing keseronokan berkelaah bersama keluarga. Sebalik berkelah, kami kembali bergegas semula ke Homestay kerana sudah time untuk check-out.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang sukaneka serta cenderahati. Tidak sempat nak bermesyuarat sebagaimana dilakukan dalam dua Hari keluarga sebelum ini. Tak mengapalah.

Selepas bersurai, ada yang kembali semula semula jalan-jalan ke Banda Hilir dan ada yang balik. Harapnya semuanya berpuas hati dan jumpa lagi pada Hari Keluarga Maklimah 2016, insyaallah
Share:

28 Oktober 2014 : D-Day Untuk PR

Kalau di Putrajaya, seluruh pendokong PR diminta berhimpun di Mahkamah Persekutuan bagi memberikan apa yang dikatakan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ) yang berdepan dengan keputusan rayuan kes Liwat IInya. Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kepada DSAI atas pertuduhan itu. Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos lepas 2014 menetapkan 28 dan 29 Oktober untuk mendengar rayuan terakhir DSAI berhubung kes Liwat IInya.

Manakala di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pula, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ( TGAHA ) akan hadir pada perbicaraan kes saman fitnah oleh calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin ekoran pertanding tiga penjuru anatara PAS-UMNO-PKR dalam PRU13 lalu di Dun Bukit Besi. Apakah implikasi keputusan kedua-dua perbicaraan tersebut ? Sebab itu aku kata bahawa 28 Oktober 2014 mungkin boleh dianggap sebagai D-Day Untuk Pakatan Rakyat.

Sejak krisis MB Selangor ciptaan PKR yang bermula dengan Langkah Kajang yang sumbang itu, PAS sering dilihat sebagai yang bersalah. PKR dilihat semakin intim dengan DAP tetapi renggang dengan PAS. Malah kekalahan PAS di PRK DUN Pengkalan Kubor pun, bukan sekadar PAS dipersalahkan tetapi terpaksa bergerak tanpa sokongan padu gabungan PR yang lain. Bukan di Pengkalan Kubor sahaja, malah di Teluk Intan pun PAS dipersalah kerana kekalahan DAP dan kurangnya majoriti di Limau Manis yang dimenangi PAS.

Kelihatannya segala kesungguhan, usaha dan pergorbanan PAS tidak begitu dihargai sehingga mendabik dada, dikatakan PR boleh boleh terus berjuang ke Putrajaya tanpa PAS. Tetapi dalam masa yang sama mereka mengingatkan bahawa PAS bukan sahaja akan kalah di DUN dan Parlimen yang kini dimenangi, malah tidak akan dapat mengekalkan Kelantan sekiranya meninggalkan PR.

Bagi menyaingi BN, pakatan PAS-DAP-PKR perlu diteruskan. Jika PAS keluar daripada PR, cita-cita mewujudkan pembangkang yang kuat atau kerajaan alternatif hanya tinggal angan-angan saja. BN dengan parti komponennya tentu bergembira sekiranya PR perpecah dan bertelagah sesama sendiri.

Malah jarum ini yang sedang dicucuk kepada PAS dengan mengatakan PAS akan lebih dihormati sekiranya keluar daripada PR. PAS telah terpesong perjuangan dan kini diperalatkan oleh DAP serta PKR. PAS juga dilihat tidak dominan dan sering ditenggelami atau mengikut rentak PKR dan DAP. Sedikit kesilapan PAS dilihat tidak mencerminkan watak keislaman dan keperibadian Muslim. Kedudukan PAS dalam gabungan PR kini dilihat menjadi semakin genting. Selain ada suara yang mahu PAS keluar daripada PR, wujud PASMA untuk memastikan PAS kekal dalam PR.

Aku berkeyakinan bahawa DSAI akan gagal dalam rayuannya dan akan kekal bersalah. Ini dapat dilihat setelah kegagalan DSAI dalam mengenepikan Peguam UMNO, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam mengetuai pasukan pendakwa. Seandainya DSAI gagal dalam rayuannya, beliau akan dipenjarakan selama 5 tahun. Mungkin sehingga 2019 sedangkan PRU14 sekitar 2017 atau 2018.

Apakah nasib dan masa depan PR ? Sejauhmana PR akan bangkit ? Sajauh mana PM sekarang akan terpalit sama dengan apa yang mungkin dianggap dosa atau kezaliman pemerintah sekarang walaupun kesnya bermula dari kempimpinan PM sebelum ini ? Mungkin sama seperti episode semasa beliau dipenjara selama 6 tahun dulu.

Bermula dengan siapa akan jadi Ketua Pembangkang di Parlimen ? PKR dan DAP tentunya menolak TGAHA sebagai Ketua Pembangkang. Datin Seri Wan Azizah bukan lagi Ahli Parlimen. So Lim Kit Siang ( LKS ) ? Jika dalam PRU14 nanti LKS menang dan PR menguasai parlimen, makanya LKS jadi PM ? Apakah suasana ini dipersetujui PAS ?

Keadaan mungkin bertambah parah sekiranya TGAHA juga tewas dengan kes saman calonPKR ke atasnya. Dibimbangi dendam dan kebencian pengikut PAS ke atas PKR semakin menebal. Maka semakin rengganglah PAS dengan PKR atau PR. Alang-alang kalah, biar semuanya kalah. Alang-alang PAS kehilangan apa yang diperolehi, biarlah yang lain pun hilang juga. Boleh begitu ?
Share:

Jijiknya Penganjuran Program Sentuh Anjing

Dah berlangsung baru nak heboh, baru nak kecoh. Kenapa tidak dihalang atau diheboh-hebohkan sebelum ianya berlaku. Apakah kerana tidak tahu atau tidak pasti bagaimana ianya berlaku ? Pejabat agama atau pihak berkuasa walaupun membenarnya ianya dilaksanakan, kenalah sensitive dan menghantar orang untuk memantau dan mengawal kerana ianya tidak pernah dilakukan di negara ini? Namun nasi telah menjadi bubur, pejabat agama juga antara yang dipersalahkan. Dah kecoh baru nak memanggil semula penganjur serta ustaz penceramah untuk berikan keterangan.

Geram melihatkan beberapa gambar keriangan peserta membelai pelbagai sepsis anjing menerusi internet dan media social di Program 'I Want To Touch A Dog' yang berlangsung pada19 Oktober 2014 di Central Park, One Utama. Meluat pun ada, terasa nak beri penumbuk sebijik pun ada.

Siapa penganjur, apa latar belakangnya ? Dari mana dia boleh mendapatkan anjing-anjing untuk dibelai oleh pengunjung. Sang pengunjung yang khabarnya 50% yang berugama Islam pulak-pulak bengong, takde otak atau ada ulat dalam otaknya, kata Tuan Guru Dato’ Bekas MB Kelantan. Malangnya ada pulak ‘ulama’ yang membela penganjuran program tersebut. Malah kita pulak dikatakan berlebihan emosional, melenting dan keras mengutuk serta kureng berhemah.

Apakah niat penganjur ? Betulke untuk menunjukkan sikap dan pendirian Islam tentang anjing sebagai satu satu mahluk Allah yang perlu di ‘muliakan, bagaimana diharuskan memeliharanya serta mengendalikan dan menyamaknya ? Jika betul mengapa sehingga menjadi program membelai manja anjing yang sudah tentu ( atau mengatakan tidak sangka pulak ) mencipta satu bentuk provokasi kepada masyarakat Melayu Islam negara ini.

Apakah itu saja caranya bagi membantu orang ramai terutama masyarakat Islam, mengatasi rasa takut kepada anjing ? Apakah penganjur berani membuat permohonan maaf secara terbuka tetakala mereka sudah memperolehi banyak sokongan dan simpati daripada ’ilmuan islam’ sendiri serta ahli politik Muslim. Antaranya MP Lembah Pantai yang makin hari makin hilang respect aku terhadapnya, terutama sejak dia minta cerai dari suaminya.

Katanya, program itu juga dianjurkan bagi menerangkan kaedah yang mengharuskan umat Islam menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, memegang dan mengendalikan anjing serta cara menyamaknya

Para ‘pembela’ pula cuba mengalihkan pandangan dengah mengarahkan kepada isu-isu lain yang dikatakan jauh lebih baik dianjurkan seperti kempen sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, berlaga pipi dengan Shahrul Khan atau Lee Chong Wei, kempen anti zina, rasuah, makan wang haram yang dikatakan jauh lebih berleluasa. Betullah, sentuhan lelaki wanita bukan mahram tidak perlu samak walaupun haram hukumnya.

Kenyataan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sewajarnya diberikan perhatian sama ada yang menganjur program atau yang menyertainya. Katanya, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana haiwan itu najis mughalazoh ( berat ) dan menyentuh anjing dengan sengaja bertentangan dengan mazhab Syafie.

Apakah penganjur dan peserta bukan bermazhab Syafie ? Jika bukan, nyatakan terbuka untuk penganut Mazhab Maliki yang mengganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis dan tidak haram disentuh.

Tidak hairanlah sesetengah al-Ustaz mengatakan ini mungkin agenda penganut Islam Liberal setelah bersetuju dengan penganjuran program pesta arak Octoberfest. Namun daripada satu segi ianya memberikan umat Islam agar lebih memahami mengenai Islam itu sendiri yang sering membawa jalan mudah dan terbawa-bawa oleh dakyah menerusi pelbagai media social.

Share:

Amal Mudah Tetapi Tinggi Nilainya

Al-Quran dalam Surah As-Sajadah ayat ke-12, ada mengkisahkan tentang sesalan besar manusia yang kufur ketika siksaan pedih neraka sedang menanti sehingga meminta dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh bagi menampung kekurangan sehingga membolehkannya masuk ke Syurga. “Dan jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami, kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami telah yakin.” ( As-Sajadah : 12 )

Manakala dalam surah Al-Mukminun ayat ke 99-100, “Golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia, “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku supaya aku dapat mengerjakan amal soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Mana boleh? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh sehingga hari mereka dibangkitkan semula.

Sekiranya diberikan pilihan untuk kembali ( tetapi mana boleh ? ), apakah amalan yang hendak dilakukan yang tentunya besar fadhilatnya sehingga boleh cover dosa yang tertanggung ? Setiap kita, malah setiap Muslim sering berdoa dengan menginginkan umur panjang, sihat wal-afiat dengan bertambah kebaikannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w tatkala baginda ditanya, “Siapakah orang yang paling baik itu? Rasulullah s.a.w menjawab, “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya.” ( H R. At-Tirmidzi dan Ahmad ).

Sementara kita hidup, sementara ada nyawa dan sementara ada masa dan ruang diberikan Allah s.a.w, usah dipersiakan usia agar kita tidak menjadi sebagaimana kisah tadi. Kehidupan di dunia adalah sementara dan dunia merupakan tempat untuk menambah dan memperbanyak amalan-amalan yang baik agar manusia senang setelah kematian serta rela dengan apa yang ia kerjakan.

Berdzikir ia adalah amalan yang ringan tapi bernilai berat disisi Allah s.w.t. Kalau nak solat atau puasa kena tengok time jika diberi peluang dikembalikan ke dunia. Nak bersedeqah, mana ada harta yang nak disedeqahkan. Harta dalam bank pun tidak boleh nak dikeluarkan. Orang yang hendak menerima pun sudah takde. Huhu … membaca al-Quran mungkin boleh juga.

Namun apa yang hendak dicoretkan di bawah atau beberapa siri posting nanti ialah beberapa amalan yang kelihatan mudah tetapi mempunyai timbangan dan nilai yang tinggi di sisi Allah. Untuk posting ini khusus mengenai dzikir.

Pertama : Membaca Subhaanallaahi Wa Bihamdihi Subhaanallaahil 'Adzim
Dari Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda, "Ada dua kalimat yang dicintai oleh Allah, ringan di lisan, dan berat ditimbangan: ( iaitu bacaan )
Ertinya : Mahasuci Allah dan dengan memujiNya, Mahasuci Allah Yang Maha Agung.” (HR. Al Bukhari)

Kedua : Membaca 'Subahanallah Wa Bihamdihi' Setiap Pagi Dan Petang.
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa di waktu pagi dan petang membaca:
Ertinya : Maha Suci Allah dan dengan memuji kepadaNya ) seratus ( 100 ) kali maka tidak ada seorang pun yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala yang lebih baik dari pahala yang dia bawa, kecuali orang yang membaca seperti yang dia baca atau lebih banyak. "( H.R. Muslim )

Ketiga : Berzikir Ketika Terbangun Dari Tidur
Dari Ubadah bin Shamit, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang terbangun ketika tidur malam kemudian dia membaca,

( Ertinya : Tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah semata tiada sekutu bagiNya, milikNyalah seluruh kerajaan, milkNyalah segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala puji milik Allah, Mahasuci Allah, tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Tiada daya dan kekuatan kecuali dari Allah ) kemudian dia beristighfar atau berdo'a maka akan dikabulkan. Jika dia berwudhu kemudian solat dua rakaat, maka solatnya diterima." ( H.R. Bukhari & Abu Daud )

Keempat: Selalu Beristighfar
Dari Ibn Abbas, Nabi s.a.w bersabda, "Sesiapa yang rajin beristighfar maka Allah akan berikan jalan keluar setiap ada kesulitan, Allah berikan penyelesaian setiap mengalami masalah, dan Allah berikan rezeki yang tidak disangka-sangka." ( H.R. Abu Dawud )

Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku membaca: ( Ertinya : Maha Suci Alloh, segala puji bagi Alloh, tiada tuhan yang berhaq diibadahi selain Allah dan Allah Maha Besar ). Bacaan itu lebih aku sukai daripada mendapat kekayaan sebanyak apa yang dibawah sinar matahari.”( H.R. Muslim)

Dari Abu Malik Al-asy’ari r.a Rasulullah s.aw bersabda, “Kebersihan itu separuh keimanan dan ucapan alhamdulillah itu memenuhi timbangan amal dan Subhaanallohi walhamdulillah itu memenuhi keduanya atau memenuhi antara langit dan bumi.”( H.R Muslim )

Kelima : Membaca Subhanallah
Sabda Rasulullah s.a.w, “Apakah seorang diantara kamu tidak mampu mengerjakan seribu kebaikan dalam setiap harinya?? Salah seorang sahabat yang ikut duduk bersama beliau bertanya, ”Bagaimana cara salah seorang diantara kami dapat mengerjakan seribu kebaikan?” Beliau menjawab, ”Membaca tashbih ( ) seratus ( 100 ) kali dapat mendatangkan seribu kebaikan atau menghapus seribu dosa atau kesalahan.” ( H.R. Muslim )

Keenam : Membaca Zikir Ketika Masuk Pasar Atau Tempat Keramaian.
Dari Abdillah bin Amr bin 'Ash, Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang masuk pasaran kemudian dia membaca:


( Ertinya : Tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah tiada sekutu bagiNya, milikNyalah seluruh kerajaan. Dan milikNyalah seluruh pujian, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha hidup dan tidak mati, di tangannyalah segala kebaikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu )

Maka Allah catat untuknya sejuta kebaikan, Allah hapuskan sejuta kesalahan, dan Allah angkat untuknya satu juta darjah. " ( H.R. At Tirmidzi, Al Hakim, Ad Darimi dan dinilai hasan oleh Al-Albani)

Penutup
Hendaknya kita menggunakan waktunya dengan ketaatan kepada Allah. Umur dalam lingkungann 60-70 tahun bukanlah lama berbanding tempoh masa di akhirnat nanti. Jadikan waktu terluang dengan amalan bermanfaat agar tidak sia-sia belaka, agar kita tidak dilalaikan seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, “Dua nikmat yang (sering) dilupakan oleh kebanyakan orang, yaitu: kesihatan dan kekosongan (waktu).” (HR. Bukhari).

Semoga Allah yang Maha Memberikan taufiq kepada kita semua agar umur kita dipanjangkan oleh-Nya dalam kebaikan serta dapat mempergunakan kesempatan-kesempatan yang berlipat ganda (pahalanya) dimana kebanyakan orang melalaikannya. Jumpa dalam posting berkaitan akan datang.

Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.